29 August 2012

Gangguan

Pasti ramai yang pernah rasa tiba-tiba jantung berdebar tak pasal-pasal. Tu salah satu petunjuk bahawa ada gangguan dalam diri. Pergi la check dengan mana-mana perawat kot-kot ada yang menumpang diri. Mata manusia memang tak boleh kesan kehadiran makhluk-makhluk bertubuh halus ni. Ada beberapa golongan saja yang mampu melihat alam ghaib ni.

Mungkin kita pernah dengar ada orang mampu melihat perkara-perkara yang tak nampak dengan mata kasar ni sejak orang tu kecil lagi. Secara teorinya, orang tu melihat alam ghaib melalui mata jin yang menumpang/bersahabat dengannya. Dia mungkin tak perasan tapi memang ada jin yang suka pada manusia. Dia dah bosan dengan kaum dia sendiri gamaknya. Bini orang pun dia ada feeling. Punya la tak makan saman jin jenis ni. 

Ada jugak orang yang boleh melihat alam ghaib kerana dia kasyaf. Orang seperti ni jarang-jarang kita tahu kerana mereka low profile je hidupnya. Bukan kaki masjid pun, bukan berserban pun, kadang-kadang tu pakaiannya kusut masai saja, kerjanya boleh jadi peminta sedekah atau hanya berpeleseran di kaki-kaki lima. Itu sebabnya kita kena jaga hati dan nafsu agar tak memandang rendah golongan seperti ni. Bila hati kita bersih, hidayah senang nak dapat. Tapi jika hati penuh syak wasangka, solatlah sampai lebam-lebam dahi pun, tetapi tak dapat hidayah. 

Yang dikatakan seseorang itu warak, alim, malah wali sekali pun bukanlah pada jasad luarannya tapi pada rohaniahnnya. Walaupun luaran dia kelihatan kotor, mengemis, kutip sampah, tidur bawah jambatan dan sebagainya, tapi rohaniahnya berpakaian segak dan tampan. Ibarat kita memandang jasad seorang petani atau penoreh, tentulah bajunyak kotor, bertampal sana sini dan riak muka yang tak berapa nak hensem. Tapi jika dia merupakan seorang yang mempunyai kedudukannya disisi Tuhan, rohaniahnya jauh berbeza daripada apa yang dapat dilihat dengan mata kasar. Selalunya wali-wali memang begini. Saat hidupnya masyarakat menganggap dia hanya orang biasa yang tiada apa yang istimewanya pun. Tapi bila dia sudah takde dalam dunia, barulah orang sedar siapa dia. 

Melihat alam ghaib bukanlah sama bagi setiap orang. Ada orang dapat lihat jin tapi tak dapat kenal pun mana wali, mana syaitan. Itu yang sesat sampai mengaku malaikat datang kasi wahyu dan angkat diri jadi nabi. Ada manusia yang pandangannya menembusi alam kubur. Lalu ke kat kubur pasti dapat lihat siksa kubur. Orang yang takde pengetahuan akan kata sesat. Sikit-sikit sesat padahal dia yang takde ilmu.


Pengalaman

Dua tiga malam lepas aku pulang ke rumah jam 2.00 pagi. Waktu nak masuk rumah, teringat pulak nak baca ayat kursi mengikut cara yang diijazahkan. Baru dua tiga ayat, serta merta bulu roma meremang. Ah, biasalah waktu-waktu sunyi macam ni. Fuh, syok. Tegak je berdiri. Kalau baca waktu kelam kabut tak rasa apa-apa pun. 

Aku pun masuk ke rumah. Bila masuk ke bilik, tiada respons daripada anak kecil aku. Kalau tak, biasanya dia pasti bergerak dan merengek-rengek tanda 'sesuatu' mengganggu tidurnya. Tapi perkara seumpama tu tak terjadi pulak kali ni. Sedang aku nak melelapkan mata, hati ni sempat berniat untuk berjumpa dengan si khadam ayat yang aku dok baca selalu ni. Memang merepek betul keinginan ni. Mana mungkin dia nak jumpa aku. Tapi bedal ajelah. Untung nasib dapat la jumpa. Takde nasib, melepas la.

Walaupun aku rasa terlelap sekitar 2.30 pagi, tidur terasa panjang sebab aku terjaga 2-3 kali jugak la. Biasanya sekali terjaga je dah pukul 6. Berhempas pulas la nak bangun waktu tu bersiap-siap nak pergi kerja. Waktu terlelap tu ada seorang lelaki yang tak berapa jelas wajahnya datang berjumpa dengan aku dalam keadaan berselubung menutup kepala. Wajahnya tak jelas. Dia mengajarkan aku sesuatu. Bacaannya hanya seratus kali dan diikuti dengan ayat kursi. Waktu aku cuba baca apa yang diberi masa terasa terlalu lama. Biasanya setakat wirid ni dalam 5 minit paling lama dah boleh selesai, tapi yang ni aku baru baca 2-3 kali dah terasa panjang sangat. Sampai aku terjaga beberapa kali, tak sempat nak habiskan.

