24 December 2013

Malaikat tak masuk rumah orang yang membela anjing

Bela anjing, malaikat tak masuk rumah.... Jadi jangan bela anjing. Anjing adalah makhluk yang hina. Sekurang-kurangnya itulah yang orang kebanyakan faham.

Kata-kata di bawah adalah daripada seorang manusia terulung, Muhammad bin Abdullah.

“Tidak masuk malaikat ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing”

Yang dikatakan rumah itu sebenarnya adalah hati iaitu tempat malaikat, tempat turun pembawaan dan tempat ketetapan dari malaikat. Sifat-sifat yang rendah seumpama marah, hawa nafsu, dengki, busuk hati, takbur, ujub dan sebagainya adalah anjing-anjing yang galak. Jadi, macam mana malaikat akan masuk ke dalam hati yang sudah penuh dengan anjing-anjing? Bagaimana pula orang yang membela "anjing-anjing" tersebut hendak mendapat hidayah/petunjuk?

Seseorang pernah menerangkan pada aku tentang ini malah pernah menzahirkan sifat anjing tersebut di depan aku. Sayangnya aku hanya bertemu beliau sekali dan kini beliau telah kembali menemui penciptanya. Al-Fatihah buat Tuan Kelarias Al-Fateh.


23 December 2013

SAKA

Nak cerita pasal SAKA ni ada beribu satu cerita. Saka jin, saka syaitan, saka apa lagi? Nak huraikan memang menyampah sebab nak kena tulis panjang-panjang. Kalau tengah lepak camping malam-malam kat tengah hutan belantara barulah adventure sikit bukak cerita bab ni. Silap-silap ada yang menumpang dengar sekali. Bukan apa, kalau-kalau kita tersalah cerita, bolehlah dia betulkan.

Bila jadi orang Melayu memanglah sinonim dengan cerita bersahabat dengan jin, puaka, jembalang, pelesit dan sebagainya. Bukan untuk menghukum salah, syirik atau sebagainya. Ni sekadar nak sembang kosong saja. Bab hukum-menghukum ni kasi kat mamat fekah je.

Antara penyakit orang-orang zaman moden ini adalah berpunca daripada tinggalan orang-orang terdahulu. Sama ada tak sempat buang, tak sempat diperturunkan, atau langsung tak pernah amik tahu hal saka keturunan dia. Lalu saka pun menjadi kurus, takde siapa nak kasi makan, dan mulalah dia mencari makan sendiri dengan mengerjakan tuannya atau keluarga tuannya. Kucing yang dibela kalau lepaskan mampus dia tak pandai cari makan. Saka pun lebih kurang je. Tuan dah mati, dia cari pulak waris tuannya. Inilah saka terbiar yang mahukan perhatian, manja, dan belaian tuan barunya. Makhluk halus ni memang suka betul menumpang badan manusia. Dapat makanan free, sewa tak payah bayar, cukai pun tak kena. Bila manusia tu bersetubuh dengan isterinya maka dia pun join le sekali. Macam mana tak seronok? Eh, lari tajuk pulak dah. Maklum la aku menulis hampir laju macam kelajuan bercakap jugak.

Jadi macam mana nak keluarkan saka? Paling mudah, cari le orang-orang yang mengetahui cara yang sebenar untuk membuangnya. Jangan cari pomen kereta pulak. Mampus dia kata percaya pada saka ni tahyul, khurafat dan sebagainya. Ilmu kena ada. Belajar sikit-sikit dan kita pasti akan kenal orang-orang yang mempunyai kelebihan membuang saka jauh melebihi kelebihan menyembang laju. 

Walaupun ada sesetengah pusat rawatan mengenakan bayaran yang agak tinggi, itu hak mereka. Jika kita mahu menggunakan khidmat mereka, silalah ikut peraturan mereka. Jika tidak, cari saja lain yang boleh kasi harga murah serta diskaun. 

Paling malas pun, perawat akan mencadangkan agar si pesakit dengar je CD ayat-ayat pemanas jin (ruqyah). Aku saja menggunakan perkataan "pemanas", kepada yang tak bersetuju, gunalah perkataan lain yang korang fikirkan sesuai, pemanggang ke, penghalau ke dan yang seangkatan dengannya. 

Tapi kalau cara ruqyah, pastikan tanya perawat betul-betul tentang saka tu. Dah pergi ke belum? Dibimbangi saka ni diam kejap, pura-pura dah lari padahal dia masuk hospital kejap je. Rawatan dengan menggunakan cara ruqyah boleh menyebabkan jin-jin saka tercedera. Cuba tengok rimau cedera camner keadaan dia? Macam tu la jugak si saka ni boleh bertindak. So, hati-hati. 

Cara lain pun banyak lagi tapi tak semua perawat mampu menguasai ilmu ni. Ada yang tangkap terus buang macam takde apa je. Ada yang terus bunuh (ni mesti taiko besar, hati kering). Siap la si perawat kalau rohaniahnya tak kuat. Memang jin-jin ni bangsa yang kuat berdendam. Dia tak dapat si perawat, dapat anak bini dia pun jadi le. 

Ada juga cara lembut. Bukanlah lembut macam bapuk tapi lebih kepada cara berdiplomasi. Bercakap elok-elok, suruh blah elok-elok. Cara ni bagusnya ialah tiada perasaan tak puas hati dan dendam lagi sesudah tu. Malah seluruh keturunan saka tu berpindah/keluar sekali. Tapi berapa ramai bomoh/perawat yang menggunakan cara ni? Kalau pergi jumpa ostad silap haribulan dikatanya haram pulak sebab tiada dalam hadis dan al-quran. Bukan ke manusia tu khalifah, kenapa nak cakap baik-baik dengan jin? Parah kalau jumpa ostad macam ni! Muthu pun manusia, Bill Gates juga manusia. Adakah mereka ini khalifah? Kalau bukan, jin kah mereka?

Ada orang fikir, sebuah keluarga yang alim mana ada saka. Cuba teka? Keluarga yang dilihat alim tu lah selalunya banyak saka yang hidden. Jangan main ikut logik semata. Saka ni bukan macam pondan. Orang tu banyak solat ke, mengaji ke, dia peduli apa. Jin ni sifatnya dah lemah tapi nak tunjuk kuat. Manusia pun ada perangai macam ni, takkan jin takde?

Mungkin nenek moyangnya alim tapi yang bawah-bawah ni alim kelaziman saja. Saka ni pulak umurnya bukan 60 tahun baru pencen, malah beribu tahun pun ada. So takkanlah saka ni tak boleh tunggu keturunan tuan dia yang mana yang lemah sikit untuk menggangu? Bila sebut perkataan "saka" tu dah tentu le bukan "satu" maknanya. Seangkatan, seketurunan, sefamily jin la. Camner nak tangkap satu-satu masuk botol? Ada beratus, beribu ekor. Satu botol muat berapa pulak? Tu belum kira kalau saka ni main hide & seek lagi. Masak! Lebam le perawat nak kutip sekor-sekor masuk dalam botol. Makanya lebih baik cari perawat yang tak menggunakan botol. Cari le yang pakai vacum atau yang boleh kaut habis macam jengkaut tu. Barulah kena pada tempatnya. 

