04 October 2012

Sistem Perbankan Islam

Terbaca satu blog tulisan orang terkenal mengenai perbankan Islam. Aku tak berniat nak ulas panjang lebar cuma penulis menekankan sistem perbankan Islam adalah mengikut hukum syarak. Dan aku tak berpendapat sedemikian. Ini kerana perbankan Islam lebih membebankan berbanding perbankan konvensional. Berikut aku huraikan hujah aku dan hujah penulis.

Pendapat penulis:

Kadar faedah/interest pinjaman perumahan bank konvensional lebih tinggi, 6.75% + BLR sedangkan faedah perbankan Islam statik 7.6% sehingga tamat tempoh pinjaman, barangkali hingga 25 tahun. 

Pendapat aku:

Perbankan Islam hanya menukar istilah faedah/interest kepada istilah lain yang lebih mesra syarak seperi, keuntungan, hibbah, atau dividen. Faedah adalah riba, dan sejak bila Islam menghalalkan riba? Kambing kalau dipanggil goat, tetap binatang yang sama. 

Pendapat penulis:

Perbankan Islam tidak zalim. Harga yang ditawarkan adalah mengikut kehendak pasaran dan kemampuan bank. Islam menjaga hak pembeli dan penjual dengan adil. Ibarat kalau nak buat PhD kenalah bayar yuran yang tinggi, takkan bayar yuran murah.

Pendapat aku:

Yuran dan sistem perbankan tidak sama. Yuran adalah harga 'lump sum' yang perlu dibayar untuk mendapatkan sesuatu perkhidmatan. Sama ada nak bayar ansuran atau tidak itu soal lain, tapi bila nak beli rumah, wajiblah membuat pinjaman. Islam bukanlah sempit seperti kebanyakan manusia fikir. Riba tetap riba dan hukumnya tetaplah haram sampai kiamat biarpun ia dipanggil dengan nama yang lain. Hak pembeli ialah lebih kepada produk atau perkhidmatan yang dibeli mestilah memenuhi kehendak si pembeli manakala hak penjual adalah mendapat bayaran atas produk atau perkhidmatan yang dijual dan bukannya hak untuk mengenakan riba!

Pendapat penulis:

Jual produk atau perkhidmatan dengan harga dua kali ganda atau 100% keuntungan adalah halal. 

Pendapat aku:

Juallah dengan berapa peratus keuntungan sekali pun, ia tetap halal selagi tidak melibatkan riba.

Pendapat penulis:

Bank-bank Islam juga mempunyai pelabur yang mengharapkan pulangan dan keuntungan untuk maju ke depan. Jadi, jika ditawarkan pinjaman dan dibayar pada harga yang sama, tiadalah untung pada bank-bank tersebut. 

Pendapat aku:

Seperti yang aku katakan tadi, Islam bukanlah sempit seperti yang kebanyakan manusia fikir. Apabila riba diharamkan, ia bukan bermaksud untuk menghalang umat Islam daripada mengaut keuntungan. Ada bermacam cara untuk membuat keuntungan dan riba bukanlah salah satu daripadanya. 

Pendapat penulis:

Kepentingan dan kebajikan bank perlu dijaga dalam memberikan pinjaman, justeru itu, kadar faedah tak semestinya lebih murah daripada sistem perbankan konvensional. 

Pendapat aku:

Sekali lagi aku tekankan, riba tetap haram dan bukan satu alasan untuk mengaut keuntungan dan kebajikan. 

.....dan banyak lagi pendapat penulis yang diulas panjang lebar. Tapi isinya tetap berkaitan dengan hujah-hujah yang menjurus ke arah perlunya riba. 

Bayangkan begini...

Jika membuat pinjaman kenderaan dengan bank konvensional seperti RM50,000 untuk tempoh 7 tahun dengan faedah 4.0% setahun maka jelaslah kita akan faedahnya. Jumlah keseluruhan perlu dibayar adalah RM64,000. Tapi jika selepas 2 tahun, peminjam ingin melunaskan pinjaman, maka faedah untuk tahun-tahun akan datang tidak akan dikira. Dan dia akan bayar kurang daripada RM64,000.

