17 May 2012

Al Fatihah

Macam-macam versi cerita tentang kemalangan Lancer di LTP pada 06.05.2012 yang lepas. Semua bermula dengan satu emel daripada 'saksi' yang melihat kejadian tu.

Impresi pertama aku bila tengok gambar Lancer yang terlibat dalam kemalangan tu ialah kereta ni mesti tengah laju waktu kemalangan berlaku. Bila buat sikit kajian, memang ada logiknya ia dipandu laju. Berapa laju? Hanya Tuhan saja yang tahu. Walau apa pun semua dah berlaku. Tak perlu beri pendapat yang seolah-olah menghukum mangsa dan mengguriskan hati keluarga ataupun sahabat mereka. Sebagai orang yang percaya pada Islam, maka wajib juga kita percaya setiap orang telah ditetapkan waktunya. Kematian dalam kemalangan ngeri tu hanyalah penyebab saja, jika tak kemalangan pun mereka tetap akan pergi kerana bila dah sampai masa sesat pun tak boleh ditangguh atau dipercepatkan.

Aku memang nak post benda ni sejak awal-awal lagi kemalangan tu berlaku tapi aku tak sampai hati. Sedih sangat dengan kejadian ni terutama bila lihat gambar anak mangsa. Kecil lagi dah hilang mak & ayah.

Kat bawah ni ada beberapa gambar yang aku dapat daripada blog/forum (terima kasih kepada tuan punya gambar) dalam internet bertujuan untuk dikongsikan bersama sebagai teladan kepada yang membaca. Ini adalah komen dan teori aku semata-mata berkenaan dengan kemalangan tu.


Keadaan kereta dari depan yang tak berapa teruk menunjukkan impak yang kuat sebenarnya adalah dari arah sebelah tepi, atau lebih tepat lagi dari arah pintu penumpang sebelah pemandu. Keadaan chasis depan yang berbentuk  'V' berkemungkinan besar akibat daripada melanggar tiang pembahagi jalan di kanan lebuhraya sebelum terbang ke arah jalan yang bertentangan. Saksi mengatakan Lancer ni terbabas dalam kelajuan 200km/h. Pendapat peribadi aku, kereta ni takkan terbabas saja-saja. Jika benar dalam kelajuan 200km/h pun, ia masih lagi mampu memberikan keselesaan pada jalan lurus dan takkan melayang seperti kancil. Tapi kena ingat. Dalam kereta ni ada anak kecil, adakah bapa dia sanggup pecut sampai 200km/h tanpa memikirkan keselamatan anak dan isterinya?

Ada sebab-sebab yang lain yang membolehkan kereta ni menuju ke penahan jalan belah kiri dengan sudut perlanggaran yang rendah. Maksud aku, keadaan kereta ni menunjukkan ia seolah-olah bergesel dengan besi penghadang tepi sebelum merempuh besi penghadang tengah pulak. Pemandu tak hilang kawalan waktu tu melainkan ada satu 'daya' luar yang mendorong kereta tu 'berpusing' sedikit ke kiri. Sebagai contoh, cara paling mudah bagi kereta peronda polis untuk menghentikan kereta yang dikejar adalah dengan teknik melanggar bahagian bucu bumper belakang kereta suspek. Dengan cara ni, kereta suspek akan hilang kawalan dan berpusing. Seolah-olah melakukan drift tapi diluar kawalan.

Bila kereta dah bertukar 'arah' dan menghala ke besi penghadang tepi, mana-mana pemandu akan membuat tindakan refleks dengan membalas stereng ke arah yang berlawanan. Malangnya dalam kelajuan yang tinggi, perbuatan ni tak banyak membantu. Jadi, ia terus merempuh besi penghadang sebelah kiri lalu bergesel. Kesan waktu 'membalas' stereng tadi mula menunjukkan hasil dan terus mengarahkan kereta tu ke kanan dan merempuh besi penghadang di tengah pula sebelum 'terbang' ke arah yang bertentangan.

