Terkadang aku sendiri merasa sangat muak dengan sikap manusia. Makin dekat PRU, makin banyak ragamnya. Orang kampung dengan cara mereka yang tersendiri, orang kelas pertengahan dan atasan pula masing-masing ada pemikiran mereka yang tersediri.
Walaubagaimanapun, bagi aku didikan pelajaran yang tinggi bukanlah penentu kebijaksaaan manusia dalam soal berfikir tentang kebaikan. Masing-masing inginkan kebaikan untuk diri sendiri tapi dalam memilih orang yang layak untuk jadi pemimpin kita, manusia kerap kali tersasar. Ramai yang menilai orang yang layak untuk memimpin adalah mereka yang kaya, anak seorang pemimpin dan bijak bercakap. Mereka leka dengan apa yang mereka ada dan mereka bimbang tentang apa yang sebenarnya diluar kawalan mereka.
Jika ditakdirkan kerajaan sedia ada tumbang dalam PRU kali ini, adalah Tuhan akan hilang kuasa? Adakah Tuhan tidak lagi mendengar doa-doa hambaNya yang teranaiya? Ataupun adakah Tuhan pun tidak dapat menandingi kerajaan baru yang bakal menggantikan kerajaan sedia ada (jika ditakdirkan)?
Pilihanraya adalah sesuatu yang biasa, di mana kita perlu membuat pilihan siapakah yang kita sendiri rasa layak, mampu dan berupaya memegang amanah untuk menerajui negara, bukan berdasarkan perasaan takut jika orang lain memerintah.
Ramai orang Melayu yang aku jumpa masih paranoid dengan perkara ni, tak kiralah mereka tu orang kampung, bandar ataupun pengajar. Semuanya bimbang jika kerajaan bertukar, mereka tidak mampu mentadbir negara sebaik kerajaan sedia ada sekarang ini.
Tahukah kita sebenarnya mereka yang di atas sana lebih mementingkan poket dan periuk nasi mereka saja sekarang ni berbanding untuk membantu golongan yang patutnya? Negara dah berpuluh tahun merdeka, apa yang kita ada? Sekolah untuk kanak-kanak istimewa ada berapa? Kemudahan bagi ibubapa yang mempunyai anak istimewa pula bagaimana?
Harga rumah yang semakin meningkat mencengkam tengkuk golongan pertengahan kerana melangkaui kemampuan mereka. Rumah kos rendah pula terpaksa berebut-rebut. Hendak belajar pulak perlu berhutang dan lepas habis belajar sudah pasti perlu bayar balik walaupun kerjanya belum pasti. Di negara kafir, ada yang menyediakan pendidikan percuma, kemudahan sekolah untuk kanak-kanak istimewa dan juga kemudahan untuk ibubapa yang ada anak-anak seperti ini. Di negara ini, ibubapa kanak-kanak istimewa disuruh redha dan disajikan dengan kata-kata manis bahawa anak mereka dijanjikan syurga. Pernah kita terfikir bahawa ada di antara mereka terpaksa berhenti kerja semata-mata mahu menjaga anak? Si suami pula terpaksa cuti tanpa gaji untuk satu tempoh yang panjang. Apakah negara kita miskin sangat sampaikah lebih setengah abad merdeka pun tak mampu untuk menyediakan kemudahan untuk golongan seperti ni?
Itu baru golongan yang dipanggil OKU, bagaimana pula dengan golongan belia? Adakah bakat mereka, kepakaran mereka diberi peluang sewajarnya untuk diketengahkan atau hanya kroni saja yang layak diberi peluang? Projek-projek besar diberikan kepada mereka yang rapat dengan pemimpin negara walaupun tidak layak. Komisyen untuk pembelian peralatan tertentu pula terlalu tinggi dan ketirisan ini jika dijimatkan bukankah boleh menampung pendidikan percuma untuk semua rakyat negara ini? Tak logik? Atau kita takut untuk berubah?
Tuhan masih ada dan kekal jika kerajaan mana pun mengambil-alih. Tuhan bukan tempat kita mengadu bab putus cinta saja. Apa saja boleh diadukan kepadanya tapi kita saja yang tak yakin dihati. Dimulut memang 100% kita yakin. Jika yakin apa perlu bimbang? Ketidakpastian? Apa yang pasti dalam dunia ni selain mati? Adakah?
Tidakkan kita nampak semakin hari keadaan semakin menyimpang dan pekung mereka telah terdedah? Bukan aku berkempen untuk sesiapa, namun aku sudah muak dengan keadaan seperti ini. Kita seperti masyarakat asli di Afrika (bushmen) yang takut untuk berubah dan lebih rela bersyukur dengan apa yang ada. Konsep bersyukur seperti ini tak boleh digunapakai. Jika bersyukur dengan apa yang ada, tak perlulah kita berusaha untuk mendapatkan yang lebih baik. Bukankah begitu?
Bersyukur pada Tuhan bukan pada tempat yang tak sepatutnya. Itu zalim dan bodoh. Tak perlu dicanang pada orang lain dan pamerkan sikap bersyukur itu kerana Tuhan tu lebih maklum, Mengaji pandai tetapi haram tak tau apa.
Dicampur adukkan pula dengan agama mengikut acuan orang-orang tertentu maka masyarakat yang dahagakan agama ini makin berkecamuk. Mereka mau tahu hukum-hakam dulu, baru belajar yang lain. Sedangkan silibus pertama dalam pembelajaran ini adalah mengenal diri.
Sibuk mencari ustaz-ustaz yang dirasakan sesuai dan mengikut citarasa mereka sendiri. Hanya ustaz-ustaz yang menepati selera mereka sajalah yang akan diikut. Tak terfikirkah kita satu masa dulu waktu Nabi SAW berdakwah, ramai jahiliyah yang tidak mengikut baginda adalah berpunca daripada watak baginda yang bukan daripada golongan yang kaya, yang berharta, dan bukan pula daripada golongan yang pandai membaca dan menulis. Mustahilkah seorang wali Tuhan itu berpewatakan seperti seorang petani, orang miskin, atau peminta sedekah? Justeru itu apa ada pada watak berkopiah 24jam? Berjanggut tebal dan panjang? Berjubah sepanjang hari? Memetik hadis dihujung jari macam insiklopedia bergerak?
Ilmu juga datang melalui ilham. Melalui hati yang tenang dan bersih bukan melalui berapa banyak bacaan yang kita baca. Jika begitu, iblis yang lebih lama hidup daripada kita tentu telah lebih banyak membaca. Iblis menjadi iblis disebabkan perasaan bongkak, bangga diri, ingkar, riak dan seangkatan dengannya sedangkan sebelum itu iblis adalah makhluk yang bergelar abid.
No comments:
Post a Comment