Bila terjaga, memang aku lupa terus apa benda ayatnya yang perlu dibaca sebanyak 100 kali tu. Keesokkan harinya puas aku memikirkan semula mimpi tu. Petang tu terus aku pergi berjumpa sang guru. Katanya, 'orang' yang aku nak jumpa tu tak mau jumpa mungkin sebab aku belum layak lagi agaknya sebab tu la aku tak ingat langsung apa benda yang lelaki dalam mimpi tu suruh aku baca. Ah, melepas pulak. Lelaki yang aku jumpa tu barangkali orang tengah saja. Dia pun tak cakap banyak.



27 August 2012

Cemburu

Rasa cemburu sebenarnya berasal daripada sifat hasad dengki. Sifat hasad dengki yang dipanggil cemburu ni telah diolah oleh ramai orang menjadi satu sifat yang baik yang perlu ada pada setiap orang yang ingin berjaya. Sejauh mana perkara ni betul, carilah sendiri. Aku hanya tulis apa yang aku rasa saja.

19 August 2012

Ulamak

Waktu seorang guru pondok mengeluarkan kenyataan panas tentang haram hukumnya menyokong DAP kerana mereka kafir harbi, MCA dengan berani mengeluarkan kenyataan "Pilih kami, kami akan halang jadi negara Islam" 

Senyap sekali ulamak yang makan gaji. Tuan-tuan mufti pun tak berani nak bersuara takut hilang jawatan. Apa lagi guru pundok yang baru dapat RM2 juta untuk pondoknya. Kalau kena tarik balik duit tu macam mana?

Sumber: facebook

Ulamak-ulamak yang menggunakan hadis :

“Dengarlah dan taatilah penguasa diwaktu susah dan senang, diwaktu lapang dan sempit, walaupun mereka mementingkan diri sendiri dan memakan hartamu serta memukul punggungmu, kecuali apabila memerintahkan untuk berbuat maksiat”. 
(Hadis Riwayat Ibn Hibban dalam Sahihnya. 10/426. Sanadnya hasan)

...adakah mereka cuba menggambarkan bahawa rasulallah saw menyuruh kita mentaati pemerintah yang zalim. Adakah hadis salah atau tafsiran manusia yang salah?

Ada lagi satu ayat Al-Quran yang berkaitan dengan ini.

“Taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemimpin (pemerintah) antara kamu”. (an-Nisaa 4: 59)

Ayat ini ditafsirkan seperti, "silalah taat pada pemerintah walaupun mereka zalim", walhal tiada dalam nas Al-Quran yang menyebut orang Islam wajib mentaati dan mengikuti pemerintah yang zalim. Bagaimana pula dengan hukum seorang yang mati mempertahankan hak mereka? Bukankah itu dikira mati syahid? Bagaimana jika rakyat mempertahankan hak mereka dari pemerintah yang zalim? Adakah ini dikira salah?

Jika tafsiran ini kekal digunakan oleh ulamak-ulamak di timur tengah seperti Syiria, Mesir dan Libya, barangkali pemimpin mereka terus kekal bermaharajalela menyembelih tengkuk rakyatnya. Sebab rakyat perlu taat biarpun kepada pemimpin yang zalim, tak boleh lawan, tak boleh bersuara.

Menolak satu huruf ayat Al-Quran dan menolak apa saja hadis dikira keluar daripada Islam. Mencerca, memperlekehkah Al-Quran dan hadis juga dikira keluar daripada Islam. Tapi bila seorang pemimpin Islam mengatakan bahawa dia tidak akan ikut hudud dan bersekongkol dengan satu pertubuhan yang memang anti hukum Islam, apa kejadahnya? Itu bukan satu huruf Al-Quran lagi dah. 

Ulamak makan gaji sering menekankan bahawa Islam melarang umatnya berpecah belah, tapi mereka tak pernah sekali pun tegaskan bahawa yang batil tidak boleh bercampur dengan yang hak. Mereka menggesa yang batil dan yang hak bersatu untuk keamanan. Bolehkah? Mereka memperlekehkan orang yang telah lama berjuang untuk menegakkan Islam hanya kerana pengikutnya yang taksub dengan parti. Kononnya pemimpin-pemimpin yang ingin menegakkan Islam ni tak nak bersatu padu dengan pemerintah sekarang dan menggalakkan perpecahan dikalangan umat Islam. 

