Tiap kali bulan Ramadhan, pejabat aku biasanya akan menganjurkan ceramah agama untuk pengisian dan santapan rohani kakitangannya. Usaha ini baik kerana daripada buang masa tidur, lebih baik mendengar ceramah agama.
Selalunya yang akan menghadiri ceramah sebegini adalah dikalangan orang yang berusia. Golongan muda memang tak tertarik langsung, kecuali sedikit saja. Aku bercakap ni termasuklah diri aku sendiri. Beberapa sms diterima mengajak untuk menghadiri ceramah yang diadakan tapi aku tetap rasa berat. Kenapa? Adakah aku terlalu mendabik dada dengan menyangka ilmu dah tinggi sangat? Tak juga, ilmu tinggi atau rendah bukan langsung penyebabnya.
Aku pasti ramai orang muda juga berasa berat untuk menghadiri cerama sebegini. Biasalah, kalau dah malas tu malas jugalah. Mengaku saja.
Kenapa aku malas? Syaitan dah kena ikat, tapi malas lagi. Nyata ia datang dari diri aku, bukan syaitan. Baiklah, mari berterus-terang saja.
Aku malas kerana topiknya tak menarik barangkali. Topiknya berkisar tentang apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Topiknya boleh disampaikan oleh hampir sesiapa juga kalau mereka membaca. Itulah sebab utama aku malas nak dengar.
Aku mencari sesuatu yang lain, yang luarbiasa (bukanlah supernatural), yang tidak berulang-ulang cara penyampaiannya, yang meninggalkan kesan yang mendalam dihati agar dapat manfaatnya. Betul, majlis ilmu adalah satu majlis yang diberkati. Mendengar ceramah di youtube dengan memakai speakerphone di depan pc bolehkah dikira sebagai majlis ilmu juga?
Daripada memberitahu apa yang boleh dan apa yang tak boleh dilakukan adalah lebih kreatif jika dapat menerangkan hikmah disebalik sesuatu perintah atau kejadian yang berlaku. Ceramah yang bebas tanpa perasaan takut kalau tersalah cakap benda yang betul atau secara tak sengaja tertegur pihak pemerintah juga lebih menarik daripada ceramah yang sentiasa nak mengelak daripada bercakap tentang hal-hal yang bersangkut paut dengan politik. Islam itu dibina salah satunya juga melalui politik. Apa salahnya bercakap tentang politik? Kalau takut, silalah bercakap dengan penuh hikmah. Jika tak mampu, anda memang tak layak berceramah atau bercakap kerana tiada kebolehan menyampaikan melalui cara anda sendiri. Baca buku lepas tu cerita semula apa yang dibaca memang boleh dilakukan oleh kebanyakan orang.
Menerangkan hukum mana yang haram, halal makruh dan sebagainya adalah mudah saja. Bagi akau halal tetap halal dan haram tetap haram. Tapi dalam sesetengah hal, ia menjadi pertikaian juga antara beberapa orang ustaz ataupun penceramah.
Cerita paling famous bulan puasa ni tentunya tak lain dan tak bukan ialah cerita tentang nuzul quran, perang badar, dan beberapa perkara lain yang berkaitan dengan puasa. Mungkin juga tentang israk mikraj. Ayat lazim yang mungkin akan keluar juga ialah 'buat apa puasa kalau lain-lain hukum seperti solat dan menutup aurat tak dilaksanakan?'
Cuba cerita benda paling basic sekali, contohnya bab solat. Apa makna solat? Apakah yang ada dalam solat? Huraikan lain daripada orang lain. Mula dengan ringan dan terus ke dalam lagi. Aku yakin, ramai yang tertarik. Semua orang tahu apa tu solat. Ceritalah tentang apa yang mereka tak tahu pula. Kalau ulang-ulang cerita yang sama, bosan saja pada aku. Cerita juga tentang siapa kita sebelum ada di dunia ini. Mana kita masa tu?
Huraikan dengan penuh hikmah agar orang muda macam aku tak sabar menanti ceramah seterusnya. Kebanyakan penceramah bila ceramah, mereka goreng seperti mamak goreng mee. Maksud aku, mereka bercerita dengan riak muka, nada suara dan gaya seolah-olah mereka amat mahir dengan ilmu fekah ni. Berlainan dengan tuan-tuan guru yang menyampaikan ajaran di sekolah-sekolah pondok, yang mana kita tau kedudukan ilmu mereka lebih tinggi walaupun mereka takkan mengaku mereka berilmu. Ibarat, makin tunduk makin berisi.
Kalau tuan-tuan guru ni bercakap, kita takkan nampak seperti mamak tengah goreng mee sebab mereka sentiasa berhati-hati waktu mengeluarkan pendapat dan pandangan. Mereka takkan bercakap dengan gaya seorang pemidato.
Inilah sebab utama aku malas dengar ceramah agama. Walaupun sikap ni tak bagus, tapi nak buat macam mana. Buat apa nak berlakon baik kalau tu bukan diri aku yang sebenar?