Showing posts with label rusuhan. Show all posts
Showing posts with label rusuhan. Show all posts

30 April 2012

BERSIH

Topik berkenaan BERSIH 3.0 masih lagi hangat diperkatakan. Pihak pemerintah dan penganjur masing-masing sibuk menunding jari mencari kesalahan masing-masing. Buang masa saja.

Ini semua hanya untuk melengah-lengahkan 8 tuntutan utama yang dibuat. Cukuplah bukti yang telah dilihat pihak mana yang mulakan keganasan, pihak mana yang mulakan provokasi dan pelbagai aksi seperti manusia hilang pertimbangan. 

Dalam pada itu, aku melihat dalam status FB ramai juga rakan-rakan yang menempelak perhimpunan ni. Kononnya boleh mencetus kepada keganasan yang teruk, perbalahan sesama Melayu dan Islam dan sebagainya. Mereka bimbang jika ini boleh menggugat keselamatan keluarga mereka dan anak-anak. Pada mereka, tak mengapalah siapa pun nak perintah negara, nak rembat duit negara, nak rasuah berjuta-juta asalkan mereka sekeluarga hidup aman damai. Inilah orang yang pentingkan diri tapi tak sedar-sedar lagi. Bila orang lain pentingkan diri, dia marah.

Apa yang kamu risaukan sangat ni? Kamu cuma risaukan kesenangan dan harta yang kamu perolehi sekarang ni terganggu-gugat dek BERSIH 3.0? Risaukan keselamatan? Apa yang menggugat keselamatan kamu? Bagaimana jika kamu dirompak, adakah kamu mempertahankan diri atau membiarkan saja? Manusia lain tak semua seperti kamu. Mereka telah sedar hak-hak mereka telah 'dirompak' oleh pihak yang berkepentingan, salahkah mereka mempertahankannya?  

Harta, keselamatan, kemewahan dan kedudukan yang kamu perolehi datang daripada mana? Siapa yang memberi? Kalau kamu seorang yang berimankan Yang Esa maka apa perlu kamu risau? Dia yang beri, Dia juga yang berkuasa untuk menarik balik pada bila-bila masa yang Dia kehendaki. Tapi kalau kamu berimankan wang, pangkat, harta dan kedudukan maka perlulah kamu berasa sangat risau. Risau jika orang tidak suka kamu, maka boleh jadi rezeki kamu jadi sikit, susah naik pangkat, berasa rendah diri dan sebagainya.

Nyata ramai yang mengaku beriman kepadaNYA tapi tak pernah sekalipun yakin semua tu datang daripadaNYA. Sibuk bercerita tentang kehidupan begitu begini, tapi hakikatnya pentingkan diri sendiri juga.

Demontrasi boleh menjatuhkan sebuah kerajaan. Itu tidak baik. Bagaimana pula dengan rasuah? Rasuah atau korupsi belum pernah jatuhkan kerajaan? Atau lebih tepatnya sebuah negara? Adakah rasuah baik?

Apa yang sedang dilakukan oleh pihak yang berkepentingan dalam politik ialah menakut-nakutkan orang ramai dengan isu keganasan, huru-hara dan pergaduhan sesama sendiri agar semua pihak berkompromi dengan rasuah dan korupsi yang mereka amalkan. Pendeknya begini, "Jika kamu mahu banteras rasuah, korupsi, salah guna kuasa, inilah yang kamu akan dapat..., rusuhan kaum, peperangan dan sebagainya. Amacam, beranikah kamu hadapi semua ni?".

Tak setuju dengan beberapa kerat pemimpin negara bukan bermakna membenci negara ni. Kerajaan bertukar ganti tapi negara tetap satu juga. Kenapa sempitkan pemikiran dengan berkata, "kalau tak setuju dengan dasar kerajaan perlu keluar daripada negara ni?" Negara ni bapak kau yang punyakah?

