20 June 2012

Pergolakan Dunia

Sewaktu kejatuhan Hosni Mubarak, terdengar suara yang mengatakan bahawa itu semua perancangan yahudi. Seingat aku,  Hosni mendapat kekuasaan sebagai pemerintah Mesir pun bukanlah dengan cara yang molek sangat. Ia sedikit sebanyak melibatkan yahudi juga. Sebab tu sebahagian dunia melihat Hosni terlalu berlembut dengan Israel. 


Pemerintah Mesir sebelum tu ialah Anwat El Sadat yang memang terkenal dengan ketegasan terhadap Israel. Dia pernah mengarahkan Mesir mengambil semula wilayah yang telah ditawan Israel. Peperangan ni berlaku pada tahun 1973 selama 6 hari. Selepas peristiwa tu, dia menjadi terkenal dan dibenci Israel. Tapi kemudian dia membuat perjanjian damai dengan Israel pulak pada 1979. 


Di kemudiannya mati dibunuh pada tahun 1981. Ada yang berpendapat pembunuhan ni adalah satu konspirasi. Hosni yang pada waktu tu Timbalan Presiden terus mengambil alih pemerintahan Mesir sampailah baru-baru ni rejimnya dijatuhkan. Hosni dilihat lebih berlembut dengan Israel berbanding Sadat.

Berbalik semula kepada tajuk asal, ura-ura mengatakan bahawa kejatuhan rejim Hosni adalah konspirasi Israel juga mungkin betul. Apabila Israel merasakan Hosni tidak lagi penting buat mereka, apakah mustahil untuk mereka menjatuhkan orang yang mereka sendiri naikkan? Dunia Islam sekali lagi menjadi keliru tak tahu nak sokong mana satu. Ada yang mengatakan haram menjatuhkan pemimpin melalui cara berdemo Islam tak ajar umatnya berdemo. Apa lagi cara yang tinggal? Semua benda ada harganya dan itulah harga sebuah perjuangan bagi menjatuhkan rejim yang zalim. 

Ya, Israel tentu saja takkan berdiam diri kerana Mesir adalah jiran mereka. Takkan mereka nak biarkan saja rakyat Mesir memilih Presiden mereka sendiri? Sejak dulu, kita sedia maklum sejarah Iraq, Libya, Syiria & Jordan tentang bagaimana pemimpin-pemimpin daripada negara yang berjiran dengan Israel ni naik. Mereka semua adalah jiran-jiran Israel. Seluruh dunia maklum bahawa negara-negara keliling Israel adalah negara Islam. Bayangkan kamu adalah Israel, dan keliling kamu adalah musuh-musuh kamu. Apa perasaannya? 



Jadi, memang perlu ada campurtangan sulit dalam menentukan siapa pemerintah negara-negara di sekeliling Israel. Apabila pemimpin negara-negara yang berkenaan tidak diperlukan lagi, maka terjadilah seperti apa yang terjadi di Syiria dan Mesir baru-baru ni. 

Nak teruskan sokong rejim yang zalim atau tumbangkan mereka seperti mana yang direncanakan yahudi? Bak ditelan mati mak, diluah mati bapak.




Dunia

Kalaulah aku boleh membenci dunia dan segala isinya....

16 June 2012

Al Rijal Al Ghaib

Satu masa dulu aku pernah tertanya-tanya apakah maknanya rijalul ghaib ni. Bunyi macam best aje. Adakah dia kacak dan hensem? Bagi mereka yang mempunyai ilmu dalam bidang ni pasti mempunyai tafsiran yang berbeza-beza namun memberikan pendapat bukanlah untuk membuktikan pendapat kita saja yang betul kerana sesungguhnya kita sendiri pun maklum siapakah yang Maha Berilmu? Ilmu itu ertinya mengetahui.

Dari segi bahasa mudah, rijal bermaksud pemuda dan ghaib pula tak nampak dengan mata kasar. Ada orang berpendapat rijalulghaib adalah jin (boleh jadi Islam atau kafir), syaitan, malaikat, roh-roh, dewa ataupun benda-benda lain yang tak nampak.

