Showing posts with label ramadhan. Show all posts
Showing posts with label ramadhan. Show all posts

13 August 2012

Aku dan Ramadhan

Ah, Ramadhan hendak pergi lagi. Aku belum puas. 

Ramadhan sememangnya bulan yang menggembirakan bagi sesiapa saja tanpa mengira susah atau senang, kaya atau miskin. Pernah dalam bulan ramadhan aku bersahur dan berbuka sorang-sorang. Poket kosong, makan nasi campur telur dan kicap saja. Kalau ada duit lebih, aku akan beli fillet ayam dan potong dadu kemudian campur dengan telur dan goreng. Sama seperti membuat omelet. 

Pernah jugak ayah kepada kawan-kawan aku beri zakat pada aku. Memang waktu tu aku belum tamat belajar di UiTM, jadi kalau ikut syariatnya, layaklah aku. Malah yuran pengajian aku sepanjang diploma dulu pun Pusat Zakat UiTM yang tanggung. Itupun setelah bersoal jawab dengan ustaz yang menguruskan temuduga untuk menerima zakat sebab gaji ayah aku tak melayakkan aku menerima zakat. 

Waktu lain tak pernah aku makan di dewan makan kolej dalam UiTM tu tapi di bulan puasa situlah tempat aku bersahur dan berbuka dengan member sebilik. Meriah jugak. Bila member bilik hostel dah bertambah (sebab ada budak luar join kononnya nak study sama), maka kami akan kumpul duit sorang sikit untuk beli barang-barang memasak. Beli beras, bawang, telur, minyak masak dan nugget atau produk ayamas lain kemudian masaklah untuk sahur dan berbuka. Waktu orang berterawikh, kitaorang masak jemput-jemput. Kawan aku cukup suka masak benda ni. Tak dinafikan, memang sangat menyelerakan bila pekena teh o panas sambil makan jemput-jemput. Orang belah Pahang panggil cekodok tepung aje. 


Kehidupan sebagai seorang pelajar IPT sangat menyeronokkan walaupun poket kosong. Ada saja rezeki Tuhan bagi untuk teruskan hidup. Mungkin sebab tugas pelajar ialah untuk mencari ilmu, maka segala yang baik dipermudahkan Tuhan. Kalau difikirkan, kami mana ada pendapatan bulanan pun. Malah, kehidupan kami memang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bukan semua pelajar IPT ditanggung oleh ibu bapa mereka. Ada yang sendirian berhad saja. Waktu susah, memberlah tempat membuat pinjaman peribadi. 

Lepas tamat belajar, aku jaga kedai member. Sama jugak, sahur dan berbuka sorang-sorang. Waktu berbuka biasanya tiada makanan istimewa pun. Aku hanya ke bazar dan beli mee gorang RM1.00 dua bungkus. Air belasah air sejuk biasa saja. Kalau ada duit lebih beli la air soya atau tebu. Waktu tu semua adik beradik aku kat tempat pengajian masing-masing. Jadi aku sorang-sorang di rumah.

Pernah sampai satu tahap kat rumah dah takde apa pun. Tinggal beras saja. Oleh kerana nak jimat, aku buat bubur kosong. Bahan-bahan mudah saja, beras dan garam. Bubur memang jimat sebab beras letak sikit, air saja lebih. Makan memang kenyang sebab kembang dalam perut. 



Tapi sejak jaga kedai member aku tu, kehidupan taklah susah sangat. Ada masa-masanya dia ajak aku makan kat rumah dia. Tak dinafikan dia memang pandai memasak sebab lauk semuanya sedap-sedap belaka. 

Semua ni berlaku dalam bulan Ramadhan. Pada aku, memang indah walaupun nampak susah. Waktu aku menunggu sahur, memang aku dok lepak di kedai dia saja sorang-sorang. Balik rumah pun duduk sorang, tak meriah. Kalau di kedai ada jugak orang singgah kejap-kejap beli rokok walaupun pintu dah tutup. Mungkin sebab nampak lampu pasang dan ada kereta diluar, jadi mereka singgahlah. 

Jadi bagaimana aku dapat lupakan bulan Ramadhan kerana banyak yang terindah berlaku di bulan ni? Suasana malamnya hidup dan meriah. 

Semoga berjumpa lagi di tahun-tahun akan datang wahai Ramadhan. 

20 July 2012

Ramadhan

"Puasa itu untuk-Ku, dan Aku yang akan memberikan ganjarannya, disebabkan
seseorang menahan syahwatnya dan makannya serta minumnya karena-Ku, dan puasa itu adalah
perisai, dan bagi orang yang berpuasa dua kebahagiaan, yaitu kebahagian saat berbuka, dan
kebahagiaan ketika bertemu dengan Tuhannya, dan bau mulut orang yang berpuasa lebih harum
disisi Allah, daripada bau minyak kasturi".

-Riwayat Bukhari, Imam Muslim, Imam Malik, Tirmidzi, An-Nasai dan Ibnu Majah.

Pasti ramai yang telah mendengarnya, lalu saja aku copy pastekan agar ia dapat mengingatkan kita semula tentang bulan ramadhan.

Kita semua adalah orang-orang yang mencari Tuhan. Cuba belajar untuk mengenal Nya melalui diri kita sendiri. Ada yang menggelarkan diri mereka musafir dunia. Tanpa hidayah daripada Nya, pasti kita takkan menjumpai apa-apa walaupun beribu hadis dihafal dan sebuku al-quran dalam kepala. Sempena bulan yang terbaik dalam tahun ini, sama-sama kita mohon hidayah dan petunjuk daripada Nya agar tidak selamanya tersesat jalan. 

"Ya Allah, Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. Jalan orang-orang yang telah Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat"


03 August 2011

Puasa

Puasa kalau setakat menahan diri daripada perbuatan yang membatalkan puasa, dapat lapar dan dahaga je la jawapannya.


Semua orang pandai bercakap tentang puasa dan hukum-hakam agama. Tapi yang benar-benar pandai akan diam saja. Melainkan apabila ditanya. Itupun sekadar yang perlu kerana dia merasakan dirinya tak sebijak mana. Sentiasa rendah diri dan kurang berkata-kata. Inilah orang yang susah untuk dijumpai.