30 April 2012

BERSIH

Topik berkenaan BERSIH 3.0 masih lagi hangat diperkatakan. Pihak pemerintah dan penganjur masing-masing sibuk menunding jari mencari kesalahan masing-masing. Buang masa saja.

Ini semua hanya untuk melengah-lengahkan 8 tuntutan utama yang dibuat. Cukuplah bukti yang telah dilihat pihak mana yang mulakan keganasan, pihak mana yang mulakan provokasi dan pelbagai aksi seperti manusia hilang pertimbangan. 

Dalam pada itu, aku melihat dalam status FB ramai juga rakan-rakan yang menempelak perhimpunan ni. Kononnya boleh mencetus kepada keganasan yang teruk, perbalahan sesama Melayu dan Islam dan sebagainya. Mereka bimbang jika ini boleh menggugat keselamatan keluarga mereka dan anak-anak. Pada mereka, tak mengapalah siapa pun nak perintah negara, nak rembat duit negara, nak rasuah berjuta-juta asalkan mereka sekeluarga hidup aman damai. Inilah orang yang pentingkan diri tapi tak sedar-sedar lagi. Bila orang lain pentingkan diri, dia marah.

Apa yang kamu risaukan sangat ni? Kamu cuma risaukan kesenangan dan harta yang kamu perolehi sekarang ni terganggu-gugat dek BERSIH 3.0? Risaukan keselamatan? Apa yang menggugat keselamatan kamu? Bagaimana jika kamu dirompak, adakah kamu mempertahankan diri atau membiarkan saja? Manusia lain tak semua seperti kamu. Mereka telah sedar hak-hak mereka telah 'dirompak' oleh pihak yang berkepentingan, salahkah mereka mempertahankannya?  

Harta, keselamatan, kemewahan dan kedudukan yang kamu perolehi datang daripada mana? Siapa yang memberi? Kalau kamu seorang yang berimankan Yang Esa maka apa perlu kamu risau? Dia yang beri, Dia juga yang berkuasa untuk menarik balik pada bila-bila masa yang Dia kehendaki. Tapi kalau kamu berimankan wang, pangkat, harta dan kedudukan maka perlulah kamu berasa sangat risau. Risau jika orang tidak suka kamu, maka boleh jadi rezeki kamu jadi sikit, susah naik pangkat, berasa rendah diri dan sebagainya.

Nyata ramai yang mengaku beriman kepadaNYA tapi tak pernah sekalipun yakin semua tu datang daripadaNYA. Sibuk bercerita tentang kehidupan begitu begini, tapi hakikatnya pentingkan diri sendiri juga.

Demontrasi boleh menjatuhkan sebuah kerajaan. Itu tidak baik. Bagaimana pula dengan rasuah? Rasuah atau korupsi belum pernah jatuhkan kerajaan? Atau lebih tepatnya sebuah negara? Adakah rasuah baik?

Apa yang sedang dilakukan oleh pihak yang berkepentingan dalam politik ialah menakut-nakutkan orang ramai dengan isu keganasan, huru-hara dan pergaduhan sesama sendiri agar semua pihak berkompromi dengan rasuah dan korupsi yang mereka amalkan. Pendeknya begini, "Jika kamu mahu banteras rasuah, korupsi, salah guna kuasa, inilah yang kamu akan dapat..., rusuhan kaum, peperangan dan sebagainya. Amacam, beranikah kamu hadapi semua ni?".

Tak setuju dengan beberapa kerat pemimpin negara bukan bermakna membenci negara ni. Kerajaan bertukar ganti tapi negara tetap satu juga. Kenapa sempitkan pemikiran dengan berkata, "kalau tak setuju dengan dasar kerajaan perlu keluar daripada negara ni?" Negara ni bapak kau yang punyakah?

Orang Melayu paling mudah ditakut-takutkan sebegini. Mereka dengan mudah menyerah kalah kepada kezaliman. Bagi mereka, cukuplah apa yang ada. Siapa nak kebas harta negara, kebaslah. Janji kami dan keluarga kami hidup aman bahagia. Soalnya aman bahagia sampai bila? Esok zaman kau dah di alam barzakh, anak-anak pula hidup merempat. Tanggung hutang sana sini, yuran pengajian dan kos sara hidup meningkat, kerja susah nak dapat, dan sebagainya. Inikah bahagia?

