Showing posts with label solat. Show all posts
Showing posts with label solat. Show all posts

15 March 2016

Pengertian mudah tentang solat

Kita seringkali ditekankan tentang betapa pentingnya solat. Lebih penting untuk kita mengetahui apa itu solat sebelum melakukan solat. Jika tidak, hanya syok sendiri saja dengan menyangka telah melakukan solat dan memandang orang yang dilihat seperti tidak solat itu lebih teruk daripada kita yang kononnya telah bersolat.

Solat menurut mushaf Al-Quran merupakan perbuatan mecegah daripada perbuatan keji dan munkar. (29:45)

Setiap perbuatan yang dikatakan solat itu jika tidak dapat mencegah perbuatan keji dan munkar wajarkan dipanggil solat?

 Solat didirikan, BUKAN dikerjakan!


10 June 2015

Solat

Allah tak pernah sedikit pun perlukan solat daripada hambaNYA. Kita tak solat pun tiada kerugianpun bagiNYA.

Sebenarnya yang memerlukan solat itu ialah kita, kerana dengan solat kita sedang bersyukur dan memuji Yang Maha Agung. Dengan solat juga kita dapat menjauhi perbuatan yang keji dan mungkar, kerana apabila kita mampu menjauhi perbuatan-perbuatan yang tercela sebenarnya kita sedang memuji diri kita sendiri.

Jika mampu melakukannya maka kita akan merasakan syurga di dunia ini.

Faham kok? Tak paham jangan ditanya lagi. Aku bukanlah orang yang memberi faham.

16 July 2014

Solat vs Sembahyang



Yang dimaksud dengan solat itu bukan yang 5 waktu tu. Itu disebut sembahyang, iaitu menyembah Sang Hyang (Tuhan) seperti mana seolah-olah Sang Hyang ada dihadapan kamu. Itulah yang disebut ihsan.

Sembahyang pada hakikatnya adalah dorongan yang muncul dari sifat malakut dalam diri yang selalu mendorong untuk “menghamba”.



Ihsan pula sebenarnya hanyalah "seolah-olah melihat Tuhan, tapi belum lagi benar-benar melihat Tuhan. Ihsan adalah berhayal dalam khayalan Ketuhanan.

Yang disebut solat itu adalah sholu, iaitu tersambung/terhubung. Tiada lagi terpisah dengan Allah. Maka ynag demikian sifatnya solat itu sebenarnya adalah 24 jam, 7 hari seminggu, 365 hari setahun, iaitu tanpa henti. Itu yang dikatakan daiman abada.

Maka fahamilah apa itu solat dan apa itu sembahyang.





04 May 2014

APA ITU SOLAT ? ( Syariat, Hakikat, Makrifat )

Solat dari takrif bahasa merupakan doa.

Pengertian solat dalam syarak pula ialah "beberapa ucapan dan beberapa perbuatan yang dimulai dengan takbir, disudahi dengan salam dan dengannya kita beribadah kepada Allah, menurut syarat-syarat yang telah ditentukan."

Takrif solat dari pandangan Ariffbillah pula ialah "solat itu suatu perhubungan yang menghubungkan antara hati dengan Tuhan. Tujuannya untuk MENYATAKAN Tuhan."

Ada tiga perkataan penting yang perlu perhatian :

1. Perhubungan
2. Hati
3. Tuhan

Huraian tafsiran solat dari pandangan Ariffbillah:

Solat itu suatu PERHUBUNGAN. 


Apa yang hendak dihubungkan? 
Menghubungkan Hati dengan Tuhan.

Apa maksud hati? 

Hati itu Qalbu/Roh. Maka yang hendak dihubungkan adalah Roh dengan TuhanNya. 

Siapa yang menghubungkan? 
Tuhan itu sendiri melalui perantaraan Roh. Tuhan menyatakan diriNya melalui Roh. Roh menyatakan diriNya melalui makhluk (manusia). Manusia menyatakan dirinya melalui jasad. Jasad menyatakan dirinya melalui sel. Sel menyatakan dirinya melalui nukleus. Nukleus menyatakan dirinya melalui atom dan atom itu kembali menyatakan diri TuhanNya. (Tujuh Martabat : Bermula dengan Tuhan dan berakhir dengan Tuhan )

Perhubungan itu boleh membawa maksud menyaksikan, bertemu, berkomunikasi atau berinteraksi. Komunikasi yang baik adalah komunikasi dua hala. Apalah erti komunikasi jika hanya satu pihak saja yang berkomunikasi? Apalah erti pertemuan jika tidak bertemu? Apalah erti berinteraksi jika satu pihak sahaja yang beri reaksi? Apalah erti saksi, jika tidak kenal saksi dan tidak pernah menyaksikan saksi?


