23 July 2013

Kembali ke asal

Dalam bulan ramadhan ni, pejabat tempat aku kerja banyak menganjurkan ceramah agama daripada ustaz-ustaz yang terkenal.

Kebetulan minggu lepas seorang ustaz terkenal datang memberi ceramah, maka ramailah yang pergi mendengar. Aku bukan salah seorang daripada golongan yang pergi dengar ceramah. Ada juga rakan-rakan berkata, "Eh, kau tak pergi ke? Rugi la...". Aku senyum saja. Biarlah mereka menganggap aku seperti apa yang mereka sangka.

Sebenarnya aku agak bimbang untuk menulis tentang ini. Bimbang disalah anggap dan disalah tafsir. Anggap sajalah aku bercakap kosong. Aku tidak merujuk/membuat contoh kepada sesiapa pun. Jadi aku menggunakan kata ganti nama 'aku' saja dalam tulisan di bawah ni agar tak menyinggung mana-mana pihak.

Aku bukan menolak kebaikan yang diperolehi daripada ceramah-ceramah seperti tu. Malah aku bersetuju ia banyak mendatangkan manfaat bagi sesiapa yang mendengarnya. Baguslah ramai yang mendengar ceramah agama daripada lepak tak tentu hala.

Cuma bagi aku, ilmu yang disampaikan terlalu tinggi buat diri aku. Aku mencari yang lebih basic. Seperti ABC atau 123. Tanpa ABC tak mungkin aku mampu mengarang sebuah ayat yang baik, tanpa mengenal 123 mana mungkin aku mampu untuk belajar matematik yang lebih mencabar seperti tambah, tolak, darab dan bahagi?

Rukun Islam bermula dengan Laa ila haillallah, muhammad rasullah. Bab itu pun aku rasa aku masih belum khatam, bagaimana aku mau belajar hukum-hakam yang lain? Andainya jawapan bagi soalan siapa tuhan kamu itu semudah menjawab ALLAH, maka aku tidak bimbang. Tapi bagaimana untuk menyatakan ALLAH?

Ini bukan suatu ilmu yang terdalam atau peringkat tinggi. Ini adalah ilmu peringkat paling mula sekali, iaitu mengenal ALLAH. Jika seseorang menyebut kereta, aku pantas saja membayangkan sebuah kenderaan yang beroda empat, mempunyai cermin depan dan belakang, enjin dan sebagainya. Tapi jika seseorang menyebut ALLAH apa yang aku nak bayangkan? Alif? Lam? Lam? Ha? Atau A? L? L? A? H?

Selagi tidak kenal, macam manalah syahadah aku nak lepas? Macam manalah syahadah aku sah dan diterima? Jika bab pertama dalam rukun Islam pun aku dah berkecamuk dan tak tentu hala, apa lagi rukun-rukun seterusnya? Bersolat, berpuasa dan seterusnya tapi ia tetap dianggap sebagai 'beramal tanpa ilmu'. Ilmu maksudnya mengetahui. Menyembah tanpa mengetahui apa yang disembah bukankah sama seperti golongan yang menyembah tokong atau patung cuma bezanya berhala mereka nampak dengan mata kasar, berhala dalam diri ini tak nampak. Selagi mana ada berhala dalam diri ni macam mana aku nak berlepas daripada syirik kepada ALLAH?

Tanggapan bahawa membayangkan seperti ALLAH itu ada dihadapan adalah sama seperti ALLAH itu bertempat. Bila Dia bertempat ertinya Dia samalah seperti makhluk sedangkan dalam quran ada menyebut yang maksudnya lebih kurang, "Dia tidak sama seperti makhluk". Apakah definasi makhluk pula? Benda hidup? Batu? Angin? Ya, alam adalah makhluk. Selain Dia, semuanya adalah makhluk. Mana mungkin Tuhan seperti makhluk? Membayangkannya saja dah tak betul.

Yang tidak boleh dikaji adalah Zat ALLAH. Apakah zat? Adakah ia terdiri daripada nutrien atau vitamin? Adakah sama seperti zat besi? Zat manusia terdiri daripada darah, daging, tulang, air, rambut, rupa yang hensem dan sebagainya. Zat Tuhan tidak boleh dikaji kerana akal tidak akan mampu sama sekali memikirkannya. Habis tu nak bayangkan ALLAH duduk depan aku macam mana? Bentuk apa yang nak dibayangkan? Bulatkah? Empat segikah? Atau huruf saja?

