08 January 2012

Sihir

Apa yang aku nak tulis ni adalah berdasarkan pengalaman dan pandangan aku terhadap perkara yang dah lama aku pendamkan ni. Pernah juga aku diuji waktu tengah rancak bersembang tentang perkara ni. Itulah adat orang Melayu kita. Perkara ni takkan dapat dipisahkan dengan kehidupan seharian kita sama ada kita mahu atau tak mahu.

Sihir telah wujud sejak zaman nabi Musa lagi. Dah masih diamalkan oleh masyarakat zaman ni. Bukan soal kolot atau tidak, tapi ia merupakan satu cabang ilmu yang ada dalam alam ni. Seperti kata nabi Muhammad, tidak ada penyakit yang tiada ubatnya melainkan mati. Sihir berlaku sudah pasti dengan bantuan daripada jin-jin kafir yang dipuja oleh si tukang sihir. Itu satu teori yang paling ringkas. Tanpa penglibatan makhluk-makhluk ni, tiadalah sihir. Seseorang cuma perlu bijak untuk menyeru dan menyuruh jin-jin kafir ni mengikuti kehendaknnya dan sebagai balasan si tukang sihir tu pula perlu menyediakan apa yang jin-jin kafir ni minta. Dari sini lahir perbuatan memberi ancak dan sebagainya.

Sihir biasannya dilakukan oleh mereka yang bersifat dengki dan tak puas hati kepada seseorang. Untuk memukul seseorang tanpa orang tu mengetahui siapa yang memukulnya adalah sesuatu yang sangkut sukar untuk dilakukan. Jadi sebab itulah ada orang memilih jalan untuk melakukan sihir kepada orang yang dibencinya kerana sihir seolah-olah seperti membaling batu dan sembunyi tangan. Dari segi undang-undang sedia ada pun adalah hampir mustahil untuk membuktikannya.


Ramai orang menyangka semakin maju kita, semakin luputlah aktivti sihir ni. Tapi mereka silap. Zaman sekarang lebih ramai manusia yang mengambil upah untuk menyihir manusia lain. Selagi perasaan dengki, tak puas hati dan suka melihat orang lain jatuh, selagi itulah sihir tetap akan bersama dengan manusia. Dalam ertikata lain, semakin kita maju, semakin ramai pula bomoh-bomoh yang menawarkan khidmat mereka. Bermula daripada untuk mengubat penyakit, kemudian apabila ditawarkan wang yang lebih, mereka sanggup buat apa saja. tak percaya? Cubalah tanya. Di kawasan utara, bomoh-bomoh Siam memberikan khidmat mereka macam klinik-klinik swasta di KL saja. Asalkan harganya berpatutan, mereka sanggup buat apa saja.

Ilmu seperti ni kelihatan amat susah untuk ditemui, tapi pada hakikatnya adalah mudah sekali. Dalam internet, dalam buku-buku yang berada di pasaran dan di mana-mana saja, ilmu sihir mudah diperolehi. Contoh paling mudah ialah, jampi mentera. Jampi mentera yang diamalkan tanpa mengetahui asal-usul dan maksud sebenar juga boleh menjurus ke arah sihir. Paling mudah, sihir pengasih. Salah satu yang paling terkenal ialah "Panah Arjuna". Ada orang memanggilnya "Panah Ranjuna". Apa pun, ia tetap sama. Aku takkan tulis menteranya di sini kerana pasti ramai yang akan mencuba. Kekuatan mentera ini bukanlah terletak pada pembacaan yang betul ataupun berapa kali seseorang membacanya. Ia mestilah disertai dengan keyakinan dan petua yang tertentu. Tanpa petua, tahu menteranya pun tak berguna. Ramai orang mengklasifikasikan "Panahj Arjuna" sebagai salah satu ilmu pengasih yang boleh diamalkan kerana tidak menyalahi hukum agama. Itu pendapat mereka. Tapi tahukan mereka 'siapa' yang hadir apabila mentera tersebut dibacakan dengan mengikut petua-petua yang tertentu? Makhluk yang hadir digambarkan seperti beberapa ekor beruk/monyet yang sederhana besar memegang panah-panah seperti dalam filem lalu memanah hati orang yang dituju agar berasa cinta dan kasih kepada orang yang memujanya.

Apalah makna kasih sayang yang dipaksa-paksa dan dipupuk oleh beruk-beruk (jin) ni tadi? Ia tetap bersifat sementara. Selagi mana jampi serapah/mentera tu berkesan. Selagi mana orang yang mengamalkannya tak melanggar pantang-larang yang telah ditetapkan.