Bila telah berkomunikasi, bila telah berinteraksi, bila telah bertemu antara Roh dengan Tuhan, maka akan nyatalah Penyaksian itu. Nyata penyaksian bermakna, nyatalah Tuhan itu. Bila nyata Tuhan, maka tiadalah segala sesuatu melainkan DIA.

Apa tugas makhluk manusia? 

Untuk beribadah kepada Tuhan.

Apa itu ibadah? 
Merendahkan, menundukkan dan melenyapkan diri makhluk hingga tidak lagi kelihatan segala sesuatu, zahir dan batin melainkan Allah. 

Bagaimana nak merendahkan diri?
Buang segala sesuatu yang bersifat makhluk. Bila mati sifat makhluk, maka nyatalah sifat Tuhan. Bila Tuhan telah nyata, maka berhubunglah. 

Bagaimana untuk berhubung? 
Lakukan solat. 

Apa itu solat? 
Suatu perhubungan yang menghubungkan antara hati dengan Tuhan. Tujuannya untuk menyatakan Tuhan. 

Bagaimana bersolat (berhubung)? 
Matikan diri daripada segala sesuatu. Buang segala sifat makhluk. Buang segala nama yang bernama. Buang segala sifat yang bersifat, Buang segala perbuatan yang memperbuat. Buang segala zat yang berzat. Bila segalanya telah dibuang, pulangkan segala sifat itu kembali kepada pemilikNya (Tuhan). Tuhan itulah Nama (Asma') bagi segala yang bernama. Tuhan itulah Sifat bagi segala yang bersifat. Tuhan itulah yang memperbuat segala Perbuatan (Af'al). Tuhan itulah Zat bagi segala yang mempunyai zat. Sebab itulah bila sampai di "haiya alaasolah" kita pun menjawab "laa hau lawala quwwata illa billah..."


Hubung kait pengertian solat syarak dan solat makrifat

Di dalam pengertian syarak, ia lebih menerangkan perihal kaedah atau cara perlakuan solat dari zahir kepada batin, manakala pengertian ariffbillah lebih tertumpu kepada perhubungan dari batin kepada diri batin, tetapi kedua-duanya bermatlamat menuju kepada tujuan yang sama iaitu, Allah.

Syarak atau syariat itu bermakna peraturan, hukum atau undang-undang. Peraturan itu untuk manusia yang bertubuh berjasad yang bersifat zahir ini. Justeru itu pentakrifan syariat itu lebih menyentuh perihal sesuatu yang bersifat zahir kepada manusia. Sesuatu yang zahir itu tidak dapat dizahirkan melainkan ada yang batin. Perkara batin tidak dapat dihuraikan oleh perkara zahir. Hanya batin yang dapat menghuraikan perkara batin. Justeru itu istilah syariat banyak mengandungi kias dan perumpamaan yang perlukan ilmu untuk difahami. Solat dalam takrifan syarak itu ada sedikit kias.

Kiasannya ialah bagaimana perkara zahir (Beberapa ucapan dan beberapa perbuatan yang dimulai dengan takbir, disudahi dengan salam) boleh bersama dengan perkara batin (beribadah kepada Allah)?

Hanya perkara batin yang dapat bersama perkara batin. Hanya batin yang mengenal batin. 
Bagaimana yang zahir boleh mengenal yang batin? 
Perkara zahir adalah perkara nampak. Perkara batin adalah perkara tak nampak. Bagaimana perkara nampak hendak melihat perkara tak nampak?

Contohnya begini :

Dengan keadaan sedar dan jaga, cuba kita bayangkan sebiji buah manggis yang ranum. Sekarang, cuba kita gerakkan tangan dan cuba kita ambil buah manggis yang dibayangkan itu dengan tangan yang ada. Boleh? Nescaya tidak boleh ! Tangan itu perkara zahir, mana mungkin boleh ambil manggis yang wujud hanya dalam bayangan atau hayalan.

Sekarang, cuba pula kita letakkan diri kita dalam gelombang Alpha atau Theta (berhayal atau mimpi). Dalam hayalan itu, cuba kita ambil manggis tadi, kemudian kita kupas kulitnya, kita makan isinya dan kita rasa sedapnya. Kalau hayalan atau mimpi kita kusyuk, nescaya kita dapat merasakan yang kita benar-benar mengambil, mengupas dan memakan buah manggis itu. Malah, sedapnya rasa manggis itu, seolah-olah benar-benar terasa di tekak.

