Aku dah pernah pun tulis pasal ni dulu tapi aku nak tulis lagi.
Dalam sebulan dua yang lepas aku pernah membawa seorang pesakit (terkena gangguan) ke Kajang untuk berjumpa dengan seorang pengamal perubatan Islam di sana. Aku tak pernah pun jumpa dia sebelum ni cuma aku selalu membaca blognya saja.
Perjumpaan adalah berdasarkan temujanji. Bagus juga kerana takde la ramai sangat orang dan tak perlu tunggu lama-lama. Dia berubat di kawasan rumahnya saja. Di sebelah kanan rumahnya terdapat satu ruang khas dan di situlah dia mengubati pesakit yang datang. Tak perlu masuk ke dalam rumah.
Kami (aku bersama pesakit) sampai di rumahnya dalam tepat jam 9.45 malam, 15 minit sebelum waktu yang dijanjikan. Ada sebuah keluarga sedang mendapatkan rawatan pada waktu tu. Melihatkan kami masuk ke dalam kawasan rumah, mereka pun beransur untuk pulang. Aku rasa mereka dah selesai pun sebelum kami datang cuma bersembang-sembang saja dengan perawat.
Perawat berusia dalam lingkungan awal 40-an, berbaju t-shirt dan berseluar slack. Takde la nak berjubah ke berserban ke. Ok la tu. Kami bersembang-sembang dulu dan kemudian dia bertanya tentang penyakit yang dihadapi oleh si pesakit.
Dia kemudian menyuruh pesakit baring (tilam dan bantal sudah disediakan pun) dan memulakan bacaan doa sambil tangan memegang kepala pesakit. Lebih kurang selepas 10-15 minit, perawat pun meminta pesakit bangun dan duduk bersila membelakanginya. Perawat kemudian memegang belakang pesakit dengan tangan kanannya seterusnya melurut dari belakang tengkuk terus ke pinggang seperti sedang membuang sesuatu ke bawah. Dia meneruskan perbuatan tu selama lebih kurang 10-15 minit juga.
Kemudian bila dah selesai, pesakit bertanyakan tentang sakitnya. Dia seperti tak dapat menjawab bila pesakit bertanyakan punca penyakitnya sebaliknya bertanyakan pula apa yang pesakit rasa, batuk ada keluar darah ke, ada rasa gatal-gatal ke, ada mimpi pelik-pelik ke dan macam-macam lagi.
Dia kemudian menjelaskan ada yang dibuatnya adalah meng'transfer'kan energy dari tapak tangannya kepada pesakit. Dia ibaratkan orang yang sakit ini seperti kereta yang kehabisan bateri dan perlu di'jumper' untuk memberikan tenaga agar badan tidak lemah. Ermm, aku dah pelik dah kat situ. Bukan pelik bab transfer tu tapi bab tak boleh bagitau punca penyakit tu la. Dah buat itu ini tapi rupanya tak tahu?
Dalam blog bukan main hebat lagi bercerita, keturunan sunan inilah, sunan itulah. Takkan ini je kaedahnya? Aku pun bertanya sajalah tak boleh scan ke?
Dia kemudian menjawab dalam perubatan Islam tiada kaedah scan. Itu semua syirik, umpama menilik nasib. Hmm.... aku diam sajalah. Dia tambah lagi, ilmu scan ni melibatkan jin dan khadam. Jin yang membisikkan kepada manusia tentang sesuatu yang tidak diketahuinya. Lalu manusia tu pun mengikut kata-kata jin. Lebih kurang begitulah serba ringkas bab scan ni.
Dia kemudian menyambung cerita tentang sifat air yang boleh merakam, energy tapak tangan dan beberapa lagi kisah yang aku tak ambil pusing dah. Dia bagitau malam tu dia belum mendapat ilham tentang punca penyakit si pesakit dan meminta kami datang lagi 2-3 hari lepas tu. Sesungguhnya aku memang kecewa malam tu sebab penat tapi hasil tiada. Bayangkan aku dari Putrajaya kemudian balik ke Bentong dan terus ke Kajang pulak.
Dia bukan saja tak boleh kesan sakit apa tapi merendah-rendahkan orang yang mempunyai kebolehan untuk scan penyakit.
Scan penyakit ni ada banyak cara, banyak peringkat. Bukan semuanya pakai bantuan jin/khadam/malaikat. Ada orang minta terus dengan Tuhan dan terus dapat ilham. Ada orang niat saja dalam hati supaya ditunjukkan punca penyakit. Ada orang yang lebih tinggi cukup sekadar merenung ke dalam makrifat saja dan terus dapat lihat flashback macam tengok tv. Kat mana pula minta bantuan jin? Takkan manusia yang sempurna kejadiannya ni tak boleh mengatasi kemampuan jin kot?
Lemah akal betul la, sikit-sikit nak kaitkan dengan jin. Kalau belum boleh berubat, lebih baik jangan mengaku boleh mengubat dan buka pusat rawatan. Orang datang jauh-jauh dengan harapan yang tinggi untuk sembuh tapi kena kelentong macam ni. Duit minyak, tol, pengeras belum campur lagi. Sekurang-kurangnya kalau tak boleh mengubat, cakaplah terus-terang tak mampu. Ini suruh pulak datang lagi. Ini yang mengarutnya!
setuju..sangat
ReplyDeletekesian tuan...menyesal datang
ReplyDelete