22 January 2013

Satu Peringatan

Ini untuk diri aku, supaya aku beringat bila mana aku mula lupa. Dalam belajar untuk mengenal yang hakiki, perkara ni harus selalu disemat dalam diri. 

Nafsu adalah suatu perilaku naluri manusia yang lebih cenderung kepada perlakuan yang dikuasai iblis dalam melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syariat dan hakikat Tuhan. Ia terbit daripada kekotoran hati manusia dengan Tuhannya. 

Nafsu juga merupakan kelakuan hati manusia dalam menuju Tuhannya. Ia umpama hijab/halangan kepada manusia dalam perhubungannya dengan Tuhannya. Untuk mengenal, maka halangan wajib dipecahkan terlebih dahulu. 

Ada 7 Martabat Nafsu.

1. Nafsu Amarah
2. Nafsu Lawamah
3. Nafsu Mulhamah
4. Nafsu Mutmainah
5. Nafsu Radhiah
6. Nafsu Mardhiah
7. Nafsu Kamaliah


Nafsu Amarah

Merupakan kelakuan hati yang menerbitkan sifat-sifat mazmumah (marah, dendam, hasad, dengki, riak, ego dan lain-lain) yang terlalu banyak. Zikir orang yang masih mempunyai nafsu ini hanya dimulut dan tak menyerap ke dalam hati. Hanya ingat Tuhan bila susah dan lupa Tuhan bila senang.

Nafsu Lawamah

Satu perasaan seperti melarang seseorang untuk berbuat kezaliman, kejahatan ataupun kesalahan. Apabila dilakukan, timbul perasaan bersalah, rasa perkara yang dibuat tak betul dan tak patut. Ia lebih kepada 'isyarat larangan'. Masih lagi bergelumang dengan sifat-sifat keji mazmumah tetapi tidak sebanyak mereka yang masih bernafsu amarah.

Nafsu Mulhamah

Pada peringkat ini seseorang telah berjaya menyingkir sebahagian besar sifat-sifat mazmumah yang ada pada diri. Hati menjadi lebih tenang kerana zikir telah melekat di hati sanubari. Orang diperingkat ini telah mula merasakan nikmat zikir mereka dan mendapat pelajaran ilmu ghaib (bukan ilmu bomoh).

Nafsu Mutmainah

Hati mula melekat rasa kasih kepada Tuhannya dan asyik dalam lamunan kasihnya. Mendapat ketenangan, kelapangan dan hilang perasaan resah gelisah. Diperingkat ini dikatakan seseorang manusia itu telah mencapai taraf wali, boleh melihat dan mendengar melalui mata dan telinga batin. Bak kata orang Melayu, orang-orang yang mencapat taraf ini dikatakan keramat dan mulutnya masin. 

Nafsu Radhiah

Seseorang yang telah mencapai martabat nafsu ini zikirnya tetap dihati dan tak pernah leka dan lalai walau sessaat pun kepada Tuhan mereka. Perangainya sering dilihat bertentangan/berlawanan dengan syariat zahir kerana ke'fana'annya terhadap kasih Tuhannya. Mungkin ada orang melihatnya sebagai orang gila kerana asyiknya cinta dengan Tuhannya. 

Nafsu Mardhiah

Jasad dan hati seseorang terus dilamun cinta dengan Tuhannya dan telah dapat menjelajah ke alam selain dunia ini. Dikatakan manusia yang telah mencapai peringkat ini dapat 7-8 wajah bergantung kepada jasad masing-masing. Teringat pulak kisah Mat Kilau yang dikatakan telah mati tetapi tak mati-mati lagi.

Nafsu Kamaliah

Bermaksud keadaan telah berkamil, iaitu bersebati kelakuan zahir dan batin dalam konteks dirinya dan Tuhannya. Apa saja kelakuan batin dan jasad adalah sama dan tak bercerai-berai antara satu sama lain. Setiap perlakuan yang lahir daripada manusia yang telah mencapai peringkat ini mendapat restu Tuhannya.  Inilah keadaan yang dikatakan, "kun fayakun". Mereka akan kembali menjadi seperti orang awam biasa disamping berpeluang mendapat ilmu syahadah (ilmu yang tertinggi sekali). Menjadi orang awam ialah menjadi seperti manusia biasa, berniaga, bercampur gaul, berpolitik dan tidak ada bezanya kecuali hatinya tetap bersama Tuhannya selamanya dan darjat sebenarnya tidak diketahui oleh orang lain. 

