12 November 2015

Sesat

Ada yang suka baca posting di sini, ada juga yang menyampah. Ada juga yang melabel sesat dan sebagainya.

Terpulang saja.

Hanya orang yang sesat sahaja sentiasa meminta petunjuk...

Sehari berapa kali kamu meminta petunjuk (ke jalan yang lurus....)?

12 July 2015

Al-Quran yang Qodim - 2

Dalam mikrajnya Nabi Muhammad SAW Jibril tak ikut sampai ke Sidratul Muntaha, iaitu puncak dari ketinggian (langit).

Refleksi dalam diri, Jibril adalah puncak kecerdasan akal.  Akal memang tak mampu menggapai TUHAN, hanya mampu mencapai suatu titik tertentu saja dalam perjalanan tersebut.

Jadi bagaimana Jibril menyampaikan wahyu jika tak mampu menggapai puncak ketinggian? Pada dasarnya Jibril adalah sang "penjabar", atau yang menerangkan atau sang penterjemah yang mengerti dan dapat menterjemahkan bahasa nurani menjadi bahasa akal. Dari bahasa yang dapat difahami akal itulah wahyu menjadi kalam, lalu kalam menjadi huruf-huruf dalam tulisan.

Kalamullah yang sejati adalah ibarat kod ginetik daripada Nur Muhammad sendiri. Kalam = Kaf, Nur = Nun. Kedua-duanya menjadi "KUN". Pendek kata Nur itu adalah TUBUH bagi kalam sedangkan Kalam itu adalah kod genetik yang mana dengan kod tersebut tubuh bisa terbentuk menurut apa yang dikehendaki. Demikianlah nur itu mapu mengerti setiap fungsinya.

Dari satu Kalamullah yang tunggal, ia dijabarkan/diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dan dalam berbagai wujud kata-kata. Kalamullah kemudianlah yang menjelma menjadi Zabur, Taurat, Injil dan akhirnya Qur'an dimana sumber cahayanya adalah sama dan tunggal. Penterjemahan Jibrillah yang berbeza-beza, tersuai dengan keadaan setempat para rasul.

Hingga kini Kalamullah dalam wujud cahaya masih ada dan Jibril tak pernah berhenti daripada menterjemahkannya kepada orang-orang tertentu. Namun ia tak lagi disebut wahyu kerana wahyu itu sebutan khusus bagi kenabian sebaliknya ia disebut ilham. Hanya cebisan-cebisan kecil saja, tak selengkap turunnya wahyu kepada seorang nabi. Walau apa pun, kata orang setitis embun itu adalah rahmat dan anugerah yang terindah.
 
Begitulah yang sebenarnya, wahyu itu tak pernah berhenti sampai kiamat. Hanya sebutannya saja yang berbeza. Kalamullah itu terus-menerus dan melekat pada diri Allah. Betapa rahmat yang sangat luas yang sukar ditangkap oleh hati yang buta. 

Jika Al - Quran masih lagi berupa huruf-huruf dan tulisan saja, kita sebenarnya sedang rugi. Kita perlu dapatkan cahayanya iaitu dari Kalamullah yang sejati, cahaya yang sebelum dijabarkan/diterjemahkan oleh  Jibril.

Sesungguhnya itulah permata.

17 June 2015

Taubat

Taubat tidak dinilai dari banyaknya air mata yang kau keluarkan
Bukan pula dari "penyesalan sesaat" atas sebuah perbuatan buruk

Taubat merupakan usaha untuk memperbaiki diri dari masa ke masa
Jika air mata adalah ukurannya, maka buaya pun menangis, ikan duyung pun menangis

Taubat adalah proses yang panjang, makan masa bertahun-tahun bukan sekadar membaca doa atau istighfar atau solat sunat taubat.

Taubat adalah proses yang digerakkan oleh keinginan dan kesungguhan hati untuk menjadi lebih baik dan baik lagi.

Wuduk yang hakiki sebenarnya adalah proses "taubat". Tanpa adanya niat yang kuat untuk memperbaiki diri sendiri dalam taubat, solat secara hakikatnya tidak akan mampu dilakukan sempurna. Pi mai pi mai tang tu juga... 

