02 January 2014

Islam rasis?

Sekali-sekala nak juga selitkan bahan bacaan yang serius sikit. 

Apapun, silalah baca dengan hati dan minda yang terbuka. Andai membaca dengan sifat menghukum pasti akan terlihat ia amat berlawanan dengan "kelaziman" selama ini.

Adakah Islam yang dibawa sekarang rasis?

Bagaimana keadaan lepas mati bagi manusia yang hidup dalam hutan belantara? Disebabkan mereka tidak Islam, adakah mereka akan masuk neraka? Jika disebabkan tak tahu apa-apa, tidak tahu agama, peraturan Islam dan lain-lain, itu boleh menyebabkan masuk neraka. Adakah Tuhan itu zalim?

Jawapan golongan Syariat : 
Mereka akan ditempatkan ke dalam neraka kerana tidak masuk Islam, bukan sebab Allah yang tentukan tapi merekalah yang pilih untuk tidak masuk Islam maka nerakalah tempat mereka.

Jawapan golongan Hakikat : 
Tidak Islam bukan kehendak mereka, masuk Neraka pun bukan kehendak mereka. Itu semua Tuhan sudah tentukan dalam Kitab Luh Mahfuz.

Jawapan golongan Makrifat :
Islam itu BUKAN pada Agama. Islam itu pada KESELAMATAN. Perkataan ISLAM berasal dari perkataan Arab, As Salamah, yang bermaksud SELAMAT. Maka ISLAM tu adalah SELAMAT.

AGAMA pula adalah Ad Din atau NASIHAT.

Maka agama Islam bermakna NASIHAT YANG SELAMAT.

Jika manusia hidup di hutan belantara itu mendapat nasihat yang selamat, maka, itulah KEAMANAN bagi diri mereka..

AMAN maksudnya SYURGA
TIDAK AMAN maksudnya NERAKA
TUHAN itu MAHA PENGASIH kepada hambanya..
Jika penganut Islam itu sahaja yang diredhai Tuhan, kenapa Tuhan itu menciptakan agama dan bangsa-bangsa selain Islam? Apakah ada Tuhan lain yang menciptakan mereka?

Apakah manusia yang hidup di belantara itu masuk neraka kerana tidak mendapat syiar Islam, sedangkan Tuhan itu yang berkehendakkan/menjadikan kehidupan mereka di sana? Apakah Tuhan itu zalim?

Agama sepatutnya menjadi satu NASIHAT yang dapat menjadi panduan hidup manusia. Malangnya, ada manusia-manusia JAHAT yang cuba mengambil kesempatan untuk mengawal manusia lain. Maka agama menjadi alat kawalan yang paling mudah. Agama dijadikan doktrin oleh puak-puak ni.

Doktrin atau kepercayaan yang mengikut kehendak tertentu, banyak disebarkan dalam agama-agama langit dan Yahudi sebab tu kita biasa mendengar cerita yang hampir sama di antara ketiga-tiga agama ni. Atas sebab itu juga kita dapat melihat kebanyakan ketua pemerintahan sesebuah negara MESTI meletakkan agama dalam kawalan mereka.

Hampir setiap negara mengawal agama. Namun lihat gaya hidup pemimpin-pemimpinnya. Apakah mereka mengamalkan konsep agama yang mereka pegang? Arab Saudi misalnya, satu-satunya negara dalam dunia yang menggunakan Nama sendiri sebagai nama negara, iaitu As-Saud. Selepas Saud mati, anak-anak dan kerabatnya pula memerintah hingga sekarang. Namun cuba perhatikan dan cuba kaji cara hidup keluarga di raja ini. Apakah mereka benar-benar mengamalkan Islam seperti yang sepatutnya ?

Juga di negara ini, negara kita. Perhatikanlah. Maka dengan itu konsep beragama banyak yang terpesong. Bukan kerana agama itu tidak benar tapi kerana peranan jahat puak-puak ni yang gilakan kuasa. Perebutan kuasa dalam Islam berlaku sebaik saja Nabi Muhammad wafat. Puak Saidina Usman dengan Puak Saidina Ali bertelagah bukan sebab Saidina Usman dan Ali tapi kerana puak yang FANATIK.

Pengikut-pengikut mereka yang fanatik inilah yang membuat banyak doktrin maka lahirlah Sunnah, Syiah, Muktazillah, Jabariah, Qadariah, Wahabi, Salafi, Alawi dan pelbagai nama aliran. Ini bukan saja berlaku dalam Islam, tapi berlaku dalam hampir kesemua agama. Megapa? Semuanya kerana kuasa. Manusia ingin terus kekal berkuasa! Namun bila sudah mengerti, tentulah sebenarnya ketentuan/ ketetapan Tuhan.Tuhan yang menjadikan segala sesuatu itu BAIK dan BURUK. Adakah kita mahu melawan takdirNya ?

Bagaimana keadaan lepas mati bagi manusia yang hidup dalam hutan amazon?

Keadaan mereka itu akan kembali kepada PENCIPTANYA. Jika dalam hutan itu mereka melakukan kerosakan, umpama berbunuh sesama mereka, maka jasad akan menerima balasan. Jasad akan sakit, tangan mungkin luka akibat bergaduh. Kepala jadi pusing. Darah jadi tinggi. Hati jadi sakit. Bila ini berlaku, kondisi jasad akan jadi tidak stabil. Inilah NERAKA bagi mereka!

