14 March 2013

Muak

Terkadang aku sendiri merasa sangat muak dengan sikap manusia. Makin dekat PRU, makin banyak ragamnya. Orang kampung dengan cara mereka yang tersendiri, orang kelas pertengahan dan atasan pula masing-masing ada pemikiran mereka yang tersediri.

Walaubagaimanapun, bagi aku didikan pelajaran yang tinggi bukanlah penentu kebijaksaaan manusia dalam soal berfikir tentang kebaikan. Masing-masing inginkan kebaikan untuk diri sendiri tapi dalam memilih orang yang layak untuk jadi pemimpin kita, manusia kerap kali tersasar. Ramai yang menilai orang yang layak untuk memimpin adalah mereka yang kaya, anak seorang pemimpin dan bijak bercakap. Mereka leka dengan apa yang mereka ada dan mereka bimbang tentang apa yang sebenarnya diluar kawalan mereka.

Jika ditakdirkan kerajaan sedia ada tumbang dalam PRU kali ini, adalah Tuhan akan hilang kuasa? Adakah Tuhan tidak lagi mendengar doa-doa hambaNya yang teranaiya? Ataupun adakah Tuhan pun tidak dapat menandingi kerajaan baru yang bakal menggantikan kerajaan sedia ada (jika ditakdirkan)?

Pilihanraya adalah sesuatu yang biasa, di mana kita perlu membuat pilihan siapakah yang kita sendiri rasa layak, mampu dan berupaya memegang amanah untuk menerajui negara, bukan berdasarkan perasaan takut jika orang lain memerintah.

Ramai orang Melayu yang aku jumpa masih paranoid dengan perkara ni, tak kiralah mereka tu orang kampung, bandar ataupun pengajar. Semuanya bimbang jika kerajaan bertukar, mereka tidak mampu mentadbir negara sebaik kerajaan sedia ada sekarang ini.

Tahukah kita sebenarnya mereka yang di atas sana lebih mementingkan poket dan periuk nasi mereka saja sekarang ni berbanding untuk membantu golongan yang patutnya? Negara dah berpuluh tahun merdeka, apa yang kita ada? Sekolah untuk kanak-kanak istimewa ada berapa? Kemudahan bagi ibubapa yang mempunyai anak istimewa pula bagaimana?

Harga rumah yang semakin meningkat mencengkam tengkuk golongan pertengahan kerana melangkaui kemampuan mereka. Rumah kos rendah pula terpaksa berebut-rebut. Hendak belajar pulak perlu berhutang dan lepas habis belajar sudah pasti perlu bayar balik walaupun kerjanya belum pasti. Di negara kafir, ada yang menyediakan pendidikan percuma, kemudahan sekolah untuk kanak-kanak istimewa dan juga kemudahan untuk ibubapa yang ada anak-anak seperti ini. Di negara ini, ibubapa kanak-kanak istimewa disuruh redha dan disajikan dengan kata-kata manis bahawa anak mereka dijanjikan syurga. Pernah kita terfikir bahawa ada di antara mereka terpaksa berhenti kerja semata-mata mahu menjaga anak? Si suami pula terpaksa cuti tanpa gaji untuk satu tempoh yang panjang. Apakah negara kita miskin sangat sampaikah lebih setengah abad merdeka pun tak mampu untuk menyediakan kemudahan untuk golongan seperti ni?

Itu baru golongan yang dipanggil OKU, bagaimana pula dengan golongan belia? Adakah bakat mereka, kepakaran mereka diberi peluang sewajarnya untuk diketengahkan atau hanya kroni saja yang layak diberi peluang? Projek-projek besar diberikan kepada mereka yang rapat dengan pemimpin negara walaupun tidak layak. Komisyen untuk pembelian peralatan tertentu pula terlalu tinggi dan ketirisan ini jika dijimatkan bukankah boleh menampung pendidikan percuma untuk semua rakyat negara ini? Tak logik? Atau kita takut untuk berubah?

