20 October 2013

Aku tak kisah pun

Dalam berkawan ni, aku bukannya nak tau gaji kau sebulan berapa, macam mana kau buat duit atau apa pangkat kau sekarang.

Aku tak perlu dan tak nak tau semua tu. Tapi kalau kau dah start sembang deras, cakap pun besar, kau jangan pelik bila aku angkat kaki.

Aku berkawan dengan semua jenis orang, semua level pangkat, miskin, kaya, bujang, berkahwin lebih daripada satu ke, takde kerja ke, semuanya aku tak kisah. Asalkan tak sembang kencang, tak berlagak dan paling penting tak menipu.

Kalau nak cerita tentang kebesaran diri, kehebatan diri ke, kau boleh pergi melingkup lah....

Tak tahulah bro

"Sekretari saya yang buat, saya tak tahu-menahu pun..."

Kelakar punya jawapan.

Mengaku saja kan senang. Tak perlu panjang cerita.

Harap bukan mamat tukang gunting yang kasi idea ni sebab alasan macam ni memang tak membantu langsung.


Tukar?

Ada suara-suara yang menyarankan beberapa tokoh dalam UMNO yang kalah dalam pemilihan baru-baru ni supaya berpindah ke parti lain.

Untuk apa?

Parti lain pun sama saja macam UMNO cuma pakaian saja berbeza. Pak Lebai pun gila kuasa jugak brader. Berapa ramai sangat manusia yang tak mahukan pangkat dan kedudukan?

Sejarah membuktikan pemimpin-pemimpin yang hebat seperti Umar Abdul Aziz bukanlah terdiri daripada orang yang menawarkan diri sendiri untuk dipilih sebagai pemimpin.

12 October 2013

Perjumpaan

Cadangan untuk mengadakan hari keluarga memanglah bagus. Terutama bagi yang dah lama tak bersua muka. Daripada mula kahwin sampai dah beranak pun. Selalunya perancangan 'atas kertas' memang sangat sempurna. Mulanya aku tiada masalah untuk turut serta sebab dah dimaklumkan awal. 

Tapi bila keluar aturcara rasa macam kurang selesa pulak. Sepatutnya perjumpaan keluarga ni bersifat santai. Tak perlu serius sangat dengan aturcara program macam pergi kursus. Perjumpaan keluarga biasanya untuk bertanya khabar, bersembang-sembang, makan-makan dan memperkenalkan ahli keluarga baru masing-masing. Bila ada aturcara yang tertentu, ia menjadikan program ni kurang seronok sebab semua terikat. Lagipun, perjumpaan ni bukanlah ramai mana. Kalau tak ada orang ikut susunan program nanti akan jadi buah mulut pulak.

Jadi aku rasa dah macam tak menarik lagi. Mungkin aku seorang saja yang rasa, tak tahulah orang lain. 

08 October 2013

Nur Muhammad

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.

 

Title





Di negara maju, orang yang berpandangan macam ni disisihkan, dibiarkan main seorang diri dan tak dihiraukan pun. Di negara kita, mereka diberi jawatan besar. Berapa tahun negara kita tertinggal di belakang?

07 October 2013

Kecenderungan

Masyarakat cenderung menilai seseorang berdasarkan apa yang mereka nampak kerana itu adalah fitrah manusia. Percaya apa yang dilihat dan jarang sekali berfikir panjang. 

Ramai membuat kesimpulan jika seseorang itu benar, jalan yang dibawanya juga benar, hidupnya berkat, tentulah dia akan mempunyai keluarga yang bahagia, anak isteri yang soleh/solehah, kereta yang baik-baik, rumah yang besar, makan pakai semuanya lebih dari cukup, tiada masalah duit dan sebagainya. 

Sama juga seperti masyarakat dulu berfikir, jika seseorang rasul itu benar-benar dilantik menjadi rasul tentulah Tuhan akan lantik daripada golongan mereka yang kaya-raya, hidup senang, harta banyak dan dari golongan bijaksana bukan daripada kalangan orang yang tidak memiliki itu semua.

Jadi bagaimana?

Jangan menghukum orang lain. Buat hal sendiri sudah.

Qarin

Apa yang aku tulis ini adalah pendapat aku semata-mata berdasarkan pengetahuan yang ada pada aku. Tidak bertujuan untuk membandingkannya dengan pendapat/pandangan orang lain untuk mencari siapa lebih benar, siapa lebih salah. Mungkin saja ia berbeza dengan kelaziman hidup dan pengetahuan orang lain.