Fuh, banyak lagi bab saka ni. Kalau si atuk bela hantu raya, si nenek pulak bela pelesit. Bila dua-dua manusia ni tadi masuk ke alam barzakh saka ni kawin campur pulak. hantu raya+pelesit. Jadilah saka hybrid, mutan ke, apa bentuk pun aku tak tau le. Tu yang sesentegah perawat jadi pening. Tak pernah nampak pun jin jenis hybrid ni kat mana-mana sebelum ni. Itu pun kalau hantu raya boleh ngam dengan pelesit le.
Belalang pelesit?
 

Aku pun tak tau diaorang tu boleh ngam ke tak. Pelesit ni dah le kecik, hantu raya pulak sifatnya hantu yang gagah perkasa (kononnya la). Kalau tak ngam, memang matilah si pelesit jika nak berkeras. Katalah si pelesit ni mengalah, dok diam-diam saja. Bila pesakit berubat, tentulah saka hantu raya ni yang kelihatan. Bila hantu raya kena zassss je, pesakit ok la kejap. Happy semula. Tapi tak lama. Dengan senyuman si pelesit akan mengambil alih tugas hantu raya tadi. Dah tentu pesakit akan kembali sakit semula. Duit pulak dah banyak habis gi buang saka maka si perawat pulak akan dituduh penipu. Ah, masak lagi! Amacam, best tak jalan cerita ni?


Kan dah panjang lebar aku menaip. Isinya baru sikit aje. Nantilah sambung lagi kalau ada ilham.





 









 





Haram

Ada yang kata bersahabat dengan jin haram. Minta bantuan jin haram sebab tak minta bantuan Allah. Kalau minta tolong member belikan suratkhabar macam mana? Ini juga boleh dilihat sebagai minta tolong kepada selain Allah. 

Bersahabat dengan jin pula haram kerana jin jahat, tapi bersahabat dengan gengster takpe. Kalau kita susah, diaorg boleh tolong....

Kadang-kala pening juga layan orang-orang yang taksub dengan penyakit suka menghukum ni.

Mari berubat

Episod berubat kembali lagi. 

Kita sering berbalah tentang apa yang boleh dan apa yang tak boleh dalam berubat. Aku menggunakan istilah "berubat" supaya lebih mudah difahami. Sesetengah orang menggunakan istilah-istilah lain seperti "rawatan", "energy transfer", "ruqyah" dan sebagainya. 

Selain istilah, jalan perubatan tersebut juga ada yang berbeza antara satu sama lain. Buat mereka yang langsung tiada ilmu dalam perkara ni tentu saja akan cepat menghukum sesetengah kaedah perubatan tu syirik.

Bidang berubatan selain daripada perubatan cara normal/saintifik ini amatlah luas. Ada yang mendakwa si perawat menggunakan jin, syaitan, pendamping, malaikat, bunian, dan macam-macam lagi makhluk. Ada juga yang mengehadkan ilmu perubatan Islam kepada satu-satu kaedah tertentu saja yang mereka tahu manakala kaedah lain tak Islamik. Ada juga perawat yang mempelajari kaedah rawatan dari luar negara kemudian mengadaptasikan mengikut norma-norma yang difikirnya Islamik dengan menambah nama-nama yang indah-indah pada kaedah berubatan mereka seperti perkataan Islam itu sendiri atau "Nur" atau "Al" dan banyak lagi. 

Sebagai orang awam yang tidak pernah mengambil tahu ilmu sebegini dengan lebih mendalam, tentu saja mengambil jalan mudah dengan bertanyakan hukum kepada ostad-ostad kesukaan mereka tentang sesuatu kaedah perubatan tu. Masalahnya ostad-ostad ni pun bukan belajar bidang perubatan cara sebegini tetapi cukup mudah menjatuhkan hukum. Hanya kepada "sangkaan" semata-mata. Ibarat seorang mekanik motor ditanya tentang kerosakan/masalah jentera berat seperti jentolak atau lori. Tentulah mekanik itu akan membuat keputusan berdasarkan ilmu membaiki motor yang dia ada. 

Contoh lain, seorang pengamal perubatan Islam yang aku jumpa beberapa hari lalu mendakwa kaedah "scan" ni langsung tiada dalam hadis dan prosedur rawatan Islam. Malah ia haram kerana ia seperti menilik nasib. Begitu mudah beliau menjatuhkan hukum tentang sesuatu ilmu yang beliau sendiri tak pernah memilikinya. Perkataan "scan" tu hanyalah pada istilah saja. Ia boleh saja kata sebagai "teropong", "tinjau", "usha", dan lain-lain yang mudah difahami masyarakat. Wujudkah perkataan "usha" dalam hadis dan al-quran? Sebenarnya apa yang aku fikirkan bagi menjelaskan perkataan "scan" tu sendiri adalah seperti memohon kepada Yang Maha Mengetahui agar diberikan petunjuk/ilham/gerak hati/gerak batin untuk mengetahui punca masalah yang sedang dihadapi. Itulah "scan" yang dimaksudkan dalam perubatan cara ini. Kat mana pula salahnya orang-orang yang dianugerahkan kebolehan melakukan "scan" ni?

Jangan sempitkan sesuatu bidang ilmu tu kerana semuanya datang daripada Dia. 

Kaedah "scan" tu sendiri memang banyak. Untuk pandai membezakan yang mana satu benar dan batil kenalah berilmu. Janganlah mudah menghukum tanpa mengetahui hujung pangkal. 








16 December 2013

Melayu & Melaka

Kita biasa mendengar, "Portugis datang dengan angkatan tentera siap dengan meriam dan senapang manakala orang-orang Melaka bersenjatakan keris dan pedang. Bodoh sungguh. Nak menang macam mana?"

Betapa mudahnya orang-orang Melayu sekarang menganggap orang-orang Melayu terdahulu sebagai bodoh, lemah dan lembik sedangkan yang mempertahankan Melaka waktu itu bukanlah calang-calang pendekar, bukan calang-calang ahli agama, bukan juga calang-calang orang kebanyakan.

Bagaimana sebuah 'EMPAYAR' terkenal, bertaraf antarabangsa, moden dan sibuk tiada langsung sistem pertahanan yang kuat dan canggih?

Sebenarnya.....

Dikatakan bahawa angkatan perang Melaka waktu itu tiada tolok bandingnya jika mahu dibandingkan dengan angkatan perang Portugis yang datang menyerang. Kapal-kapal perang Alfonso itu hanya sekecil anak saja kalau mahu dibandingkan dengan bahtera-bahtera perang milik Angkatan Laut Melaka. Meriam-meriam Portugis itu hanya sebesar kelingking saja andai mahu dibandingkan dengan meriam-meriam yang mengelilingi kubu Kota Melaka. Itu belum lagi andai mahu diceritakan betapa hebatnya pahlawan-pahlawan Melaka. Apalah sangat mahu dibandingkan dengan soldadu-soldadu Portugis itu. Namun akibat pengkhianatan beberapa orang Melaka sendiri, akhirnya Melaka jatuh ke tangan Portugis.

