26 July 2013

Air mineral 2

Tulisan aku yang bertajuk air meneral mendapat hit yang paling tinggi berbanding tulisan-tulisan yang lain. 

Sebahagian pembaca memberi pendapat mereka tentang tulisan aku. Sama ada pro atau kontra, tak penting kerana mereka memberikan pendapat berdasarkan apa yang mereka rasa, mereka lihat dan mereka tahu. Takkanlah pula pendapat kita mesti sama, ye tak?

Sebenarnya tulisan tu tidak bertujuan untuk menunding kepada mana-mana pihak pun. Apa lagi pihak JAKIM dan sebagainya. Status halal atau haram bukanlah satu isu. 

Ia sesuatu yang mudah saja. Seperti air NEWater yang dihasilkan oleh Singapura. Hasil kajian saintifik menunjukkan ianya air tulen, bersih dan tiada bau. Di manakah jatuhnya haram air ini pula? Tentulah tidak haram apa lagi lojinya saja sudah melebih dua kolah dan dikira air suci (oleh sesetengah pihak). Bagi mereka yang sanggup untuk meminum air yang bersumberkan kumbahan, boleh terus minum saja. Tiada masalah pun. Cuma mungkin ada sesetengah orang tidak sanggup. 

Begitu juga dengan air yang sumbernya terletak di bawah atau berhampiran dengan kubur. Tiada masalah dari segi saintifik dan status halal. Sila saja minum jika rasa seronok meminumnya. 

Pendapat yang mengatakan air mempunyai gelombang memang kelakar terutama bagi mereka yang tiada ilmu mengenainya. Kelakarnya sama seperti perasaan orang yang tiada pengetahuan tentang beza air yang dibacakan ayat al quran berbanding air biasa. Untuk menjelaskan dengan lebih mendalam tentang ini adalah agak sukar kerana bukan semua orang ada pengetahuan asas mengenainya. Seperti air suling, ia memang bersih, tiada bau, rasa, malah tiada khasiat pun buat si peminum. Itu air suling, berbeza dengan air mineral. 

Ambil satu contoh, orang yang memakan makanan haram, hasil dari judi atau sebagainya, akan menjadikan hatinya hitam, dirinya susah untuk mendekatkan diri dengan tuhannya. Ada bukti saintifik tak mengenai hal ini? Adakah jika dibedah hatinya maka akan kelihatan hitam? Tiada!

Beza kita yang digelar orang awam ni ialah kita makan apa saja asalkan halal kerana kita merasakan itu sudah cukup bagus buat kita. Tapi bagi orang-orang yang belajar agama dengan bersungguh-sungguh, pastinya guru mereka akan berpesan agar menjaga apa yang mereka makan dan minum. 

Sebagai contoh yang lain, ada sesetengah guru tarekat menekankan bahawa makan di kedai makan adalah tidak elok kerana kita tidak tahu siapa yang memasaknya, bagaimana penyediaan makananannya, berkongsi sudu dan garfunya dengan orang lain yang mungkin bukan beragama Islam dan sebagainya. Ada juga saranan agar tidak memakan masakan orang yang berhadas besar dan banyak lagi. Ini bukanlah suatu kewajipan untuk memenuhi pesan guru tetapi guru memberi pilihan sekiranya hendak cepat belajar haruslah mengikut garis panduan yang dia berikan. Itu saja. Kenapa perlu meleret sampai ke hukum halal haram? Ada orang belajar agama untuk mengenal siapa tuhan mereka dan ada orang belajar agama supaya mahir soal hukum-hakam. Jika kita cuba mengaplikasikan pesanan-pesanan guru-guru tarekat dalam kehidupan seharian kita, tentu saja banyak percanggahan kerana kita bukan ahlinya.

Mungkin ada orang pernah mendengar tentang tegahan membaca tulisan di perkuburan. Sesetengah orang berpegang dengan pendapat yang mengatakan membaca sebarang tulisan di atas kubur seperti di batu nisan dan sebagainya boleh menggelapkan hati kerana kubur adalah tempat orang yang telah mati, sunyi dan suram. Apa bukti saintifiknya pula? Tentulah tiada. (ada bukti lain bagi mereka yang rajin mencari)

Jika kita tidak tahu, belajarlah dan bertanya kepada yang tahu. Jangan sombong sangat dan terus minta bukti. Ini bukan pertuduhan jual pil kuda yang perlu dikemukakan bukti bila menuduh. 

Apa yang cuba ditekankan dalam tulisan aku yang lepas ialah bagaimana makanan dan minuman dapat memberi impak yang baik atau sebaliknya kepada si pemakan.

Buktinya: Setiap zarah/atom dalam alam ini walaupun nampak kekal pada kedudukan asalnya seperti besi, nampak keras dan solid, zarahnya sebenarnya bergetar. 

Diagram atom


Segala sesuatu berasal daripada atom. Contohnya molekul air terdiri daripada H2O, iaitu dua atom hidrogen dan satu atom oksigen. Apakah atom? Atom adalah satu benda yang tidak bercampur dengan unsur lain atau sesuatu benda yang tidak dapat diuraikan/dibahagi/dibelah lagi. Ia adalah yang bahagian paling kecil. Angin yang kita tak nampak juga mempunyai atomnya yang tersendiri. 

Nampakkah kita elektron yang berlegar disekeliling atom tersebut? Tahukan kita bahawa putaran elektron itu sebenarnya mengikut putaran orang-orang yang melakukan tawaf? Dengarkah kita batu, kayu, daun semuanya bezikir? 

Dalam sains, mereka mengatakan setiap sesuatu itu bergetar pada kedudukannya sendiri. Siapa menyangka zarah-zarah besi, keluli, berlian juga bergetar pada kedudukannya? Jadi, bila sesuatu tu bergetar dah tentulah ia menghasilkan gelombang (ada sesetengah orang memanggilnya aura dan ada yang memanggil gelombang).

Nampakkah gelombang tu? Janganlah hanya kerana dek kedangkalan ilmu kita menolak mentah-mentah kajian dan pengetahuan orang-orang yang sebelum kita. Sekurang-kurangnya carilah ilmu mengenainya dulu.

Apa pun, siapa yang selesa dengan pegangan dan pendapatnya, sila saja diteruskan. Sikap mempersoalkan dan meremehkan pendapat orang lain adalah tidak perlu dan tidak patut. 




No comments:

Post a Comment