Orang Melayu paling mudah ditakut-takutkan sebegini. Mereka dengan mudah menyerah kalah kepada kezaliman. Bagi mereka, cukuplah apa yang ada. Siapa nak kebas harta negara, kebaslah. Janji kami dan keluarga kami hidup aman bahagia. Soalnya aman bahagia sampai bila? Esok zaman kau dah di alam barzakh, anak-anak pula hidup merempat. Tanggung hutang sana sini, yuran pengajian dan kos sara hidup meningkat, kerja susah nak dapat, dan sebagainya. Inikah bahagia?

Bagi aku, mereka yang terlibat dalam BERSIH 3.0 adalah mereka yang berani mempertahankan hak diri mereka sendiri. Mereka juga sayangkan negara dan keluarga mereka sebab tulah mereka bertindak membantah apabila kepincangan jelas berlaku. Bila warga asing diberi kerakyatan, sistem pilihanraya yang kotor dan jijik digunapakai siapa yang suka? Janganlah perasan semua pemimpin sedia ada ni baik sangat. Mereka akan gunakan apa cara sekalipun untuk mempertahankan kedudukan mereka. Kamu ingat mereka bersedia untuk dihadapkan ke muka pengadilan apabila kalah PRU-13 nanti? Jangan harap! Oleh yang demikian, mereka perlu menang. Kalah bererti mati bagi mereka.

Jangan cemarkan konsep bersyukur dengan keadaan seperti kita harus bersyukur dengan gelaja rasuah yang ada. "Bersyukurlah kita semua hidup aman damai sekarang adalah kerana amalan korupsi dan salah guna kuasa oleh beberapa individu dalam sistem pemerintahan negara". Inikah yang dipanggil bersyukur? Malulah dengan bangsa lain yang tak pernah solat subuh. Bercakap pasal Islam berdegar-degar, tapi konsep syukur pun tersasul.

Siapa pun tak inginkan keganasan, pergaduhan dan rusuhan. Tapi hak mesti dipertahankan. Jangan mudah menyerah kalah dengan membiarkan kepala dipijak. Hormat pada diri sendiri dengan menunjukkan ketegasan ke atas hak masing-masing, barulah orang lain akan hormat pada kita. Bila diri pun lemau dan  mudah menyerah kalah, siapa yang nak hormat? Lagi orang pijak ada. Jika ditakdirkan mati dalam mempertahankan hak, itu dikira syahid walaupun mempertahankan selipar.

Nampak memang macam bodoh. Buat apalah nak gaduh-gaduh pasal selipar? Boleh saja beli yang lain. Tapi itulah hakikat dalam beragama. Nampak kecil tapi impaknya sangat besar. Nampak remeh tapi ia tetap diambil kira.

Paling ramai Melayu susah nak faham ialah, BERSIH 3.0 bukanlah untuk PKR, DAP, PAS ataupun sesiapa. Ia menuntut sebuah pilihanraya yang bebas daripasa sebarang unsur penipuan dan manipulasi pihak tertentu dalam memastikan kemenangan. Jika satu hari ditakdirkan pihak Pakatan menjadi pemerintah dan menipu dalam pilihanraya, memang tak mustahil rakyat akan berhimpun untuk BERSIH juga.

Apa yang rakyat mahukan adalah keadilan bagi semua pihak. Ini yang dinafikan oleh pihak yang memerintah. Disebalik rasa senang, aman dan bahagia yang kita perolehi sekarang, tersembunyi korupsi, salah guna kuasa dan rasuah yang amat teruk. Adakah ia akan sembuh dengan sendirinya atau lebih bertambah parah? Bagaimana dengan nasib anak-anak kita yang bakal membesar dalam suasana seperti ni? Apabila segalanya tentang korupsi, rasuah dan salah guna kuasa, sampai bila negara akan bertahan?

