04 October 2012

Sistem Perbankan Islam

Terbaca satu blog tulisan orang terkenal mengenai perbankan Islam. Aku tak berniat nak ulas panjang lebar cuma penulis menekankan sistem perbankan Islam adalah mengikut hukum syarak. Dan aku tak berpendapat sedemikian. Ini kerana perbankan Islam lebih membebankan berbanding perbankan konvensional. Berikut aku huraikan hujah aku dan hujah penulis.

Pendapat penulis:

Kadar faedah/interest pinjaman perumahan bank konvensional lebih tinggi, 6.75% + BLR sedangkan faedah perbankan Islam statik 7.6% sehingga tamat tempoh pinjaman, barangkali hingga 25 tahun. 

Pendapat aku:

Perbankan Islam hanya menukar istilah faedah/interest kepada istilah lain yang lebih mesra syarak seperi, keuntungan, hibbah, atau dividen. Faedah adalah riba, dan sejak bila Islam menghalalkan riba? Kambing kalau dipanggil goat, tetap binatang yang sama. 

Pendapat penulis:

Perbankan Islam tidak zalim. Harga yang ditawarkan adalah mengikut kehendak pasaran dan kemampuan bank. Islam menjaga hak pembeli dan penjual dengan adil. Ibarat kalau nak buat PhD kenalah bayar yuran yang tinggi, takkan bayar yuran murah.

Pendapat aku:

Yuran dan sistem perbankan tidak sama. Yuran adalah harga 'lump sum' yang perlu dibayar untuk mendapatkan sesuatu perkhidmatan. Sama ada nak bayar ansuran atau tidak itu soal lain, tapi bila nak beli rumah, wajiblah membuat pinjaman. Islam bukanlah sempit seperti kebanyakan manusia fikir. Riba tetap riba dan hukumnya tetaplah haram sampai kiamat biarpun ia dipanggil dengan nama yang lain. Hak pembeli ialah lebih kepada produk atau perkhidmatan yang dibeli mestilah memenuhi kehendak si pembeli manakala hak penjual adalah mendapat bayaran atas produk atau perkhidmatan yang dijual dan bukannya hak untuk mengenakan riba!

Pendapat penulis:

Jual produk atau perkhidmatan dengan harga dua kali ganda atau 100% keuntungan adalah halal. 

Pendapat aku:

Juallah dengan berapa peratus keuntungan sekali pun, ia tetap halal selagi tidak melibatkan riba.

Pendapat penulis:

Bank-bank Islam juga mempunyai pelabur yang mengharapkan pulangan dan keuntungan untuk maju ke depan. Jadi, jika ditawarkan pinjaman dan dibayar pada harga yang sama, tiadalah untung pada bank-bank tersebut. 

Pendapat aku:

Seperti yang aku katakan tadi, Islam bukanlah sempit seperti yang kebanyakan manusia fikir. Apabila riba diharamkan, ia bukan bermaksud untuk menghalang umat Islam daripada mengaut keuntungan. Ada bermacam cara untuk membuat keuntungan dan riba bukanlah salah satu daripadanya. 

Pendapat penulis:

Kepentingan dan kebajikan bank perlu dijaga dalam memberikan pinjaman, justeru itu, kadar faedah tak semestinya lebih murah daripada sistem perbankan konvensional. 

Pendapat aku:

Sekali lagi aku tekankan, riba tetap haram dan bukan satu alasan untuk mengaut keuntungan dan kebajikan. 

.....dan banyak lagi pendapat penulis yang diulas panjang lebar. Tapi isinya tetap berkaitan dengan hujah-hujah yang menjurus ke arah perlunya riba. 

Bayangkan begini...

Jika membuat pinjaman kenderaan dengan bank konvensional seperti RM50,000 untuk tempoh 7 tahun dengan faedah 4.0% setahun maka jelaslah kita akan faedahnya. Jumlah keseluruhan perlu dibayar adalah RM64,000. Tapi jika selepas 2 tahun, peminjam ingin melunaskan pinjaman, maka faedah untuk tahun-tahun akan datang tidak akan dikira. Dan dia akan bayar kurang daripada RM64,000.

Tetapi jika dalam perbankan Islam, mereka membeli kenderaan yang sama dan menjual dengan harga siap termasuk faedah lalu di'akad' kan. Katakan harga kenderaan RM50,000 dan selepas akad mereka jual semula dengan harga RM70,000. Selepas 2 tahun peminjam hendak melunaskan pinjaman, apa mereka akan buat? Mereka kata mereka tidak mengenakan faedah. Jadi berapa peminjam tadi harus bayar? Tetaplah RM70,000 juga. Dan untuk mengambil hati pelanggan, mereka mungkin memberikan rebat yang yang seberapa. Pokoknya, ia tetap lebih mahal daripada sistem konvensional. Jadi dimanakah Islamiknya di sini?

Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

2:275 

Jadi, selagi aku belum jumpa hadis atau ayat Quran yang menghalalkan faedah, maka pendirian aku tetap mengatakan bahawa sistem perbankan Islam negara kita lebih kejam daripada sistem perbankan konvensional. 

Kalaulah sistem perbankan Islam dilakukan tanpa riba, apakah bank-bank lain akan berdiam diri? Ia adalah satu sistem kewangan kapitalis yang direkacipta oleh yahudi yang diIslamkan saja. Jika sistem kewangan Islam sudah tentulah kita tidak akan mengikut nilai matawang. Ia akan bersandarkan pada emas kerana 1g emas di eropah tetaplah juga 1g di asia. Takkanlah jika ditimbang di eropah berbeza jika ditimbang di tempat-tempat lain? Jadi nilai emas tu sebenarnya sama dimata-mata saja, hanya penggunaan sistem matawang yang membuatkan yang kaya terus kaya dan yang miskin kekal miskin. 

Anda tak perlu mempunyai PhD untuk mengetahui yang riba itu haram dan tetap haram walau apa pun gelaran yang diberi.