Tetapi jika dalam perbankan Islam, mereka membeli kenderaan yang sama dan menjual dengan harga siap termasuk faedah lalu di'akad' kan. Katakan harga kenderaan RM50,000 dan selepas akad mereka jual semula dengan harga RM70,000. Selepas 2 tahun peminjam hendak melunaskan pinjaman, apa mereka akan buat? Mereka kata mereka tidak mengenakan faedah. Jadi berapa peminjam tadi harus bayar? Tetaplah RM70,000 juga. Dan untuk mengambil hati pelanggan, mereka mungkin memberikan rebat yang yang seberapa. Pokoknya, ia tetap lebih mahal daripada sistem konvensional. Jadi dimanakah Islamiknya di sini?

Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

2:275 

Jadi, selagi aku belum jumpa hadis atau ayat Quran yang menghalalkan faedah, maka pendirian aku tetap mengatakan bahawa sistem perbankan Islam negara kita lebih kejam daripada sistem perbankan konvensional. 

Kalaulah sistem perbankan Islam dilakukan tanpa riba, apakah bank-bank lain akan berdiam diri? Ia adalah satu sistem kewangan kapitalis yang direkacipta oleh yahudi yang diIslamkan saja. Jika sistem kewangan Islam sudah tentulah kita tidak akan mengikut nilai matawang. Ia akan bersandarkan pada emas kerana 1g emas di eropah tetaplah juga 1g di asia. Takkanlah jika ditimbang di eropah berbeza jika ditimbang di tempat-tempat lain? Jadi nilai emas tu sebenarnya sama dimata-mata saja, hanya penggunaan sistem matawang yang membuatkan yang kaya terus kaya dan yang miskin kekal miskin. 

Anda tak perlu mempunyai PhD untuk mengetahui yang riba itu haram dan tetap haram walau apa pun gelaran yang diberi. 

26 September 2012

Setanggi, Kemenyan dan Syirik

Majoriti masyarakat memandang serong perbuatan membakar setanggi dan kemenyan. Tak kurang juga yang tanpa berfikir panjang terus menjatuhkan hukum syirik.

Kat mana pulak jatuhnya syirik jika membakar setanggi atau kemenyan?

 

Pendapat yang mengatakan membakar kedua wangian tersebut sebagai memberi makan jin adalah sangat dangkal. Jin tak makan asap ciput macam tu. Baik dia makan tulang KFC, lebih kenyang.

Upacara membakar wangian ini juga sering dikaitkan dengan memanggil jin. Kalau tak bakar setanggi atau kemenyan jin tak nak datang ke? Seru saja, mereka terus sampai. Tak perlu nak bakar-bakar pun.

Aku tetap berpendapat hukum membakar setanggi adalah sunat. Begitu juga dengan kemenyan (selagi niatnya baik). Bukankah malaikat suka pada wangi-wangian?

Ada juga orang kata perbuatan ini mengikut orang India dan orang Cina, maka hukumnya haram. Jika begitu maka umat Islam haram memakai seluar dalam kerana orang kafir suka memakai seluar dalam. Orang Islam harus memikirkan sesuatu yang baru untuk menggantikan seluar dalam. Ok tak?

Syaitan apa yang suka pada benda-benda yang bersih, wangi dan harum? Jika orang Cina atau India pun suka, apa masalahnya? Jika mereka nak bakar setanggi atau kemenyan untuk upacara sembahyang mereka, kenapa nak kaitkan dengan orang Islam? Orang Islam membakar setanggi atau kemenyan bukan untuk mengikut upacara sembahyang seperti mereka.

Nak jatuh syirik tak perlu bakar kemenyan atau setanggi. Cukup merasakan diri ini perlukan sesuatu selain Tuhan. Contoh, perlukan duit untuk hidup senang, perlukan makanan untuk hidup dan lain-lain. 

Mari pergi lebih dalam lagi. Bila mana seseorang yang sakit atau demam, lalu makan panadol kerana menyangka panadol berupaya menyembuhkan penyakitnya maka jatuhlah syirik. Atau, bila perlu jumpa doktor maka sakitnya akan baik. Juga jatuh syirik. Ubat, doktor dan rawatan hanyalah penyebab kepada punca utama penyembuhan iaitu Allah. 