Apabila kos sara hidup meningkat adakah jenayah akan menurun? Demi sesuap nasi, manusia boleh hilang pertimbangan dan melakukan jenayah. Selamatkah kita dan keluarga apabila jenayah semakin meningkat di sana sini? Jika sebuah keluarga mempunyai anak yang ramai, adakah ibu bapa tak terbeban dengan kos yuran pengajian anak-anak di peringkat pengajian tinggi? Wajarkan kita lepaskan beban hutang kepada mereka yang belajar padahal mereka belum tentu akan mendapat pekerjaan pada masa depan?

Salahkah menyediakan pendidikan percuma sehingga ke ijazah pertama agar semua dapat merasa nikmat belajar di menara gading? Mengapa disekat? Adakah atas alasan kita negara membangun? Hakikat sebenar wang negara disalurkan ke poket pemimpin-pemimpin yang hanya berlagak baik. Mereka lebih mengutamakan perut mereka sendiri dan keluarga mereka. Dana yang sepatutnya digunakan untuk tujuan tertentu disalahguna untuk membeli keperluan keluarga mereka. Inikah yang kita mahu? Bila wang rundingan untuk membeli alatan keperluan ketenteraan lebih mahal daripada kos alatan tu sendiri, apa cerita?

Kita adalah sebuah negara yang besar dan mempunyai sumber bahan mentah yang lebih banyak daripada Singapura, tapi kenapa pendapatan rakyat negara kita jauh lebih rendah berbanding dengan rakyat Singapura?

Ramai orang tak kisah hidup dalam keadaan sederhana tapi membiarkan segolongan pemimpin membolot kekayaan negara dan membiarkan kekayaan tersebut berlegar-legar dikalangan keluarga dan kawan-kawan mereka saja adalah sangat tak patut!

Cuba lihat denga hati yang terbuka. Wajarkah tindakan mereka?
















08 October 2011

Akhir Zaman

Agak lama aku mengikut sebuah blog yang mana memaparkan kisah-kisah yang kebanyakannya disingkat melalui tabir alam ghaib. Kemuncaknya pada hari ini apabila penutupnya telah tiba.

Agak terkejut juga kerana kisah kali ini berkait rapat dengan negara Malaysia yang tercinta. Disebalik kekhuatiran Barat dan sebilangan orang-orang kita yang percaya bahawa tahun 2012 membawa bencana besar, kisah kali ni juga tak kurang hebatnya apabila menceritakan detik-detika kehancuran/kejatuhan negara ini.

Mengikut penulis blog tersebut, huru-hara akan bermula sekitar tahun 2017 dan terus memuncak sehingga tahun 2023. Mulanya kekacauan adalah di negeri Selangor kemudian ke Kuala Lumpur dan seterusnya ke Pulau Pinang. Walaupun tidak dinyatakan secara jelas, namun ia memang mengena parti-parti yang sedia ada.

Isu ni agak sensitif kerana melibatkan agama, bangsa dan negara. Jadi sebagai bacaan ringan-ringan aku fikir tiada salahnya aku berkongsi dalam blog ni. Bermula dengan pergaduhan sesama sendiri, iaitu bangsa Melayu. Dikatakan pihak yang menjadi kambing hitam adalah pihak DAP dan pihak yang merusuh pula terdiri daripada pihak PKR.

Tidak pula dinyatakan pihak yang memulakan api perbalahan. Dalang yang terlibat menyemarakkan api permusuhan ini pula ialah Mat Sabu.

Ok, jangan marah dulu. Seperti yang aku kata ini adalah hasil daripada pihak yang membuat kajian dengan melihat disebalik tabir melalui alam ghaib. Ini adalah hasil mereka. Jangan marah kerana mereka tak suruh pun percaya hasil kajian mereka ni.

Pendapat aku begini. Memang kita sekarang diambang pergolakan politk. Masing-masingi ingin menunjukkan merekalah juara, pemenang dan berkelayakan untuk memimpin. Dalam masa yang sama ada juga pihak mengatakan sistem demokrasi ini adalah amalan Yahudi untuk menjatuhkan Islam. Zaman nabi dulu mana ada sistem demokrasi macam ni. Nabi tak berparti pun.