Contoh ini menyatakan bahawa, mana mungkin perkara batin boleh dirasa oleh perkara zahir. Hanya batin yang dapat mengenal batin. Buah manggis dalam hayalan atau mimpi itu hanya boleh dirasa oleh orang yang berkhayal atau bermimpi. Mana mungkin orang yang sedar boleh merasa manggis yang wujud dalam hayal atau mimpi.

Jika dibawa ke persoalan solat, takrif ariffbillah (makrifat), lebih mirip kepada perkara batin dan takrif syarak (syariat), lebih mirip kepada perkara zahir. Namun kedua-duanya menuju tujuan yang sama, iaitu kepada Allah! cuma, jalannya sahaja yang berbeza.

Perlu diingat, meskipun tujuan jalan syariat dan jalan hakikat itu sama, namun ramai pengikut-pengikut aliran syariat dan ramai juga pengikut-pengikut aliran hakikat “tersesat” ketika mencari jalan. Sebabnya? kerana mereka itu, kurang ilmu, hanya penuh dengan maklumat sahaja!

Bagaimana kita tahu kita tersesat jalan? Kita tahu kita tersesat, bila kita rasa kita masih tidak kenal dan tak jumpa akan apa yang kita cari. Kita tahu kita tersesat bila kita rasa kita masih tak sampai-sampai ke tempat dituju. Bila kita masih tidak tahu apa itu ikhlas. Bila kita tak pernah rasa dan masih tercari cari apa itu kusyuk. Bila kita masih mengaku, ini aku punya, itu aku buat. Kita tahu kita tersesat bila kita rasa kita "mampu" untuk mengucapkan syukur kepada Allah!!

Makanya, bila kita tahu yang kita telah tersesat dihujung jalan, maka, hendaklah kita balik ke pangkal jalan. Balik ke pangkal jalan itu, adalah balik ke tempat asal, tempat bermulanya perjalanan kita...

Bagaimana kita boleh tersesat jalan? Kita tersesat kerana kita tidak tahu jalan. Tidak tahu jalan kerana kita tidak tahu mencari jalan. Tidak tahu mencari jalan kerana kita tidak faham akan ilmu. Kebanyakan daripada kita menganggap maklumat itu sebagai ilmu. Maklumat tidak akan dapat mengenal dan tidak akan sampai ke tempat tuju (Allah). Untuk maklumat menjadi ilmu, kita perlu tahu teknologi memproses ilmu. Bila kita faham akan teknologi ilmu, maka barulah kita boleh memproses maklumat untuk dijadikan ilmu. Bila tahu cara memproses maklumat, maka barulah makna atau maksud oleh dihasilkan. Bila makna terhasil, maka barulah kita beroleh faham. Bila beroleh faham, barulah mengenal jalan. Bila mengenal jalan, baru tak sesat. Bila tak sesat, barulah sampai ke tempat tujuan. Maka, belajarlah! Tuntutlah ilmu walaupun sampai ke negeri China. Walaupun ulama hadis mengatakan hadis ini palsu dan daif, itu tidak menjadi soal, anggap saja ianya sebagai kata-kata mutiara, kerana kita cuma ingin mengambil ilmu di sebalik kata-kata itu.


Apakah Solat Itu Yang Menjadi Tujuan?

Solat itu bukan menjadi tujuan. Yang menjadi tujuan ialah Allah, tetapi solat (perhubungan) itu WAJIB dilakukan dan tidak boleh ditinggalkan kerana solat adalah “perhubungan” yang perlu dilakukan untuk menyatakan Allah. Allah menyatakan diriNya melalui perantaraan roh dan roh menyatakan diriNya melalui perantaraan tubuh jasad manusia. Tubuh jasad manusia itu hanya penzahiran atau pantulan (reflextion) roh dan roh itu pula bersumberkan Allah. Maka kalau tidak bersolat, bagimana kita boleh menyatakan Allah? Maka bersolatlah. Jangan tinggalkan solat. Solatlah samada di dalam solat atau di luar solat. Solatlah samada solat di dalam takrifan syariat atau solat di dalam takrifan ariffbillah (makrifat).

Bila nyatanya Allah,maka tertunduklah diri, rendahlah diri, hapuslah diri. Yang Tinggi dan yang Wujud hanya Allah. Inilah ibadah! Inilah solat. Solat yang sentiasa tidak putus. Inilah Solat Daim (Perhubungan yang sentiasa tidak putus). Inilah solat yang tidak berkesudahan bermula dari subuh, habis subuh, sambung ke zohor, habis zohor, sambung ke asar, sambung, ke maghrib,sambung ke isyak dan berbalik ke subuh, tanpa batasan waktu!

