Showing posts with label tembak. Show all posts
Showing posts with label tembak. Show all posts

24 June 2011

Palestin

Diwaktu malam yang sunyi, dalam bilik aku ni, pasti ada satu sudut dunia sedang bergolak, berkecamuk dan huru-hara. Disebalik ketenteraman yang aku sedang nikmati sekarang, ada satu sudut dunia sedang kacau-bilau, berperang dan berbunuhan. Ada yang bertanya di manakah Tuhan waktu semua ni berlaku? Kenapa Dia biarkan kekejaman ni terus berlaku?


Disebalik semua nikmat yang sedang aku rasai sekarang, ada insan yang sedang ketakutan, kegelisahan dan kesusahan.

Rakyat Palestin harus dipuji. Walaupun dibunuh saban hari oleh Yahudi, mereka tetap silih berganti. Perjuangan tak pernah berhenti. Melawan peluru hidup dan kereta kebal dengan batu dan lastik. Berperisaikan isi dan kulit, mereka tak pernah berhenti berjuang. Nampak sia-sia, nampak seperti mereka kalah. Tapi jiwa mereka masing-masing adalah juara.

Kekejaman bangsa Yahudi ni tak mengira batas umur dan jantina. Sama ada kanak-kanak, perempuan atau pun orang tua, mereka sapu bersih. Ini menunjukkan sifat binatang yang ada dalam diri manusia melebihi mana-mana makhluk yang kita panggil binatang. Tiada belas kasihan langsung.

Jangan sekali-kali kita menganggap Allah tu tak adil kerana kalau ya, bermaksud kita masih lagi belum mengenal siapa yang menyembah dan siapa yang disembah.

Pemuda-pemuda Palestin akan tetap terus ditembak kerana mempertahankan diri, agama dan negara mereka. Kehilangan mereka pasti berganti. Walaupun mereka kalah dalam pertempuran, mereka sebenarnya menang dalam peperangan.....

09 June 2011

Polis


Gambar kat atas tu adalah gambar suami isteri yang mana anak mereka ditembak polis atas alasan menyerang penggunakan parang.

Aku malas nak ulas panjang lebar lagi tentang kes ni. Tapi kita semua boleh lihat, asal orang kena tembak je mesti mereka cuba serang polis guna parang. Sampaikan budak bawah umur pun berani serang polis guna parang. Arwah adik aminulrashid pun serang polis dengan parang sambil memandu kereta. Hebat budak-budak ni.

Menurut NGO, anak pasangan di atas ditembak dari jarak dekat di kepala dan dada. Hasil bedah siasat menunjukkan budak tu ditembak di kepala dan tembus di belakang leher. Bermungkinan besar ditembak waktu tengah melutut. Apa kata polis? Mereka takkan mengaku. Anggota yang terlibat tak perlu risau. Satu jabatan akan back-up anda. Inilah hebatnya menjadi polis. Boleh tembak sesiapa saja asalkan bukan orang politik.

Bukan aku mengatakan keseluruhan pasukan polis tu korup tapi ada di antara mereka yang cukup suka untuk menyalahgunakan kuasa. Tak kira muda atau tua. Jabatan terpaksa mempertahankan anggota-anggota sebegini demi imej pasukan. Tapi berbaloikah?

Budak yang ditembak tu budak Melayu, silap-silap belum baligh lagi. Kalau tembak anak menteri macam mana? Confirm cepat kena dakwa. Hakikat pahit yang terpaksa masyarakat terima ialah kejadian seperti ini boleh berulang lagi. Asal nampak orang yang mencurigakan, terus lepaskan tembakan. Bila tersilap, tembak semua sekali bagi mati ibarat biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Maaf, aku amat kurang yakin dengan kenyataan polis negara ini. Mereka kadang-kala bertindak diluar batasan undang-undang dan menjadikan undang-undang satu kelebihan buat mereka.

Jenayah berlaku kerana penjenayah makin pandai. Mereka tahu polis takkan dapat tangkap mereka. Sebab tu la bila kes begini terjadi dan polis mendakwa berjaya menumpaskan geng minyak tapi kejadian jenayah terus meningkat. Budak-budak tu bukan lawannya. Mengapa mereka ditembak macam binatang?

Polis yang korup patut didakwa dan dibuang kerja. Banyak lagi orang baik mahu jadi polis. Mengapa calarkan imej pasukan ini yang dulunya mulia kerana menjaga keselamatan orang awam?