Sebaliknya jika mereka melakukan kebaikan seperti baik sesama manusia, baik dengan binatang dan tumbuhan, pasti balasan baik juga mereka terima. Bila melakukan kebaikan, hati jadi tenang, darah lancar, badan sihat, ceria, gembira. Makhluk yang diberi kebaikan oleh orang itu juga merasa AMAN dengannya. Tiada permusuhan. Tiada dendam. Inilah yang dikatakan AMAN. Aman itu lambang SYURGA!

Maka apakah Tuhan itu masih dikatakan zalim? Yang zalim adalah diri manusia sendiri kerana memilih melakukan perbuatan yang memudaratkan diri sendiri! Tak perlu dalam hutan. Dalam bandar ni pun kita seperti mereka!

Syurga dan Neraka itu sebenarnya ada dalam diri.

Kesimpulannya, walau mereka tinggal dalam hutan, walau mereka beragama pagan atau agama apa pun, namun jika mereka mengamalkan cara hidup ISLAM (SELAMAT), maka mereka pasti akan AMAN. Aman itulah perlambangan SYURGA.

Apakah manusia yang seperti Mother Teressa yang hidupnya mengabdikan diri dengan membantu sesama manusia itu, Tuhan akan zalimi selepas kematiannya? Bukankah Tuhan itu sendiri yang berkehendakkan/menjadikan kehidupan Mother Teressa sedemikian? Apakah Tuhan tidak tahu yang Mother Teresaa itu bukan beragama Islam?

Apakah ada Tuhan lain yang menjadikan dan mahukan Mother Teressan itu begitu?

Bukalah minda kita. Jangan hanya jumud mengikut membuta tuli.

Ramai dikalangan kita yang cerdik-pandai, berpangkat sijil, diploma, ijazah, PHD, Ustaz, Ustazah, Cikgu, Datuk, Dato', Datin, dan sebagainya hanya meniru atau mengikut apa yang Nabi lakukan tanpa benar-benar mencari sebab kenapa Nabi melakukan sesuatu perkara itu.

Contoh :
Puasa pada setiap hari Isnin, dikatakan amalan Nabi. Maka berbondong-bondonglah manusia menirunya tanpa ramai yang ingin mencari sebab musababnya. Bukan tidak boleh meniru, boleh. Tapi perlu tahu sebabnya sebab itu juga yang nabi pesan.

Kesimpulannya : Setiap yang mati akan pulang ke TuhanNya. Justeru itu golongan Arifbillah/Sufi / Mengenal Diri berpesan kepada kita disarankan agar mati sebelum mati agar bila kita fana/binasa/mati di dunia ini, maka akan kekallah kita kepada Tuhan sewaktu jasad benar-benar mati nanti (di dalam kubur).

Apabila seseorang itu sudah menemui "mati sebelum mati" melalui jalan "mengenal diri", selepas pengembumian jasadnya di dalam kubur malaikat takut menyoalnya kerana dia sudah kembali kepada TuhanNya. Yang malaikat nampak hanyalah Allah (orang beriman memandang alam pun nampak Allah jua), bukan jasadnya. Jasadnya menjadi milik Allah. Jasadnya akan hilang. Dia kembali kepada Dia seperti yang terjadi kepada golongan mengenal diri (tidak kira Islam atau tidak), arifbillah, sufi, para Nabi dan para Rasul.

Bila sudah mengenal Tuhan, apa lagi yang hendak dicari? Syurga? Syurga itu juga sudah tidak diinginkan lagi kerana syurga itu juga adalah makhluk, sama seperti kita. Syurga itu juga diciptakan oleh TUHAN SEKALIAN ALAM! Syurga itu juga akan balik/kembali ke TuhanNya!

Inilah kaedah orang-orang sufi, zuhud dan ariffbillah dalam mencari Tuhan. Tiada apa pun yang diinginkan oleh mereka, melainkan Allah! 

Bila sudah mengenal Tuhan, apa lagi yang dikisahkan perihal Neraka? Perihal Hari Pembalasan? Yang dirisaukan ialah bila kita masih tidak mengenal Allah! Yang dimaksudkan dengan takutkan Allah itu bukanlah takut seperti takut hantu, atau lain-lain tetapi takut sekiranya hati terLUPAKAN Allah walau sesaat pun. 

Sebab tu para Arifbillah sering berkata: "Jika Allah itu berada di neraka, aku sanggup masuk neraka kerana Allah! Panas cintaku terhadap Allah melebihi panasnya api neraka".


Kesimpulannya, adakah Islam yang dibawa itu bersifat rasis? Tanyalah diri sendiri. Golongan Islam mana yang rasis?

Nabi s.a.w. bersabda. "AWALLUDDIN MAKRIFATULLAH" yang maksudnya "Awal beragama itu mengenal Allah."- Hadis Qudsi.

Kenapa mesti kenal Tuhan? 

Ia adalah kewajipan utama daripada kewajipan melakukan ibadah yang disyariatkan. Kita tidak akan menghukum orang selepas kita kenal Tuhan. Fahamilah mesej al-quran dan hadis Nabi dengan mata hati nurani bukan sekadar maksud yang terus (alih bahasa). Fahamilah dengan maksud yang mendalam....

Wallahu'alam.
 
Dari Dia kepada Dia.

No comments:

Post a Comment