08 January 2012

Sakit

Kalau ada yang berpendapat setiap penyakit manusia ada hubungkaitnya dengan makhluk halus disekeliling kita, aku amat bersetuju. Pernahkah kita terfikir kenapa penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan jantung dikatakan diwarisi oleh keturunan seseorang? Walaupun sains boleh mengulas panjang lebar tentang perkara ini, tapi bagi aku lebih mudah jika dikatakan 3 penyakit utama tersebut melibatkan makhluk halus yang diwarisi daripada seorang bapa/mak kepada anaknya.

Sakit jantung adalah disebabkan oleh jin yang mendiami kawasan jantung. Mereka (jin-jin ni tadi) tinggal dan beranak-pinak di situ lalu mengganggu fungsi jantung. Makin lama, manusia semakin lemah kerana dipengaruhi oleh faktor usia. Ketika manusia lemahlah, mereka mudah untuk menyakiti manusia. Ia mungkin saja dijelaskan oleh sains seperti saluran jantung tersumbat dan sebagainya. Tapi alam ghaib juga mempunyai penjelasannya yang tersendiri. Sumbatan yang kelihatan daripada pandangan mata kasar adalah disebabkan kotoran yang ditinggalkan oleh makhluk yang bersarang di dalamnya. Jika jin itu makan, maka dia juga pasti membuang sisa makanannya seperti mana manusia. Dalam tempat yang akan dibuangnya adalah dalam badan manusia itu sendiri yang mana akhirnya akan merosakkan atau mengganggu fungsi hakiki organ-organ yang berkenaan.


Selain daripada tu, penyakit seperti jantung berdebar dan tekanan darah tinggi yang dikatakan penyakit ginetik sebenarnya amat berkait rapat dengan jin. Bila ia disebut penyakit ginetik, maka fahamlah kita bahawa penyakit tersebut adalah penyakit keturunan. Saka juga adalah penyakit keturunan. Sama ada kita sedar atau tidak, makhluk halus memang sentiasa ada disekeliling kita dan hidup bersama-sama dengan kita.


Kanser pula disebabkan oleh kerosakan tisu-tisu dalaman di mana sel-sel dalam badan terus memperbaiki tisu yang rosak walaupun ia telah elok. Seolah-olah kerja yang tiada hentinya. Kadang-kala ia dipanggil ketumbuhan. Semua tahu bagaimana rasanya digigit nyamuk. Sakit dan gatal. Bayangkan pula sakit yang sama, tetapi di dalam tisu badan kita? Tentu lebih sakit. Tapi makhluk apa pula yang dapat masuk di dalam badan lalu menggigit? Ia mungkin dapat dijelaskan oleh sains sebagai luka-luka yang mungkin disebabkan oleh makanan yang kita makan. Tapi dari sudut pandangan alam ghaib, ia adalah disebabkan oleh makhluk-makhluk halus yang dipanggil jin yang telah bersarang dalam badan kita dan merosakkan tisu-tisu serta sel-sel yang tertentu menyebabkan kita mengalami kanser. Nampak macam kelakar, tapi begitulah menurut mereka yang mampu untuk melihat lebih dapat ke alam yang satu lagi.

Memang bukan semuanya 100% penyakit seperti kanser, jantung dan darah tinggi disebabkan oleh makhluk-makhluk sebegini, namun kebanyakannya YA.

