26 November 2013

Dia

Memikirkan nasib orang lain yang lebih baik dan menyesal nasib sendiri?

Ah, ada apa dengan semua tu. Matlamat utama hidup manusia berbeza-beza.

Ada yang mencari syurga tetapi tak disedari jalannya seolah-olah ke neraka.

Ada yang mengelak neraka dengan memerhatikan orang dan mengutuk kesalahan mereka.

Ada juga yang tak peduli tentang syurga atau neraka. Yang diinginkan hanyalah Dia.

Golongan ini sukar untuk dimengerti dan berat untuk difahami.

Kita perlukan Tuhan untuk apa? Untuk meminta-minta kebahagiaan, kekayaan atau kesejahteraan? Untuk ke syurga barangkali?

Kalau Tuhan tak berikan itu semua, adakah sebab lain untuk kita perlukan Dia?

Nyatalah, ramai yang pentingkan diri sendiri.

Sedangkan sangat sedikit golongan yang tak perlukan apa-apa melainkan hanya Dia.




07 November 2013

Sedap betul bila menghukum

Isu panas sekarang ialah isu budak bertudung bercium dengan pasangannya. Mungkin budak sekolah, mungkin budak kolej atau IPT.

Ramai yang suka mengongsikan aib orang lain dan komen. Itulah trend orang zaman sekarang, itulah kualiti orang Islam zaman ini. 

Kalau tak boleh membantu, diam sudahlah. Tak perlu kasi ceramah sambil menghukum. 


05 November 2013

Ikhlas

Aku selalu terfikir, jika kita masih mengharapkan syurga, pahala dan ganjaran lain dalam melakukan sesuatu, di manakah ikhlas?

Sedangkan ikhlas itu adalah tidak mengharapkan apa-apa pun. Bukanlah aku bermaksud untuk mengatakan bahawa kita tak boleh mengharapkan syurga. Itu atas diri masing-masinglah nak berharap apa pun. Cuma perkara ni terlintas dan sering bermain-main dalam kotak fikiran aku sendiri.

Adakah ikhlas seperti itu menipu sama sekali dan kepada siapa pula penipuan itu ditujukan? Ia seperti satu persamaan matematik yang rumit.

Adakah dengan merelakan sesuatu berlaku atas diri kita tanpa rasa memberontak dan mempersoalkannya dikatakan ikhlas?

Seperti mana kata-kata seorang kawan, 3R sudahhh......(redah, rela, redha)


Lebuhraya Karak-KL

Betul ke di Lebuhraya Karak ada sabotaj daripada pihak trak tunda dengan menuang minyak atas jalan? Persoalan ni timbul kerana tiap kali hari hujan, pasti akan berlaku kemalangan.

Aku sendiri tak nafikan bab kemalangan diwaktu hari hujan tu sebab aku sendiri pernah mengalaminya sekali dan kemudian hampir dua kali pula terbabas. Ini semua berlaku lama dulu.

Jalan lurus pun kereta boleh tergelincir, inikan pula selekoh. Tapi waktu kemalangan dulu, memang tayar kereta aku sendiri yang botak. Sempat aku perhatikan meter waktu tu menunjukkan kelajuan antara 80-90km/h saja. Secara tiba-tiba tayar belakang kereta terseret (drift) menyebabkan kedudukan kereta berpusing 180 darjah kemudian menghentam divider tepi. Nasib baik hanya bumper belakang saja yang kemek.

Tak lama lepas tu aku lalu semula ditempat yang sama, pada kelajuan yang sama, dalam waktu hujan juga dan aku dapati memang betul apabila meter menghampiri 90km/h tayar mula hilang cengkaman. Mujur waktu tu aku dah bersedia. Pedal minyak dilepaskan dan kereta kembali normal. Silap aku waktu dulu ialah terkejut. Bila terkejut, aku jadi panik dan terus tekan brek sekuat hati. Menekan brek sebenarnya langsung tak membantu kerana hanya akan menyebabkan tayar terkunci dan tayar terus hilang cengkaman.