Selagi mana manusia masih berada di makam mubtadi, selagi itulah ia dalam keadaan menyekutukan Tuhannya (syirik). Apa itu mubtadi? Carilah sendiri.....






06 September 2012

Tiada bandingnya

Apa yang ramai isteri tak tahu ialah suami mereka amat memerlukan kasih sayang, kesopanan, kelembutan, ketaatan dan layanan terbaik seorang wanita yang mereka telah berikan mahar suatu masa dulu, bukannya gaji besar, rumah besar, kereta besar, baju cantik, dan apa-apa yang digilai semasa wanita tersebut haram disetubuhi olehnya satu masa dulu.

Layanan baik, sifat lemah-lembut, sopan dan ketaatan seorang wanita kepada suaminya adalah tak ternilai dan tak boleh dicari ganti, tapi duit, kecantikan, kereta, rumah dan lain-lain boleh saja dicari asalkan ada usaha ke arah itu.

Tapi berapa ramai isteri yang macam tu? Zaman sekarang, isteri lebih suka menuntut suami mereka buat macam-macam. Ada yang kata, memasak, membasuh dan mengemas bukanlah tugas seorang isteri. Semua ni berdasarkan kisah tentang rasulallah yang mereka dengar, apabila baginda menolong Aisyah memasak di dapur. Perlu diingat, tugas seorang isteri adalah memuliakan suami, taat dan patuh pada suami selagi mana suruhannya tak menyimpang daripada Islam. Jika memasak itu boleh mendatangkan keselesaan, kebaikan, kesukaan, dan yang paling penting adalah keredhaan suami, bukankah itu lebih baik?

Jika menukar kain lampin anak kecil yang kotor boleh mendatangkan kesenangan hati pada diri suami bukankah itu lebih mulia? Tapi tidak. Isteri zaman sekarang kalaulah boleh, mereka nak jadi macam suami juga. Jika syurga seorang isteri tu di bawah tapak kaki suami, mereka nak syurga suami pun di bawah tapak kaki mereka. Baru seimbang katanya.

Ingatlah, sesungguh Tuhan telah mengangkat lelaki untuk menjadi pemimpin bagi wanita bukannya wanita untuk memimpin lelaki. Pemimpin bermaksud ketua, imam dan yang seangkatan dengannya. Jika isteri asyik nak tuntut hak-hak yang sama, siapa pulak jadi imam, siapa yang jadi pemimpin?

Firaun adalah manusia paling jahat yang dicatatkan dalam Al-Quran, tapi tiada satu pun ayat yang menunjukkan Tuhan menggalakkan isterinya meminta cerai daripadanya. Asiah, adalah seorang yang beriman kepada agama tauhid, tetapi bersuamikan seorang lelaki yang mengaku Tuhan. Mana lebih teruk, suami anda atau firaun? Tapi Asiah tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri seperti mana yang sepatutnya. Anda? Suami masih Islam dan ada iman dalam dada, tapi macam-macam dah komplen.

Antara punca sesebuah rumahtangga bergongcang adalah apabila jiwa seorang isteri mula memberontak memprotes suaminya. Tak kiranya si isteri tudung labuh sampai cecah lantai sekali pun. Aku ada seorang kawan perempuan yang dikenali sewaktu belajar di sebuah universiti satu masa dulu. Wataknya seperti sejuk mata memandang dan sentiasa mencari lelaki yang terbaik untuk menjadi calon suaminya. Akhirnya, dia berkahwin dengan lelaki pilihan hatinya, seorang ustaz.

Namun kedamaian rumahtangga mereka tak lama. Empat tahun berlalu dan mereka bercerai. Mula-mula aku sendiri segan nak tanya apa puncanya kerana biasanya kebanyakan musuh rumahtangga adalah orang ke-3. Tapi dalam kes dia, orang ke-3 bukan puncanya. Dia sendiri tak faham kenapa suaminya menceraikan dia. Aku tanya macam mana semua ni boleh berlaku, dan dia pun cerita. Lalu aku dapat buat kesimpulan bahawa puncanya memang bermula daripada perkara yang kecil-kecil saja.

