Apa yang ramai isteri tak tahu ialah suami mereka amat memerlukan kasih sayang, kesopanan, kelembutan, ketaatan dan layanan terbaik seorang wanita yang mereka telah berikan mahar suatu masa dulu, bukannya gaji besar, rumah besar, kereta besar, baju cantik, dan apa-apa yang digilai semasa wanita tersebut haram disetubuhi olehnya satu masa dulu.
Layanan baik, sifat lemah-lembut, sopan dan ketaatan seorang wanita kepada suaminya adalah tak ternilai dan tak boleh dicari ganti, tapi duit, kecantikan, kereta, rumah dan lain-lain boleh saja dicari asalkan ada usaha ke arah itu.
Tapi berapa ramai isteri yang macam tu? Zaman sekarang, isteri lebih suka menuntut suami mereka buat macam-macam. Ada yang kata, memasak, membasuh dan mengemas bukanlah tugas seorang isteri. Semua ni berdasarkan kisah tentang rasulallah yang mereka dengar, apabila baginda menolong Aisyah memasak di dapur. Perlu diingat, tugas seorang isteri adalah memuliakan suami, taat dan patuh pada suami selagi mana suruhannya tak menyimpang daripada Islam. Jika memasak itu boleh mendatangkan keselesaan, kebaikan, kesukaan, dan yang paling penting adalah keredhaan suami, bukankah itu lebih baik?
Jika menukar kain lampin anak kecil yang kotor boleh mendatangkan kesenangan hati pada diri suami bukankah itu lebih mulia? Tapi tidak. Isteri zaman sekarang kalaulah boleh, mereka nak jadi macam suami juga. Jika syurga seorang isteri tu di bawah tapak kaki suami, mereka nak syurga suami pun di bawah tapak kaki mereka. Baru seimbang katanya.
Ingatlah, sesungguh Tuhan telah mengangkat lelaki untuk menjadi pemimpin bagi wanita bukannya wanita untuk memimpin lelaki. Pemimpin bermaksud ketua, imam dan yang seangkatan dengannya. Jika isteri asyik nak tuntut hak-hak yang sama, siapa pulak jadi imam, siapa yang jadi pemimpin?
Firaun adalah manusia paling jahat yang dicatatkan dalam Al-Quran, tapi tiada satu pun ayat yang menunjukkan Tuhan menggalakkan isterinya meminta cerai daripadanya. Asiah, adalah seorang yang beriman kepada agama tauhid, tetapi bersuamikan seorang lelaki yang mengaku Tuhan. Mana lebih teruk, suami anda atau firaun? Tapi Asiah tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri seperti mana yang sepatutnya. Anda? Suami masih Islam dan ada iman dalam dada, tapi macam-macam dah komplen.
Antara punca sesebuah rumahtangga bergongcang adalah apabila jiwa seorang isteri mula memberontak memprotes suaminya. Tak kiranya si isteri tudung labuh sampai cecah lantai sekali pun. Aku ada seorang kawan perempuan yang dikenali sewaktu belajar di sebuah universiti satu masa dulu. Wataknya seperti sejuk mata memandang dan sentiasa mencari lelaki yang terbaik untuk menjadi calon suaminya. Akhirnya, dia berkahwin dengan lelaki pilihan hatinya, seorang ustaz.
Namun kedamaian rumahtangga mereka tak lama. Empat tahun berlalu dan mereka bercerai. Mula-mula aku sendiri segan nak tanya apa puncanya kerana biasanya kebanyakan musuh rumahtangga adalah orang ke-3. Tapi dalam kes dia, orang ke-3 bukan puncanya. Dia sendiri tak faham kenapa suaminya menceraikan dia. Aku tanya macam mana semua ni boleh berlaku, dan dia pun cerita. Lalu aku dapat buat kesimpulan bahawa puncanya memang bermula daripada perkara yang kecil-kecil saja.
