Zaman sekarang adalah zaman orang dahagakan agama. Ada yang fikir dengan mendengar ceramah agama, mereka akan menjadi lebih bijak daripada sebelumnya kerana mereka lebih tahu tentang hukum hakam dalam beragama.
Maksud agama adalah 'suruh' dan 'tegah'. Yang disuruh adalah mentauhidkan Allah dan yang ditegah adalah menyekutukanNya. Ramai orang pandang mudah. Mereka lebih suka bertanya tentang apakah hukumnya sesuatu perbuatan daripada bertanya di mana Allah, Tuhan yang kita sembah. Pada mereka, cukuplah kenal Allah itu sebagai Alif, Lam, Lam, Ha sahaja tak perlu lebih. Takut nanti tersesat dalam beragama. Mereka telah diasuh sebegini sejak kecil lagi.
Adalah sangat menyedihkan bagi mereka yang menyembah sesuatu yang tidak mereka kenali. Kenal dan tahu adalah 2 perkara yang berbeza. Kamu tentu tahu siapa Ketua Polis Negara tapi kamu belum tentu mengenalinya. Orang yang kenal KPN tentulah tahu apa makanan kesukaannya, warna apa yang menjadi kegemarannya dan lain-lain lagi. Jadi sudah jelas bahawa 'tahu' dan 'kenal' adalah tak sama.
Awal agama ialah mengenal Allah. Kenal yang bagaimana? Ramai orang hanya menghafal sifat 20 tetapi tak tahu langsung apa kebendanya. Malah ada pula golongan yang mempersoalkan kewujudan sifat 20. Hujah mereka, nabi tak pernah ajar pun tentang sifat 20 tu. Golongan ni digelar wahabi. Tapi mereka tak mengaku wahabi.
Sifat 20 disusun oleh bijak pandai agama sejak berzaman lalu sebagai salah satu jalan untuk mengenal Allah. Nabi pun tak pernah membukukan al Quran, tetapi sahabat buat juga. Untuk apa?
Ilmu bukan meningkat berdasarkan berapa banyak buku kita baca atau berapa banyak yang kita hafal. Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada sesiapa saja yang dikehendakiNya. Yahudi juga mengkaji al Quran & hadis tapi mereka tak dapat hidayah lalu mereka kekal kafir. Mereka cuba menggali seberapa banyak ilmu dalam kitab tu untuk kepentingan mereka, bukan iman.
Masyarakat menilai orang yang tinggi ilmu agamanya adalah orang yang sentiasa duduk di masjid, sentiasa berpakaian berjubah dan berserban atau berketayap. Mereka memilih untuk mendengar ceramah daripada ustaz-ustaz yang mereka suka, yang pandai berlawak jenaka dan sebagainya.
Lupakah kita Islam tu dibawa oleh seorang manusia yang tidak tahu membaca, tidak tahu menulis dan bukan daripada golongan bangsawan. Malah yatim piatu lagi. Jadi mengapa mesti luaran yang menentukan sama ada seseorang itu mempunyai ilmu agama yang tinggi ataupun tidak? Orang yang tinggi ilmu agamanya amat susah untuk dilihat dengan mata kasar melainkan dengan izin Allah jua.
Bagaimana hendak mengenal Allah? Kenallah diri dulu kerana bila dah kenal tentulah akan kenal siapa penciptanya. Tuhan menyatakan diriNya dengan menciptakan makhluk. Jangan bimbang untuk digelar sesat kerana Muhammad juga dituduh sesat oleh masyarakat kelilingnya.
Jadi apa kaitannya dengan Bani Melayu? Mudah saja. Bani Melayu menjadi kuat dan terkenal satu masa dahulu adalah kerana mereka kenal siapa diri mereka dan mereka kenal siapa Tuhan mereka. Itulah dia Mat Kilau, Dato Bahaman dan lain-lain lagi. Mereka tak pernah pun mengaku yang mereka hebat. Tapi orang melihat mereka sebagai pejuang bangsa yang sangat hebat. Selalunya begitulah lumrah sang wali. Apabila telah tiada, barulah orang sekeliling sedar siapa dirinya.
No comments:
Post a Comment