Terimalah hakikat bahawa MELAKA TIDAK TEWAS KERANA SENJATA. MELAKA TEWAS KERANA PENGKHIANATAN BANGSA SENDIRI YANG KHIANAT DAN BERSENGKETA SESAMA SENDIRI!

Itulah akibatnya apabila sesama...
Bangsa kita bersengketa...
Empayar yang kuat pun hancur dan binasa...
Apa yang tinggal hanyalah debu-debu sebuah cerita...

Sekadar menjadi peneman hikayat tidur malam anak-anak bangsa...

Usahlah kita bersengketa...
Kerana sesungguhnya Melayu itu hidupnya bersatu dan bersaudara...

Andai bersengketa maka rosak dan binasa...
Belajarlah dari Melaka, usahlah diulangi kesilapan itu lagi...

Janganlah jadi petualang kepada bangsa dan agama sendiri...

Tanah Melayu ini warisan nenek moyang kita...
Di tangan kitalah ia kan kekal terpelihara...




11 December 2013

Tayar

Semalam aku cuti. Tayar kereta rasa gelong, jadi tak sedap bawak. Naik 80km/h saja dah bergegar stereng. Mula-mula aku syak driveshaft. Lepas periksa sendiri, benda tu memang elok saja. Malah steering rack aku pun ok lagi. Takde free-play langsung. Lower arm pun masih kukuh. Kemudian aku masuk gear 3 dan biarkan tayar belah kiri yang tergantung tu berpusing. Nampak macam ada benjol sikit. Aku fikir memang patut pun sebab tayar tu dah makan dalam. Mesti alignment lari ni. 

Mood tengah rajin, aku check pulak tayar belah driver. Mak ai, teruk gila dia punya melantun. Tayar baru lagi tapi dah macam ada benjol yang teruk. Macam tak logik je. Bukan tayar cap ayam atau made in china. Dah tau punca, aku terus ke kedai tayar. Check punya check rupanya rim bengkok. Ceh, dah lama tak bengkok, kali ni kena pulak dah. Jalan kat Malaysia ni memang lebih baik dari jalan-jalan di Ghana la. 

Lepas betulkan rim semua, aku buat alignment sekali. Dah alang-alang kata orang. Waktu tu pelanggang takde la ramai sangat tapi tak putus-putus yang datang. Budak kedai tayar ni tak rehat langsung. Lepas sorang, sorang dia layan. 

Hujan pun turun. Tinggal kereta aku saja. Tiba-tiba aku nampak seorang budak Cina ni terus ambil tools dia dan buka tayar traktor kat tengah-tengah hujan tu.




Bukanlah nak puji sangat. Diaorang ni rajin kerja. Buat kerja pun cepat saja. Aku boleh bayangkan kalau ini kedai Melayu. Dengan sembang-sembangnya, hisap rokok, minum-minum. Pelanggan tunggu je la. Aku jenis yang tak kisah tentang bangsa apa pun. Asalkan kerja puas hati, aku dah cukup senang. Cina pun bukan semuanya bagus. Ada jugak yang cincai. Tapi yang Melayunya pulak bukan semuanya tak guna, cuma majoritinya saja yang memang hancur.

02 December 2013

Dua golongan terbesar

Politik boleh memutuskan kawan dan boleh jugak membuat kawan baru. 

Bergantung sejauh mana kematangan seseorang dalam berpolitik.

Mencampur adukkan urusan agama dalam politik bukanlah bermaksud dalam politik tu tiada unsur-unsur agama tetapi lebih kepada untuk mendapatkan political milage. Lebih jelas, ia seperti menunggang agama demi untuk mencapai kemenangan dalam berpolitik.

Dalam konteks politik negara ni, ada dua pertubuhan Melayu terbesar iaitu UMNO dan PAS. Aku akan jadi se'natural' mungkin dalam memberikan pendapat dalam isu ni. 

Dalam UMNO, tiada lagi kelibat pemimpin-pemimpin yang berwibawa, berkarisma, bijak dan berwawasan. Selepas era Tun Dr M, UMNO seperti kucar-kacir. Perebutan dalam parti itu biasa, tapi apabila bercakap, kita takkan dapat lihat lagi seorang yang bijak berkata-kata seperti Tun Dr M. Itu aku akui. Bijak bukanlah betul semunya. Dia bijak menangani apa jua isu yang dibangkitkan. Dia bijak dalam mentadbir ekonomi. Dia mungkin kejam bagi sesetengah orang, tapi hakikatnya dia juga bijak dalam pentadbiran negara. 

Ya, ada yang menggelarkannya bapa segala bapa. Dasar monopoli, kronisma dan lain-lain. Tapi jangan lupa apa yang dia telah sumbangkan dan ideanya. 

Agak malang kerana sejak beliau meletakkan jawatan, pengantinya terlalu lemah. Makin lemah dan terus lemah. Lemah dari segi pentadbiran, ekonomi dan sangat lemah dalam menawan isu-isu semasa yang dibangkitkan oleh pihak lawan. Paling jelas, dalam UMNO amat susah untuk kita melihat bijak pandai dilantik menjadi ketua. Selalunya yang dilantik adalah daripada kalangan mereka yang mempunyai perniagaan, harta yang banyak, anak-anak buah yang ramai dan 'bodoh'. Bijak pandai biasanya akan dicantas awal-awal. Inilah kelemahan UMNO dan tentu saja faktor ini merupakan salah satu faktor terbesar kejatuhannya suatu masa nanti. 

PAS pula dilihat sebagai sebuah parti tok lebai. Mempunyai pengikut yang fanatik terhadap ketua mereka dan ada juga yang menggelarkan sebahagian daripada orang-orang PAS sebagai ekstrimis. PAS dilihat tidak mesra kepada mereka yang tidak bertudung, berseluar pendek dan jahil agama. PAS menganggap merekalah satu-satunya parti yang memperjuangkan Islam dan parti lain sebagai sekular. Tapi PAS lupa, UMNO juga terdiri daripada orang-orang Melayu yang bukannya menjatuhkan Islam. 

Antara faktor utama yang menjadi punca perpecahan orang-orang Melayu jika diperhalusi adalah berpunca daripada mereka. Wujudnya dua kelompok terbesar ini  (UMNO dan PAS) menyebabkan kuasa/sokongan orang Melayu terpecah menjadi dua bahagian. PAS dilihat menggunakan isu hukum hudud sebagai tonggak utama dalam perjananan mereka menuju ke Putrajaya sambil bersekongkol dengan DAP. Ia agak kelakar kerana PAS mahu menegakkan hukum hudud sambil berganding bahu dengan pihak yang memang tidak mahu hudud ditegakkan. 

DAP pula memiliki sebahagian besar sokongan orang-orang Cina di negara ni. PAS melihat ini sebagai satu peluang bagi mereka untuk menjatuhkan UMNO dan menegakkan negara Islam (mengikut definasi mereka) dengan pihak yang langsung tak mahu sebuah negara Islam diwujudkan. Orang Melayu pula menjadi serba salah apabila ada pihak yang menggunakan agama sebagai satu faktor untuk meraih sokongan kerana orang melihat PAS sebagai Islam sedangkan hakikat sebenar Islam itu bukannya PAS.

