Masyarakat kita kadang-kala begitu mudah menghukum sesuatu perkara atau perbuatan itu syirik. Sebagai contoh, memakai cincin yang dikatakan mampu menghindari si pemakai daripada gangguan makhluk halus dan sebagainya. Itu belum masuk lagi benda-benda mistik seperti buntat ular, geliga lipan, besi kursani dan sebagainya. Sesetengah orang bila diajukan pertanyaan tentang hukum memakai benda-benda mistik seperti ni dengan pantas dia menjawab hukumnya syirik.
Baiklah. Aku akan cuba terangkan mengikut apa yang aku belajar dan aku faham.
Kekuatan dalam bentuk luarbiasa atau pun tidak dapat diterima oleh akal biasa yang Tuhan kurniakan kepada Nabi-nabi, kita panggil mukjizat. Dalam menjalankan/mempraktikkan mukjizat tersebut para nabi tetap mengetahui dan mengakui bahawa mukjizat itu tetap daripada Tuhan jua.
Kemudian, jika sedikit kelebihan luarbiasa ataupun kekuatan luarbiasa yang Tuhan berikan kepada para wali sehingga diri mereka lebih daripada manusia biasa, kita panggil karomah/keramat. Dalam menggunakan kelebihan-kelebihan tersebut para wali tetap sedar dan tahu bahawa kekuatan itu datang dari Tuhan jua.
Kemudian, jika sedikit kelebihan luarbiasa yang Tuhan kurniakan kepada manusia biasa yang bukan terdiri daripada para wali, para alim ulama, ataupun para guru agama, ini dipanggil maunah.
Kemudian lagi, jika sedikit kelebihan lain yang Tuhan beri pada benda-benda mati seperti kayu, batu dan lain-lain lalu menjadikan benda-benda tersebut lebih luarbiasa daripada benda-benda yang sebentuk, sejenis dengannya maka itu dipanggil KHASIAT. Bila manusia menggunakan benda-benda tersebut dan yakin bahawa khasiatnya adalah kurniaan Tuhan, di mana pula datangnya syirik?
Yang syirik itu adalah hati, bukannya perbuatan. Macam mana nak hukum orang lain syirik jika hatinya hanya dia dan Tuhannya saja yang tahu? Kalau berani, cubalah.