Agak janggal jika mendengar ustaz yang berpewatakan baik bermain kayu 3 sedang anak sudah dua orang. Puncanya mudah. Kawan perempuan aku ni suka suruh suaminya sukar pampers anak, bagi anak makan, dan macam-macam lagi. Suaminya tak tahan lagi, dan terus ceraikan dia tanpa ura-ura nak rujuk semula. Jarang lelaki bila dah lepaskan marah terus pergi begitu saja. Barangkali ustaz ni dah fikir masak-masak untuk melepaskan isterinya. Memang sedih juga terutama bila terkenangkan anak yang masih kecil. Ikut hukum alam, orang akan menggelarkannya sebagai tak berhati perut dan sebagainya.

Tapi itulah yang berlaku bila si isteri mula mengeluarkan pelbagai arahan kepada suami. Jika syurga di bawah tapak kaki suami, wanita yang berniat untuk masuk ke sanalah yang harus pergi mencari dan mendatangi syurga, bukannya menjauhinya. Kenapa pula diibaratkan syurga itu di kaki dan bukan di lutut, atau bahu atau kepala? Cuba fikirkan.

Bukan aku mengajak kita kembali kepada zaman jahiliyah. Martabat seorang wanita tak pernah jatuh pun jika dia tunduk dan patuh pada suaminya. Malah orang akan hormat dan cemburu kepada suaminya kerana pandai memilih dan mendidik si isteri. Tapi, sekali lagi, berapa ramai isteri-isteri zaman ini yang begitu?

Semua isteri nak suami mereka jadi macam ustaz Don, tapi mereka lupa itulah suami pilihan Tuhan yang terbaik buat mereka, maka taatlah seadanya. Pelbagai alasan karut-marut dibisikkan syaitan seperti suami perlulah baik, alim, isteri tak mengapa kerana isteri tu makmum, suami imam. Maka imam perlu 'the best' baru makmun boleh ikut dan contohi.

Syurga ada di depan mata, kenapa masih tercari-cari lagi jalan lain yang lebih jauh untuk ke syurga?

Alim atau tidak bukan mengikut apa yang dilihat dengan mata kasar kerana Tuhan sendiri berkata hanya ketakwaan saja yang membezanya manusia. Boleh nampak takwa? Adakah takwa dengan serban ekor panjang? Berjubah? Hari-hari ke masjid? Itu cuma anggapan kita saja. Hakikatnya alim, warak, hanya boleh dilihat pada 'rohaniah' seseorang manusia, bukan pada apa yang ada pada dirinya, hartanya atau kata-katanya.

Ada sebuah hadis yang bermaksud...

"....Wahai puteriku, demi Allah yang telah mengutusku dengan hak, seandainya engkau meninggal dunia sebelum suamimu memaafkanmu, maka aku tidak akan mensolatkan jenazahmu. Wahai puteriku, keredhaan suami adalah keredhaan Allah dan kemarahannya adalah kemarahan Allah. Walaupun seorang isteri tekun beribadah seperti Maryam binti Imran, tetapi jika suaminya tidak redha kepadanya, maka Allah tidak akan menerima amal ibadahnya. Amal ibadah yang terbaik bagi seorang isteri adalah kesetiaan kepada suami dan bercumbu rayu dengannya."   


Yang lain..."..Apabila seorang suami pulang ke rumah dalam keadaan gelisah dan tidak tenteram, kemudian sang isteri menghiburkannya, maka ia akan mendapat setengah pahala jihad.."


Akhir sekali, terpulanglah kepada kamu para wanita, isteri dan anak-anak dara dalam memikirkan tentang suami/bakal suami kamu semua. Wanita adalah golongan yang paling mudah untuk ke syurga dan paling mudah juga untuk ke neraka.

Carilah keredhan suami kamu kerana keredhaan Tuhan itu datang bersama-sama dengan keredhaan sang suami. Taatlah kepadanya selayaknya. Lelaki yang telah cukup 'kenyang' takkan mahu 'bertambah' lagi walaupun disuakan nasi beserta lauk-lauk yang enak. Berhentilah daripada mendesak supaya suami kamu  perlu menjadi alim seperti seorang wali, ulamak, ustaz atau guru agama baru kamu nak taat kerana dia adalah pilihan Tuhan buatmu dan pilihan Tuhan adalah yang terbaik. Percayalah.