Aku juga ada perhatikan kereta lain yang lebih laju melalui kawasan yang sama tapi tak terbabas pun. Jadi, aku buat kesimpulan bahawa setiap kereta mempunyai tahap cengkaman yang berbeza. Selain daripada kelajuan, ia bergantung pada bunga tayar, jenis tayar, berat kereta dan alignment sesebuah kereta. Bukan semua orang mampu menggunakan tayar yang mahal dan berkualiti. Bukan semua orang mempunyai bunga tayar yang banyak dan bukan semua orang juga ambil peduli tentang alignmenti kereta masing-masing. Ini semua memainkan peranan dalam menyebabkan kereta hilang kawalan apabila melalui kawasan licin.

Tayar yang mahal biasanya mempunyai kualiti yang lebih baik sama ada dalam keadaan basah atau kering. Selain corak bunga tayar yang mampu menyingkirkan air sewaktu melalui jalan yang basah, bunga yang keras dan lembut pada sesebuah tayar juga memainkan peranan penting dalam menentukan tahap cengkaman atas jalan. Tayar yang lembut lebih mencengkam walaubagaimanapun bunganya cepat habis. Tayar yang keras pula lebih sesuai dalam keadaan lasak, kering dan tak berpasir selain bunganya lambat habis. Tayar yang tamat tempoh pula sebenarnya langsung tak berguna lagi kerana telah hilang sifat elastiknya. Walaupun bunganya masih banyak tetapi getahnya telah keras dan merekah.

Selain daripada semua faktor di atas, ada satu lagi faktor yang menyumbang kepada hilangnya kawalan sewaktu memandu dalam keadaan basah iaitu faktor jalan tu sendiri. Jika kita peka, jalanraya yang dah berusia bertahun-tahun tidak lagi mempunyai cengkaman pada tayar kerana permukaannya yang dah memang licin. Batu yang asalnya tajam, lama ke lamaan pun boleh jadi tumpul. Apabila ditambah pula dengan faktor tayar kurang baik dan keadaan alignment kereta yang tak selari, maka kemalangan memang mudah berlaku.

Jadi, aku kurang bersetuju jika orang kata ada pihak yang mensabotaj lebuhraya berkenaan kerana setakat ni tiada langsung bukti dikemukakan kepada pihak berwajib, tiada rakaman atau saksi yang pernah melihat kejadian simbah minyak dan pihak polis serta MTD sendiri tak pernah menemui kejadian seperti tu berlaku di lebuhraya ni. 

Jika faktor minyak, kenapa bilangan kenderaan yang hilang kawalan sewaktu melalui kawasan tersebut yang terbabas adalah sangat kurang? Jika ada minyak di atas jalan, maka majoiriti kenderaan yang lalu pasti akan terbabas. Jadi, faktor utamanya ialah kecuaian pemandu itu sendiri dan faktor kenderaan mereka juga perlu diambil kira. 





03 November 2013

Tak berminat

Aku langsung tak berminat untuk mengulas tentang PRK Sg Limau yang akan berlangsung esok. Pada aku, sama saja. Jika PAS menang, apa perubahan yang mereka boleh lakukan? Menurunkan harga barang? Jika BN menang pula adakah harga barang boleh turun? Sama saja. Cuma mungkin, ada sebelah pihak yang mampu membawa kemajuan atas kapasiti satu 'kapal' dengan kerajaan pusat dan jika pihak yang satu lagi menang pula ia adalah sebagai satu mesej kepada pihak lain bahawa jangan suka-suka naikkan harga barang dan keperluan hidup rakyat. Itu saja. 

Kita dapat lihat bagaimana kotornya sistem demokrasi yang diamalkan selama ni. Bagaimana nak tegakkan Islam melalui cara yang kotor ni, kalau bukan kita juga terpaksa bergelumang dalam kekotoran tu? Apa pun, ini hanyalah pendapat peribadi aku saja. Bukan bermaksud untuk berdebat siapa benar, siapa salah kerana kebenaran tu tetap milik Dia jua.