Agak janggal jika mendengar ustaz yang berpewatakan baik bermain kayu 3 sedang anak sudah dua orang. Puncanya mudah. Kawan perempuan aku ni suka suruh suaminya sukar pampers anak, bagi anak makan, dan macam-macam lagi. Suaminya tak tahan lagi, dan terus ceraikan dia tanpa ura-ura nak rujuk semula. Jarang lelaki bila dah lepaskan marah terus pergi begitu saja. Barangkali ustaz ni dah fikir masak-masak untuk melepaskan isterinya. Memang sedih juga terutama bila terkenangkan anak yang masih kecil. Ikut hukum alam, orang akan menggelarkannya sebagai tak berhati perut dan sebagainya.
Tapi itulah yang berlaku bila si isteri mula mengeluarkan pelbagai arahan kepada suami. Jika syurga di bawah tapak kaki suami, wanita yang berniat untuk masuk ke sanalah yang harus pergi mencari dan mendatangi syurga, bukannya menjauhinya. Kenapa pula diibaratkan syurga itu di kaki dan bukan di lutut, atau bahu atau kepala? Cuba fikirkan.
Bukan aku mengajak kita kembali kepada zaman jahiliyah. Martabat seorang wanita tak pernah jatuh pun jika dia tunduk dan patuh pada suaminya. Malah orang akan hormat dan cemburu kepada suaminya kerana pandai memilih dan mendidik si isteri. Tapi, sekali lagi, berapa ramai isteri-isteri zaman ini yang begitu?
Semua isteri nak suami mereka jadi macam ustaz Don, tapi mereka lupa itulah suami pilihan Tuhan yang terbaik buat mereka, maka taatlah seadanya. Pelbagai alasan karut-marut dibisikkan syaitan seperti suami perlulah baik, alim, isteri tak mengapa kerana isteri tu makmum, suami imam. Maka imam perlu 'the best' baru makmun boleh ikut dan contohi.
Syurga ada di depan mata, kenapa masih tercari-cari lagi jalan lain yang lebih jauh untuk ke syurga?
Alim atau tidak bukan mengikut apa yang dilihat dengan mata kasar kerana Tuhan sendiri berkata hanya ketakwaan saja yang membezanya manusia. Boleh nampak takwa? Adakah takwa dengan serban ekor panjang? Berjubah? Hari-hari ke masjid? Itu cuma anggapan kita saja. Hakikatnya alim, warak, hanya boleh dilihat pada 'rohaniah' seseorang manusia, bukan pada apa yang ada pada dirinya, hartanya atau kata-katanya.
Ada sebuah hadis yang bermaksud...
"....Wahai puteriku, demi Allah yang telah mengutusku
dengan hak, seandainya engkau meninggal dunia sebelum suamimu memaafkanmu, maka
aku tidak akan mensolatkan jenazahmu. Wahai puteriku, keredhaan suami adalah
keredhaan Allah dan kemarahannya adalah kemarahan Allah. Walaupun seorang
isteri tekun beribadah seperti Maryam binti Imran, tetapi jika suaminya tidak
redha kepadanya, maka Allah tidak akan menerima amal ibadahnya. Amal ibadah
yang terbaik bagi seorang isteri adalah kesetiaan kepada suami dan bercumbu rayu
dengannya."
Yang lain..."..Apabila seorang suami pulang ke rumah dalam keadaan gelisah dan tidak tenteram, kemudian sang isteri menghiburkannya, maka ia akan mendapat setengah pahala jihad.."
Akhir sekali, terpulanglah kepada kamu para wanita, isteri dan anak-anak dara dalam memikirkan tentang suami/bakal suami kamu semua. Wanita adalah golongan yang paling mudah untuk ke syurga dan paling mudah juga untuk ke neraka.
Carilah keredhan suami kamu kerana keredhaan Tuhan itu datang bersama-sama dengan keredhaan sang suami. Taatlah kepadanya selayaknya. Lelaki yang telah cukup 'kenyang' takkan mahu 'bertambah' lagi walaupun disuakan nasi beserta lauk-lauk yang enak. Berhentilah daripada mendesak supaya suami kamu perlu menjadi alim seperti seorang wali, ulamak, ustaz atau guru agama baru kamu nak taat kerana dia adalah pilihan Tuhan buatmu dan pilihan Tuhan adalah yang terbaik. Percayalah.