Dalam meraih sokongan dan kuasa, PAS lebih banyak menggunakan pendekatan menghukum musuh-musuh politik mereka seperti mengkafirkan orang-orang yang tidak sehaluan dengan mereka, memainkan isu syurga dan neraka, menggunakan kata-kata yang bersifat kutukan, makian, dan kasar demi untuk mendapatkan sokongan. Di sinilah sifat ektrimis PAS jelas kelihatan. 

Sesiapa saja yang membuka mata dapat melihat dengan jelas bahawa PAS hanya menggunakan alasan menegakkan negara Islam untuk meraih sokongan. Jika ditakdirkan suatu hari nanti Pakatan Rakyat mendapat sokongan majoriti maka akan terlondehlah pakaian yang menutup kudis-kudis dalam PAS ni. Pasti berlaku huru-hara kerana PAS akan menggunakan senjata terbesar mereka, iaitu fahama agama dalam menidakkan rakan-rakan mereka PKR dan DAP dalam pemerintahan negara. Jika PKR dan DAP enggan mengikut mereka, bayangkan apa yang akan PAS lakukan? 13 Mei 2.0?

Mereka menggelarkan orang-orang yang berilmu yang menyokong UMNO sebagai ular dalam semak. Mereka memperlekehkan ustaz-ustaz, guru-guru agama yang tidak menyokong mereka seolah-olah orang yang tidak menyokong mereka adalah sama dengan orang yang tidak mahukan Islam. Cuba kita lihat, apa reaksi penyokong dan ahli PAS jika kita mengatakan perkara yang sama kepara ustaz-ustaz mereka, guru-guru agama mereka, dan yang paling ketara cuba kita kritik pemimpin utama mereka. Lihat reaksi Islamik mereka. 

Lihat kata-kata pemimpin utama mereka dan nilaikanlah sendiri.


Lihat saja dalam PRU-13 yang lalu bagaimana mereka mengkhianati rakan seperjuangan mereka dalam Pakatan Rakyat. 


Kes ini berlaku di Terengganu. Tapi di Pulau Pinang mereka tetap menamakan calon mereka sedangkan kata sepakat telah dicapai. Soal betul atau tidak siapa edar pil kuda, itu isu lain. Kenapa tidak buat laporan pada polis saja. Cakap biarlah benda yang betul, tuduh biarlah berbukti.

Kemudian soal gambar Stalin & Lenin. PAS kata mereka tidak mahu syaitan-syaitan masuk ke dalam Pakatan Rakyat. Siapakah syaitan? Selain DAP & PKR adakah syaitan? Alasan-alasan seperti ini yang diberikan oleh seorang ketua, bukan orang bawahan tapi KETUA. 

Lihat dan nilaikan sendiri kata-kata yang berubah-ubah daripada ketua mereka. Kejap begini, kejap begitu. Tapi orang bawahan yang fanatik tetap memandang jubah dan serban pemimpin-pemimpin mereka. Siapa yang memandang disebalik 'jubah dan serban' pasti akan terlihat 'ekor' mereka.

Tanyalah disudut hati yang terdalam, inikah perjuangan Islam yang sebenar? Beginikah caranya nabi dan para sahabat memperjuangkan Islam? Adakah Islam memerlukan PAS untuk tegak berdiri? 

Timbulnya isu hukum hudud menyebabkan jurang perbezaan pendapat dan sokongan politik kedua golongan penyokong UMNO dan PAS makin jauh. PAS mencanangkan bahawa siapa yang menolak hukum hudud adalah kafir. Ini adalah suatu kenyataan yang amat keras. Ia bukan seperti soalan matematik, 2x3=6 dan 3x2=6. Soal kafir atau berimannya seseorang bukanlah tugas manusia untuk tentukan. 

Pada pendapat aku, orang tidak menentang hukum hudud, tetapi menentang pelaksanaannya mengikut cara PAS. PAS meletakkan itu sebagai tonggak utama perjuangan mereka sedangkan banyak lagi perkara lain perlu diutamakan. Seperti seorang yang ingin berlari, ia perlu pandai berjalan terlebih dahulu. Perkara yang didahulukan perlulah didahulukan. 

Jika keadaan negara kita semua rakyatnya makan cukup, pakai cukup, belanjanya cukup, pendidikan anak-anak cukup dan masih ada lagi yang nak mencuri, maka wajar sangatlah hudud dilaksanakan. Tapi jika keadaan negara terumbang-ambing, keadaan ekonomi pun teruk, kos sara hidup yang tinggi, apa akan jadi jika hukum potong tangan dilaksanakan? Bukankah ia akan menimbulkan imej yang buruk dan fitnah terhadap Islam? Adakah ini lebih baik? Tetapi inilah yang kononnya PAS hendak laksanakan. 

Mereka berfikiran bahawa negara Islam wajiblah sebuah negara yang mengamalkan hudud tetapi mereka lupa bahawa Islam itu juga melambangkan keadilan, kebajikan dan kasih-sayang. Hudud merupakan satu mekanisma untuk mencegah jenayah bukan melambangkan ia keperluan wajib bagi sebuah negara Islam. 

Ingatlah, kehebatan Saidina Umar bukanlah kerana beliau banyak memotong tangan pesalah tetapi kerana keadilan beliau. Beliau tidak makan sebelum memastikan semua rakyatnya makan. Masihkah kita ingat antara kisah yang mahsyur itu. 




Adakah PAS memiliki kemahiran dan kebolehan dalam mentadbir sesebuah negara? Terengganu bagaimana? Kedah bagaimana? Mengapa tumbang? Adakah orang-orang di negeri ini tidak suka pada Islam?

Ya, mungkin saja ada yang membaca sedang marah pada aku tentang apa yang aku tulis. Terutama mereka yang cintakan PAS. Maaflah, ini sekadar pendapat aku. Kalau kamu tak setuju, tulislah pendapat kamu di blog kamu puas-puas. 











26 November 2013

Dia

Memikirkan nasib orang lain yang lebih baik dan menyesal nasib sendiri?

Ah, ada apa dengan semua tu. Matlamat utama hidup manusia berbeza-beza.

Ada yang mencari syurga tetapi tak disedari jalannya seolah-olah ke neraka.

Ada yang mengelak neraka dengan memerhatikan orang dan mengutuk kesalahan mereka.

Ada juga yang tak peduli tentang syurga atau neraka. Yang diinginkan hanyalah Dia.

Golongan ini sukar untuk dimengerti dan berat untuk difahami.

Kita perlukan Tuhan untuk apa? Untuk meminta-minta kebahagiaan, kekayaan atau kesejahteraan? Untuk ke syurga barangkali?

Kalau Tuhan tak berikan itu semua, adakah sebab lain untuk kita perlukan Dia?

Nyatalah, ramai yang pentingkan diri sendiri.

Sedangkan sangat sedikit golongan yang tak perlukan apa-apa melainkan hanya Dia.




07 November 2013

Sedap betul bila menghukum

Isu panas sekarang ialah isu budak bertudung bercium dengan pasangannya. Mungkin budak sekolah, mungkin budak kolej atau IPT.

Ramai yang suka mengongsikan aib orang lain dan komen. Itulah trend orang zaman sekarang, itulah kualiti orang Islam zaman ini. 