Jika dialih bahasa rijalul ghaib adalah pemuda tak nampak, masakan malaikat adalah rijalul ghaib sedangkan malaikat tu takde jantina pun? Ada juga yang berpendapat rijalul ghaib adalah diri. Diri yang mana satu? Diri yang terdiri atau diri yang terdalam? Ataukah diri yang terperi? Diri yang nyata atau diri yang tersembunyi? Walaubagaimana pun, itu adalah tafsiran dari sudut bahasa saja. Hakikat sebenar Allah lebih mengetahui. 

Kita merupakan orang awam. Ilmu seperti ni memang seronok bermain dibibir kita dan di kedai-kedai kopi. Hakikatnya ilmu seperti ni makin hari makin pupus. Ia telah diangkat perlahan-lahan sehingga bilangan manusia yang menguasai ilmu-ilmu seperti ini makin kurang.

Berbalik kepada topik, pendapat aku lebih cenderung begini. Rijalul ghaib terdiri daripada:

 i. Jin
ii. Dewa
iii. Manusia
iv. Rohaniah
v. Khadam

Jika disimpulkan, rijalul ghaib adalah segala bentuk makhluk yang tidak kelihatan di mata kasar atau di alam manusia. Ia adalah nama khusus bagi golongan makhluk yang tak kelihatan, yang datang apabila dipanggil/seru dan memberi pertolongan dengan izin Allah. 

Jin semua orang tahu, tapi siapa pulak dewa ni? Apa beza manusia dengan rohaniah? Nanti bila ada mood, aku akan terangkan.

10 June 2012

Kena sihir

Kenapa bila terkena sihir dan berubat tapi masih ada lagi sihir tu?

1. Sihir bukan sekali tembak saja. Kebanyakan sihir yang dilakukan atas sebab dendam kesumat sentiasa berterusan sama ada yang dituju mati atau yang menghantar dan yang mengupah mati dulu.

2. Rawatan kurang berkesan. Bukan semua perawat/bomoh/pawang mampu melawan sihir. Mereka yang berusaha mengubati sihir orang lain pasti akan diuji juga dengan bomoh yang menghantar sihir. Di sini, siapa kuat dialah yang akan bertahan dan menang.

3. Berubat dengan orang yang menggunakan akuan/sahabat/bantuan daripada jin kafir. Jin kafir ni hanya akan menambahkan lagi parah orang yang terkena sihir, bukan membantu pun.

4. Mempunyai saka. Orang yang disihir, jika mempunyai saka, maka sakanya akan bergabung dengan sihir tadi. Walaupun tujuan asal saka tu adalah untuk melindungi tuan empunya diri namun jika saka terbiar dan tak dijaga dah tentu akan makan tuannya.

Nabi S.A.W pun disihir, apatah lagi kita orang awam biasa ni. Jadi, lebih baik mengambil langkah berhati-hati. Bukanlah bermakna apabila kita memakai 'pendinding' kita akan selamat daripada sihir. Sesungguhnya tak bergerak suatu zarah pun melainkan dengan izin Allah jua. Apa yang boleh kita lakukan ialah mengambil langkah-langkah yang perlu untun mencegah diri dan keluarga daripada terkena sihir. Umpama seorang polis memakai jaket kalis peluru. Bukanlah bermakna dengan memakai jaket ini polis tersebut takkan kena tembak tetapi kesan kena tembak dapat diminimumkan apabila memakai jaket ini. Macam tulah juga amalan pendinding diri. Sekurang-kurangnya kita mengambil langkah berjaga-jaga. 

