Showing posts with label pas. Show all posts
Showing posts with label pas. Show all posts

29 June 2013

Mengapa bukan PAS yang memerintah?

Terlalu malas rasanya untuk aku menulis sesuatu yang berkaitan dengan politik tetapi aku harus meluahkannya juga. Situasi yang terjadi sekarang membuatkan aku terlalu muak dengan sikap manusia yang berselindung disebalik serban dah jubah. Lahiriahnya kelihatan seperti mengikut sunnah tetapi perangai dan sikapnya langsung tidak ada ciri-ciri sunnah. Fahamlah aku mengapa ramai ahli tarekat yang aku temui menolak parti yang sebegini. Malah ada ahli tarekat yang secara tegas menempelak golongan yang kononnya memperjuangkan Islam ini. Dulu aku kurang bersetuju tetapi kini aku nampak kebenarannya. 

Sebagai seorang ketua kepada sebuah jemaah yang kononnya memperjuangkan Islam, dia haruslah menunjukkan contoh-contohnya baik kepada pengikutnya. Tetapi apa yang berlaku? Sebuah tuduhan berat, seperti menjual pil kuda, dilemparkan kepada sekutunya dan pertembungan 3 penjuru di beberapa tempat dalam PRU13 yang lalu telah menyerlahkan lagi sikap sebenar golongan ini. Pengikut yang dahagakan agama hanya mengikut membuta tuli tanpa mempersoalkan apa yang berlaku kerana menganggap dia sebagai ulama yang tahu apa yang dilakukannya. Ulama ke tak ulama, jika menuduh orang lain tanpa mengemukakan bukti tetap dikira memfitnah juga. Macam mana nak jadi pemimpin yang baik jika diri tak pernah lepas dari sikap tamak dan memfitnah? Itu belum masuk pelbagai cercaan dan tuduhan lain yang dilemparkan kepada pihak lawan mereka. 

Mereka bijak bercakap soal agama tetapi hakikatnya mereka sangat lemah dalam soal pentadbiran. Lihat Terengganu, lihat Kedah. Adakah kedua-dua negeri ini sebaik Selangor dan Pulau Pinang? Jangan malu untuk mengaku kekurangan diri. Kelemahan parti anda bukanlah kelemahan Islam. Islam itu indah, Islam itu cantik, Islam itu best (bak kata sahabat aku, Lepat). Tapi parti ini menjadikan Islam itu mundur, lemah, kuat mencaci, kuat memaki dan hina dipandangan mata rakyat negara ini. Perwatakan ahli-ahli mereka seperti orang-orang yang alim tetapi akhlak mereka mencerminkan sikap orang-orang yang tidak mengikut Islam sepenuhnya. 

Mereka memainkan isu hudud, tetapi mereka sendiri gagal untuk berbuat apa-apa dalam negeri yang mereka tadbir. Adakah mereka fikir Islam itu tergegak dengan tegaknya hudud? Bagi orang-orang yang mengkritik isu hudud, pantas saja mereka mengatakan golongan ini menolak hukum Tuhan. Adakah mereka pasti orang-orang yang mengkritik hudud itu benar-benar menolak hukum Tuhan atau menolak fahaman golongan yang kononnya memperjuangkan Islam ini?

Sikap mudah menghukum orang lain kafir bukanlah satu sikap yang dianjurkan Islam. Nabi pun tak pernah buat begitu, sahabat juga. Minta maaflah, aku bercakap daripada sudut pandangan aku dan orang-orang yang sependapat dengan aku. PAS belum layak untuk mentadbir negara ini dan mereka perlu mengubah sikap dan memperbaikan akhlak mereka jika mahu orang lain mengikut mereka dan memilih mereka.

Jika mahu membangunkan Islam, bangunkanlah Islam pada diri dulu. Jika mahu berperang dengan orang-orang yang dikatakan menolak Islam, perangilah nafsu diri terlebih dahulu. Jangan mulut bercakap mahu menegakkan Islam, tetapi akhlak diri langsung tidak mencerminkan Islam. Itu mengikut nafsu namanya. 




15 April 2013

Bersatu?

Bosan sebenarnya untuk menulis tentang PRU. Tak perlu diceritakan lagi atau dibuktikan apa-apa kepada mereka yang tetap dengan buta hatinya. Sama saja kalau diberitahu ataupun tidak. Petunjuk itu datang dari Tuhan, bukan dari aku ataupun sesiapa. Apa perlunya menerangkan sesuatu kepada orang yang belum diberi petunjuk? Simpan untuk diri sendiri saja. 

