Dalam blog, aku tak suka bercerita tentang kisah peribadi aku. Kisah aku bukan untuk tatapan umum. Aku lebih suka berkongsi tentang apa yang aku lihat dan pendapat aku. Cuma mungkin ada entry aku secara tak sengaja tercerita tentang kisah-kisah peribadi. Itu tak boleh elak. Ada tujuan dan sebabnya jadi begitu.
Bulan Disember ni hampir setiap hari hujan. Baru-baru ni aku terima satu berita yang menyedihkan bahawa seorang member sekolah dulu telah kehilangan adiknya dalam kemalangan di Lebuhraya Karak. Sebenarnya, pemandangan memandu waktu malam dalam keadaan hujan adalah amat mengerikan di hiway ni. Ia adalah satu laluan kejam yang boleh memisahkan nyawa dari jasad jika sudah sampai masanya.
Ceritanya agak tragis. Adiknya masih lagi menuntut di IPT, membonceng motor bersama seorang rakan dalam perjalanan pulang ke Bentong. Tiba-tiba terdapat pokok tumbang dan menutup sebahagian jalan. Mungkin dia tak nampak, lalu terus melanggarnya. Cedera parah di badan dan muka. Meninggal di tempat kejadian manakala seorang lagi rakannya kritikal waktu dimasukkan ke Hospital Temerloh.
Jika pihak yang berwajib peka, tentu saja pokok-pokok yang berisiko di tepi laluan lebuhraya ni ditebang. Laluan Bentong-Kuala Lumpur telah memakan banyak korban. Beberapa minggu sebelum tu sebuah lori membawa muatan besi buruk terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah Myvi. Aku agak lori tu mungkin mengalami masalah brek. Biasalah, kenderaan lama. Pemandu pula kurang peka.
Tak berapa lama selepas tu sebuah kereta terbabas di hujung bandar Bentong. Juga melibatkan kematian. Ada juga orang berpendapat ada baiknya kemera AES dipasang. Aku pula berfikiran sebaliknya. Siapa yang pentingkan keselamatan jalanraya orang lain melainkan keuntungan semata-mata?
Nak kata apa pun katalah, negara kita telah menjadi lubuk rezeki buat mereka yang pandai mengambil kesempatan dan memanipulasikan keadaan. Apa lagi buat mereka yang bijak menipu.
Berbalik pada kisah kemalangan tadi, penghujung tahun ini sebenarnya diramal akan berlaku satu malapetaka, bencana alam, ataupun huru-hara. Ini cuma ramalan oleh mereka yang lebih mengetahui. Aku cuma sampaikan apa yang disampaikan kepada aku. Entahkan betul, entahkan tidak. Tak salah jika berjaga-jaga. Ada yang meramalkan bakal berlakunya satu lagi tsunami. Ada juga meramalkan keadaan politik negara yang semakin kelam-kabut.
Jika dilihat, keadaan cuaca juga tak menentu. Kerap kali berlakunya banjir. Hujan turun hampir setiap hari. Bagi pengguna jalanraya, risiko berlaku kemalangan adalah lebih tinggi dalam keadaan hujan. Bukan semua pemandu peka dengan keadaan kenderaan mereka dan keadaan jalanraya yang licin. Kebanyakan pemandu hanya tahu bawa kereta dan tak ambil pusing sangat tentang perkara-perkara lain.
Kemalangan berlaku kadang-kala bukan kerana kecuaian kita. Tetapi boleh jadi keadaan jalan, nasib yang kurang baik dan juga salah orang lain. Apa pun setiap pemandu perlu mengambil langkah-langkah berjaga-jaga. Pemanduan bukanlah tentang kenderaan yang kita pandu saja. Ia melibatkan kepekaan kita tentang apa yang berlaku disekeliling, menafsir tentang corak pemanduan pemandu lain, mengadaptasi corak jalanraya, keadaan cuaca dan jalan serta menjangka perkara yang tak dijangka. Ia adalah satu kerja yang berat sebenarnya jika kita faham. Minda perlu sentiasa berfikir dan bersedia.
Satu saat dalam kelalaian boleh membezakan antara gembira dan sengsara.
No comments:
Post a Comment