Solat yang dimaksudkan di sini bukanlah sekadar yang 5 waktu tu, tapi solat yang hakiki, iaitu "menghubungkan diri" kepada Allah. Dalam setiap waktu, setiap saat, batin selalu tertuju kepada Allah tak boleh lepas dariNYA walau sesaat, selalu bersambung/wushul kehadrat ilahi. Itulah yang dimaksudkan dengan solat. Sepanjang batin tertuju kepada Allah, sepanjang itulah manusia takkan mampu mengerjakan perbuatan keji dan mungkar....

"...dan dirikan solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar" (25:45)

 

10 June 2015

Solat

Allah tak pernah sedikit pun perlukan solat daripada hambaNYA. Kita tak solat pun tiada kerugianpun bagiNYA.

Sebenarnya yang memerlukan solat itu ialah kita, kerana dengan solat kita sedang bersyukur dan memuji Yang Maha Agung. Dengan solat juga kita dapat menjauhi perbuatan yang keji dan mungkar, kerana apabila kita mampu menjauhi perbuatan-perbuatan yang tercela sebenarnya kita sedang memuji diri kita sendiri.

Jika mampu melakukannya maka kita akan merasakan syurga di dunia ini.

Faham kok? Tak paham jangan ditanya lagi. Aku bukanlah orang yang memberi faham.

07 June 2015

Al Quran yang Qodim

Dimanakah Al Quran Hakiki, yang tak lut dek api, tak lapuk dek hujan dan tak lekaq dek panas?

Apa yang dibaca orang itu ialah manuskrip Qur'an.

Al Qur'an hakiki itu ialah Al Qur'an yang Qodim, yang tiada permulaannya iaitu Nur Allah, Kalamullah. KalamNYA itu tunggal dan bersatu (manunggal) dengan diriNYA.

Ketika Nur itu diturunkan kpd Musa as, ia menjadi Taurat,
Ketika Nur diturunkan kepada Isa as, ia menjadi Injil,
Ketika Nur diturunkan kepada nabi Muhammad saw, ia menjadi Al-Qur'an.

Cahayanya atau nurnya sama saja, tak pernah berubah. Nur yang sama, yang itulah jua. Kitab yang tertulis (berhuruf) itu sebenarnya umpama peta perjalanan, agar manusia dapat menemukan kitab yang tak huruf tadi, iaitu Al Qur'an yang hakiki, Nur dari Kalamullah.

Ramai yang terkandas kerana menggunakan manuskrip tu sebagai bahan untuk dibuat modal berdebat padahal manuskrip tu bukanlah hasil akhir yang hendak dituju.

Temukanlah Al Qur'an hakiki itu di dalam hati kita sendiri. Itulah yang disebut Al-Furqon iaitu pembeza antara yang haq dan yang batil

Fahamilah bahawa tanpa Al Qur'an yang hakiki, manuskrip Al Qur'an yang kita kenali tu akan difahami dalam arah yang salah.

Jadi yang selama ini dikatakan makhluk itu adalah manuskripnya Al Quran sedangkan Al Quran yang hakiki bukanlah makhluk.

27 May 2015

Jabariah


Fahaman Jabariah

Pendapat Jabariah, segala sesuatu yang terjadi pada manusia dan alam ini merupakan kehendak Allah termasuk perbuatan-perbuatan maksiat yang dilakukan oleh manusia. Aliran Jabariah mengibaratkan bahawa semua perbuatan manusia tak ada bezanya dengan wayang, manakala pendapat Qadariah pula sebaliknya. Manusia bebas menentukan nasibnya sendiri melakukan segala sesuatu yang diinginkan baik dan buruknya. Jadi syurga atau neraka yang diperolehnya bukan merupakan takdir Tuhan melainkan kerana kehendak dan perbuatannya sendiri tanpa campur tangan Allah.

Dalil fahaman Jabariah

Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu" (37: 96).

Allah membebaskan hati manusia tanpa campur tanganNYA, sedang gerak jasad manusia tiada kuasa pun tanpa izinNYA. Atas sebab itulah jika ada orang yang berniat berbuat baik tetapi tidak sempat buat baik sudah diganjarkan pahala

Manusia bukan sepenuhnya wayang seperti fahaman Jabariah. Manusia disuruh berikhtiar, berusaha menentukan takdirnya sendiri dengan usaha dan berdoa.

10 April 2015

Mati sebelum mati

Kita biasa mendengar atau membaca ungkapan "Belajarlah mati sebelum mati"

Bagi yang baru dengar atau baca, tentu saja bertanya apa benda mati sebelum mati ni?