Masih ada yang beranggapan UMNO dan PAS perlu bersatu untuk mengelakkan orang Melayu berpecah. Melayu berpecah sejak kesultanan Melaka lagi. Bagaimana benteng pertahanan Melaka yang kukuh boleh ditembusi Portugis? Jangan fikir Melaka waktu tu kolot, hanya bersenjatakan parang, keris dan lembing saja. Mana mungkin sebuah pelabuhan terkenal dunia tidak memiliki sistem pertahanan yang mampu menahan serangan-serangan luar?

Ingatlah, Melaka jatuh ke tangan Portugis adalah kerana belot! Seseorang telah membocorkan kelemahan pertahanan Melaka kepada Portugis ketika itu. Melayu telah lama berpecah. Ada masanya Melayu kembali bersatu kemudian berpecah semula. Apa mungkin PAS dan UMNO bersatu?

Ya dan tidak mungkin sama sekali. UMNO memainkan isu penyatuan ini dikala mereka sedang lemah. Mereka perlukan sokongan lebih ramai orang Melayu. Mana mungkin PAS nak bersatu kerana mereka memang tidak boleh menerima cara UMNO. UMNO juga memainkan sentimen perkauman dan memutar-belitkan kenyataan pemimpin-pemimpin PAS seperti isu kafir mengkafir sehingga perpecahan dikalangan Melayu menjadi semakin ketara. 

Sesungguhnya minyak dan air tidak boleh menyatu. Begitu juga PAS dan UMNO. Hanya angan-angan kita saja untuk melihat mereka bersatu. Berpijaklah pada bumi yang nyata. Fahamilah bahawa Islam tidak perlukan apa-apa parti pun untuk bangkit. Jadi orang-orang PAS tolonglah jangan terasa dengan kenyataan ini. UMNO pula perlu muhasabah diri. Setiap yang dilakukan adalah untuk kekayaan diri, keluarga dan kawan-kawan sahaja. Umur UMNO dah semakin lanjut. Teknologi telah banyak membantu dalam menerangkan siapa betul dan siapa salah. Tetapi UMNO menggunakan teknologi untuk membuat video lucah seteru mereka. Ya, UMNO boleh bangkit dengan syarat perlu jatuh keperingkat paling bawah dan rendah sekali.

Retorik bahawa sekiranya UMNO lemah, maka Melayu menjadi lemah adalah tidak relevan langsung. PAS pun terdiri daripada orang-orang Melayu, PKR juga sama, DAP pun ada Melayu. Jadi, adakah Melayu menjadi lemah sekiranya Pakatan Rakyat mengambil-alih tampuk pemerintahan negara? Adakah Raja-Raja Melayu tergugat atau hanya mainan kata-kata jahat UMNO saja? 

Ya, kita perlu bersatu tetapi bukan bersatu dalam kebatilan. Kita perlu bersatu dalam menegakkan kebenaran, bangkit mempertahankan hak-hak rakyat yang selama ni dirampas oleh segelintir Melayu yang memimpin negara ni. Kekayaan negara tidak seharusnya berlegar dikalangan pemimpin, anak mereka, isteri mereka dan rakan-rakan mereka saja. 


23 May 2012

Muzakarah

Bermuzakarah bunyinya memang bagus. Ramai yang berharap agar dua parti politik terbesar dalam negara ni dapat duduk berbincang bersama demi masa depan yang lebih baik.




Ini takkan berlaku! Pertama, dalam demokrasi, memburuk-burukkan parti lawan adalah perkara biasa dan tak salah. Dalam Islam ia tak patut berlaku. Untuk memburuk-burukkan lawan, segala 'permainan kotor' digunakan sehingga menjatuhkan maruah seseorang. Dalam Islam, ini tak boleh berlaku. Tapi dalam sistem politik kita dah lama berlaku. Jika tak bersedia nak ubah cara berpolitik, buat apa bercakap tentang muzakarah?

Jadi apa tujuan muzakarah UMNO-PAS ni

Ini pendapat aku. 

UMNO berminat untuk bermuzakarah kerana mereka lebih berminat untuk menambah sokongan orang Melayu kepada parti mereka. Adakah mereka berminat untuk menyekat penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin atasan mereka? Orang ramai terus 'dipandirkan' dengan idea ini. Termasuklah mereka yang menggelar diri mereka Ulama Muda. 

Atas kertas memanglah kelihatan sangat bagus, tapi niat masing-masing saja tau. Tuan Guru Nik Aziz bukan bodoh macam kebanyakan orang. Dia dah lama dalam politik dan dia dah boleh nampak perkara ni. Sebab itulah dia meletakkan beberapa syarat untuk dipatuhi oleh pihak yang satu lagi. Belum pun apa-apa, pihak yang satu lagi telah mengkritik idea ini. 