Tuhan masih ada dan kekal jika kerajaan mana pun mengambil-alih. Tuhan bukan tempat kita mengadu bab putus cinta saja. Apa saja boleh diadukan kepadanya tapi kita saja yang tak yakin dihati. Dimulut memang 100% kita yakin. Jika yakin apa perlu bimbang? Ketidakpastian? Apa yang pasti dalam dunia ni selain mati? Adakah?

Tidakkan kita nampak semakin hari keadaan semakin menyimpang dan pekung mereka telah terdedah? Bukan aku berkempen untuk sesiapa, namun aku sudah muak dengan keadaan seperti ini. Kita seperti masyarakat asli di Afrika (bushmen) yang takut untuk berubah dan lebih rela bersyukur dengan apa yang ada. Konsep bersyukur seperti ini tak boleh digunapakai. Jika bersyukur dengan apa yang ada, tak perlulah kita berusaha untuk mendapatkan yang lebih baik. Bukankah begitu?

Bersyukur pada Tuhan bukan pada tempat yang tak sepatutnya. Itu zalim dan bodoh. Tak perlu dicanang pada orang lain dan pamerkan sikap bersyukur itu kerana Tuhan tu lebih maklum, Mengaji pandai tetapi haram tak tau apa.

Dicampur adukkan pula dengan agama mengikut acuan orang-orang tertentu maka masyarakat yang dahagakan agama ini makin berkecamuk. Mereka mau tahu hukum-hakam dulu, baru belajar yang lain. Sedangkan silibus pertama dalam pembelajaran ini adalah mengenal diri.

Sibuk mencari ustaz-ustaz yang dirasakan sesuai dan mengikut citarasa mereka sendiri. Hanya ustaz-ustaz yang menepati selera mereka sajalah yang akan diikut. Tak terfikirkah kita satu masa dulu waktu Nabi SAW berdakwah, ramai jahiliyah yang tidak mengikut baginda adalah berpunca daripada watak baginda yang bukan daripada golongan yang kaya, yang berharta, dan bukan pula daripada golongan yang pandai membaca dan menulis. Mustahilkah seorang wali Tuhan itu berpewatakan seperti seorang petani, orang miskin, atau peminta sedekah? Justeru itu apa ada pada watak berkopiah 24jam? Berjanggut tebal dan panjang? Berjubah sepanjang hari? Memetik hadis dihujung jari macam insiklopedia bergerak?

Ilmu juga datang melalui ilham. Melalui hati yang tenang dan bersih bukan melalui berapa banyak bacaan yang kita baca. Jika begitu, iblis yang lebih lama hidup daripada kita tentu telah lebih banyak membaca. Iblis menjadi iblis disebabkan perasaan bongkak, bangga diri, ingkar, riak dan seangkatan dengannya sedangkan sebelum itu iblis adalah makhluk yang bergelar abid.


10 February 2013

The CaLiMa.....


لَا     =     Tiada

 إ لَهَ   =    Nyata

إ لَا    =    Hanya

اللهُ    =    Allah

Adakah sama dengan "Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah"?

07 February 2013

Apa yang kita ada?

Semua yang kita miliki adalah pinjaman yang pasti akan ditarik balik sama ada kita mahu atau tak, sama ada kita sedar atau tak. 

Peritnya merasai pinjaman yang telah ditarik balik hanya mereka yang mengalami saja yang tahu, hanya mereka yang telah menjalani saja yang faham. Seperti mana orang yang makan, hanya dia saja yang boleh menceritakan betapa lazat atau sebaliknya makanan yang dimakan. 

Qudrat
Iradat
Ilmu
Hayat
Samak
Basar
Kalam

7 sifat Tuhan yang dipinjamkan, yang mana atas sebab musabab itulah kita mampu berkuasa untuk bergerak, berkeinginan, berpengetahuan, hidup, mendengar, melihat dan berkata-kata. 