Kalau tak boleh membantu, diam sudahlah. Tak perlu kasi ceramah sambil menghukum. 


05 November 2013

Ikhlas

Aku selalu terfikir, jika kita masih mengharapkan syurga, pahala dan ganjaran lain dalam melakukan sesuatu, di manakah ikhlas?

Sedangkan ikhlas itu adalah tidak mengharapkan apa-apa pun. Bukanlah aku bermaksud untuk mengatakan bahawa kita tak boleh mengharapkan syurga. Itu atas diri masing-masinglah nak berharap apa pun. Cuma perkara ni terlintas dan sering bermain-main dalam kotak fikiran aku sendiri.

Adakah ikhlas seperti itu menipu sama sekali dan kepada siapa pula penipuan itu ditujukan? Ia seperti satu persamaan matematik yang rumit.

Adakah dengan merelakan sesuatu berlaku atas diri kita tanpa rasa memberontak dan mempersoalkannya dikatakan ikhlas?

Seperti mana kata-kata seorang kawan, 3R sudahhh......(redah, rela, redha)


Lebuhraya Karak-KL

Betul ke di Lebuhraya Karak ada sabotaj daripada pihak trak tunda dengan menuang minyak atas jalan? Persoalan ni timbul kerana tiap kali hari hujan, pasti akan berlaku kemalangan.

Aku sendiri tak nafikan bab kemalangan diwaktu hari hujan tu sebab aku sendiri pernah mengalaminya sekali dan kemudian hampir dua kali pula terbabas. Ini semua berlaku lama dulu.

Jalan lurus pun kereta boleh tergelincir, inikan pula selekoh. Tapi waktu kemalangan dulu, memang tayar kereta aku sendiri yang botak. Sempat aku perhatikan meter waktu tu menunjukkan kelajuan antara 80-90km/h saja. Secara tiba-tiba tayar belakang kereta terseret (drift) menyebabkan kedudukan kereta berpusing 180 darjah kemudian menghentam divider tepi. Nasib baik hanya bumper belakang saja yang kemek.

Tak lama lepas tu aku lalu semula ditempat yang sama, pada kelajuan yang sama, dalam waktu hujan juga dan aku dapati memang betul apabila meter menghampiri 90km/h tayar mula hilang cengkaman. Mujur waktu tu aku dah bersedia. Pedal minyak dilepaskan dan kereta kembali normal. Silap aku waktu dulu ialah terkejut. Bila terkejut, aku jadi panik dan terus tekan brek sekuat hati. Menekan brek sebenarnya langsung tak membantu kerana hanya akan menyebabkan tayar terkunci dan tayar terus hilang cengkaman.

Aku juga ada perhatikan kereta lain yang lebih laju melalui kawasan yang sama tapi tak terbabas pun. Jadi, aku buat kesimpulan bahawa setiap kereta mempunyai tahap cengkaman yang berbeza. Selain daripada kelajuan, ia bergantung pada bunga tayar, jenis tayar, berat kereta dan alignment sesebuah kereta. Bukan semua orang mampu menggunakan tayar yang mahal dan berkualiti. Bukan semua orang mempunyai bunga tayar yang banyak dan bukan semua orang juga ambil peduli tentang alignmenti kereta masing-masing. Ini semua memainkan peranan dalam menyebabkan kereta hilang kawalan apabila melalui kawasan licin.

Tayar yang mahal biasanya mempunyai kualiti yang lebih baik sama ada dalam keadaan basah atau kering. Selain corak bunga tayar yang mampu menyingkirkan air sewaktu melalui jalan yang basah, bunga yang keras dan lembut pada sesebuah tayar juga memainkan peranan penting dalam menentukan tahap cengkaman atas jalan. Tayar yang lembut lebih mencengkam walaubagaimanapun bunganya cepat habis. Tayar yang keras pula lebih sesuai dalam keadaan lasak, kering dan tak berpasir selain bunganya lambat habis. Tayar yang tamat tempoh pula sebenarnya langsung tak berguna lagi kerana telah hilang sifat elastiknya. Walaupun bunganya masih banyak tetapi getahnya telah keras dan merekah.

Selain daripada semua faktor di atas, ada satu lagi faktor yang menyumbang kepada hilangnya kawalan sewaktu memandu dalam keadaan basah iaitu faktor jalan tu sendiri. Jika kita peka, jalanraya yang dah berusia bertahun-tahun tidak lagi mempunyai cengkaman pada tayar kerana permukaannya yang dah memang licin. Batu yang asalnya tajam, lama ke lamaan pun boleh jadi tumpul. Apabila ditambah pula dengan faktor tayar kurang baik dan keadaan alignment kereta yang tak selari, maka kemalangan memang mudah berlaku.

Jadi, aku kurang bersetuju jika orang kata ada pihak yang mensabotaj lebuhraya berkenaan kerana setakat ni tiada langsung bukti dikemukakan kepada pihak berwajib, tiada rakaman atau saksi yang pernah melihat kejadian simbah minyak dan pihak polis serta MTD sendiri tak pernah menemui kejadian seperti tu berlaku di lebuhraya ni. 

Jika faktor minyak, kenapa bilangan kenderaan yang hilang kawalan sewaktu melalui kawasan tersebut yang terbabas adalah sangat kurang? Jika ada minyak di atas jalan, maka majoiriti kenderaan yang lalu pasti akan terbabas. Jadi, faktor utamanya ialah kecuaian pemandu itu sendiri dan faktor kenderaan mereka juga perlu diambil kira. 





03 November 2013

Tak berminat

Aku langsung tak berminat untuk mengulas tentang PRK Sg Limau yang akan berlangsung esok. Pada aku, sama saja. Jika PAS menang, apa perubahan yang mereka boleh lakukan? Menurunkan harga barang? Jika BN menang pula adakah harga barang boleh turun? Sama saja. Cuma mungkin, ada sebelah pihak yang mampu membawa kemajuan atas kapasiti satu 'kapal' dengan kerajaan pusat dan jika pihak yang satu lagi menang pula ia adalah sebagai satu mesej kepada pihak lain bahawa jangan suka-suka naikkan harga barang dan keperluan hidup rakyat. Itu saja. 

Kita dapat lihat bagaimana kotornya sistem demokrasi yang diamalkan selama ni. Bagaimana nak tegakkan Islam melalui cara yang kotor ni, kalau bukan kita juga terpaksa bergelumang dalam kekotoran tu? Apa pun, ini hanyalah pendapat peribadi aku saja. Bukan bermaksud untuk berdebat siapa benar, siapa salah kerana kebenaran tu tetap milik Dia jua. 


20 October 2013

Aku tak kisah pun

Dalam berkawan ni, aku bukannya nak tau gaji kau sebulan berapa, macam mana kau buat duit atau apa pangkat kau sekarang.

Aku tak perlu dan tak nak tau semua tu. Tapi kalau kau dah start sembang deras, cakap pun besar, kau jangan pelik bila aku angkat kaki.

Aku berkawan dengan semua jenis orang, semua level pangkat, miskin, kaya, bujang, berkahwin lebih daripada satu ke, takde kerja ke, semuanya aku tak kisah. Asalkan tak sembang kencang, tak berlagak dan paling penting tak menipu.