Siapa Ulama Muda? Siapa yang beri gelaran kepada mereka sebagai ulama? Chua Soi Lek kah? Kalau rasa diri tu Ulama Muda, silalah hormat Ulama yang lebih berusia dan lebih berpengalaman seperti Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Hadi Awang. Memalukan golongan Ulama saja bila pakai gelaran tu tapi perangai tak melambangkan seorang ulama langsung. 

Bagi PAS pula, aku tak lihat keuntungan dari sudut material kepada parti ini. Jika UMNO bersetuju untuk duduk dan berbincang dengan PAS, apa yang PAS dapat? Keahlian mereka pun semakin meningkat, tetapi sokongan kepada UMNO makin terjejas. 

Jelas sekali muzakarah ni mempunyai tujuan yang berbeza dari sudut kedua-dua parti politik ni. Tuan Guru dah tahu mereka, UMNO, tak bersedia untuk berubah. Jadi, meletakkan beberapa syarat tu sebenarnya adalah bertujuan untuk melihat sejauh mana pihak UMNO ikhlas untuk berbincang demi masa depan rakyat dan negara. Boleh juga dipanggil satu helah untuk menduga UMNO sebenarnya. 

Bukan berperasangka buruk tapi itulah demokrasi. Demokrasi sebenarnya tiada dalam sistem pemerintahan Islam. Ia dibawa oleh Yahudi dan digilapkan agar menjadi satu sistem yang unggul dan boleh diterima semua pihak. Lihat saja dalam sejarah Islam, bila Nabi saw ataupun siapakah para sahabat yang menggunakan demokrasi dalam sistem pemerintahan mereka?

Orang ramai nampak demokrasi baik kerana mereka menyamakan demokrasi tu sebagai adil. Demokrasi adalah kebebasan di mana pihak minoriti perlu mengikut kehendak pihak majoriti. Soal betul salah bukan perkara asas. Atas nama demokrasilah segala tomahan, fitnah, caci maki berlaku dan perkara ini dilihat seperti biasa saja. 

Jika Islam perlu demokrasi maka tak lengkaplah Islam tu kerana ia kurang satu inipati, iaitu demokrasi. Bukanlah aku menyarankan supaya menolak konsep demokrasi ni, cuma tak perlu berlebih-lebih sangat. Tak perlu sanjung konsep ini tinggi-tinggi. 

Mungkin ada orang akan terus melatah mengatakan kalau tak pilih demokrasi takkan nak pilih kuku besi (diktator). Entahlah, kalau mereka lihat zaman dulu nabi mengamalkan cara pemerintahan diktator. Aku tak nampak pulak macam tu. 

Demokrasi menghalalkan cara. Apa jua cara boleh digunakan dalam usaha untuk mendapatkan majoriti. Walaupun dikatakan salah, tapi ia tetap sama. Jadi sila renungkan jauh-jauh bagaimana sebuah parti yang membawa konsep Islam, hendak duduk semeja mencapai kata sepakat dengan sebuah parti tajaan penjajah yang hendak mengekalkan dasar sedia ada? Masing-masing mempunyai matlamat yang berbeza walaupun cuba dizahirkan seperti sama saja. 






31 October 2011

Jangan jadi Taliban

Ada yang melenting bila dikata jangan jadi seperti Taliban. Kalau betul ikut ajaran Islam, rileks sajalah bro. Jangan melenting-lenting. Yang tegur kamu tu pun Islam. Jangan buat orang bukan Islam nampak Islam ni sempit, kolot dan jumud.

Janganlah jadi seperti perumpamaan, oleh kerana babi tu haram maka semua babi patut dibunuh. Orang bukan Islam yang suka makan babi macam mana pula?

Kalau merasakan konsert Elton John tu memudharatkan umat Islam, buat saja yang terbaik supaya orang Islam tak pergi ke sana. Yang kamu nak sekat orang bukan Islam sekali buat apa? Jadi, tolonglah jangan jadi seperti Taliban.

Kalau nak tunjuk hero, halang terus Genting tu daripada jadi pusat perjudian dan sekat hak-hak bukan Islam semua sekali.

Islam tak pernah jumud, kolot, buruk atau sebagainya tetapi pengikutnya yang selalu mencerminkan Islam sebegitu.

Hah, nak kata aku tak Islamik? Lantak kamulah. Esok kat akhirat bukan syafaat kamu pun yang aku minta....

30 October 2011

Sama saja

Maafkan aku jika aku kata baik PAS atau UMNO, mereka sama saja.

Mereka juga manusia, yang berhawa nafsu tak kira betapa tinggi songkok atau panjang serban yang mereka pakai. Mereka sama-sama bergelumang dalam sistem politik kotor yang diasaskan Yahudi (demokrasi) yang mencela, memburukkan, menghina dan mengata sesama sendiri demi untuk 'kuasa'.


Aku tau ramai yang tak setuju. Tapi fahamkah kamu yang aku tak perlukan persetujuan kamu langsung!