Bagi aku, mereka yang terlibat dalam BERSIH 3.0 adalah mereka yang berani mempertahankan hak diri mereka sendiri. Mereka juga sayangkan negara dan keluarga mereka sebab tulah mereka bertindak membantah apabila kepincangan jelas berlaku. Bila warga asing diberi kerakyatan, sistem pilihanraya yang kotor dan jijik digunapakai siapa yang suka? Janganlah perasan semua pemimpin sedia ada ni baik sangat. Mereka akan gunakan apa cara sekalipun untuk mempertahankan kedudukan mereka. Kamu ingat mereka bersedia untuk dihadapkan ke muka pengadilan apabila kalah PRU-13 nanti? Jangan harap! Oleh yang demikian, mereka perlu menang. Kalah bererti mati bagi mereka.

Jangan cemarkan konsep bersyukur dengan keadaan seperti kita harus bersyukur dengan gelaja rasuah yang ada. "Bersyukurlah kita semua hidup aman damai sekarang adalah kerana amalan korupsi dan salah guna kuasa oleh beberapa individu dalam sistem pemerintahan negara". Inikah yang dipanggil bersyukur? Malulah dengan bangsa lain yang tak pernah solat subuh. Bercakap pasal Islam berdegar-degar, tapi konsep syukur pun tersasul.

Siapa pun tak inginkan keganasan, pergaduhan dan rusuhan. Tapi hak mesti dipertahankan. Jangan mudah menyerah kalah dengan membiarkan kepala dipijak. Hormat pada diri sendiri dengan menunjukkan ketegasan ke atas hak masing-masing, barulah orang lain akan hormat pada kita. Bila diri pun lemau dan  mudah menyerah kalah, siapa yang nak hormat? Lagi orang pijak ada. Jika ditakdirkan mati dalam mempertahankan hak, itu dikira syahid walaupun mempertahankan selipar.

Nampak memang macam bodoh. Buat apalah nak gaduh-gaduh pasal selipar? Boleh saja beli yang lain. Tapi itulah hakikat dalam beragama. Nampak kecil tapi impaknya sangat besar. Nampak remeh tapi ia tetap diambil kira.

Paling ramai Melayu susah nak faham ialah, BERSIH 3.0 bukanlah untuk PKR, DAP, PAS ataupun sesiapa. Ia menuntut sebuah pilihanraya yang bebas daripasa sebarang unsur penipuan dan manipulasi pihak tertentu dalam memastikan kemenangan. Jika satu hari ditakdirkan pihak Pakatan menjadi pemerintah dan menipu dalam pilihanraya, memang tak mustahil rakyat akan berhimpun untuk BERSIH juga.

Apa yang rakyat mahukan adalah keadilan bagi semua pihak. Ini yang dinafikan oleh pihak yang memerintah. Disebalik rasa senang, aman dan bahagia yang kita perolehi sekarang, tersembunyi korupsi, salah guna kuasa dan rasuah yang amat teruk. Adakah ia akan sembuh dengan sendirinya atau lebih bertambah parah? Bagaimana dengan nasib anak-anak kita yang bakal membesar dalam suasana seperti ni? Apabila segalanya tentang korupsi, rasuah dan salah guna kuasa, sampai bila negara akan bertahan?

Apabila kos sara hidup meningkat adakah jenayah akan menurun? Demi sesuap nasi, manusia boleh hilang pertimbangan dan melakukan jenayah. Selamatkah kita dan keluarga apabila jenayah semakin meningkat di sana sini? Jika sebuah keluarga mempunyai anak yang ramai, adakah ibu bapa tak terbeban dengan kos yuran pengajian anak-anak di peringkat pengajian tinggi? Wajarkan kita lepaskan beban hutang kepada mereka yang belajar padahal mereka belum tentu akan mendapat pekerjaan pada masa depan?

Salahkah menyediakan pendidikan percuma sehingga ke ijazah pertama agar semua dapat merasa nikmat belajar di menara gading? Mengapa disekat? Adakah atas alasan kita negara membangun? Hakikat sebenar wang negara disalurkan ke poket pemimpin-pemimpin yang hanya berlagak baik. Mereka lebih mengutamakan perut mereka sendiri dan keluarga mereka. Dana yang sepatutnya digunakan untuk tujuan tertentu disalahguna untuk membeli keperluan keluarga mereka. Inikah yang kita mahu? Bila wang rundingan untuk membeli alatan keperluan ketenteraan lebih mahal daripada kos alatan tu sendiri, apa cerita?