Kalau nak cerita tentang kebesaran diri, kehebatan diri ke, kau boleh pergi melingkup lah....

Tak tahulah bro

"Sekretari saya yang buat, saya tak tahu-menahu pun..."

Kelakar punya jawapan.

Mengaku saja kan senang. Tak perlu panjang cerita.

Harap bukan mamat tukang gunting yang kasi idea ni sebab alasan macam ni memang tak membantu langsung.


Tukar?

Ada suara-suara yang menyarankan beberapa tokoh dalam UMNO yang kalah dalam pemilihan baru-baru ni supaya berpindah ke parti lain.

Untuk apa?

Parti lain pun sama saja macam UMNO cuma pakaian saja berbeza. Pak Lebai pun gila kuasa jugak brader. Berapa ramai sangat manusia yang tak mahukan pangkat dan kedudukan?

Sejarah membuktikan pemimpin-pemimpin yang hebat seperti Umar Abdul Aziz bukanlah terdiri daripada orang yang menawarkan diri sendiri untuk dipilih sebagai pemimpin.

12 October 2013

Perjumpaan

Cadangan untuk mengadakan hari keluarga memanglah bagus. Terutama bagi yang dah lama tak bersua muka. Daripada mula kahwin sampai dah beranak pun. Selalunya perancangan 'atas kertas' memang sangat sempurna. Mulanya aku tiada masalah untuk turut serta sebab dah dimaklumkan awal. 

Tapi bila keluar aturcara rasa macam kurang selesa pulak. Sepatutnya perjumpaan keluarga ni bersifat santai. Tak perlu serius sangat dengan aturcara program macam pergi kursus. Perjumpaan keluarga biasanya untuk bertanya khabar, bersembang-sembang, makan-makan dan memperkenalkan ahli keluarga baru masing-masing. Bila ada aturcara yang tertentu, ia menjadikan program ni kurang seronok sebab semua terikat. Lagipun, perjumpaan ni bukanlah ramai mana. Kalau tak ada orang ikut susunan program nanti akan jadi buah mulut pulak.

Jadi aku rasa dah macam tak menarik lagi. Mungkin aku seorang saja yang rasa, tak tahulah orang lain. 

08 October 2013

Nur Muhammad

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.

 

Title





Di negara maju, orang yang berpandangan macam ni disisihkan, dibiarkan main seorang diri dan tak dihiraukan pun. Di negara kita, mereka diberi jawatan besar. Berapa tahun negara kita tertinggal di belakang?

07 October 2013

Kecenderungan

Masyarakat cenderung menilai seseorang berdasarkan apa yang mereka nampak kerana itu adalah fitrah manusia. Percaya apa yang dilihat dan jarang sekali berfikir panjang. 

Ramai membuat kesimpulan jika seseorang itu benar, jalan yang dibawanya juga benar, hidupnya berkat, tentulah dia akan mempunyai keluarga yang bahagia, anak isteri yang soleh/solehah, kereta yang baik-baik, rumah yang besar, makan pakai semuanya lebih dari cukup, tiada masalah duit dan sebagainya. 

Sama juga seperti masyarakat dulu berfikir, jika seseorang rasul itu benar-benar dilantik menjadi rasul tentulah Tuhan akan lantik daripada golongan mereka yang kaya-raya, hidup senang, harta banyak dan dari golongan bijaksana bukan daripada kalangan orang yang tidak memiliki itu semua.

Jadi bagaimana?

Jangan menghukum orang lain. Buat hal sendiri sudah.

Qarin

Apa yang aku tulis ini adalah pendapat aku semata-mata berdasarkan pengetahuan yang ada pada aku. Tidak bertujuan untuk membandingkannya dengan pendapat/pandangan orang lain untuk mencari siapa lebih benar, siapa lebih salah. Mungkin saja ia berbeza dengan kelaziman hidup dan pengetahuan orang lain.


Bersama dengan seorang manusia terdapat dua lagi makhluk lain yang namanya kita semua biasa dengar, Qarin.
Qarin/Si Pendamping

Terdapat banyak buku yang menerangkan apakah Qarin dan siapakah Qarin ini sebenarnya. Namun berapa ramai orang yang betul-betul mengenal Qarin bercerita mengenainya?

Qarin manusia terdiri daripada dua, satu bersuku jin dan satu lagi bersuku malaikat. Suku jin sentiasa menyuruh ke arah kejahatan dan suku malaikat sentiasa menyeru kepada kebaikan. Sudah tentu mereka ada namanya masing-masing (sila cari jika berminat).

Lalu apakah gunanya mengenali Qarin ni? Jika tak kenal, maka mana nak datangnya cinta? 

Terdapat cara-cara tertentu untuk berhubung dengan Qarin diri. Dengan ini manusia mula mengenal siapa yang selalu mendampinginya 24jam tanpa henti sampai mati. 

Mereka yang tahu hal selok-belok Qarin ni kebiasaannya menjadi ketua dalam kumpulan, masyarakat, pemimpin dan tokoh-tokoh besar (bukan semua). Pengamal perubatan tradisional/bomoh juga boleh mengetahui serba-sedikit tentang hal-ehwal pesakitnya melalui Qarin si pesakit. 

Kedua-dua Qarin ini menempati di dua tempat yang berbeza di batang tubuh manusia. Satu di kemaluan dan satu lagi di ubun-ubun.

Qarin dari suku jin terbentuk sejak bayi dalam kandungan lagi (apabila kandungan mencapai umur tertentu). Ia terbentuk dari kotoran/buangan bayi. Secara hakikatnya ia telah berada di persekitaran alam bayi sewaktu bayi masih lagi dalam kandungan, walaupun tidak kukuh. Dialah yang membisikkan segala perkara/ancaman kepada si bayi hinggakan bayi ada kalanya berasa cemas dan takut dalam kandungan (pasti ada saja yang mempersoalkan, bayi ada perasaan kah sebelum lahir? Persoalan yang anda harus jawab, adakah bayi hidup sewaktu dalam kandungan?)

Qarin dari suku malaikat tercipta sewaktu pertama kali si bayi mendengar azan/qamat. Atas sebab yang demikian bayi yang lahir perlu segera di azan/qamat kan agar perbezaan usia Qarin suku jin dan Qarin suku malaikat tidak terlalu ketara jaraknya. Perbezaan umur inilah yang akan mempengaruhi Qarin mana yang akan lebih berkuasa ke atas batang tubuh seseorang manusia. 

Kedua-dua Qarin tidak akan ikut manusia ke alam kubur. Bila manusia mati, ia tetap ada. Mereka yang mempunyai ilmu tentang ini dapat berhubung dengan si Qarin tadi lalu ada saja yang menganggapnya sebagai ruh si mati dan sebagainya. Makhluk yang mengikut manusia sepanjang hidupnya pasti saja mampu meniru karektor tubuh badan, perangai, suara dan yang bersangkutan dengan manusia tadi. 


Biasa mendengar orang berkata, "Sihat wal afiat"? Di situ ada perkataan yang sering dipandang remeh tetapi mempunyai seribu satu makna. Orang Melayu dulu-dulu bukannya bodoh seperti yang ramai sangka. Mereka bijak dan kaya dengan ilmu dunia dan akhirat.






