Dalam beberapa hari ni saja aku dah pergi ke lebih dua buah klinik dan berjumpa dengan ramai doktor. Separuh daripadanya adalah doktor muda.
Klinik pertama: Doktor muda.
Klinik pertama: Doktor muda.
Seperti biasa, dia periksa suhu badan, degupan jantung dan pernafasan. Akhir sekali tekak. Agak lama juga kerana dia tidak mesra dengan kanak-kanak. Jadi susah untuk mendapatkan kerjasama daripada anak aku yang meragam waktu dia nak tengok tekak.
Selesai periksa semua, dia tanya biasa ambil antibiotik apa dan aku pun menjawab tak tahulah. Mungkin boleh semak dalam rekod tambah aku lagi.
Dan dia terus berikan antibiotik yang sama jenis dan dos seperti antibiotik kali terakhir aku bawa anak aku ke klinik tu dalam 2-3 bulan lepas disamping ubat demam dan sakit tekak.
Dua hari berlalu demam anak aku masih belum menunjukkan tanda-tanda reda. Aku ke klinik lain pula dengan membawakan ubat daripada klinik pertama tadi untuk mendapatkan pendapat ke-2.
Klinik ke-2: Doktor muda.
Kami berbual agak lama sambil dia memeriksa anak aku. Doktor ini seperti teragak-agak apabila aku bertanya tentang sakit anak aku. Dia cadangkan ambil sample darah untuk diuji kalau-kalau ada tanda-tanda demam denggi. Aku tak bersetuju. Ambil darah anak kecik seperti ini bukanlah mudah, jika tak berhati-hati boleh tersalah cucuk dan budak makin meragam. Keduanya, aku bertanya adakah ada tanda-tanda anak aku terkena demam denggi dan dia sendiri tak dapat nak pastikan. Aku perasan, depan dia ada senarai sakit dan jenis-jenis ubat untuk sakit-sakit yang berkenaan. Dia juga 2-3 kali semak.
Selepas keluarkan ubat daripada klinik pertama tadi, dia berkata dos untuk antibiotik tersebut adalah tinggi dan antibiotik juga dari jenis yang kuat. 8ml sekali sehari membuatkan dia sedikit terkejut kenapa doktor terdahulu boleh terus berikan antibiotik dan jadual pengambilan macam ni.
Kemudian dia melihat ubat sakit tekak yang diberikan dan memaklumkan kepada aku bahawa ubat berkenaan mengandungi steroid. Aduh, macam-macam. Kemudian dia sarankan untuk berhenti berikan ubat sakit tekak berkenaan dan habiskan saja antibiotik dulu.
Pulang ke rumah aku terus berhentikan pengambilan kesemua ubat-ubatan yang diberikan oleh klinik pertama dan ke-2 tadi. Malamnya aku ke klinik ke-3 pula. Harapan aku dapat berjumpa dengan doktor yang lebih senior.
Klinik ke-3: Doktor senior.
Seorang doktor India, muka macam Mr Bean, tenang dan rileks. Selepas memeriksa keadaan anak aku, dia melayan soalan-soalan aku pula.
Katanya demam anak aku seperti viral fever iaitu demam yang disebabkan oleh virus. Dia kata tak perlu berikan apa-apa ubat dulu, hanya paracetamol. Aku bertanyakan tentang kemungkinan denggi, beliau menyangkal dengan rileks. Katanya kalau denggi, lebih baik jangan makan antibiotik kerana berkemungkinan besar boleh mendorong denggi semakin parah.
Aku bertanya dan dia terus menjawab. Nada suaranya sungguh bersahaja dan banyak kali nasihatkan aku supaya jangan terlalu bergantung pada ubat-ubatan. Beliau sarankan supaya anak aku terus diberi makan walaupun dalam kuantiti yang sedikit tapi kerap. Air kosong juga perlu sentiasa minum untuk menggantikan cecair badan yang hilang akiba dihidrasi.
Kami terus berbual dan sekali lagi aku bertanyakan mengikut pengalamannya adakah anak aku mempunya tanda-tanda atau simptom-simptom denggi. Beliau tersenyum dan berkata "Saya lihat anak awak macam tak demam saja. Jangan bimbang, ini bukan demam denggi".
Sedikit lega. Pulang ke rumah dan aku hanya berikan anak aku paracetamol dan nampak ada sedikit perubahan namun apabila hilang kesan ubat, demamnya kembali dan suhunya panas semula. Jam 2.30 pagi sekali lagi aku berikan ubat berkenaan kerana suhunya sangat panas. Lebih kurang jam 4 pagi, suhu turun seperti normal dan aku boleh lelapkan mata. Jam 6 pagi, badan masih tidak panas. Jam 9 pagi, panas kembali menyerang. Fed up jugak aku dengan suhu panas yang langsung tak mau mengalah ni.