23 May 2011

Jenayah

Ada orang bimbang nak keluar ke mana-mana sekarang ni kerana kes simbah asib berleluasa. Terus-terang aku katakan aku lebih bimbangkan polis yang salah guna kuasa berleluasa. Lihat saja arwah adik Aminulrasyid ditembak hanya kerana memandu tanpa lesen. Bukankah itu lebih menakutkan daripada kes simbah asid sekarang ni? Polis bebas melakukan apa saja dan apabila mereka tersilap membuat pertimbangan, walaupun melibatkan nyawa orang awam yang tak bersalah, mereka sentiasa saja ada alasan untuk menutup kekurangan tersebut.

Tindakan membawa si koperal keparat yang menembak tu memang dialu-alukan tapi lebih penting ialah pihak polis sepatutnya memperbaiki semula prosedur mereka apabila mula menembak. Kes tembak orang awam bukanlah satu dua, tapi dah banyak. Masalah orang awam pula ialah, bila polis yang salah, kita terpaksa adu pada polis juga. Serupa macam bila kita kena rompak, kita adu pada perompak lain pula.

Berkali-kali pihak polis mengeluarkan kenyataan berhubung kes simbah asid tapi orang yang terlibat belum pun ditangkap. Apa polis buat? Tangkap mat rempit suruh mengaku simbah asidkah? Jenayah semakin menjadi-jadi kerana penjenayah tahu mereka sukar ditangkap kerana polis lebih utamakan untuk menutup kes yang banyak. Maksudnya, tangkap 2-3 orang suspek, dera mereka sampai mereka mengaku. Kes selesai. Penjenayah sebenar teruskan kerja mereka. Inilah sikap polis yang buruk yang takkan mereka akui sampai bila-bila.

Siapa kata dalam lokap tiada penderaan? Tak perlu pergi jauh. Lihat DSAI bagaimana kena dera satu masa dulu. Lihat saja mendiang Kugen dibelasah hingga mati dalam tahanan. Tiada apa-apa tindakan pun oleh pihak polis. Sebabnya mereka yang belasah, mereka jugalah yang siasat. Takkan nak tangkap anggota sendiri dan jatuhkan integriti pasukan dengan mudah? Mereka perlu pertahankan walau apa sekali pun kesalahan pasukan mereka.

Jadi bila polis bodoh, penjenayah menjadi berani. Yang jadi takut ialah orang awam, yang terlalu meletakkan keyakinan mereka kepada pasukan polis yang sebenarnya korup ini. Bukanlah semuanya korup tapi telah menjadi prosedur mereka untuk mempertahankan anggota yang memang tak guna dalam pasukan. Tiada penambahbaikan langsung dibuat sejak kes menembak budak tempoh hari. Sebaliknya, orang awam pula ditempelak. Orang Melayu biasanya tak ambil kisah asalkan bukan keluarga mereka yang kena. Lihat orang Cina. Lihat Teoh Beng Hock punya keluarga. Mereka tuntut sampai sekarang. Ini benar-benar menyusahkan pihak kerajaan yang terpaksa melindungi dalang sebenar pembunuhan terbabit. Kenapa aku kata melindungi? Kerana yang terlibat pastinya VVIP dalam kerajaan juga. Teorinya sangat mudah. Bunuh di pejabat SPRM supaya SPRM bertanggungjawab dan pihak yang membunuh terlepas.

Polis pula apabila telah siapkan siasatan terpaksa pula menghantar kepada peguam negara. Peguam negara akan maklumkan kepada siapa? Siapa yang arahkan peguam negara untuk teruskan dakwaan atau minta pihak polis tukar hasil siasatan? JAdi dimanakah kebolehkepercayaan orang awam dalam sistem sebegini? Siapa yang bayar gaji peguam negara dan polis? Jadi peguam negara dan polis harus menurut perintah pihak yang membayar gaji mereka agar tidak dikenakan tindakan. Tahukan kamu bahawa jika seorang kakitangan kerajaan tidak menurut perintah pihak atasan, dia boleh dikenakan tindakan tatatertib ingkar perintah? Soal perintah itu wajar atau tidak bukanlah perkara pokok. Yang penting kena ikut perintah dan arahan.

Jadi, siapa yang lebih bahaya, polis atau penjenayah? Penjenayah dah memang kerja dia melakukan jenayah dan kita boleh mengambil langkah-langkah pencegahan. Tapi polis? Polis umpama penjenayah berlesen yang kalau kita cuba lawan, nahaslah kita. Mohon maaf kepada pasukan polis, tapi kamu lebih arif tentang ini. Sesungguhnya kadang-kala kebenaran tu amat pahit untuk ditelan.