22 September 2014

Orang yang beriman

Syurga dan neraka itu tiada dalam rukun iman jelas sekali kerana kedua-duanya bukan untuk diimani. Ia langsung tiada kaitan dengan iman, Lalu untuk apa pula?

Orang yang beriman tidak takut pada pengurangan pahala atau pertambahan dosa. Bukan bermakna mereka maksum atau kebal dosa. Cuba fahamkan perlahan-lahan. Kalau ambil masa bertahun pun, silakan. Jangan terburu-buru.

Dosa dan pahala adalah untuk manusia, bukan untuk orang-orang yang beriman. Kerana orang yang beriman hanya berkehendakkan Dia saja. Tiada yang lain.

05 September 2014

Kemerdekaan dan dajjal

Kemerdekaan itu diperjuangkan dengan darah dan keringat, dan ia haruslah disambut dengan bijaksana oleh masyarakat yang merdeka. Penjajah adalah si dajjalnya dan segala senjata meriam dan kapal-kapal perangnya adalah yakjuj dan makjujnya masing-masing.

Dan kalau zaman moden kini yakjuj dan makjujnya adalah pesawat-pesawat tempur dan kapal-kapal perang yang canggih.

Di Iraq misalnya, dajjalnya adalah Amerika dan tentera bersekutu manakala yakjuj dan makjujnya adalah pesawat, kereta kebal dan kapal perang mereka.

25 August 2014

Nama-nama



"Serulah nama Allah atau Ar-Rahman, yang mana sahaja kamu serukan kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia"... (17:110)

18 August 2014

Meninggal pada hari Jumaat.

Benarkah orang yang meninggal pada hari atau malam Jumaat diangkat siksa kuburnya?

"Tidaklah seseorang muslim itu meninggal dunia pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat melainkan Allah menyelamatkannya dari fitnah kubur" - HR At-Turmizi

Adalah lebih baik jangan ditelan mentah-mentah hadis tersebut sebelum benar-benar memahaminya. Rasulallah SAW merupakan seorang yang berlapik cakapnya, lembut pekertinya. Jika hadis berkenaan diterjemah bulat-bulat seperti alih-bahasa, tentulah ia tidak masuk akal kerana jika seorang muslim yang tengah meragut lalu jatuh dan meninggal adakah dia juga akan termasuk golongan yang diselamatkan daripada siksa kubur? Atau tiadalah orang muslim yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan yang baik-baik saja? Tak masuk akal langsung. Bukan hadisnya, tapi tafsiran melulunya. Kematian yang membawa keselamatan bukanlah tergantung kepada hari apa seseorang itu mati tetapi amal perbuatannya sewaktu hidup di dunia.

Apakah rahsia hari Jumaat itu sendiri?

Jumaat merupakan hari yang terciptanya bangsa manusia. Manusia pertama diciptakan sempurna sifatnya, bukan seperti binatang. Jadi Jumaat adalah hari dijadikan manusia dengan sifat-sifat kemanusiaan. Tahu apa kemanusiaan? Sudah tentulah kemanusiaan tidak sama dengana kebinatangan. 

Walaupun dia seorang pencuri, pelacur atau pendosa setinggi gunung sekalipun, namun jika dia meninggal dalam keadaan rohaninya kembali menjadi manusia, maka dia dikatakan meninggal pada hari Jumaat. Hari kemanusiaan.

Orang yang rohaniahnya telah kembali seperti mana asalnya maka apakah akan ada lagi soal jawab kubur bagi dirinya?

Nasi pun kalau nak makan kena tanak dulu, tak boleh terus makan bang!

25 July 2014

Al-Quran


Yang biasa kita baca dan kita sebut kitab suci itu sebenarnya disebut Al Quran atau lembaran/mushaf? Kalau itu disebut kitab suci, dimana letak kesuciannya?
Sebenarnya, Al-Quran itu adalah ayat-ayat yang nyata di dalam dada orang-orang yang diberi ilmu. Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami kecuali orang-orang yang zalim. (Al-Ankabut :49)

Al-Quran yang sebenarnya itu adalah nur yang ada di Luh Mahfuz. Ia adalah cahaya Ketuhanan dan bukan tulisan, bukan huruf, bukan juga kata-kata tetapi Nur. Ketika diturunkan ke dada (qolbu) seorang hamba ia di sebut Al Furqon,yg membezakan antara yang haq dan yang batil.
Dari sudut Bahasa, Nur diterjemahkan dan disampaikan ke dalam bahasa manusia oleh sang penyampai iaitu Jibril (Jabar-il), lalu diucapkan melalui mulut oleh Rasulullah SAW dan disebut sebagai kalamullah. Kalam tersebut masuk ke telinga lalu dirakam oleh otak, di ingat dan disebut Az Zikr, lalu ditulis dalam lembaran-lembaran dan kemudian disebut Al Mushaf (lembaran-lembaran yang dijilid ini disebut Kitabullah). Dengan kata lain Al-Quran bermetamorfosa menjadi bentuk yang kita kenal sekarang ini. Ini pendapat aku je la, soal betul salah tu bukan urusan aku. Urusan aku menulis saja.

24 July 2014

Keyakinan dalam beragama


Keyakinan dalam beragama bukanlah suatu perkara yang selalu masuk akal. Banyak perkara-perkara yang tak masuk akal. Contohnya, bila dikatakan bahawa "batu pun bertasbih memuji Allah" Maka secara hukum akal perkara seumpama itu adalah mustahil dan dikatakan masuk akal. Tapi bila tak yakin, kita boleh jadi kafir disebabkannya. Bukankah seisi langit dan bumi semuanya bertasbih kpd Allah?

“Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah” (64:1)

Tapi bila perkara tu kita yakini (tanpa ilmu), keyakinan kita juga keyakinan palsu dan buat-buat sebab kita meyakini sesuatu tanpa faham asal-usul keyakinan tu. Ia hanya sebuah keyakinan buta. Sama saja teruknya, yang tak meyakini dan yang meyakini membuta-tuli.

Ke manakah roh-roh orang yang mati pergi?


Kebanyakannya berada di antara bumi dan langit seperti anai-anai yg berselerakan dalam gelap. Roh-roh ini mencari cahaya kerana telah sesat dalam gelap gelita akibat daripada perbuatan mereka waktu hidup di dunia dulu. Mereka ingin kembali kepada jasadnya tapi terdinding (barzah) manakala jasadnya telah hancur dimakan tanah. Nak menghadap Tuhan tapi tak dapat sebab Tuhan Yang Maha Suci hanya menerima roh-roh yang suci saja.
Rujuk Surah 89:27-30

Akhirnya roh-roh itu akan berusaha masuk ke jasad-jasad orang yang masih hidup tapi mereka takkan mampu menguasainya, hanya menempel seperti cendawan/parasit. Siapa yang rajin mengikuti perkembangan perubatan/rawatan Islam biasanya akan mudah faham. Bila ada gangguan roh maka perawat memang takkan mampu menghancurkannya dengan ayat-ayat Al Quran.
Roh-roh yang menempel ni tadi akan mempengaruhi orang-orang yang masih hidup agar menjadi seperti mereka. Jika roh penjudi maka mereka akan mencari penjudi juga. Begitulah dengan roh pencuri akan mencari pencuri, roh pelacur akan mencari pelacur. Demikianlah jiwa-jiwa yang sejenis mereka saling satu menyatu dan yang berlainan jenis akan saling tolak-menolak.