Yang boleh dikaji adalah Sifat ALLAH, nama-nama ALLAH, af'al ALLAH. Untuk mengenal siapa ALLAH perlu menempuhi bab-bab ini. Ia tidak semudah pergi mendengar ceramah, membaca buku atau meng'google' internet. Ia perlulah dibimbing dengan petunjuk daripada ALLAH jua. Jika tiada petunjuk, jadilah seperti Yahudi yang mengkaji quran dan hadis, malah menghafalnya tetapi tiada apa pun yang mereka perolehi tentang ilmu ketuhanan. Petunjuk adalah hidayah, yang Tuhan berikan kepada sesiapa saja hambanya yang dikehendakiNya.

Ilmu basic pun aku tiada, bagaimana aku mahu ke peringkat yang lebih tinggi? Laa ilahaillalah tu baru kalimah yang pertama, kalimah keduanya Muhammad rasullah pun teraba-raba lagi. Jika ia semudah Aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa nabi muhammad itu pesuruh Allah sudah tentulah aku tak bimbang. Bertahun aku hafal ayat ni.

Bagaimana aku nak bersaksi yang Allah itu adalah Tuhan kalau Dia pun aku tak kenal? Bagaimana pula aku nak bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruhNya sedangkan aku langsung tak pernah berjumpa dengan baginda? Jika di negeri akhirat nanti aku dipersoalkan, apa jawapan aku nak bagi? Di dunia, jika kita menjadi saksi kepada orang yang tidak pernah kita kenali atau tak pernah kita jumpa, ia dikira sebagai saksi palsu. Bagaimana pula nasib aku di akhir nanti? Bila ditanya, "Siapa Tuhan kamu?" Semudah ALLAH kah jawapannya? Atau aku tetap akan dicop sebagai saksi palsu di sana?

Aku boleh menipu makhluk dengan berpura-pura pergi ke masjid, mendirikan solat berjemaah seperti biasa, merasa tenang bila membaca quran tapi aku tidak mampu untuk menipu orang yang lebih arif daripada aku. Paling penting aku tak dapat nak tipu diri aku sendiri pun. Perasaan tertanya-tanya itu sentiasa menghantui aku walaupun hati ni sering berkata, "Tak apa lah, janji aku dah buat apa yang disuruhNya." Walaupun Ar-Rahman itu salah satu sifatNya tak bermaksud Dia menerima ibadah cincai aku ni dan aku terus-menerus berbuat cincai kepadaNya. Adakah bermaksud jika Tuhan tu Maha Pemurah aku boleh buat sekadar melepaskan batuk di tangga saja walhal aku tahu ada yang tak kena dengan apa yang aku buat tu.

Semua orang pun tahu dosa yang paling besar adalah syirik. Aku tak perlu pergi menyembah tokong atau patung budha untuk jatuh syirik. Selagi mana aku belum kenal siapa Dia, selagi itulah aku berada dalam kesyirikan yang nyata. Merasakan diri ini seperti menyembah ALLAH sedangkan Dia pun aku tak kenal adalah sifat yang paling teruk sekali. Selama itu jugalah aku menjadi si munafik kerana berpura-pura melakukan ibadah yang aku sendiri terpinga-pinga untuk siapa semua ni? Untuk huruf alif lam lam ha kah? Atau untuk huruf  A L L AH kah? Jika begitu, Tuhanku adalah huruf! 

Setiap hari aku meminta secara membuta tuli, "berilah aku petunjuk ke jalan yang lurus..." tapi aku masih belum 'duduk' di atas jalan yang lurus tu pun. Macam mana nak duduk pun aku tak tau.

Jadi, aku tak pernah menganggap ceramah itu tidak bagus. Cuma tempat aku bukan di situ. Aku duduk di bawah lagi, diperingkat paling dasar.

Awalluddin makrifatullah = Awal agama mengenal Allah

Aku masih sangkut di sini! 











No comments:

Post a Comment