29 June 2013

Mengapa bukan PAS yang memerintah?

Terlalu malas rasanya untuk aku menulis sesuatu yang berkaitan dengan politik tetapi aku harus meluahkannya juga. Situasi yang terjadi sekarang membuatkan aku terlalu muak dengan sikap manusia yang berselindung disebalik serban dah jubah. Lahiriahnya kelihatan seperti mengikut sunnah tetapi perangai dan sikapnya langsung tidak ada ciri-ciri sunnah. Fahamlah aku mengapa ramai ahli tarekat yang aku temui menolak parti yang sebegini. Malah ada ahli tarekat yang secara tegas menempelak golongan yang kononnya memperjuangkan Islam ini. Dulu aku kurang bersetuju tetapi kini aku nampak kebenarannya. 

Sebagai seorang ketua kepada sebuah jemaah yang kononnya memperjuangkan Islam, dia haruslah menunjukkan contoh-contohnya baik kepada pengikutnya. Tetapi apa yang berlaku? Sebuah tuduhan berat, seperti menjual pil kuda, dilemparkan kepada sekutunya dan pertembungan 3 penjuru di beberapa tempat dalam PRU13 yang lalu telah menyerlahkan lagi sikap sebenar golongan ini. Pengikut yang dahagakan agama hanya mengikut membuta tuli tanpa mempersoalkan apa yang berlaku kerana menganggap dia sebagai ulama yang tahu apa yang dilakukannya. Ulama ke tak ulama, jika menuduh orang lain tanpa mengemukakan bukti tetap dikira memfitnah juga. Macam mana nak jadi pemimpin yang baik jika diri tak pernah lepas dari sikap tamak dan memfitnah? Itu belum masuk pelbagai cercaan dan tuduhan lain yang dilemparkan kepada pihak lawan mereka. 

Mereka bijak bercakap soal agama tetapi hakikatnya mereka sangat lemah dalam soal pentadbiran. Lihat Terengganu, lihat Kedah. Adakah kedua-dua negeri ini sebaik Selangor dan Pulau Pinang? Jangan malu untuk mengaku kekurangan diri. Kelemahan parti anda bukanlah kelemahan Islam. Islam itu indah, Islam itu cantik, Islam itu best (bak kata sahabat aku, Lepat). Tapi parti ini menjadikan Islam itu mundur, lemah, kuat mencaci, kuat memaki dan hina dipandangan mata rakyat negara ini. Perwatakan ahli-ahli mereka seperti orang-orang yang alim tetapi akhlak mereka mencerminkan sikap orang-orang yang tidak mengikut Islam sepenuhnya. 

Mereka memainkan isu hudud, tetapi mereka sendiri gagal untuk berbuat apa-apa dalam negeri yang mereka tadbir. Adakah mereka fikir Islam itu tergegak dengan tegaknya hudud? Bagi orang-orang yang mengkritik isu hudud, pantas saja mereka mengatakan golongan ini menolak hukum Tuhan. Adakah mereka pasti orang-orang yang mengkritik hudud itu benar-benar menolak hukum Tuhan atau menolak fahaman golongan yang kononnya memperjuangkan Islam ini?

Sikap mudah menghukum orang lain kafir bukanlah satu sikap yang dianjurkan Islam. Nabi pun tak pernah buat begitu, sahabat juga. Minta maaflah, aku bercakap daripada sudut pandangan aku dan orang-orang yang sependapat dengan aku. PAS belum layak untuk mentadbir negara ini dan mereka perlu mengubah sikap dan memperbaikan akhlak mereka jika mahu orang lain mengikut mereka dan memilih mereka.

Jika mahu membangunkan Islam, bangunkanlah Islam pada diri dulu. Jika mahu berperang dengan orang-orang yang dikatakan menolak Islam, perangilah nafsu diri terlebih dahulu. Jangan mulut bercakap mahu menegakkan Islam, tetapi akhlak diri langsung tidak mencerminkan Islam. Itu mengikut nafsu namanya. 




No comments:

Post a Comment