29 August 2012

Gangguan

Pasti ramai yang pernah rasa tiba-tiba jantung berdebar tak pasal-pasal. Tu salah satu petunjuk bahawa ada gangguan dalam diri. Pergi la check dengan mana-mana perawat kot-kot ada yang menumpang diri. Mata manusia memang tak boleh kesan kehadiran makhluk-makhluk bertubuh halus ni. Ada beberapa golongan saja yang mampu melihat alam ghaib ni.

Mungkin kita pernah dengar ada orang mampu melihat perkara-perkara yang tak nampak dengan mata kasar ni sejak orang tu kecil lagi. Secara teorinya, orang tu melihat alam ghaib melalui mata jin yang menumpang/bersahabat dengannya. Dia mungkin tak perasan tapi memang ada jin yang suka pada manusia. Dia dah bosan dengan kaum dia sendiri gamaknya. Bini orang pun dia ada feeling. Punya la tak makan saman jin jenis ni. 

Ada jugak orang yang boleh melihat alam ghaib kerana dia kasyaf. Orang seperti ni jarang-jarang kita tahu kerana mereka low profile je hidupnya. Bukan kaki masjid pun, bukan berserban pun, kadang-kadang tu pakaiannya kusut masai saja, kerjanya boleh jadi peminta sedekah atau hanya berpeleseran di kaki-kaki lima. Itu sebabnya kita kena jaga hati dan nafsu agar tak memandang rendah golongan seperti ni. Bila hati kita bersih, hidayah senang nak dapat. Tapi jika hati penuh syak wasangka, solatlah sampai lebam-lebam dahi pun, tetapi tak dapat hidayah. 

Yang dikatakan seseorang itu warak, alim, malah wali sekali pun bukanlah pada jasad luarannya tapi pada rohaniahnnya. Walaupun luaran dia kelihatan kotor, mengemis, kutip sampah, tidur bawah jambatan dan sebagainya, tapi rohaniahnya berpakaian segak dan tampan. Ibarat kita memandang jasad seorang petani atau penoreh, tentulah bajunyak kotor, bertampal sana sini dan riak muka yang tak berapa nak hensem. Tapi jika dia merupakan seorang yang mempunyai kedudukannya disisi Tuhan, rohaniahnya jauh berbeza daripada apa yang dapat dilihat dengan mata kasar. Selalunya wali-wali memang begini. Saat hidupnya masyarakat menganggap dia hanya orang biasa yang tiada apa yang istimewanya pun. Tapi bila dia sudah takde dalam dunia, barulah orang sedar siapa dia. 

Melihat alam ghaib bukanlah sama bagi setiap orang. Ada orang dapat lihat jin tapi tak dapat kenal pun mana wali, mana syaitan. Itu yang sesat sampai mengaku malaikat datang kasi wahyu dan angkat diri jadi nabi. Ada manusia yang pandangannya menembusi alam kubur. Lalu ke kat kubur pasti dapat lihat siksa kubur. Orang yang takde pengetahuan akan kata sesat. Sikit-sikit sesat padahal dia yang takde ilmu.


Pengalaman

Dua tiga malam lepas aku pulang ke rumah jam 2.00 pagi. Waktu nak masuk rumah, teringat pulak nak baca ayat kursi mengikut cara yang diijazahkan. Baru dua tiga ayat, serta merta bulu roma meremang. Ah, biasalah waktu-waktu sunyi macam ni. Fuh, syok. Tegak je berdiri. Kalau baca waktu kelam kabut tak rasa apa-apa pun. 

Aku pun masuk ke rumah. Bila masuk ke bilik, tiada respons daripada anak kecil aku. Kalau tak, biasanya dia pasti bergerak dan merengek-rengek tanda 'sesuatu' mengganggu tidurnya. Tapi perkara seumpama tu tak terjadi pulak kali ni. Sedang aku nak melelapkan mata, hati ni sempat berniat untuk berjumpa dengan si khadam ayat yang aku dok baca selalu ni. Memang merepek betul keinginan ni. Mana mungkin dia nak jumpa aku. Tapi bedal ajelah. Untung nasib dapat la jumpa. Takde nasib, melepas la.