Bukanlah aku nak mengagung-agungkan sangat sihir ni tapi tak salah rasanya kalau kita tahu serba sikit tentangnya. Ilmu sihir bukan terhad kepada tanam barang, puja patung, berkawan dengan jin kafir dan lain-lain lagi tapi ilmu sihir merangkumi penggunaan roh-roh hitam (roh orang yang semasa hidupnya memang mengamalkan ilmu hitam) seperti roh para sami buddha, roh para bomoh ilmu hitam handalan terdahulu dan penggunaan jin-jin sakti dari bangsa jin kafir seperti golongan ifrit dan seangkatan dengannya. Jin dapat hidup beratus malah beribu tahun, tentu saja mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang lebih banyak daripada manusia biasa. Jadi jangan pandang sebelah mata saja dengan mengatakan kitalah lebih hebat sebab kita adalah khalifah. Khalifah apa kalau hati masih dikawal nafsu dan iman baru sekupang dua?


08 June 2012

Kebudak-budakan II

Baru sehari TPM umum langkah pembekuan PTPTN kepada pelajar Unisel adalah adil, Kementerian Pengajian Tinggi menarik balik pembekuan tersebut. 


Pada pendapat aku, manusia yang bagi idea untuk bekukan PTPTN inilah sebenarnya yang cuba untuk sabotaj kerajaan. Idea buruk lagi hodoh sebegini akan membuatkan orang ramai membenci kerajaan. Peliknya, kenapa orang sebegini terus dibiarkan dalam kerajaan? 

Jika idea yang bernas diberikan kepada kerajaan dalam membantu rakyat, Pakatan Rakyat tiada isu lagi yang boleh dibangkitkan. Mengapa mereka tak berfikir?

07 June 2012

Kebudak-budakan

Kali ni mereka betul-betul main kasar. Membekukan pinjaman PTPTN kepada pelajar baru Unisel dilihat sebagai satu tamparan buat Pakatan Rakyat untuk membuktikan yang mereka mampu memberikan pendidikan percuma kepada pelajar. Mungkin sesetengah orang memandang wajar perkara ni, tapi dari sudut etika memang cara ni macam cilaka. 

Pelajar baru yang mendaftar, tak tahu apa-apa, tanpa notis, tiba-tiba tak boleh nak bayar yuran. Mereka jadi mangsa untuk dendam politik. Cara yang sungguh bodoh dan kebudak-budakan. Lihat saja apa komen Menteri Pengajian Tinggi. Lihat pula Menteri Asas Tani kata apa? Orang macam ni kamu nak sokong dan beri undi? Bodoh sungguhlah Melayu ni, jika ya. 



04 June 2012

Dunia

Aku mula nampak dunia sebagai tempat yang kejam dan keji untuk didiami. Manusia pula lebih teruk daripada haiwan kerana syaitan diri telah mengatasi kesyaitanan iblis itu sendiri.

Apa yang ada pada dunia sehingga menjadikan manusia suka padanya hanyalah perhiasan yang mengaburi pandangan saja. Ibarat sang puaka hutan yang menyamar menjadi wanita cantik dan berpakaian menarik menggoda sesiapa saja lelaki yang memandangnya.


03 June 2012

Ilmu bomoh

Semalam aku berbual tentang bomoh dengan seorang member lama. Bomoh, pawang, dukun, perawat, semuanya sama dari sudut fungsi tetapi cara adalah sangat berbeza. Ada orang gelarkan mereka doktor tanpa sijil.

Tak kisahlah apa orang kata, cuma mereka juga menyumbang kepada masyarakat mengikut ilmu dan kepakaran yang mereka ada.

Aku mengklasifikasikan bomoh, dukun, perawat dan senangkatan dengannya kepada beberapa golongan.

Golongan pertama.