Kita adalah sebuah negara yang besar dan mempunyai sumber bahan mentah yang lebih banyak daripada Singapura, tapi kenapa pendapatan rakyat negara kita jauh lebih rendah berbanding dengan rakyat Singapura?

Ramai orang tak kisah hidup dalam keadaan sederhana tapi membiarkan segolongan pemimpin membolot kekayaan negara dan membiarkan kekayaan tersebut berlegar-legar dikalangan keluarga dan kawan-kawan mereka saja adalah sangat tak patut!

Cuba lihat denga hati yang terbuka. Wajarkah tindakan mereka?
















19 April 2012

PTPTN 2

Sayang sekali ada juga di antara rakan-rakan aku yang masih berfikiran bahawa PTPTN tak wajar dihapuskan. Sayang kerana mereka sendiri tak faham. Seperti yang aku kata, bila mansuh PTPTN tiadalah yuran pengajian di IPT. Sekiranya ada, maka kerajaan terpaksa memberi biasiswa. Negara kafir boleh buat, negara kita yang mengaku Islam tak boleh buat? Sebab apa? Sebab pemimpin kat atas sana lebih mengutamakan berapa banyak duit yang mereka boleh rembat sewaktu pangkat dan kuasa masih ada.

Lihat saja siapa pemimpin dan bekas pemimpin kita yang mana hidup serba sederhana? Hampir tiada. Semuanya kaya-raya hasil daripada kebodohan rakyat yang disogokkan dengan pelbagai teori karut-marut. Teori yang kononnya negara muflis jika tanggung yuran pelajar, muflis kerana beri subsidi dan macam-macam lagi. Berjuta malah berbilion hasil negara dirembat oleh mereka (pemimpin) tak pula kita muflis? Kos perunding sebuah kapal selam lebih mahal daripada harga kos kapal selam? Dana pinjaman ternak lembu digunakan untuk membeli hartanah dan kenderaan, melancong serta bayar kad kredit. Ada disuruh bayar balik? Sewaktu siasatan dilakukan, adakah aset-aset mereka yang berkenaan dibekukan? Tiada dan tiada. Sebaliknya mereka yang terlibat bertungkus-lumus melupuskan aset yang telah dibeli agar kelihatan seperti tidak ada apa-apa kesalahan serius yang berlaku. Inilah jenis orang yang kita angkat sebagai pemimpin.

Ada orang solat siang malam tapi masih buta. Sama seperti buta hati tak mengenal Tuhan, sembah ikut dan saja. Bila tanya kenapa solat? Jawabnya ibubapa pun solat, ikut sajalah. Kalau begitu apa bezanya dengan si apek yang menyembah topekong? Apek melakukan syirik yang jelas nampak /kelihatan manakala mereka yang solat tapi tak kenal Tuhan melakukan syirik yang tak nampak. Bagaimana pula ulama wahabi boleh berkata syirik tak nampak (halus) tak mengapa dan diampunkan sedangkan nabi pernah berkata tak diterima amalan seseorang yang ada syirik walau sebesar zarah sekalipun? Syirik apa pulak yang sebesar zarah tu? Syirik micro?

Masyarakat kita terlalu takut untuk berubah, terutama masyarakat Melayu kampung. Mereka cukup takut nikmat yang mereka ada sekarang hilang. Dahulu mereka hidup susah, dan kini dikurnia rezeki lebih jadi mereka bimbang jika semua tu ditarik balik. Mereka tahu bahawa Tuhanlah yang mengurniakan rezeki tapi mereka cukup bimbang jika pemerintah sekat rezeki mereka. Seolah-olah rezeki daripada Tuhan tu berupaya disekat oleh orang lain sepertinya jika Tuhan nak beri rezeki tapi disekat oleh orang lain, maka rezeki tu takkan sampai. Disogok pula dengan isu bersyukurlah dengan apa yang ada.

Jangan cemarkan isilah bersyukur tu seperti bodoh atau bahalul. Jika hak seseorang diambil, maka wajib baginya sebagai seorang Islam mempertahankan haknya, bukan buat bodoh saja. Bersyukur pada Tuhan bukan bererti berterima kasih pada mereka yang zalim. Di mana hak seorang kanak-kanak yang perlukan kualiti kehidupan yang lebih baik sekiranya pemimpin sibuk berlumba-lumba menghimpunkan harta untuk diri dan keluarga? Di mana pula hak seorang pelajar untuk mendapatkan pendidikan secara percuma di negara tanah tumpah darahnya? Penjajah yang menjajah pun pernah memberikan pendidikan percuma kepada bangsa kita, tapi kita? Sejarah dah ada depan mata pun masih tak nampak. Apa makna Penang Free School? Apa tujuan sekolah ni ditubuhkan? Siapa yang tubuhkan? Melayukah?