Cuma, dalam hendak menyatakan Allah itu, kita perlu ada ilmu bagaimana hendak berhubung. Perlu faham setiap takrifan syariat. Perlu tahu dan faham juga takrifan hakikat dan makrifat. Sebab itu kita perlu kepada banyak guru. Sebab itu kita perlu kepada banyak buku. Guru mengenal Tuhan, tidak semestinya guru agama. Buku mengenal Tuhan juga tidak semestinya buku agama. Guru mengenal Tuhan tak semestinya fasih berbahasa Arab. Guru mengenal Tuhan tidak semestinya bernama ala Arab. Apakah nama Sustarjo, Yuduyono, Kulup, Lebar, Timah, Kiah, Jack, Daniel, Ma Ye Tze, atau Mutthu, itu tidak Islamik? Guru mengenal Tuhan tidak semestinya bergelar al-Ustaz, as-Syeikh, al-Fadhil, al-itu atau al-ini.

06 July 2012

Di mana kita

Apakah perlu melakukan sesuatu tanpa mengetahui hikmah disebaliknya atau mencari jawapan kepada persoalan 'mengapa & kenapa'? Tahu dan faham adalah perkara yang berbeza. 

Meninggalkan solat adalah berdosa dan itu semua orang tahu. Tapi untuk apakah solat dan kenapa mesti solat, mungkin ramai masih tercari-cari. Jika bersolat kerana orang Islam wajib solat dan meninggalkannya seolah-olah meruntuhkan agama, itu masih dikategorikan sebagai 'tahu', belum 'faham' lagi.

Jika solat itu satu 'penyembahan' maka Tuhan pula memerlukan makhluk untuk menyembahNya. Ini dah bertentangan dengan sifat 20. Jika ada yang mengatakan solat bukan satu bentuk penyembahan, habis apakah ia?

Ashaduanlailaha = Tiada Tuhan melainkan
illallah = Allah

Mana datang pula perkataaan 'yang disembah' kat situ?

Di manakah letaknya nafi dan di mana pula isbat?

Paling penting, apa itu nafi dan apa itu isbat? Adakah macam air sirap sarbat?

Nak nafi apa, nak isbat apa?

Tak lepas jawab bermakna masih terkapai-kapai lagi.










28 March 2011

fitnah

kita perlu ada pendapat sendiri dan yakin dengan pendapat kita. tu yang aku kira penting. dengan ini kita tak mudah goyang dengan cabaran dan berita yang mendatang kerana kita telah ada pegangan diri.

mudahnya orang mempercayai sesuatu berita tanpa asal-usul periksa walaupun mereka ni solat 5 waktu. soalnya adakah itu pengukur keimanan seseorang? belum tentu bang! tunjukkan kepada aku satu makhluk yang boleh lihat keikhlasan seseorang dalam beribadat.

alhamdulillah, setakat ni aku masih dicekalkan hati untuk mempertahankan pendapat aku daripada anasir-anasir fitnah. bodohnya mereka yang solat tapi kosong. baca al quran tapi bongok. rasa iman didada telah mantap tapi perangai lebih teruk daripada iblis.

hah! cakap pasal iblis. bukan nak membesar-besarkan iblis si laknat tu. cumanya, dia tu asalnya ahli ibadah dan berilmu tinggi. dosa dia hanya kerana tak sujud pada nabi adam. dosa manusia pula berbilang bangsa banyaknya. menduakan Allah tanpa disedari adalah pasti.

iblis tak pernah menduakan tuhannya. perlu diingat, dosa yang takkan diampunkan Allah adalah syirik. jelaslah bahawa manusia lebih hebat jahatnya daripada si iblis. tapi dalam masa yang sama manusia boleh menjadi lebih mulia daripada malaikat. kenapa? sebab malaikat tiada nafsu jadi tiadalah mereka membuat dosa. manusia pula dikurniakan pelbagai jenis nafsu tapi masih mampu mentauhidkan Allah. kan hebat manusia ni. itu pasal manusia dijadikan sebagai khalifah, bukan malaikat.

sudah-sudahlah bab fitnah-memfitnah ni. letaklah seburuk mana pun fitnah tapi kalau Allah lindungkan juga bagaimana? belajar daripada sejarah nabi kita. baginda pun difitnah juga. andaikata kita ditakdirkan hidup pada zaman nabi membawa ajaran islam, adakah kita orang yang akan mengikuti baginda atau kita akan ikut abu lahab? tepuk dada, tanya iman la brader.