Walaupun aku rasa terlelap sekitar 2.30 pagi, tidur terasa panjang sebab aku terjaga 2-3 kali jugak la. Biasanya sekali terjaga je dah pukul 6. Berhempas pulas la nak bangun waktu tu bersiap-siap nak pergi kerja. Waktu terlelap tu ada seorang lelaki yang tak berapa jelas wajahnya datang berjumpa dengan aku dalam keadaan berselubung menutup kepala. Wajahnya tak jelas. Dia mengajarkan aku sesuatu. Bacaannya hanya seratus kali dan diikuti dengan ayat kursi. Waktu aku cuba baca apa yang diberi masa terasa terlalu lama. Biasanya setakat wirid ni dalam 5 minit paling lama dah boleh selesai, tapi yang ni aku baru baca 2-3 kali dah terasa panjang sangat. Sampai aku terjaga beberapa kali, tak sempat nak habiskan.

Bila terjaga, memang aku lupa terus apa benda ayatnya yang perlu dibaca sebanyak 100 kali tu. Keesokkan harinya puas aku memikirkan semula mimpi tu. Petang tu terus aku pergi berjumpa sang guru. Katanya, 'orang' yang aku nak jumpa tu tak mau jumpa mungkin sebab aku belum layak lagi agaknya sebab tu la aku tak ingat langsung apa benda yang lelaki dalam mimpi tu suruh aku baca. Ah, melepas pulak. Lelaki yang aku jumpa tu barangkali orang tengah saja. Dia pun tak cakap banyak.



27 August 2012

Cemburu

Rasa cemburu sebenarnya berasal daripada sifat hasad dengki. Sifat hasad dengki yang dipanggil cemburu ni telah diolah oleh ramai orang menjadi satu sifat yang baik yang perlu ada pada setiap orang yang ingin berjaya. Sejauh mana perkara ni betul, carilah sendiri. Aku hanya tulis apa yang aku rasa saja.

19 August 2012

Ulamak

Waktu seorang guru pondok mengeluarkan kenyataan panas tentang haram hukumnya menyokong DAP kerana mereka kafir harbi, MCA dengan berani mengeluarkan kenyataan "Pilih kami, kami akan halang jadi negara Islam" 

Senyap sekali ulamak yang makan gaji. Tuan-tuan mufti pun tak berani nak bersuara takut hilang jawatan. Apa lagi guru pundok yang baru dapat RM2 juta untuk pondoknya. Kalau kena tarik balik duit tu macam mana?

Sumber: facebook

Ulamak-ulamak yang menggunakan hadis :

“Dengarlah dan taatilah penguasa diwaktu susah dan senang, diwaktu lapang dan sempit, walaupun mereka mementingkan diri sendiri dan memakan hartamu serta memukul punggungmu, kecuali apabila memerintahkan untuk berbuat maksiat”. 
(Hadis Riwayat Ibn Hibban dalam Sahihnya. 10/426. Sanadnya hasan)

...adakah mereka cuba menggambarkan bahawa rasulallah saw menyuruh kita mentaati pemerintah yang zalim. Adakah hadis salah atau tafsiran manusia yang salah?

Ada lagi satu ayat Al-Quran yang berkaitan dengan ini.

“Taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemimpin (pemerintah) antara kamu”. (an-Nisaa 4: 59)

Ayat ini ditafsirkan seperti, "silalah taat pada pemerintah walaupun mereka zalim", walhal tiada dalam nas Al-Quran yang menyebut orang Islam wajib mentaati dan mengikuti pemerintah yang zalim. Bagaimana pula dengan hukum seorang yang mati mempertahankan hak mereka? Bukankah itu dikira mati syahid? Bagaimana jika rakyat mempertahankan hak mereka dari pemerintah yang zalim? Adakah ini dikira salah?

Jika tafsiran ini kekal digunakan oleh ulamak-ulamak di timur tengah seperti Syiria, Mesir dan Libya, barangkali pemimpin mereka terus kekal bermaharajalela menyembelih tengkuk rakyatnya. Sebab rakyat perlu taat biarpun kepada pemimpin yang zalim, tak boleh lawan, tak boleh bersuara.