Bila kezaliman nampak seperti satu kemuliaan maka zaman ni betul-betul telah hampir kepenghujungnya. Tambahan pula si zalim diangkat menjadi pemimpin, lagilah huru-hara. Adakah aku menentang kerajaan? Atau aku sekadar tidak bersetuju dengan dasar yang mereka laksanakan?

Masa berlalu pantas. Kita yang hidup dizaman ni merasakan kita lebih Islamik daripada orang-orang sebelum kita. Hakikatnya Islam yang dianuti oleh kebanyakan masyarakat kini hanyalah Islam ikut-ikutan sahaja. Kalau mereka mengenali siapa Tuhan mereka, tentu mereka tak berani melakukan seperti apa yang mereka telah lakukan. Fitnah orang siang malam, aibkan orang tu sekali dengan keluarganya. Bila mahu dibicarakan, tak cukup pula bukti. Tapi Melayu terus percaya. Apalah ertinya solat 5 waktu tu kalau hati masih buta? Apalah ertinya menyembah jika tak kenal langsung siapa yang disembah?

Bila pemikiran telah lama dijajah oleh cara hidup yang mengikut apa saja kehendak orang lain, memanglah susah untuk keluar daripada kebiasaan tu. Ramai yang melihat dahulu mereka hidup susah dan kini mereka telah senang sedikit maka itu satu kejayaan. Tahukah kita apa pula nasib anak cucu kita di masa depan nanti? Apa yang kumpulan pelajar di Dataran Merdeka tu tuntut adalah untuk kesenangan anak cucu kita juga, mengapa bodoh sangat masih tak nampak lagi?

Negara Malaysia secara teorinya sepatutnya kelihatan lebih kaya daripada Singapura, tapi mana kekayaan negara kita? Air, balak, petroleum, kelapa sawit, getah, semuanya tiada di Singapura tapi mereka di sana lebih maju daripada kita. Kenapa? Mereka bijak menguruskan kewangan negara mereka dan pemimpin kita pula bijak menyembunyikan kegiatan mereka sepertinya sambil menyelam minum air.

Jika agama dijadikan candu (konsep bersyukur kepada kezaliman) maka memang selamanya masyarakat akan hidup dalam kebodohan dan ditipu. Jika pemimpin benar-benar sayangkan Melayu dan ketuanannya mereka patut sedar satu hari nanti kebenaran akan bangkit jua mengatasi kebatilan. Biar 10, 20, atau 30 tahun lagi kebenaran tetap mengatasi segala-galanya. Anwar Ibrahim difitnah sejak 1998, dimalukan sehingga sebegitu rupa, siapa sangka beliau masih lagi bertahan dan popular sehingga kini? Siang malam, 7 hari seminggu, 365 hari setahun selama 14 tahun, semangatnya masih kental dan tak pernah berputus asa.

Tak perlu timbulkan soal ada pelajar yang malas nak belajar dan tak perlu tanggung pelajar jenis ni. Cuba ingat semula sebelum bersekolah, kita semua juga bodoh, buta huruf dan tak tahu apa-apa. Tapi sekarang bagaimana? Siapa kamu untuk menghukum seorang yang bodoh dan pemalas tak boleh berubah apabila diberi peluang untuk belajar? PTPTN nampak seperti membantu tapi sebenarnya satu perniagaan yang menguntungkan. Ia cukup mudah. Kamu pinjam RM10,000 dan kamu bayar semula RM15,000. Apakah lebih RM5,000 tu? Dalam Islam yang sebenar, riba adalah haram tapi dalam Islam sekarang riba ditukar nama kepada keuntungan, faedah, kos pentadbiran, dan sebagainya. Ini adalah contoh riba pintu belakang yang jauh lebih zalim kerana menipu.

Letaklah apa nama sekali pun, haram tetap haram. Tapi itulah yang masyarakat Melayu kita nak. Itulah yang masyarakat Melayu kita fikirkan betul dan adil. Bila nak buat pinjaman semuanya menyerbu bank yang menawarkan pinjaman berlandaskan syarak. Jika benar-benar ikut syarak, tentu saja ia tak membebankan peminjam. Bila pinjam RM10,000 tapi bayar RM15,000 tak membebankankah? Belum nampak lagi?

