Kurang seminggu yang lepas aku ke Langkawi buat pertama kalinya. Aku sentiasa mengelak daripada ke tempat-tempat yang menggunakan kapal terbang kerana aku memang tak suka dengan kapal terbang. Aku mudah pening dan loya.
Satu perkara yang aku harus akui apabila dihantar berkursus oleh pihak majikan ialah kursus yang dianjurkan memang selalunya sangat-sangat bermanfaat, seronok dan berprestij (peruntukannya lebih besar daripada jabatan kerajaan yang lain). Dalam berkursus, aku dapat menimba pengalaman dan ilmu pengetahuan tentang banyak perkara selain daripada apa yang diajarkan dalam kursus tersebut.
Destinasi pertama lepas turun daripada kapal terbang ialah kedai makan. Rasa-rasanya lebih ramai orang Siam di sana berbanding orang Melayu yang membuka restoran/kedai makan. Kami makan di sebuah restoran Siam (Islam). Lauknya boleh la. Cuma bukan seperti di tempat-tempat lain. Tiada gulai lemak kuning.
Kemudian kami semua check in di Frangipani Spa & Resorts. Sebuah hotel yang santai tapi klasik. Penginapan ala-ala chalet. Lengkap dengan HBO, STARWORLD, FMP, SPORTS dan lain-lain. TV LED 42". Aircond yang sejuk, ada tab mandi. Tiada sebarang aktiviti sampai ke malam. Mula-mula ingat nak sewa motor, last-last dapat Suzuki Swift. Aku ke pekan Kuah, makan-makan. Di sana memang banyak sangat kedai makan. Waktu pulang ke hotel, rupanya Pantai Cenang lagi meriah. Malam takde apa aktiviti yang menarik. Tidur awal sajalah.
Besoknya selepas sarapan kami ke Kompleks Haji Ismail Group. Ramai yang memborong sakan. Aku tak minat coklat jadi, cuci mata sajalah. Lepas tu kami ke Makam Mahsuri, tempat yang paling aku tunggu-tunggu. Kesemua peserta kursus dijemput untuk menyaksikan teater di panggung Mek Mulong. Syok juga.
Potret lakaran wajah Mahsuri |
Makam Mahsuri |
Menurut cerita Abang Man (pemandu pelancong) yang membawa rombongan kami ke sana, aku dapati kisah Mahsuri ni adalah sebuah kisah yang tragis dan menyayat hati. Andai kata benarlah dia difitnah, maka celakalah orang yang menzaliminya. Apa pun sewaktu berada di bersebelahan dengan makam aku merasakan kosong saja. Seolah-olah tiada jasad yang disemadikan di situ. Lalu aku bertanyakan hal ni kepada Abang Man tentang di mana sebenarnya jasad Mahsuri ditanam. Dia mengakui melalui cerita orang tua-tua, memang tiada jasad yang ditanam di makam tu dan Mahsuri sebenarnya disemadikan tak jauh daripada makam tersebut. Bersebelahan dengan pokok asam jawa. Ini untuk mengelakkan daripada berlakunya perbuatan memuja kubur oleh orang yang berkepentingan.
Aku tinggalkan makam Mahsuri dengan keazaman untuk datang ziarah lagi. Tak puas lagi meninjau di sekitar kawasan tersebut kerana kekangan masa. Kami bergerak ke Awana Porto Malai untuk menaiki sunset cruise. Ah, masak aku!
Kalau aku tau, tentu aku minta untuk balik ke hotel saja. Rupanya BBQ diadakan atas kapal layar. Untuk mengelakkan mabuk laut yang teruk, aku bersandar saja dalam perut kapal tanpa banyak memandang ke arah laut luas.
Dalam jam 8 malam barulah kami pulang ke hotel. Kapal layar ni pun bukanlah laju sangat. Ada juga kanak-kanak yang menangis, pening barangkali. Mujur aku tak mabuk darat kerana aku terlelap sewaktu kapal layar pulang ke jeti.
Dari apa yang aku perhatikan, Langkawi memang tiada apa pun yang menarik. Produk pelancongannya juga tak banyak. Tapi ia bebas daripada suasana hiruk pikuk kota raya. Bagi pencinta kedamaian, Langkawi adalah sangat sesuai untuk dilawati. Menenangkan fikiran sambil melihat suasana pantai yang cantik dan bersih.
Mengapa suami Mahsuri tak balas dendam? Aku dapat simpulkan bahawa orang Melayu sentiasa menjunjung adab dan budaya sopan santun dan tidak menderhaka. Itulah satu-satunya perbezaan paling ketara bangsa Melayu dengan bangsa-bangsa lain. Ia bukan bermakna bangsa Melayu itu lemah dan bodoh, tetapi bangsa Melayu sebenarnya memiliki sifat penyabar dan tidak mengikut kata hati yang amat tinggi. Hang Tuah bukanlah bodoh sewaktu mengikut saja perintah Sultan untuk mengorbankan dirinya. Jebat juga bukanlah bangsat kerana menderhaka. Sebaliknya mereka semuanya adalah bukti betapa budaya Melayu sebenarnya adalah budaya terbaik. Jangan dikira Melayu lain yang iri hati dengki dan sebagainya. Itu semua bangsa pun ada.
No comments:
Post a Comment