Pun begitu, kelihatan besi mud-guard belah pemandu Lancer berkenaan turut terkopak, menandakan bahagian ni juga bergesel dengan sesuatu. Mungkin besi penghadang tengah. Teori kedua ialah bas (dikatakan Lancer ini sedang memotong bas waktu Inspira datang dengan kelajuan 200km/h) menukar lorong secara tiba-tiba dan menghimpit Lancer berkenaan hingga melanggar besi penghadang tengah. Jika kereta ada blind-spot, maka bas pun ada. Mungkin bas telah menghimpit Lancer berkenaan sehingga melanggar besi penghadang tengah. Refleks daripada tu pemandu membalas stereng ke kiri lalu kereta merempuh besi penghadang kiri pula sebelum melanggar besi penghadang tengah semula dan terbang. Rempuhan yang berkali-kali seterusnya menyebabkan kereta terbang memerlukan kelajuan yang sangat tinggi untuk berlaku. Ini kerana setiap rempuhan, kelajuan kereta sebenarnya telah berkurang dengan begitu drastik sekali. Jadi, aku lebih berpendapat seperti teori pertama tadi.

Menurut 'saksi' lagi, kedua-dua pemandu dan penumpang sebelahnya patah tengkuk. Ini berkemungkinan besar disebabkan oleh kesan hentakan selepas kereta tu terbang ke arah laluan bertentangan. Jika dilihat daripada keadaan tanyarnya yang dah 'terpelecok' keluar, suspensi memang nyata tak berfungsi lagi. Apabila kereta tersebut 'mendarat', ia sebenarnya mendarat dengan lantai/enjinnya. Hentakan keras ni telah menyebabkan tekuk kedua-dua mangsa patah. Bayangkan orang terjatuh dalam keadaan duduk, bagaimana rasanya? Daya hentakan ke depan dan ke bawah yang amat kuat boleh dilihat pada keadaan penumpang sebelah pemandu dalam kemalangan tu. Walaupun masih memakai tali pinggang keledar tapi badannya sudah 'terkedepan' dan kepalanya terkulai. Airbag hanya berfungsi sejurus selepas impak pertama berlaku dan akan terus mengempis dalam masa beberapa saat untuk mengelakkan pemandu & penumpang lemas. Dalam kejadian ni, berlaku lebih daripada satu impak. Tak mustahil airbag telahpun mengempis/mengecut waktu tu dan tak lagi berguna. 

Tu hanyalah teori aku semata-mata, berdasarkan cerita 'saksi' dan keadaan kereta yang remuk. Bukan niat aku untuk menyinggung sesiapa atau mencari siapa punya salah. Sekadar mengambil teladan daripada apa yang berlaku.



Ni adalah gambar arwah Ahmad Hakimi dan Lancernya.







Ini adalah gambar arwah dengan anak mereka. Tak sanggup aku nak letakkan gambar bayi tu lepas kemalangan. 

Aku seru sekalian yang membaca agar buang jauh-jauh perasaan untuk mengatakan salah siapa dalam hal ni. Seperti yang aku katakan tadi, setiap orang telah ditetapkan tempoh masing-masing, sampai masa mereka atau kita tetap akan pergi. Kemalangan ni hanyalah penyebab saja. Tak perlu keluarkan ayat seperti, "tu la, bawak laju lagi. ni la akibatnya" atau "padan muka, anak dah jadi yatim piatu" atau lain-lain perkataan yang langsung tak sedap didengar. Bayangkan jika kita adalah waris terdekat mereka, apa yang akan kita rasa?

Lagi satu, tak perlulah kita memandai-mandai mengatakan pemandu sedang berlumba, tak hirau keselamatan anak bini. Semua tu takkan membantu apa-apa. Cukuplah kita ingatkan diri kita sendiri agar berwaspada seadanya, perlengkapkan diri kerana maut datang tak diduga. 

Marilah sama-sama kita sedekahkan al fatihah kepada arwah berdua (Ahmad Hakimi & Siti Rohani) dan berdoa agar roh mereka ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Walaupun tak kenal, tak ada salahnya mendoakan mereka. Semoga anak mereka juga berada dalam penjagaan yang sempurna. Amin.

1 comment:

  1. amiin.lg bagus sedekah al fatihah kpd diri2 d alam barzakh slps solat.semua dpt.

    ReplyDelete