Andaikan seseorang membuat pinjaman peribadi sebanyak RM20,000 selama 20 tahun dengan caj pentadbiran (faedah) 5% setahun. Selepas genap 20 tahun maka jumlah keseluruhan bayaran balik akan menjadi RM40,000. Bank yang menawarkan pinjaman ini mendakwa sistem ini mengikut syarak kerana sewaktu meminjam peminjam telah bersetuju (akad) untuk membayar mengikut jumlah yang ditetapkan. Apa akan jadi jika selepas 4 tahun buat pinjaman, peminjam ingin menlangsaikan terus pinjam secara 'lump sum'? Jika 5% tadi tak dipanggil faedah, macam mana pula mereka nak kira berapa jumlah yang perlu dibayar? Takkan nam masukkan juga jumlah keseluruhan RM40,000? Mesti ada rebet, bukan? Jadi rebet tu dikira bagaimana pun kalau bukan ditolak dengan 'interest'? Pusinglah kot mana pun, pakailah kata ganti nama apa pun, ia tetap riba dan riba tetap haram.

Jadi agak kelakar bila orang yang rasa dirinya faham agama, mengikut ajaran agama, menyokong PTPTN. Mereka kelihatan seperti badut yang terpinga-pinga tak tau apa pun. Malah ada yang jadi lembu, mengikut saja ke mana saja dia ditarik.






17 April 2012

PTPTN

Golongan yang menentang pemansuhan PTPTN hanyalah golongan Melayu. Bodohkan? Mengampu punya pasal, biar jadi bodoh macam mana pun tak mengapa.

Mula-mula aku agak hairan dengan kenyataan Tun M tentang pemansuhan PTPTN. Katanya kalau PTPTN mansuh, siapa nak tolong pelajar-pelajar miskin? Aku hairan bagaimana kenyataan bodoh ni dikeluarkan oleh seorang yang genius. Akhirnya aku sedar, seorang yang genius dah tentu menganggap orang lain bodoh dan kenyataan bodoh tu ditujukan untuk golongan Melayu yang bodoh sahaja.

Pemansuhan PTPTN bermaksud pendidikan percuma. Bila tiada yuran dikenakan, nak buat apa lagi PTPTN? Ringanlah beban ibubapa dan pelajar yang masuk ke Universiti atau Kolej. Mereka hanya perlu sediakan duit belanja sendiri saja. Biasiswa pula diberikan kepada mereka yang cemerlang dan berpotensi untuk menjadi cemerlang. Bukankah ini baik?

Tapi kenyataan Tun M pula seperti menambahkan lagi kebodohan bangsa Melayu supaya memandang pemansuhan PTPTN sebagai sesuatu yang merugikan negara, boleh membuat negara muflis dan sebagainya. Jika lebih ramai pelajar berpeluang melanjutkan pengajian diperingkat Universiti, rugi apa pula pada negara? Adakah lepas belajar mereka semua akan pergi bekerja di Britain ataupun Australia?

Satu-satunya kerugian dalam memberikan pendidikan percuma adalah sejumlah peruntukan yang besar terpaksa disediakan untuk kebajikan pelajar ini. Jika PTPTN tidak dimansuhkan, wang tersebut boleh digunakan untuk membuat pelbagai dana seperti NFC dan lain-lain projek untuk menteri dan kaum kerabat mereka.

Bangsa Melayu sentiasa ditindas oleh bangsa mereka sendiri yang lebih elit. Pemikiran mereka dikawal agar tidak berani menyuarakan pendapat dan pandangan. Sesiapa yang mengkritik pemerintah akan dikatakan tidak bersyukur dan penentang kerajaan. Malah, ada juga dikatakan ingin menghapuskan ketuanan Melayu. Semua isu perkauman dan agama dicanang agar orang Melayu menjadi takut kehilangan apa yang mereka ada dan bersyukurlah setakat apa yang mereka perolehi sekarang, Jangan meminta-minta lagi.

Begitulah senario politik di negara kita. Apabila pihak pemerintah meneruskan dasar membolot segala kekayaan negara, mereka yang nampak dan sedar dianggap musuh dan penderhaka. Padahal pemimpin hanya sibuk memikirkan periuk nasi mereka dan keluarga mereka saja. Itu yang lebih utama buat mereka.