Mereka yang mengubat penyakit menggunakan makhluk dampingan yang digelar 'sahabat'. Kalau tanyakan kepada ustaz-ustaz sekarang mereka terus jatuh hukum syirik aje tanpa sudi untuk mengkaji dengan lebih mendalam. Ada sebahagian bomoh yang berdamping dengan makhluk-makhluk halus ni untuk kepentingan mereka. Sebagai contoh, seorang lelakai bersahabat dengan hantu raya untuk menjadi kuat dan perkasa. Apabila dia meninggal dunia, hantu raya tu diwariskan kepada anaknya sama ada dengan sedar atau tanpa disedari. Ini yang dipanggil saka. Kalau harta dunia seperti wang, tanah dan material lain dipanggil pusaka. Saka boleh digunakan untuk tujuan perubatan bagi mereka yang pandai mengolahkannya. Boleh sini bukanlah bermaksud boleh dari segi hukum. Boleh yang dimaksudkan adalah 'tidak mustahil'.

Bab hukum, silalah bertanya kepada ustaz-ustaz yang suka menghukum orang. Jika si pesakit terkena gangguan makhluk halus lain yang lebih berpangkat rendah daripada hantu raya tadi, maka bolehlah lelaki ni mengubatinya menggunakan 'sahabat'nya tu. Tapi jika yang mengganggu tu adalah jin sihir berpangkat jeneral, memang cari nahas sajalah.

Golongan kedua.

Mereka yang mengubat penyakit berdasarkan rukyah (jampi menggunakan ayat-ayat al quran) semata-mata.  Caranya boleh jadi pelbagai. Mungkin dia baca beberapa potong ayat-ayat tertentu daripada al quran dan diulang-ulang sehingga si pesakit mula menunjukkan perubahan. Sebagai contoh, si perawat tadi akan mulakan bacaan dengan suara yang agat kuat dan lantang bertujuan untuk melihat gnagguan yang ada. Setelah beberapa lama, si pesakit akan mula tunjukkan perubahan seperti berpaling, bertukar suara menjadi parau, menangis, marah dan sebagainya.

Setelah ini berlaku maka perawat akan cuba untuk berdialog mencari punca masalah ni. Biasanya bagi perawat yang berpengalaman, mereka terus dapat mengagak jenis gangguan yang merasuk sama ada disihir, saka atau gangguan lain yang sekadar mengusik. Cara ni banyak digunakan oleh pusat rawatan Islam yang bermula dengan 'Darul"....

Sesiapa saja yang berminat bolehlah belajar dan menghafal ayat-ayat tertentu daripada si guru untuk tujuan rawatan dan benteng diri. Bayangkan jika perawat menerima lebih daripada 10 pesakit sehari, berapa jam diperlukan untuk merawat seorang pesakit jika perlu merukyah dengan panjang lebar? Dalam sesetengah keadaan, jin yang merasuk tak berada dalam badan si pesakit waktu rukyah sedang dijalankan. Dia tunggu kat pagar depan rumah si perawat je. Bila waktu pesakit nak balik, jin tu masuk semula ke dalam badan si pesakit dan keadaannya kembali sakit seperti sebelumnya.

Golongan ketiga

Mereka yang bersahabat dengan jin Islam. Sesungguhnya jin juga mempunya bangsa dan agama sama seperti manusia. Mereka juga memandu kereta mercedes dan bmw. Cuma ramai manusia menyangka golongan jin adalah mundur, pakai cawat, takde tamadun. Ketahuilah bahawasanya jin lebih ramai daripada manusia dan usia mereka lebih panjang daripada kita. Macam-macam mereka boleh buat dan belajar dengan umur yang sampai beribu tahun tu.

Bukan semua jin tu macam orang asli, mundur dan duduk dalam hutan saja. Bukan semuanya mampu terbang, ada jugak yang kena naik kapal terbang untuk pergi dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Bunyi macam kelakar, tapi itulah yang sebenarnya. Manusia saja rasa mereka lebih pandai, maju dan canggih daripada bangsa jin. Jin pun bayar cukai tau.

Ok, berbalik semua pada golongan ni tadi. Mereka yang merawat pesakit menggunakan jin-jin Islam mempunyai syarat dan garis panduan tertentu. Selain bersahabat dengan jin Islam, mereka juga menggunakan bantuan rijalul ghaib. Rijalul bermakna lelaki, ghaib adalah tak nampak. Ada pendapat mengatakan rijalul ghaib boleh jadi jin,malaikat ataupun rohaniah manusia. Hanya Tuhan lebih mengetahui.