Siapakah Arjuna yang disebut-sebut dalam mentera ini? Pengaruh mentera ini terdiri daripada unsur-unusr hindu yang kuat. Sila cari kisah berkaitan dengan Mahabharata dan anda akan mengetahui lebih lanjut. Arjuna bukanlah nama seorang Melayu. Ia lebih kepada watak seorang dewa dalam sebuah hikayat hindu.


Ilmu Panah Arjuna bukan menggunakan jin-jin khadam biasa tetapi menggunakan si Ifrit yang bijak sekiranya diamalkan mengikut petua-petua yang betul. Kadang-kadang si pengamal langsung tidak tahu tentang apa yang datang sewaktu mentera dibaca. Si pengamal hanya pegang pesan guru supaya yakin dan teruskan membaca mengikut petua yang diberi. Memang jika dilihat dari sudut bahasa dalam mentera Panah Arjuna ini tiada satupun perkataan yang menyekutukan Allah dan atas sebab itu ramai yang menganggapnya tidak salah untuk diamalkan. Bayangkan begini, anda mengamalkan mentera ini untuk tujuan memikat si gadis supaya dia suka kepada anda. Walhal, perasaan suka tu bukan datang dengan sendirinya tetapi dengan bantuan jin-jin ifrit berupa beruk yang memaksa batin gadis tadi sehingga terbayang-bayangkan anda setiap masa. Adilkah?

Selidik dulu siapa si Arjuna yang anda seru sebelum menyerunya. Ini adalah satu contoh sihir kecil dalam bab ilmu pengasih. Banyak lagi sihir-sihir dalam cabang ilmu yang sama yang melibatkan penggunaan lebih banyak jin-jin sihir melalui minyak-minyak pengasih yang berlambak dijual dipasaran. Hampir semuanya diakui oleh si penjual tidak salah disisi syarak.

Jampi serapah dalam bahasa Melayu terlalu banyak. Tak kurang juga dalam bahasa Jawa, yang mana tak ramai yang memahami maksudnya. Mengamalkan sesuatu yang kita sendiri tak tahu hujung pangkalnya adalah sama seperti memandu kereta diwaktu malam sambil menutup lampu. Sampai bila pun kita akan tetap meraba-raba dalam kegelapan malam. Pun begitu, tak semua jampi serapah atau mentera ini mensyirikkan Allah. Ada juga yang diamalkan oleh orang-orang terdahulu untuk menjaga kampung mereka daripada ancaman komunis, binatang-binatang liar dan lain-lain yang boleh mengancam mereka dan keluarga. Pokok pangkalnya pegangan mereka tidak berubah, iaitu semua yang terjadi adalah dengan izin Allah jua. Di sinilah keyakinan yang dimaksudkan dalam setiap jampi serapah atau mentera yang tidak menyalahi syarak. Lagi kuat keyakinan si pengamal, lagi berkesan sesuatu amalan mereka. Ini kerana setiap mentera yang mereka baca merupakan satu doa yang dipanjatkan kepada Allah dan terserah kepadaNya jua untuk menentukan sesuatu usaha tu diberkati atau tidak.

Perkara yang berkaitan dengan mistik atau misteri memang menarik minat ramai orang. Namun, kita perlu berhati-hati atas setiap apa yang kita ikut atau amalkan. Lebih baik berguru dengan guru yang layak daripada mengambil amalan daripada internet atau buku. Bukan apa, guru yang baik pasti akan memberi bimbingan yang sebaik mungkin kepada anak muridnya tetapi jika menuntut melalui buku saja, siapa yang akan membimbing kita? Berhubung dengan guru juga ada adab-adab tertentu yang harus dipatuhi dan bukanlah semudah meminta saja. Setiap amalan yang diberikan pasti akan membuahkan persoalan yang seterusnya akan ditanyakan kepada sang guru untuk maklumat lanjut. Ujian atau perjalanan yang ditempuhi seseorang dalam menuntut ilmu seperti ini adalah berbeza dengan orang lain. Jadi, hanya guru saja yang tahu apakah ilmu yang kita tuntut itu sesuai atau tidak dengan diri dan sifat kita.

Itulah pentingnya berguru. Tiada jalan pintas untuk menuntut ilmu melainkan belajar dari mula/bawah. Tinggalkanlah amalan yang dipelajari secara membuta tuli tanpa guru kerana kita tak tahu hujung pangkal amalan tersebut tanpa melalui sang guru.





1 comment:

  1. Saya cukup tertarik dengan ilmu ini.
    Namun saya belum pasti lagi lagi saya sudah atau belum menggunakan ilmu ini lagi...

    ReplyDelete