Orang sebegini tak dapat aku nak hormati kerana kerana pada pendapat aku mereka jauh tersasar. Fikirlah jika tafsiran berdasarkan ayat-ayat di atas digunapakai waktu British memerintah Tanah Melayu, apa jadi? Kenapa orang Melayu bangkit berdemo menentang British sewaktu menuntut kemerdekaan sedangkan berdemo itu bukan ajaran Islam? Mengapa menentang British sedangkan British adalah pemerintah yang membawa kemajuan kepada Tanah Melayu satu masa dulu? Jika tafsiran sebegini diguna pakai, sia-sia sajalah perjuangan Mat Kilau, Dato Bahaman, Tok Janggut dan lain-lain kerana menentang pemerintah menggunakan kekerasan. British adalah pemerintah Tanah Melayu dulu dan semua yang menentang British adalah salah kerana hukumnya haram menentang pemerintah.

Jangan jadi rakyat yang bodoh hanyan mengikut saja. Zaman sekarang, kita bukan nak lawan pemerintah guna pistol atau senapang, bukan nak lawan guna parang atau beradu kekuatan tapi kita nak tuntut hak kita sebagai rakyat untuk mendapat yang lebih baik. Untuk menolak rasuah dan korupsi yang menjadi amalan sejak dulu. Salahkah? Salahkah wahai sang ulamak yang berfikiran sempit, takut hilang jawatan dan sebagainya?

Bukannya kita taksub pada sesebuah parti, bukannya kita bergantung harap pada mereka tapi jika peluang untuk mengubah nasib ada depan mata, apa salahnya digunakan? Adakah negeri Selangor rakyatnya menderita sebab pilih kerajaan baru? Adakah orang Islam di Pulau Pinang tak dibenarkan ke masjid lagi untuk bersolat dan sebagainya? Jangan butakan mata jika hati telah buta. 

Hadis di atas boleh dan tidak salah jika ditafsirkan pada keadaan yang lain seperti seseorang yang diamanahkan untuk menjaga anak yatim, atau yang sama keadaannya. Orang tua kita pun penguasa juga, bapa angkat kita yang menjaga kita pun kategori penguasa juga. Janganlah samakan penguasa tu sebagai pihak pemerintah sesebuah negara saja. Jika tak mahu menghormati PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam tak mengapa, tapi hormatilah Tuan Guru-Tuan Guru yang berjuang di dalam pertubuhan itu. Jangan perlekehkan usaha mereka. Benar, PAS dibenci kerana pengikutnya yang taksub. Bukan semua pemimpin dalam parti tu bersikap seperti Tuan Guru-Tuan Guru mereka, itu kenalah faham. 

Golongan ulamak yang pentingkan jawatan, wang ringgit dan status seperti inilah sebenarnya menjadi punca perpecahan dikalangan umat Islam negara ni. Mereka takut untuk menegur pemerintah, jadi mereka terpaksa mencari jalan bagaimana untuk membenarkan dan menampakbaikkan perkara zalim yang dilakukan pemerintah. (zalim=meletakkan sesuatu tak kena pada tempatnya).




13 August 2012

Aku dan Ramadhan

Ah, Ramadhan hendak pergi lagi. Aku belum puas. 

Ramadhan sememangnya bulan yang menggembirakan bagi sesiapa saja tanpa mengira susah atau senang, kaya atau miskin. Pernah dalam bulan ramadhan aku bersahur dan berbuka sorang-sorang. Poket kosong, makan nasi campur telur dan kicap saja. Kalau ada duit lebih, aku akan beli fillet ayam dan potong dadu kemudian campur dengan telur dan goreng. Sama seperti membuat omelet. 

Pernah jugak ayah kepada kawan-kawan aku beri zakat pada aku. Memang waktu tu aku belum tamat belajar di UiTM, jadi kalau ikut syariatnya, layaklah aku. Malah yuran pengajian aku sepanjang diploma dulu pun Pusat Zakat UiTM yang tanggung. Itupun setelah bersoal jawab dengan ustaz yang menguruskan temuduga untuk menerima zakat sebab gaji ayah aku tak melayakkan aku menerima zakat. 

Waktu lain tak pernah aku makan di dewan makan kolej dalam UiTM tu tapi di bulan puasa situlah tempat aku bersahur dan berbuka dengan member sebilik. Meriah jugak. Bila member bilik hostel dah bertambah (sebab ada budak luar join kononnya nak study sama), maka kami akan kumpul duit sorang sikit untuk beli barang-barang memasak. Beli beras, bawang, telur, minyak masak dan nugget atau produk ayamas lain kemudian masaklah untuk sahur dan berbuka. Waktu orang berterawikh, kitaorang masak jemput-jemput. Kawan aku cukup suka masak benda ni. Tak dinafikan, memang sangat menyelerakan bila pekena teh o panas sambil makan jemput-jemput. Orang belah Pahang panggil cekodok tepung aje. 