Bersama dengan seorang manusia terdapat dua lagi makhluk lain yang namanya kita semua biasa dengar, Qarin.
Qarin/Si Pendamping

Terdapat banyak buku yang menerangkan apakah Qarin dan siapakah Qarin ini sebenarnya. Namun berapa ramai orang yang betul-betul mengenal Qarin bercerita mengenainya?

Qarin manusia terdiri daripada dua, satu bersuku jin dan satu lagi bersuku malaikat. Suku jin sentiasa menyuruh ke arah kejahatan dan suku malaikat sentiasa menyeru kepada kebaikan. Sudah tentu mereka ada namanya masing-masing (sila cari jika berminat).

Lalu apakah gunanya mengenali Qarin ni? Jika tak kenal, maka mana nak datangnya cinta? 

Terdapat cara-cara tertentu untuk berhubung dengan Qarin diri. Dengan ini manusia mula mengenal siapa yang selalu mendampinginya 24jam tanpa henti sampai mati. 

Mereka yang tahu hal selok-belok Qarin ni kebiasaannya menjadi ketua dalam kumpulan, masyarakat, pemimpin dan tokoh-tokoh besar (bukan semua). Pengamal perubatan tradisional/bomoh juga boleh mengetahui serba-sedikit tentang hal-ehwal pesakitnya melalui Qarin si pesakit. 

Kedua-dua Qarin ini menempati di dua tempat yang berbeza di batang tubuh manusia. Satu di kemaluan dan satu lagi di ubun-ubun.

Qarin dari suku jin terbentuk sejak bayi dalam kandungan lagi (apabila kandungan mencapai umur tertentu). Ia terbentuk dari kotoran/buangan bayi. Secara hakikatnya ia telah berada di persekitaran alam bayi sewaktu bayi masih lagi dalam kandungan, walaupun tidak kukuh. Dialah yang membisikkan segala perkara/ancaman kepada si bayi hinggakan bayi ada kalanya berasa cemas dan takut dalam kandungan (pasti ada saja yang mempersoalkan, bayi ada perasaan kah sebelum lahir? Persoalan yang anda harus jawab, adakah bayi hidup sewaktu dalam kandungan?)

Qarin dari suku malaikat tercipta sewaktu pertama kali si bayi mendengar azan/qamat. Atas sebab yang demikian bayi yang lahir perlu segera di azan/qamat kan agar perbezaan usia Qarin suku jin dan Qarin suku malaikat tidak terlalu ketara jaraknya. Perbezaan umur inilah yang akan mempengaruhi Qarin mana yang akan lebih berkuasa ke atas batang tubuh seseorang manusia. 

Kedua-dua Qarin tidak akan ikut manusia ke alam kubur. Bila manusia mati, ia tetap ada. Mereka yang mempunyai ilmu tentang ini dapat berhubung dengan si Qarin tadi lalu ada saja yang menganggapnya sebagai ruh si mati dan sebagainya. Makhluk yang mengikut manusia sepanjang hidupnya pasti saja mampu meniru karektor tubuh badan, perangai, suara dan yang bersangkutan dengan manusia tadi. 


Biasa mendengar orang berkata, "Sihat wal afiat"? Di situ ada perkataan yang sering dipandang remeh tetapi mempunyai seribu satu makna. Orang Melayu dulu-dulu bukannya bodoh seperti yang ramai sangka. Mereka bijak dan kaya dengan ilmu dunia dan akhirat.






Pandangan

Ada yang tak bersetuju dengan video ni http://www.youtube.com/watch?v=DoDOlwGwkww

Aku bukanlah peminat ustaz tersebut namun kata-katanya betulnya juga. Cuma janganlah terlalu emosi dalam mendengar pendapat beliau.

Perjuangan

Bila timbul sesuatu isu, masyarakat akan ulas daripada sudut pandangan mereka berdasarkan maklumat yang mereka ada. 

Berita tentang OKU hantar memorandum sampai merangkak naik ke pejabat telah menjadi satu isu. Ditambah pula ada yang mengaitkannya dengan politik. Ahli politik tak kiralah parti apa sekali pun pasti akan mengambil peluang yang ada. 

Ada yang membidas, ada yang menyokong, ada yang mengeji dan ada yang berasa tak puas hati. Segala rasa ada. Malas aku nak ulas panjang kerana pasti akan ada orang itu mengata orang ini dan orang ini mengata orang itu. Akhirnya habuk pun tak ada. Sama saja. Jika kita bertukar kasut, adakah kita akan faham? Atau adakah kita akan mengulas daripada satu sudut semata-mata. Masing-masing merasakan pandangan dan pendapat mereka lebih betul daripada orang lain. Lebih baik aku diam saja. Kamu perjuangkanlah apa yang kamu rasa betul. (Diam pun ada masanya kena kutuk juga)