Pandangan

Ada yang tak bersetuju dengan video ni http://www.youtube.com/watch?v=DoDOlwGwkww

Aku bukanlah peminat ustaz tersebut namun kata-katanya betulnya juga. Cuma janganlah terlalu emosi dalam mendengar pendapat beliau.

Perjuangan

Bila timbul sesuatu isu, masyarakat akan ulas daripada sudut pandangan mereka berdasarkan maklumat yang mereka ada. 

Berita tentang OKU hantar memorandum sampai merangkak naik ke pejabat telah menjadi satu isu. Ditambah pula ada yang mengaitkannya dengan politik. Ahli politik tak kiralah parti apa sekali pun pasti akan mengambil peluang yang ada. 

Ada yang membidas, ada yang menyokong, ada yang mengeji dan ada yang berasa tak puas hati. Segala rasa ada. Malas aku nak ulas panjang kerana pasti akan ada orang itu mengata orang ini dan orang ini mengata orang itu. Akhirnya habuk pun tak ada. Sama saja. Jika kita bertukar kasut, adakah kita akan faham? Atau adakah kita akan mengulas daripada satu sudut semata-mata. Masing-masing merasakan pandangan dan pendapat mereka lebih betul daripada orang lain. Lebih baik aku diam saja. Kamu perjuangkanlah apa yang kamu rasa betul. (Diam pun ada masanya kena kutuk juga)



21 September 2013

Tenaga Dalam

Ada yang mengejanya Qi Qong, ada juga yang mengeja Xi Qong atau Qi Gong. Apa pun asal bunyinya lebih kurang, ia merujuk kepada perkara yang sama.

Ia adalah senaman yang mempraktikan gerakan tertentu disertakan dengan teknik pernafasan yang tertentu juga dan menghasilkan suatu keputusan yang mengagumkan. Nak tahu lebih lanjut, google saja. 

Aku diperkenalkan dengan senaman ni oleh Prof Zul daripada UiTM Shah Alam pada 2008 dan kali kedua aku berjumpa dia atas urusan yang sama ialah pada bulan Jun 2013. Ternyata dia masih sihat walaupun umur meningkat. 

Suatu masa dulu (mungkin sampai ke hari ini juga), teknik Qi Qong ni tidak dipersetujui oleh beberapa ilmuan Islam kerana asal-usulnya yang dikatakan tiada kena-mengena dengan Islam. Malah teknik pernafasannya juga dikhuatiri menyerap energy-energy yang negatif. 

Namun sewaktu bertemu dengan Prof Zul buat kali kedua pada Jun lalu, teknik dia telah disesuaikan dengan kaedah yang lebih Islamik. Contohnya memulakan senaman dengan bacaan-bacaan tertentu sebagai membezakan teknik orang Islam dan bukan Islam. Bagus juga. 

Ramai yang menganggap senaman ini adalah senaman yang berasal dari negara China. Sebenarnya hampir dalam semua kumpulan masyarakat, bangsa ataupun etnik, mereka mempunyai senaman pernafasan masing-masing. Seperti Honda, mereka mempunyai teknologi VTEC, Toyota pula dengan VVT nya, manakala Mitsubishi terkenal dengan teknologi MIVEC dan BMW dengan sistem VANOS nya. Semuanya adalah sebuah sistem yang hampir sama cuma beberapa perkara kecil saja yang membezakan mereka. Begitu juga dengan senaman ni. Cuma ia lebih terkenal kerana masih ramai yang mengamalkannya dan diwarisi dari satu generasi kepada generasi yang lain. Tidak seperti ilmu penafasan Melayu yang makin lama makin pupus. Mungkin tidak ramai yang mahu mempelajarinya kerana menganggap Melayu adalah bangsa kolot dan tiada ilmu pengetahuan dalam bidang sains. 

Dalam budaya masyarakat Melayu (tak kiralah Jawa ke, Bugis ke, Tanah Melayu ke) ilmu seperti ini dikenali dengan nama ilmu pernafasan. Bukankah datuk nenek moyang kita banyak meninggalkan petua-petua untuk anak cucu mereka cuma anak cucu saja yang acuh tak acuh mahu mengamalkannya? Malah Datuk Fadhilah Kamsah sendiri ada menerangkan teknik pernafasan ini dalam setiap ceramah motivasinya. Cubalah sertai jika berpeluang. 

Teknik pernafasan yang betul ni dikatakan mampu membangkitkan tenaga dalam manusia. Tenaga dalam bukanlah bermaksud seperti mengangkat sesuatu tanpa memegang atau menggerakkan sesuatu tanpa menyentunya semata-mata. Tenaga dalam boleh dialirkan untuk penyembuhan dalaman diri sendiri seperti darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Hanya dengan mengetahui teknik yang betul dan petua yang tertentu, ia tak mustahil boleh dipraktikkan untuk penyembuhan. 

Jika berminat, silalah balajar dengan orang yang ahli dalam bidang ni. Aku sendiri telah melaluinya dan ia amat berkesan.

01 September 2013

Merdeka

Apakah erti kemerdekaan?

Tentunya masing-masing ada pendapat yang tersendiri.

Al fatihah buat mereka yang telah berkorban harta benda, nyawa dan keluarga demi membawa Malaysia ke suatu tahap yang lebih baik, tak kiralah sama ada nama mereka tercatat dalam sejarah atau tidak dan di sebelah mana pun mereka berpihak. 

28 August 2013

Doa

Sabtu lepas aku ke rumah ayah. Saja aku tanyakan padanya sama ada dia dah tengok ke apa yang jadi kat Mesir & Syria?

Dia cuma kata dia tengok apa yang keluar di tv saja la. Internet dia memang jarang guna. Aku pun cerita la sikit pasal Syria dah makin teruk. Ramai kanak-kanak kena bom. Ayah nak tau lebih, minta aku tunjukkan video pengeboman yang menggunakan gas beracun. Terus aku cakap yang aku tak sampai hati nak tengok. Maka aku pun tak tayangkanlah video tu pada dia.

Tiba-tiba dia kata guru dia dulu pernah kata Basyar Al-Assad tu keturunan ahlu bait. Mulanya aku sanggah keras. Takkanlah keturunan nabi nak buat macam tu? Dia kata tu bukan pendapat dia, cuma gurunya saja pernah kata macam tu. Aku terus memprotes sambil dia diam saja.

Dia membalas dengan ayat;






A040

"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku".

Itu adalah doa nabi Ibrahim. Sebahagian orang-orang di Mekah sebelum Rasullah s.a.w dilahirkan adalah berketurunan nabi Ibrahim. 

Terdiam sejenak aku dibuatnya. 

Dan aku faham apa yang dimaksudkannya. Kami kemudian berbual tentang perkara lain pula.




Perbalahan tentang kesahihan sesuatu

Ilmu Allah s.w.t ni luas. Jika kita cepat menghukum sesuatu diluar  kebiasaan kita sebagai sesat maka kita secara tak langsung telah 'mengehadkan' ilmuNya.

Perdebatan antara mat-mat feqah dengan ahli-ahli tasawuf berhubung dengan ilmu agama telah lama. Mat-mat feqah lebih cendurung kepada bukti sedangkan ahli-ahli tasawuf lebih kepada gerak hati dan penyerahan total kepada Tuhannya. 