Pendapat ini adalah betul. Tapi dengan keadaan sekeliling yang mempengaruhi hidup kita sekarang bagaimana kita nak mengelak daripada berpolitk tanpa berparti? Apa yang kurang tepat ialah bila berparti mereka cenderung untuk memburuk-burukkan orang daripada parti lawan. Memang ini tiada dalam ajaran Islam.

Aku tak pasti Arab Saudi ada parti atau tak. Tapi mereka diperintah oleh Raja mereka sendiri. Sistem sebegini juga ada baik dan ada buruk. Tapi zaman nabi pun mana ada Raja. Pihak yang mendakwa sistem demokrasi bukan amalan Islam juga ada betulnya. Istilah demokrasi memang tiada dalam mana-mana kitab pun. Yang ada sistem syura.

Kalau cakap lebih-lebih nanti ada pula yang tanya adakah sistem Islam zaman nabi tak sesuai untuk digunapakai pada zaman ini? Letih la nak jawab. Jadi biarkan saja mereka dengan ideologi mereka.

Berbalik kepada kisah huru-hara yang akan berlaku di negara ni tak lama lagi, menurut penulis blog tersebut, ia terjadi kerana sistem politik yang kita amalkan sekarang. Aku berpendapat, sistem tak ada kena mengena pun. Yang tak betul, orangnya atau ahlinya.

Politik memang busuk dan kotor. Penyebabnya ialah ahli politik itu sendiri sambil dibantu oleh para penyokong. Pengikut menjadi terlalu taksub, fanatik dan akhirnya munafik. Tuduh-menuduh terus berlaku. Ayat Al-Quran terus disalah guna dan bermacam lagi perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seseorang yang memegang kalimah tauhid.

Tentang blog berkenaan, aku tak bersetuju dan aku tak pula membenarkan. Persoalannya melihat melalui alam yang satu lagi bererti melihat melalui alam jin. Bagaimana nak pastikan mereka yang terlibat ini tak diperdaya oleh pandangan dan permainan jin? Sedangkan sejarah pernah mencatatkan seorang abid yang beribadat beratus tahun sekalipun dengan mudah boleh tergelincir imannya. Iblis sendiri adalah bekas ahli abid dan berilmu tinggi.

Mungkin juga kita tak pernah masuk dan melalui alam jin tak tahu. Tapi kita perlu tahu, masa depan tu milik siapa dan tentulah hanya si Pemilik saja yang tahu. Kita bukan nabi yang dapat melihat jauh kehadapan melangkaui zamannya. Bukan, kita bukan insan semulia baginda SAW. Kita adalah umatnya dan baginda SAW amat sayangkan kita umatnya.

Jika mampu meneropong jauh ke depan, sila mencuba teropong 6D Sports TOTO. Kalau dapat, sedekahkan saja. Ni untuk test power betul ke tak betul pandangan yang dibuka untuk melihat ke masa depan. Berkenaan dengan Mat Sabu, aku tak boleh nak cakap apa-apa sebab aku tak kenal dia, tak pernah bercakap dengan dia, tak pernah bersalam pun dengan dia. Bukan tu saja, aku pun tak ada pengetahuan yang lebih tentang diri dia tu. Yang aku tau, dia biasa-biasa saja.

Terpulanglah. Sesungguhnya kita bertanggungjawab ke atas apa yang kita lakukan. Secara peribadi aku pernah meminta seorang yang mempunyai kebolehan untuk meninjau-ninjau tentang penulis blog ini dan ini komennya: "Mengarut...., banyak sangat bercampur dengan jin". Itu saja. Tak tahulah apa yang mengarutnya. Pandai-pandailah kita memilih jalan kita sendiri kerana kita akan bertanggungjawab ke atas apa yang kita kata dan apa yang kita lakukan akhirnya.

Sekian dulu.

*Aku tak selesa menulis dalam kereta sebenarnya.