22 January 2013

Satu Peringatan

Ini untuk diri aku, supaya aku beringat bila mana aku mula lupa. Dalam belajar untuk mengenal yang hakiki, perkara ni harus selalu disemat dalam diri. 

Nafsu adalah suatu perilaku naluri manusia yang lebih cenderung kepada perlakuan yang dikuasai iblis dalam melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syariat dan hakikat Tuhan. Ia terbit daripada kekotoran hati manusia dengan Tuhannya. 

Nafsu juga merupakan kelakuan hati manusia dalam menuju Tuhannya. Ia umpama hijab/halangan kepada manusia dalam perhubungannya dengan Tuhannya. Untuk mengenal, maka halangan wajib dipecahkan terlebih dahulu. 

Ada 7 Martabat Nafsu.

1. Nafsu Amarah
2. Nafsu Lawamah
3. Nafsu Mulhamah
4. Nafsu Mutmainah
5. Nafsu Radhiah
6. Nafsu Mardhiah
7. Nafsu Kamaliah


Nafsu Amarah

Merupakan kelakuan hati yang menerbitkan sifat-sifat mazmumah (marah, dendam, hasad, dengki, riak, ego dan lain-lain) yang terlalu banyak. Zikir orang yang masih mempunyai nafsu ini hanya dimulut dan tak menyerap ke dalam hati. Hanya ingat Tuhan bila susah dan lupa Tuhan bila senang.

Nafsu Lawamah

Satu perasaan seperti melarang seseorang untuk berbuat kezaliman, kejahatan ataupun kesalahan. Apabila dilakukan, timbul perasaan bersalah, rasa perkara yang dibuat tak betul dan tak patut. Ia lebih kepada 'isyarat larangan'. Masih lagi bergelumang dengan sifat-sifat keji mazmumah tetapi tidak sebanyak mereka yang masih bernafsu amarah.

Nafsu Mulhamah

Pada peringkat ini seseorang telah berjaya menyingkir sebahagian besar sifat-sifat mazmumah yang ada pada diri. Hati menjadi lebih tenang kerana zikir telah melekat di hati sanubari. Orang diperingkat ini telah mula merasakan nikmat zikir mereka dan mendapat pelajaran ilmu ghaib (bukan ilmu bomoh).

Nafsu Mutmainah

Hati mula melekat rasa kasih kepada Tuhannya dan asyik dalam lamunan kasihnya. Mendapat ketenangan, kelapangan dan hilang perasaan resah gelisah. Diperingkat ini dikatakan seseorang manusia itu telah mencapai taraf wali, boleh melihat dan mendengar melalui mata dan telinga batin. Bak kata orang Melayu, orang-orang yang mencapat taraf ini dikatakan keramat dan mulutnya masin. 

Nafsu Radhiah

Seseorang yang telah mencapai martabat nafsu ini zikirnya tetap dihati dan tak pernah leka dan lalai walau sessaat pun kepada Tuhan mereka. Perangainya sering dilihat bertentangan/berlawanan dengan syariat zahir kerana ke'fana'annya terhadap kasih Tuhannya. Mungkin ada orang melihatnya sebagai orang gila kerana asyiknya cinta dengan Tuhannya. 

Nafsu Mardhiah

Jasad dan hati seseorang terus dilamun cinta dengan Tuhannya dan telah dapat menjelajah ke alam selain dunia ini. Dikatakan manusia yang telah mencapai peringkat ini dapat 7-8 wajah bergantung kepada jasad masing-masing. Teringat pulak kisah Mat Kilau yang dikatakan telah mati tetapi tak mati-mati lagi.

Nafsu Kamaliah

Bermaksud keadaan telah berkamil, iaitu bersebati kelakuan zahir dan batin dalam konteks dirinya dan Tuhannya. Apa saja kelakuan batin dan jasad adalah sama dan tak bercerai-berai antara satu sama lain. Setiap perlakuan yang lahir daripada manusia yang telah mencapai peringkat ini mendapat restu Tuhannya.  Inilah keadaan yang dikatakan, "kun fayakun". Mereka akan kembali menjadi seperti orang awam biasa disamping berpeluang mendapat ilmu syahadah (ilmu yang tertinggi sekali). Menjadi orang awam ialah menjadi seperti manusia biasa, berniaga, bercampur gaul, berpolitik dan tidak ada bezanya kecuali hatinya tetap bersama Tuhannya selamanya dan darjat sebenarnya tidak diketahui oleh orang lain. 

Aku tak layak bercakap tentang ini kepada orang lain. Hanya buat peringatan diri sendiri, mudah-mudahan aku sentiasa beringat.







No comments:

Post a Comment