Tu belum masuk golongan wahabi punya fatwa lagi. Mentang-mentanglah negara Barat memberi pendidikan percuma kepada rakyatnya, kita sebagai orang Islam tak boleh ikut cara mereka. Jika mereka beri percuma, kita perlu kenakan bayaran. Selagi mana pemimpin kita mengamalkan ajaran Islam, walaupun rasuah, korup, pecah amanah, keji dan sebagainya, haram bagi kita menjatuhkan mereka. Fatwa kepala bapak merekalah!

15 April 2012

Kenal Diri Dulu

Zaman sekarang adalah zaman orang dahagakan agama. Ada yang fikir dengan mendengar ceramah agama, mereka akan menjadi lebih bijak daripada sebelumnya kerana mereka lebih tahu tentang hukum hakam dalam beragama.

Maksud agama adalah 'suruh' dan 'tegah'. Yang disuruh adalah mentauhidkan Allah dan yang ditegah adalah menyekutukanNya. Ramai orang pandang mudah. Mereka lebih suka bertanya tentang apakah hukumnya sesuatu perbuatan daripada bertanya di mana Allah, Tuhan yang kita sembah. Pada mereka, cukuplah kenal Allah itu sebagai Alif, Lam, Lam, Ha sahaja tak perlu lebih. Takut nanti tersesat dalam beragama. Mereka telah diasuh sebegini sejak kecil lagi.

Adalah sangat menyedihkan bagi mereka yang menyembah sesuatu yang tidak mereka kenali. Kenal dan tahu adalah 2 perkara yang berbeza. Kamu tentu tahu siapa Ketua Polis Negara tapi kamu belum tentu mengenalinya. Orang yang kenal KPN tentulah tahu apa makanan kesukaannya, warna apa yang menjadi kegemarannya dan lain-lain lagi. Jadi sudah jelas bahawa 'tahu' dan 'kenal' adalah tak sama.

Awal agama ialah mengenal Allah. Kenal yang bagaimana? Ramai orang hanya menghafal sifat 20 tetapi tak tahu langsung apa kebendanya. Malah ada pula golongan yang mempersoalkan kewujudan sifat 20. Hujah mereka, nabi tak pernah ajar pun tentang sifat 20 tu. Golongan ni digelar wahabi. Tapi mereka tak mengaku wahabi.


Sifat 20 disusun oleh bijak pandai agama sejak berzaman lalu sebagai salah satu jalan untuk mengenal Allah. Nabi pun tak pernah membukukan al Quran, tetapi sahabat buat juga. Untuk apa?

Ilmu bukan meningkat berdasarkan berapa banyak buku kita baca atau berapa banyak yang kita hafal. Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada sesiapa saja yang dikehendakiNya. Yahudi juga mengkaji al Quran & hadis tapi mereka tak dapat hidayah lalu mereka kekal kafir. Mereka cuba menggali seberapa banyak ilmu dalam kitab tu untuk kepentingan mereka, bukan iman.

Masyarakat menilai orang yang tinggi ilmu agamanya adalah orang yang sentiasa duduk di masjid, sentiasa berpakaian berjubah dan berserban atau berketayap. Mereka memilih untuk mendengar ceramah daripada ustaz-ustaz yang mereka suka, yang pandai berlawak jenaka dan sebagainya.

Lupakah kita Islam tu dibawa oleh seorang manusia yang tidak tahu membaca, tidak tahu menulis dan bukan daripada golongan bangsawan. Malah yatim piatu lagi. Jadi mengapa mesti luaran yang menentukan sama ada seseorang itu mempunyai ilmu agama yang tinggi ataupun tidak? Orang yang tinggi ilmu agamanya amat susah untuk dilihat dengan mata kasar melainkan dengan izin Allah jua.

Bagaimana hendak mengenal Allah? Kenallah diri dulu kerana bila dah kenal tentulah akan kenal siapa penciptanya. Tuhan menyatakan diriNya dengan menciptakan makhluk. Jangan bimbang untuk digelar sesat kerana Muhammad juga dituduh sesat oleh masyarakat kelilingnya.

Jadi apa kaitannya dengan Bani Melayu? Mudah saja. Bani Melayu menjadi kuat dan terkenal satu masa dahulu adalah kerana mereka kenal siapa diri mereka dan mereka kenal siapa Tuhan mereka. Itulah dia Mat Kilau, Dato Bahaman dan lain-lain lagi. Mereka tak pernah pun mengaku yang mereka hebat. Tapi orang melihat mereka sebagai pejuang bangsa yang sangat hebat. Selalunya begitulah lumrah sang wali. Apabila telah tiada, barulah orang sekeliling sedar siapa dirinya.