Semua sifat ini pasti akan ditarik balik bila cukup masanya. Jika satu sifat ini ditarik balik, seluruh harta yang dimiliki pun tak mampu mengembalikannya. Jadi apakah yang kita ada? ....Tiada apa-apa, yang ADA hanya Tuhan sekelian alam. Itulah pengertian laa ila haillahlah... 


Pencerah


Secara tak sengaja aku terlayan cerita ni di saluran Pelangi Astro. Mulanya aku fikir ia sebuah cerita lama kerana gambarnya seolah-olah filem zaman awal 80-an. 

Namun bila aku check kat google rupanya ia filem tahun 2010 seperti mana yang tertera kat atas. Filem ni mengisahkan seorang yang bernama Ahmad Dahlan yang membawa pemikiran Islam moden ke kampungnya tetapi mendapat tentangan daripada orang-orang lama di sana kerana mereka tak boleh terima buah fikiran orang muda sepertinya.

Pada pendapat aku banyak mesej yang hendak disampaikan, antaranya ialah fahamilah agama Islam dengan sebenar-benarnya bukan sedar ikut-ikutan. Beliau menubuhkan sebuah kesatuan/persatuan yang bukan bersifat politik tetapi lebih kepada kemasyarakatan. Tidak mencampuri urusan pemerintah, tidak terlalu taksub dengan sebuah fahaman dan banyak lagi yang boleh diambil iktibar daripada filem ni.

Jika ada masa, tontonlah. Ia lebih baik daripada baca novel cinta yang tak ketahuan dan melayan rancangan lawak kosong.

06 February 2013

Pesanan

Wahai isteriku, aku ingin berpesan kepadamu tentang beberapa perkara:

  • Jalinkanlah hubungan denganku dengan penuh ketaatan. Perhatikanlah kesukaanku dan jangan sampai aku melihat sesuatu yang buruk atau tercium sesuatu yang tidak enak daripadamu.
  • Sentiasalah membanggakan aku kerana ini akan membuatkan aku bertambah kasih kepadamu.
  • Benarkanlah segala pendapat dan sikapku (selagi mana ia tidak bertentangan dengan agama menurutmu) nescaya aku akan bersikap lembut terhadapmu.
  • Uruskanlah rumahtangga kita dengan baik dan sempurna.
  • Sentiasalah memelihara diri, keluarga dan kehormatanku.
  • Simpanlah segala rahsiaku dengan baik. Janganlah kamu membantah suruhanku kerana ia benar-benar akan melukakan hatiku.
  • Jagalah waktu makanku dan waktu rehatku kerana perut yang lapar akan membuatkan darahku cepat naik dan tidur yang tidak cukup pula akan membuatkan aku keletihan.
  • Jika aku sedang bergembira, janganlah kamu pamerkan kesedihan. Kamu haruslah pandai mengikut suasana hatiku.
  • Hiasilah dirimu selalu agar aku gembira memandangmu.
  • Jadikanlah dirimu itu sebagai pembantuku, nescaya aku pula akan menjadi penolongmu.



A021
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. - 30:21



A034

Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar - 4:34



04 February 2013

Berharga

"Yang paling berharga bagi seorang lelaki dalam dunia ini adalah isteri yang solehah...."



02 February 2013

Kenal

PRU semakin hampir, fitnah makin berleluasa. 

Adakah kita fikir Islam ini untuk Melayu saja? Bangsa lain semua Tuhan jadikan tak berguna. Untung lahirnya kita dah Islam, bangsa lain lahir kafir. Adilkah Tuhan jika ini hakikatnya yang berlaku?

Apa yang aku lihat adalah, memang kita (orang Melayu) lahir daripada keluarga yang mengamalkan Islam. Apabila kita meningkat remaja dan menjadi dewasa kita terus melakukan apa yang ibubapa kita lakukan seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya. Sebagai seorang yang mengamalkan ajaran Islam, kita yakin bahawa apa yang kita ikuti adalah betul dan merupankan satu jalan yang diredhai Tuhan. Kita dihantar mengaji dan khatam al-quran. Bagi yang dikurniakan rezeki lebih, dapatlah mengerjakan haji. 