Mungkin ada yang berfikir ahli-ahli tasawuf tak menitik beratkan sesuatu hadis seperti dari mana ia datang, siapa yang meriwayatnya, bagaimana perlaku si periwayat sewaktu hidup dan lain-lain. Ini mewujudkan kekeliruan bagi mereka yang baru nak belajar agama dan akan membawa kepada tanggapan Islam itu susah. 

Tidak kurang juga ada golongan feqah yang melabel ahli-ahli tasawuf sebagai sesat dan gila. Ini kerana watak ahli tasawuf itu kadang-kala berbeza dengan watak orang yang faham agama di mata masyarakat. Masyarakat cenderung melihat bahawa orang yang bijak dalam agama ialah orang yang pantas memetik ayat al-quran dan hadis waktu berhujjah, memakai songkok atau serban dan sentiasa berjubah, wajahnya putih bersih dan sentiasa mengeluarkan hukum itu dan ini. 

Ahli-ahli tasawuf pula lebih cenderung untuk memencilkan diri, mendiamkan diri apabila berselisih pendapat, lebih banyak menghitung kesalahan dan kekurangan diri. Setinggi mana pun ilmu yang dia belajar, dia tetap merasa dirinya paling bodoh, paling lemah, paling perlahan dan sebagainya. Ada seorang ahli tasawuf (guru sebuah tarekat terkenal) yang memandang anjing lebih mulia daripada dirinya sendiri. 

Begitulah hati ahli-ahli tasawuf. Sampai kepada satu peringkat, mereka tidak lagi didorong oleh nafsu sebagaimana kita yang digelar orang awam ini. 

Aku sebenarnya bimbang juga untuk bercakap tentang ini kerana bimbang disalahertikan. Walaubagaimanapun aku rasa perlu juga untuk diperjelaskan kepada sesiapa saja yang sudi menerima penjelasan. 

Ia berkaitan dengan satu hadis yang dikatakan palsu oleh mat-mat feqah berdasarkan pendapat sebahagian ulama.

Hadisnya,

من عرف نفسه فقد عرف ربه

Man 'arafa nafsahu, 'arafa rabbahu, faqad 'arafa rabbahu, fasadal jasadu

"Barangsiapa yang mengenal dirinya, maka kenallah Tuhannya, apabila kenal Tuhannya, binasalah jasadnya"

Harus diingat bahawa mengatakan atau mengadakan sesuatu tentang Rasullah s.a.w yang tidak benar tentang dirinya, nerakalah tempatnya. Jika kata-kata ini datang daripada baginda, maka sesiapa yang menolak, ke sana jugalah tempatnya.

Sebagai orang awam, tidak perlulah kita menghukum sesuatu yang diluar pengetahun kita.

Dalam Kitab Adab Ad Dunwa Wa Ad Din pula;

وَقَدْ قَالَتْ عَائِشَةُ رضي الله عنها: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَتَى يَعْرِفُ الانْسَانُ رَبَّهُ ؟
 قَالَ رَسُولَ اللَّهِ: إذَا عَرَفَ نَفْسَهُ
 

Maksudnya:
Saidatina Aisyah r.a. berkata:
"Wahai Rasulullah, bila seseorang insan itu kenal Tuhannya?
"

Rasulullah s.a.w. menjawab: "Jika dia kenal dirinya".


Ada perkara yang boleh diceritakan kepada orang awam dan ada juga yang tidak boleh. Ini kerana sesetengah pengalaman insan dalam perjalanan mencari Tuhannya hanyalah untuk dirinya sahaja, bukan untuk dikongsikan dengan orang lain. Jika dikongsikan dibimbangi orang kebanyakan akan menghukum dia sesat dan kafir. 

Jika ilmu ketuhanan itu dapat dicari hanya dengan membaca, maka ramailah orang bijak pandai dalam beragama sekarang ini termasuk yahudi kerana mereka juga mengkaji sejarah-sejarah Islam, kitab-kitab dan hadis. Tapi kenapa mereka terus dengan agama mereka?

Islam adalah anugerah Tuhan. Dialah yang menentukan siapa yang diberi petunjuk dan siapa pula yang sesat. Kebenaranya hanyalah milikNya. 

Kebanyakan kita menyangka bahawa kita sudah cukup dengan asas ilmu agama sedangkan sebenarnya ramai antara kita yang langsung tak tahu apakah hakikat syahadah yang seringkali diucapkan waktu solat. Jika hakikat syahadah pun tidak tahu, tak malukah kita mengaku bahawa secara rasminya kita ni orang Islam?

22 August 2013

Syria

Hati mana yang tak sayu melihatkan pembunuhan kanak-kanak di Syria menggunakan gas beracun? Maaf aku tak sampai hati nak upload gambar-gambar mereka.

Celaka sungguh manusia yang membunuh kanak-kanak dan wanita ni.

Lebih celaka lagi apabila ada negara-negara Islam yang mempunyai kekuatan dari segi ekonomi, ketenteraan dan pengaruh langsung tidak berbuat apa-apa.

Semoga Tuhan jua lah yang melindungi mereka yang benar dan masih hidup di bumi Syria, amin!

20 August 2013

Rukun pertama

Semalam aku menulis tentang apa yang aku fikirkan tentang solat.

Itu adalah rukun ke-2 dalam Islam.

Paling hampir dengan yang pertama, iaitu mengucap.

Hari-hari dok mengucap.

Tapi sekadar lisan saja. Menafikan tiadanya yang lain melainkan Dia saja.

Siapa Dia? Siapa pula selepas nama Nya?

Bila pula aku kenal Dia? Dan siapakah Muhammad yang aku mengaku bersaksi dengannya? Aku tak pernah pun berjumpa Muhammad hatta dalam mimpi sekalipun.

Tapi hari-hari aku mengucapkannya.

Setiap hari aku bersaksi palsu, menipu diri sendiri siang dan malam.

Susah nak fahamkan?

Cuba fahamkan sifat Maha Pengasihnya disebalik bencana yang Dia jadikan ke atas segenap makhluk tanpa mengira lelaki, perempuan, kanak-kanak ataupun orang tua.








19 August 2013

Solat

Ada satu persoalan yang aku sering fikirkan dahulu....

Tentang rukun solat....

Rukunnya ada 13,


1. Niat 
2. Berdiri 
3. Takbiratul ikhram
4. Membaca Al’fatihah
5. Rukuk
6. I’tidal
7. Sujud
8. Duduk diantara dua sujud
9. Duduk pada tahyat akhir
10. Membaca tahyat akhir
11. Membaca selawat Nabi
12. Salam
13. Tertib

Itu yang aku tau. Yang aku buat adalah berdiri dan kemudian barulah usolli.... 

Jika usolli itu adalah niat, maka aku dah melanggar tertib rukun dan secara automatiknya aku faham bahawa apa saja yang tidak mengikut rukun adalah batal.

Jika usolli merupakan lafaz niat, maka aku dah sengaja menambah rukun. 

Macam mana nak khusyuk solat apabila sebelum solat lagi aku dah tau solat yg aku nak buat ni batal?  


A045
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.