Lepas mandikan dia pada pagi tadi, suhu badannya beransur normal dan kembali bertenaga selepas makan beberapa suap nasi bersama sup. Mandi memang berkesan dalam menurunkan suhu kanak-kanak tinggal sanggup dengan tidak saja sebab dia akan menjerit-jerit kesejukan. Jadi untuk cara yang tidak menyakitkan sangat, mulakan daripada kaki dan membawa ke atas.
Lepas mandi dan makan, anak aku seperti selsema. Aku anggap mungkin kesan selalu mandi agaknya. Tapi agak terkejut sikit sebab hingusnya bercampur darah. 3-4 kali hembus masih ada kesan darah yang keluar namun warnanya tidak seperti darah segar. Merah pekat kehitaman dan lama-kelamaan menjadi warna coklat dan hilang.
Keadaan anak aku lepas mandi memang macam orang tak demam dah, cumanya tidaklah aktif sangat. Mata masih kuyu sikit. Kami kemudian pergi ke klinik ke-4 di KL.
Klinik ke-4: Doktor senior.
Kali ni doktor Melayu dan wajahnya ceria saja. Sambil bercerita dia memeriksa keadaan anak aku. Dia seorang yang tidak mengejar masa dan suka berbual dengan pesakit berkenaan masalah yang dihadapi. Aku pun menceritakan tentang apa yang berlaku sebelum ni dan pagi tadi. Malas pula nak tunjuk ubat daripada klinik lain sebelum ni.
Menurut doktor ni, tonsil anak aku merah sedikit dan terdapat blocking pada hidungnya. Dia tak bercakap banyak tentang pendarahan pagi tadi kerana mungkin aku tidak bertanya lebih lanjut. Cuma katanya ia tidak serius. Biasalah sebab dihidrasi.
Aku bertanya juga tentang kemungkinan denggi, beliau menyanggah. Katanya kalau denggi nak jalan pun tak larat, sendi-sendi semuanya sakit, kepala pening teruk, mata juga tak boleh lihat cahaya yang terang. Anak aku tiada simptom-simptom denggi. Beliau juga tidak memberikan ubat demam kerana telah diberikan oleh klinik sebelum ni. Cuma dia berikan antibiotik baru. Kali ni 5ml dan 3 kali sehari. Berbeza betul dengan klinik pertama tadi.
Dia memang mesra walaupun cakapnya laju dan lepas. Pesakit boleh bertanya apa saja dan dia akan berikan jawapan mengikut pengalamannya. Mengingatkan aku tentang seorang doktor pakar di HKL satu masa dulu. Anak aku pernah ditahan di wad kanak-kanak kerana demam panas dan sawan. Sewaktu doktor-doktor lain tak mampu memberikan jawapan yang memuaskan, seorang doktor pakar lelaki ni menjelaskan keadaan anak aku dengan baik sekali. Dia tak membuatkan aku dan isteri risau. Pendapatnya jelas dan penerangannya terang. Tidak teragak-agak dan tidak kelihatan seperti keliru.
Pulang ke rumah, anak aku yang tidur dalam kereta tadi rupanya panas kembali. Lepas mandikan dia, berikan makan 4-5 suap bersama sup dan berikan ubat. Terbaring saja lemah. Tak sampai sejam bangun berjalan. Berpeluh-peluh. Waktu dia baring tu aku ada suluh ke dalam hidung dia dan nampaklah blocking yang doktor tadi maksudkan. Ia bukan hingus tapi seperti sesuatu membengkak di dalam hidung yang membuatkan saluran udara di sebelah kiri hidungnya tersumbat. Sebab tu kalau tidur bunyi macam orang tua berdengkur.
Setakat ni, tanda-tanda pemulihan semakin jelas dan punca dia sakit pun telah diketahui. Jadi, teruskan makan ubat sampai habis dan tengoklah macam mana nanti. Tadi aku ada semak kat google berkenaan jenis antibiotik yang diberikan oleh klinik ni dan aku dapati memang antibiotik ni biasa diberikan untuk merawat tonsil yang bengkak.
Kadang-kala aku terfikir, doktor ni pun macam bomoh jugak. Kalau muda-muda, pengalaman kurang leceh juga pesakit dibuatnya.
Bomoh pun kalau baru jadi bomoh macam-macam idea keluar tapi pengalaman tetaplah penting. Ada orang kata pengalaman merupakan guru yang paling baik.
Mungkin saja.....
Ubat (baca drugs), seperti juga ayat masing-masing tidak memberi bekas. Yang menyembuhkan tetap juga Dia dan sebagai manusia, tugas kita adalah untuk mencari jalan ke arah kesembuhan selain daripada tu adalah urusan Dia....
No comments:
Post a Comment