Apa yang kita lakukan hanyalah kelaziman dan ikut-ikutan sahaja. Kita memahami al-quran tak lebih daripada sebuah tafsiran daripada bahasa arab kepada bahasa melayu. Kita sentiasa ditegah untuk memahaminya dengan lebih mendalam kerana dikatakan tidak layak dan perkara itu biasanya diserahkan kepada mereka yang pakar saja. Jaki tugas kita hanyam mengikut apa yang mereka tafsirkan.

Apa rasanya jika dilahirkan menjadi seorang Cina atau India di negara ni? Adakah kita akan merasakan Tuhan itu adil sekiranya hanya Melayu saja yang layak masuk syurga? Tuhan jadikan kaum lain hanya untuk menjadi bahan bakar api neraka?

Cuba kita berfikir diluar kotak seketika. Buangkan sifat kemelayuan yang kita banggakan sangat tu kerana dalam al-quran tidak menyebut pun bangsa Melayu adalah bangsa terbaik. Mari kita cuba hayati kata-kata ini, "amal tanpa ilmu, sia-sia.....ilmu tanpa amal hampa".

Untuk beramal, kita harus mempunyai ilmu. Ilmu bukan bermaksud mengikut atau ikut-ikutan. Ia bermaksud mengetahui. Seperti solat, jika mahu dirungkaikan, ia terlalu panjang dan boleh mencetuskan perasaan salah faham bagi mereka yang kurang berilmu. 

Cuba kita tanyakan kepada seorang Cina, mengapa mereka bersembahyang dengan menyembah patung. Mereka berkemungkinan besar akan menjawab itu adalah cara nenek moyang mereka bersembahyang, dan itulah cara yang mereka ikut sejak turun-temurun. Bayangkan jika mereka pula menanyakan kepada kita, apa yang kamu sembah? Kita pasti menjawab, aku menyembah Allah. Bila mereka tanya lagi, Allah tu bagaimana. Kebanyakan kita tak mampu memberi jawapan yang tepat kerana kita pun menyembah mengikut nenek moyang kita juga. Kita tak pernah cuba belajar untuk mengenal Allah. Jadi bagaimana kita hendak menerangkan kepada orang yang bertanya? Perlu diingat, kenal dan tahu adalah dua perkara yang berbeza. 

Contohnya, kita tahu Obama adalah seorang lelaki berkulit hitam, tinggi dan lampai orangnya. Dia adalah presiden Amerika Syarikat. Tapi kita tak tahu apa yang disuka makan, apa hobinya, di mana di suka berada, siapa kekasih pertamanya. Jika semua ini kita tahu, barulah kita boleh dikatakan mengenali siapa Obama. 

Untuk mengenal Allah, wajib bagi seseorang mengenal dirinya sendiri. Jika kita fikir kita boleh mengenal Allah hanya dengan membaca kisah-kisah orang lain, kitab-kitab orang lain, maka kita silap. Yahudi belajar al-quran sejak sekian lama hanya untuk mengkaji Islam namun adakah mereka mengenal siapa Allah?

Selagi kita belum mengenali siapa Tuhan kita, janganlah mendabik dada dengan amalan yang dilakukan kerana amal yang dilakukan tanpa ilmu adalah sia-sia. Teruslah berdoa agar diberikan petunjuk dan hidayah.

Jangan cepat menghukum seseorang yang lain hanya kerana pendekatan yang dibawanya berbeza dengan apa yang kita pernah belajar disekolah-sekolah, dan dengan ustaz-ustaz sekeliling kita. Mereka yang diberi petunjuk tidak semestinya berjubah labuh, berserban, berharta dan mempunyai keluarga yang besar. Wali-wali Allah terdiri daripada mereka yang langsung tidak berkehendakkan kepada dunia sedangkan dunia mengejar mereka.