Bersahabat dengan jin Islam juga kadang kala mempunyai pantang larang tertentu. Jika banyak melakukan maksiat dan kurang amalan, jin ini akan lari meninggalkan si perawat, bomoh, dukun atau pawang berkenaan. Bila jin lari, siapa lagi nak tolong perawat? Inilah kelemahan bagi yang bersahabat dengan jin Islam.

Sesetengah orang juga menganggap bunian adalah terdiri daripada golongan jin manakala sebahagian lagi berpendapat bahawa bunian adalah manusia yang dighaibkan. Terpulanglah pada pendapat masing-masing. Bersahabat dengan bunian juga terpaksa mengikut pantang-larang yang diberikan. Melanggar pantang-larang bermakna bunian tak dapat lagi membantu si perawat. Jadi bila si perawat terpaksa jaga pantang-larang semata-mata kerana si bunian atua jin Islam tadi, bukan lillahita'ala lagi.

Golongan keempat.

Perawat yang mengharapkan pertolongan Allah semata-mata. Tak takut kepada sebarang ancaman daripada alam ghaib. Perawat sebegini kebiasaannya tak buka pusat rawatan, tak mengaku pandai mengubat, tak menjadikan mengubat orang sebagai satu pekerjaan utama atau sambilan. Mereka sendiri tak suka dipanggil bomoh, dukun ataupun perawat. Mereka biasanya merawat ahli keluarga atau sahabat terdekat yang mengetahui kebolehan mereka saja. Jarang mereka nak letak waktu operasi apa lagi menuntut sejumlah bayaran tertentu bagi merawat pesakit.

Orang sebegini selalu saja bersikap 'low profile' dan masyarakat menganggap mereka tiada kebolehan luar biasa pun. Hanya orang-orang tertentu yang mampu menembusi pandangan ghaib saja dapat melihat kelebihan mereka.

Cara mereka mengubat juga mudah. Hanya menggunakan beberapa potong ayat al quran yang biasa dibaca dalam solat dan ayat yang dibaca hari-hari. Tak perlu ayat yang panjang-panjang. Sebagai contoh, cukup dengan membacakan ayat lanarjumannakum... berpuluh malah beratus ribu panah berapi berterbangan menerjah ke sasaran. Kalau tak panah berapi tunggu saja halilintar datang membelah. Begitulah hebatnya golongan yang menyerahkan diri bulat-bulat kepada Allah. Tak ada langsung kekhuatiran bagi mereka. Bila berhadapan dengan bangsa jin kafir yang mengganggu, mereka tak banyak bicara sebaliknya terus menggempur saja. Ini menjadikan nama mereka terkenal di alam sebelah sana. Amalan orang-orang sebegini tak lain dan tak bukan ialah berjaga malam (menghidupkan malam). Sewaktu kebanyakan manusia telah lena, mereka berjaga mencari keredhaan Tuhan mereka. Di waktu inilah mereka mengadu nasib seperti seorang kekasih kepada kekasihnya. 

Begitulah serba ringkas yang aku boleh terangkan berdasarkan apa yang aku tahu dan diberitahu. Jangan terlalu mudah menghukum seseorang tu syirik hanya dengan berdasarkan apa yang kita nampak. Kadang-kala perkara yang sebenar bukanlah seperti mana yang kita dapat lihat. Apa pun cara yang digunakan oleh bomoh, pawang, dukun atau perawat (yang ikhlas) tujuannya tetap sama, iaitu mendatangkan kebaikan, mencari jalan penyembuhan dan kesejahteraan kepada si pesakit. Jika mata kail baru panjang sejengkal, janganlah cuba menduga lautan dalam. Jika tiada ilmu dalam bidang ni jangan mudah menjatuhkan hukum kepada orang yang dah lama berkecimpung dalam hal-hal sebegini. Belajarlah.