05 November 2013

Lebuhraya Karak-KL

Betul ke di Lebuhraya Karak ada sabotaj daripada pihak trak tunda dengan menuang minyak atas jalan? Persoalan ni timbul kerana tiap kali hari hujan, pasti akan berlaku kemalangan.

Aku sendiri tak nafikan bab kemalangan diwaktu hari hujan tu sebab aku sendiri pernah mengalaminya sekali dan kemudian hampir dua kali pula terbabas. Ini semua berlaku lama dulu.

Jalan lurus pun kereta boleh tergelincir, inikan pula selekoh. Tapi waktu kemalangan dulu, memang tayar kereta aku sendiri yang botak. Sempat aku perhatikan meter waktu tu menunjukkan kelajuan antara 80-90km/h saja. Secara tiba-tiba tayar belakang kereta terseret (drift) menyebabkan kedudukan kereta berpusing 180 darjah kemudian menghentam divider tepi. Nasib baik hanya bumper belakang saja yang kemek.

Tak lama lepas tu aku lalu semula ditempat yang sama, pada kelajuan yang sama, dalam waktu hujan juga dan aku dapati memang betul apabila meter menghampiri 90km/h tayar mula hilang cengkaman. Mujur waktu tu aku dah bersedia. Pedal minyak dilepaskan dan kereta kembali normal. Silap aku waktu dulu ialah terkejut. Bila terkejut, aku jadi panik dan terus tekan brek sekuat hati. Menekan brek sebenarnya langsung tak membantu kerana hanya akan menyebabkan tayar terkunci dan tayar terus hilang cengkaman.

Aku juga ada perhatikan kereta lain yang lebih laju melalui kawasan yang sama tapi tak terbabas pun. Jadi, aku buat kesimpulan bahawa setiap kereta mempunyai tahap cengkaman yang berbeza. Selain daripada kelajuan, ia bergantung pada bunga tayar, jenis tayar, berat kereta dan alignment sesebuah kereta. Bukan semua orang mampu menggunakan tayar yang mahal dan berkualiti. Bukan semua orang mempunyai bunga tayar yang banyak dan bukan semua orang juga ambil peduli tentang alignmenti kereta masing-masing. Ini semua memainkan peranan dalam menyebabkan kereta hilang kawalan apabila melalui kawasan licin.

Tayar yang mahal biasanya mempunyai kualiti yang lebih baik sama ada dalam keadaan basah atau kering. Selain corak bunga tayar yang mampu menyingkirkan air sewaktu melalui jalan yang basah, bunga yang keras dan lembut pada sesebuah tayar juga memainkan peranan penting dalam menentukan tahap cengkaman atas jalan. Tayar yang lembut lebih mencengkam walaubagaimanapun bunganya cepat habis. Tayar yang keras pula lebih sesuai dalam keadaan lasak, kering dan tak berpasir selain bunganya lambat habis. Tayar yang tamat tempoh pula sebenarnya langsung tak berguna lagi kerana telah hilang sifat elastiknya. Walaupun bunganya masih banyak tetapi getahnya telah keras dan merekah.

Selain daripada semua faktor di atas, ada satu lagi faktor yang menyumbang kepada hilangnya kawalan sewaktu memandu dalam keadaan basah iaitu faktor jalan tu sendiri. Jika kita peka, jalanraya yang dah berusia bertahun-tahun tidak lagi mempunyai cengkaman pada tayar kerana permukaannya yang dah memang licin. Batu yang asalnya tajam, lama ke lamaan pun boleh jadi tumpul. Apabila ditambah pula dengan faktor tayar kurang baik dan keadaan alignment kereta yang tak selari, maka kemalangan memang mudah berlaku.

Jadi, aku kurang bersetuju jika orang kata ada pihak yang mensabotaj lebuhraya berkenaan kerana setakat ni tiada langsung bukti dikemukakan kepada pihak berwajib, tiada rakaman atau saksi yang pernah melihat kejadian simbah minyak dan pihak polis serta MTD sendiri tak pernah menemui kejadian seperti tu berlaku di lebuhraya ni. 

Jika faktor minyak, kenapa bilangan kenderaan yang hilang kawalan sewaktu melalui kawasan tersebut yang terbabas adalah sangat kurang? Jika ada minyak di atas jalan, maka majoiriti kenderaan yang lalu pasti akan terbabas. Jadi, faktor utamanya ialah kecuaian pemandu itu sendiri dan faktor kenderaan mereka juga perlu diambil kira. 





No comments:

Post a Comment