Menolak satu huruf ayat Al-Quran dan menolak apa saja hadis dikira keluar daripada Islam. Mencerca, memperlekehkah Al-Quran dan hadis juga dikira keluar daripada Islam. Tapi bila seorang pemimpin Islam mengatakan bahawa dia tidak akan ikut hudud dan bersekongkol dengan satu pertubuhan yang memang anti hukum Islam, apa kejadahnya? Itu bukan satu huruf Al-Quran lagi dah. 

Ulamak makan gaji sering menekankan bahawa Islam melarang umatnya berpecah belah, tapi mereka tak pernah sekali pun tegaskan bahawa yang batil tidak boleh bercampur dengan yang hak. Mereka menggesa yang batil dan yang hak bersatu untuk keamanan. Bolehkah? Mereka memperlekehkan orang yang telah lama berjuang untuk menegakkan Islam hanya kerana pengikutnya yang taksub dengan parti. Kononnya pemimpin-pemimpin yang ingin menegakkan Islam ni tak nak bersatu padu dengan pemerintah sekarang dan menggalakkan perpecahan dikalangan umat Islam. 

Orang sebegini tak dapat aku nak hormati kerana kerana pada pendapat aku mereka jauh tersasar. Fikirlah jika tafsiran berdasarkan ayat-ayat di atas digunapakai waktu British memerintah Tanah Melayu, apa jadi? Kenapa orang Melayu bangkit berdemo menentang British sewaktu menuntut kemerdekaan sedangkan berdemo itu bukan ajaran Islam? Mengapa menentang British sedangkan British adalah pemerintah yang membawa kemajuan kepada Tanah Melayu satu masa dulu? Jika tafsiran sebegini diguna pakai, sia-sia sajalah perjuangan Mat Kilau, Dato Bahaman, Tok Janggut dan lain-lain kerana menentang pemerintah menggunakan kekerasan. British adalah pemerintah Tanah Melayu dulu dan semua yang menentang British adalah salah kerana hukumnya haram menentang pemerintah.

Jangan jadi rakyat yang bodoh hanyan mengikut saja. Zaman sekarang, kita bukan nak lawan pemerintah guna pistol atau senapang, bukan nak lawan guna parang atau beradu kekuatan tapi kita nak tuntut hak kita sebagai rakyat untuk mendapat yang lebih baik. Untuk menolak rasuah dan korupsi yang menjadi amalan sejak dulu. Salahkah? Salahkah wahai sang ulamak yang berfikiran sempit, takut hilang jawatan dan sebagainya?

Bukannya kita taksub pada sesebuah parti, bukannya kita bergantung harap pada mereka tapi jika peluang untuk mengubah nasib ada depan mata, apa salahnya digunakan? Adakah negeri Selangor rakyatnya menderita sebab pilih kerajaan baru? Adakah orang Islam di Pulau Pinang tak dibenarkan ke masjid lagi untuk bersolat dan sebagainya? Jangan butakan mata jika hati telah buta. 

Hadis di atas boleh dan tidak salah jika ditafsirkan pada keadaan yang lain seperti seseorang yang diamanahkan untuk menjaga anak yatim, atau yang sama keadaannya. Orang tua kita pun penguasa juga, bapa angkat kita yang menjaga kita pun kategori penguasa juga. Janganlah samakan penguasa tu sebagai pihak pemerintah sesebuah negara saja. Jika tak mahu menghormati PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam tak mengapa, tapi hormatilah Tuan Guru-Tuan Guru yang berjuang di dalam pertubuhan itu. Jangan perlekehkan usaha mereka. Benar, PAS dibenci kerana pengikutnya yang taksub. Bukan semua pemimpin dalam parti tu bersikap seperti Tuan Guru-Tuan Guru mereka, itu kenalah faham. 

Golongan ulamak yang pentingkan jawatan, wang ringgit dan status seperti inilah sebenarnya menjadi punca perpecahan dikalangan umat Islam negara ni. Mereka takut untuk menegur pemerintah, jadi mereka terpaksa mencari jalan bagaimana untuk membenarkan dan menampakbaikkan perkara zalim yang dilakukan pemerintah. (zalim=meletakkan sesuatu tak kena pada tempatnya).