Kehidupan sebagai seorang pelajar IPT sangat menyeronokkan walaupun poket kosong. Ada saja rezeki Tuhan bagi untuk teruskan hidup. Mungkin sebab tugas pelajar ialah untuk mencari ilmu, maka segala yang baik dipermudahkan Tuhan. Kalau difikirkan, kami mana ada pendapatan bulanan pun. Malah, kehidupan kami memang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bukan semua pelajar IPT ditanggung oleh ibu bapa mereka. Ada yang sendirian berhad saja. Waktu susah, memberlah tempat membuat pinjaman peribadi. 

Lepas tamat belajar, aku jaga kedai member. Sama jugak, sahur dan berbuka sorang-sorang. Waktu berbuka biasanya tiada makanan istimewa pun. Aku hanya ke bazar dan beli mee gorang RM1.00 dua bungkus. Air belasah air sejuk biasa saja. Kalau ada duit lebih beli la air soya atau tebu. Waktu tu semua adik beradik aku kat tempat pengajian masing-masing. Jadi aku sorang-sorang di rumah.

Pernah sampai satu tahap kat rumah dah takde apa pun. Tinggal beras saja. Oleh kerana nak jimat, aku buat bubur kosong. Bahan-bahan mudah saja, beras dan garam. Bubur memang jimat sebab beras letak sikit, air saja lebih. Makan memang kenyang sebab kembang dalam perut. 



Tapi sejak jaga kedai member aku tu, kehidupan taklah susah sangat. Ada masa-masanya dia ajak aku makan kat rumah dia. Tak dinafikan dia memang pandai memasak sebab lauk semuanya sedap-sedap belaka. 

Semua ni berlaku dalam bulan Ramadhan. Pada aku, memang indah walaupun nampak susah. Waktu aku menunggu sahur, memang aku dok lepak di kedai dia saja sorang-sorang. Balik rumah pun duduk sorang, tak meriah. Kalau di kedai ada jugak orang singgah kejap-kejap beli rokok walaupun pintu dah tutup. Mungkin sebab nampak lampu pasang dan ada kereta diluar, jadi mereka singgahlah. 

Jadi bagaimana aku dapat lupakan bulan Ramadhan kerana banyak yang terindah berlaku di bulan ni? Suasana malamnya hidup dan meriah. 

Semoga berjumpa lagi di tahun-tahun akan datang wahai Ramadhan. 

03 August 2012

Dejavu

Oh, hari ni kecoh-kecoh tentang Dejavu di Kinabalu sampaikan ada stesen radio jadikan tajuk utama pagi ni.


Rupanya drama slot akasia. Maaflah aku tak berminat menontot drama Melayu jadi malas nak ulas panjang.

Aku cuma nak ulas perkataan dejavu saja.

Dejavu bermaksud perasaan seolah-olah kita dah pernah lalui situasi tu. Sebagai contoh, kita pergi melancong ke Medan dan bila tiba kat sana, perasaan kita seperti seolah-olah dah pernah datang ke tempat ni. Satu lagi keadaan ialah bila kita merasakan seperti telah merasai perasaan yang dirasa pada waktu tu. Cuma tak ingat di mana dan bila. 

Aku sendiri pun perasan dah banyak kali rasa macam tu. Dulu tak ambil pusing sangat. Mungkin perasaan saja. Tapi bila ada seorang pengkaji memberitahu bahawa ia ada kaitan dengan alam roh manusia, aku jadi berminat pulak nak tau lebih lanjut. 


Mengikut pendapat beliau, dejavu terjadi apabila roh sebenarnya telah mengalami kejadian tu atau telah sampai ke tempat tu sebelum waktu kita sedar. Biasanya ia berlaku dalam mimpi dan manusia memang sangat susah untuk mengingati mimpi melainkan dengan latihan yang betul. 

Aku setuju dengan pendapat beliau kerana pada aku selain alam yang nyata ni, terdapat lagi alam-alam lain yang tak mempunyai batas/had masa dan waktu. Seperti kita bermimpi, kejap boleh balik ke zaman kanak-kanak, kejap pulak ke zaman dewasa. Ada yang kata hidup ini fantasi dan alam sanalah yang realiti. Terpulang pada pendapat dan kepercayaan masing-masing. Tak salah pun kalau sama-sama mengkaji dan berkongsi ilmu.