Kita terlalu melihat makhluk-makhluk seperti jin ni primitif, pakai cawat, berbulu dan macam-macam lagi. Padahal bangsa mereka lebih ramai daripada manusia, umur mereka juga lebih panjang daripada manusia. Jadi untuk mengatakan mereka memiliki teknologi lebih maju daripada bangsa manusia adalah tidak mustahil sama sekali. Mereka juga ada bangsa seperti kita, golongan seperti kita, kaya dan miskin, baik dan jahat dan macam-macam lagi. Siapa yang terlibat membina piramid kalau bukan bantuan daripada mereka? Tinggalan-tinggalan seperti tu memerlukan kajian yang lebih mendalam dan penjelasan yang berbeza daripada sudut sains. Sains juga tak dapat menjelaskan apakah nyawa? Sains tak dapat menjawab persoalan wujudkah roh? Di manakan datang kekuatan manusia untuk menggerakkan tangannnya? Adakah kekuatan tersebut datang dari roh, nyawa atau apa? Apa yang membuatkan tangan ini mampu menaip dan jari-jemarinya pantas bergerak? Jika roh mempunyai kekuatan itu, maka orang yang terlantar sakit pasti mempunyai kekuatan untuk bergerak cergas seperti orang biasa kerana masing-masing masih mempunyai roh dalam badan. Jika nyawa yang memberi kekuatan tersebut maka sudah tentulah si sakit juga mampu bergerak cergas seperti orang yang sihat kerana masing-masing masih mempunyai nyawa. Jadi apa? Jika sains jalan penyelesaian, maka tentu saja ada penjelasannya. Tapi nyata sekali sains tak mampu untuk menjawab persoalan seperti ini.

Ia bukan terhenti setakat tu saja. Apakah kaitan semua ini dengan rasa? Siapa yang merasa, roh atau nyawa? Bagaimana pula dengan perasaan? Bukankah ianya kompleks?

Jadi, manusia tidak seharusnya menganggap dirinya telah cukup berpengetahuan tentang sesuatu. Semuanya mempunya penjelasan yang tersendiri. Itu adalah satu contoh penyakit-penyakit utama yang biasa menyerang manusia. Lihat saja kisah nabi Ayub yang diuji dengan penyakit tokaknya. Siapakah yang dikatakan 'penyakit' itu kalau bukan syaitan? Apa saja mahkluk yang jahat dipanggil syaitan. Sebab tu orang tua-tua dahulu apabila terlalu marah selalu menggelarkan seseorang tu jahat seperti syaitan. Rupa parasnya manusia, tapi sikapnya seperti syaitan. Begitulah halnya dengan jin.

Nabi juga berpesan bahawa tiada penyakit yang tiada ubatnya melainkan mati. Maka mati tu sudah pasti tapi sakit boleh dirawat dan diubati.

Bila seseorang demam, dan akan beransur pulih apabila memakan ubat yang diberikan oleh doktor. Bagaimana alam ghaib menjawab persoalan ini?

Jika kita manusia mempunyai perasaan suka dan benci, maka sama halnya dengan jin. Sebagai contoh, membakar setanggi adalah sunat kerana ianya wangi. Namun disalah tafsir oleh segolongan kita sebagai khurafat kerana mengikut ajaran agama lain. Asap setanggi atau kemenyan dikatakan makanan jin kerana jin tu memang makan asap. Tapi tahukah kita jin juga makan ayam, daging dan sayur seperti yang kita makan. Asap yang menjadi makanan jin bukanlah asap 'seciput' seperti asap kemenyan, setanggi atau rokok. Tujuannya juga bukannya untuk memanggil jin. Apabila setanggi yang wangi dibakar, maka akan larilah jin-jin yang bersifat pengotor ni kerana bukan kesukaan mereka. Samalah dengan ubat-ubatan. Apabila dimakan, kandungannya mungkin menyebabkan jin-jin yang berada dalam tubuh yang menyebabkan seseorang demam lari meninggalkan badan pesakit. Pesakit kemudiannya sembuh. Namun begitu kita hendaklah yakin bahawa yang menyembuhkan tetap Allah jua. Ubat ataupun rukyah hanyalah sebab musabab yang mendorong ke arah kesembuhan saja.

Memang penjelasan tersebut sukar untuk diterima dan mereka yang mengamalkan perubatan Islam yang tulen juga jarang mahu berkongsi tentang perkara ini kerana takut disalah sangka. Seperti yang telah aku tuliskan, tentu saya ada yang baca mengatakan ini mengarut. Nasib baiklah aku yang tulis, kalau pengamal perubatan yang tulis mesti orang tak datang berubat dah sebab dikatakan sesat. Aku cuma menulis berdasarkan kajian, pemerhatian dan beberapa ilmu yang dikongsikan oleh mereka yang ingin berkongsi. Jika ada yang tak bersetuju, tak perlu kata apa-apa kerana aku pun tak suruh kamu setuju dengan aku.




No comments:

Post a Comment