Sederhananya dari segi bahasa begini saja,.... yang dikatakan sakaratul maut itu adalah rasa sakit yang mencengkam waktu ketika maut menjelang. Sakit itu adalah akibat daripada penolakan jiwa atas kematiannya sendiri, sedang ia berusaha mempertahankan hidupnya. 

Pernah bermimpi nak mati? Atau pernah alami saat-saat hampir mati? Mampukah kita meninggalkan dunia ini? Anak isteri, keluarga yang lain dan segala-galanya? Alih-alih, terus terkejut dan bangun dari mimpi saja.

Semua akibat terlalu terikat dan termelekat dengan nikmat duniawi, sebab itulah tak mahu berpisah. Ketika keterikatan itu menjadi sangat halus/tipis, maka sakaratul maut tak lagi dirasakan sakit. 

Anggap saja kehidupan ini sebagai sebuah alam kematian agar tak terlalu terikat dengan dunia dan segala isinya.

Semakin kita menganggap dunia ini sebagai "alam kehidupan", maka akan semakin terikat dengannya dan pasti sukar untuk jiwa melepaskannya apabila tiba ketikanya.....

06 February 2015

Rahsia Akikah / Aqiqah

Daripada kita membuat sesuatu secara membuta tuli, lebih baik jangan buat. Buatlah benda lain yang kita faham dan tahu. 

Akikah bukanlah bermaksud menyembelih binatang agar binatang itu kenal dan menjadi tunggangan kita di akhirat kelak. Macam-macam versi lain juga ada pasal ni. 

Mengapa perlu sembelih binatang? Mengapa tak boleh sembelih ayam?

Barangkali jawapan paling malas ialah kerana nabi tak buat.

Anak-anak sebenarnya mewarisi sifat-sifat ibu bapanya. Dalam sains, ia mengikut ginetik orang tuanya. Genetik di sini bukan sekadar bermaksud hormon-hormon, penyakit-penyakit tetapi lebih kepada sifat-sifat buruk (binatang) yang diwarisi daripada kedua orang tuanya. 

Lihat jika ibu atau bapanya seorang yang bernafsu tinggi, maka dia juga akan mewarisi sifat-sifat tersebut. Jika orang tuanya seorang yang perengus, pemarah, pembaran, maka lihat saja anaknya bagaimana.

Dalam keadan masih bayi, sifat-sifat ini mungkin belum jelas kelihatan tapi tak bermakna tiada. Lihat saja waktu anak itu mula membesar. Perlahan-lahan dia akan mewarisi sifat-sifat ibu bapanya. Akikah sebagai simbolik untuk memutuskan sifat-sifat binatang yang diwarisi oleh seorang anak daripada orang tuanya. Agar anak kecil itu membesar tidak seperti binatang walaupun lahiriahnya manusia kacak.

Maaflah kalau penerangan ni lari jauh daripada penerangan ustaz-ustaz lulusan universiti dalam mahupun luar negara. Nak percaya, percayalah. Tak nak pun takpe. Buat apa nak gaduh-gaduh?


Di mana sifat pengasih dan penyayang?

Buat mereka yang menyokong tindakan dari pihak yang menggelarkan kumpulan mereka pejuang Islam atas nama apa pun (termasuk ISIS), cuba renungkan betul-betul... memang benar mereka golongan muslim yang rajin beribadah seperti solat berjemaah, puasa, zakat dan lain-lain cuma satu hal yang amat aku tak faham kenapa dengan seluruh ibadah itu mereka masih lagi gemarkan peperangan, gemarkan pembunuhan walaupun sesama muslim?

Segala ibadah mereka masih belum mampu melembutkan hati binatang mereka. Mengapa? Dengan seluruh ibadah itu juga mereka masih belum mampu menunjukkan sikap lembut, pengasih dan penyayang sesama manusia?

Mudah itu kita talakan segala kepincangan ini ke atas yahudi. Amat mudah. Barangkali banjir di Kelantan tempoh hari pun yahudi punya angkara jugak, kan?

Merekalah sebenarnya yang menghina agama Islam walaupun mulutnya melaungkan Allahuakbar! Merekalah yang menghina nabi walaupun praktikalnya nampak seperti melakukan sunnah! Tak lebih daripada dajjal kecil sahaja.