Aku tak layak bercakap tentang ini kepada orang lain. Hanya buat peringatan diri sendiri, mudah-mudahan aku sentiasa beringat.







21 January 2013

Mantera

Bukan semua mantera Melayu lama itu hukumnya syirik. Terlalu pantas ustaz-ustaz zaman ni menjatuhkan hukum, kononnya ilmu tersebut tidak diajar oleh al- quran, nabi dan para sahabat. 

Mantera Melayu dahulu kala kebanyakannya merupakan satu doa atau permohonan kepada Tuhan. Bahasanya disusun sebegitu indah, mencerminkan usia mantera tersebut. Mantera-mantera Melayu lama diperkuatkan dengan penyerahan secara total kepada Yang Maha Esa. Setiap akhir mantera selalu disebutkan, "dengan berkata doa laa ilahaillallah, muhammadar rasullah".

Satu contoh mentera yang aku pernah belajar dulu ialah:

Allah payung aku
Jibrail kota aku
Malaikat 44 pagar aku
Aku berjalan dengan kuasa Allah
Aku melenggang dengan melenggang Muhammad
Bukan kata aku
Kata Allah
Dengan berkat doa laa ilahaillallah, muhammadar rasullah

Tapi aku dah lupa untuk apa. Kalau ikut dari bahasanya, mungkin mantera ni untuk kekuatan seperti ala-ala kebal kot. Tak perlu bimbang, mantera ni kalau berbaca sampai berbuih mulut pun takkan jadi apa-apa kerana petuanya aku tak bagi. Kalau nak pergilah menuntut dengan orang yang ahli, jangan menuntut dalam internet. Di mana pulak jatuhnya syirik sedangkan jelas dalam mantera tersebut aku berjalan dengan kuasa Allah?

Selain mantera di atas, ada lagi beberapa mantera yang aku pernah belajar dulu. Waktu remaja, memang semua ilmu nak dituntut. Masa tu ilmu penderas penumbuk agak popular dikalangan aku dan rakan-rakan. Disebabkan aku takkan nyatakan manteranya di sini, maka aku akan ceritakan petua-petuanya. 

Aku dapat mantera ni daripada seorang lelaki di kawasan Utara. Mungkin sebab tu la ia dipanggil "penderas" kalau kat tempat lain, tak tau la aku. 

Amalannya ialah berendam dalam air dan menghayunkan penumbuk dari kanan/kiri ke hadapan sekuat tenaga sewaktu berendam tu. Sampai satu tahap, kita akan mendengar satu bunyi yang terhasil waktu menumbuk tu. Tu tanda amalan menjadi la. Amalan ni kalau dibaca bersama mantera "bisa tangan" memang terbaek lah. Petua amalan bisa tangan pula ialah selepas makan tak boleh terus basuh tangan. Mesti curahkan air dalam gelas ke tangan di atas pinggan dan kemudian ambil air basuhan dalam pinggan tadi lumurkan ke kedua-dua belah tangan (penumbuk) sambil membaca manteranya. Biar sampai kering, jangan dibasuh-basuh lagi.

Kesan sampingan amalan ini ialah jika terpukul/tertolak/terjentik budak, boleh memudaratkannya. Hati panas, asyik nak marah saja. Kalau rasa tak mampu, tak payahlah amalkan. Lebih banyak buruk daripada baiknya. 

Waktu tu, pengeras/mahar untuk mendapatkan ilmu-ilmu seperti ni tak mahal mana pun, kebiasaanya RM0.25 saja. Sekarang dalam internet maharnya sampai beratus-ratus. Bukan ke mengarut? Dah jadi macam perniagaan pulak. Ilmu-ilmu seperti ni adalah warisan Melayu dan sebahagian besarnya adalah pakaian para ulamak, sufi dan pendekar pada zaman dulu. Ia makin pupus ditelan zaman. 

Bukan bermakna mantera lebih berkuasa daripada ayat al quran. Seperti yang aku katakan tadi, mantera-mantera ini adalah suatu doa/permohonan kepada yang Maha Esa. Gunalah bahasa apa pun, asalkan kita sendiri faham apa maksudnya.