Showing posts with label kenal diri. Show all posts
Showing posts with label kenal diri. Show all posts

23 July 2014

Siapa yang kenal dirinya maka akan kenal Tuhannya


"Siapa yang kenal dirinya maka akan kenal Tuhannya"
Kamu orang yang sangat ego bila menyangka bahwa "diri" itu adalah terbatas pada diri kamu sendiri, malah tak ada yang dikenali kecuali keakuannya sendiri. "Diri", siapakah diri itu yang dimaksudkan tu?

Semuanya adalah satu. Alam semesta inilah diri kita, tumbuh-tumbuhan dan binatang juga diri kita, semua manusia juga diri kita. Diri itu luas tak terbatas diri peribadi. Maka makrifat/pengenalan seseorang terhadap dirinya adalah juga seluas pandangan dan jangkauan makna "diri" baginya.
Jika yang kamu kira diri adalah dirimu sendiri, maka sampai bila kamu pun tak akan kenal Tuhan. Yang kamu sangka Tuhan itu ialah "keakuanmu" sendiri.

Engkau dan aku sama, satu diri, bukan dua atau tiga, tetapi SATU diri.

28 May 2014

Sakinah

........
Biarlah orang-orang macam aku bahagia, orang-orang macam aku merdeka...
....
......

Bila kenal Sakinah
Kenal diri siapa sebenar
Cairlah segalanya
Yang tinggal hanya benar

......
...........


28 August 2013

Perbalahan tentang kesahihan sesuatu

Ilmu Allah s.w.t ni luas. Jika kita cepat menghukum sesuatu diluar  kebiasaan kita sebagai sesat maka kita secara tak langsung telah 'mengehadkan' ilmuNya.

Perdebatan antara mat-mat feqah dengan ahli-ahli tasawuf berhubung dengan ilmu agama telah lama. Mat-mat feqah lebih cendurung kepada bukti sedangkan ahli-ahli tasawuf lebih kepada gerak hati dan penyerahan total kepada Tuhannya. 

Mungkin ada yang berfikir ahli-ahli tasawuf tak menitik beratkan sesuatu hadis seperti dari mana ia datang, siapa yang meriwayatnya, bagaimana perlaku si periwayat sewaktu hidup dan lain-lain. Ini mewujudkan kekeliruan bagi mereka yang baru nak belajar agama dan akan membawa kepada tanggapan Islam itu susah. 

Tidak kurang juga ada golongan feqah yang melabel ahli-ahli tasawuf sebagai sesat dan gila. Ini kerana watak ahli tasawuf itu kadang-kala berbeza dengan watak orang yang faham agama di mata masyarakat. Masyarakat cenderung melihat bahawa orang yang bijak dalam agama ialah orang yang pantas memetik ayat al-quran dan hadis waktu berhujjah, memakai songkok atau serban dan sentiasa berjubah, wajahnya putih bersih dan sentiasa mengeluarkan hukum itu dan ini. 

Ahli-ahli tasawuf pula lebih cenderung untuk memencilkan diri, mendiamkan diri apabila berselisih pendapat, lebih banyak menghitung kesalahan dan kekurangan diri. Setinggi mana pun ilmu yang dia belajar, dia tetap merasa dirinya paling bodoh, paling lemah, paling perlahan dan sebagainya. Ada seorang ahli tasawuf (guru sebuah tarekat terkenal) yang memandang anjing lebih mulia daripada dirinya sendiri. 

Begitulah hati ahli-ahli tasawuf. Sampai kepada satu peringkat, mereka tidak lagi didorong oleh nafsu sebagaimana kita yang digelar orang awam ini. 

Aku sebenarnya bimbang juga untuk bercakap tentang ini kerana bimbang disalahertikan. Walaubagaimanapun aku rasa perlu juga untuk diperjelaskan kepada sesiapa saja yang sudi menerima penjelasan. 

Ia berkaitan dengan satu hadis yang dikatakan palsu oleh mat-mat feqah berdasarkan pendapat sebahagian ulama.

Hadisnya,

من عرف نفسه فقد عرف ربه

Man 'arafa nafsahu, 'arafa rabbahu, faqad 'arafa rabbahu, fasadal jasadu

"Barangsiapa yang mengenal dirinya, maka kenallah Tuhannya, apabila kenal Tuhannya, binasalah jasadnya"

Harus diingat bahawa mengatakan atau mengadakan sesuatu tentang Rasullah s.a.w yang tidak benar tentang dirinya, nerakalah tempatnya. Jika kata-kata ini datang daripada baginda, maka sesiapa yang menolak, ke sana jugalah tempatnya.

Sebagai orang awam, tidak perlulah kita menghukum sesuatu yang diluar pengetahun kita.

Dalam Kitab Adab Ad Dunwa Wa Ad Din pula;

وَقَدْ قَالَتْ عَائِشَةُ رضي الله عنها: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَتَى يَعْرِفُ الانْسَانُ رَبَّهُ ؟
 قَالَ رَسُولَ اللَّهِ: إذَا عَرَفَ نَفْسَهُ
 

Maksudnya:
Saidatina Aisyah r.a. berkata:
"Wahai Rasulullah, bila seseorang insan itu kenal Tuhannya?
"

Rasulullah s.a.w. menjawab: "Jika dia kenal dirinya".


Ada perkara yang boleh diceritakan kepada orang awam dan ada juga yang tidak boleh. Ini kerana sesetengah pengalaman insan dalam perjalanan mencari Tuhannya hanyalah untuk dirinya sahaja, bukan untuk dikongsikan dengan orang lain. Jika dikongsikan dibimbangi orang kebanyakan akan menghukum dia sesat dan kafir. 

Jika ilmu ketuhanan itu dapat dicari hanya dengan membaca, maka ramailah orang bijak pandai dalam beragama sekarang ini termasuk yahudi kerana mereka juga mengkaji sejarah-sejarah Islam, kitab-kitab dan hadis. Tapi kenapa mereka terus dengan agama mereka?

Islam adalah anugerah Tuhan. Dialah yang menentukan siapa yang diberi petunjuk dan siapa pula yang sesat. Kebenaranya hanyalah milikNya. 

Kebanyakan kita menyangka bahawa kita sudah cukup dengan asas ilmu agama sedangkan sebenarnya ramai antara kita yang langsung tak tahu apakah hakikat syahadah yang seringkali diucapkan waktu solat. Jika hakikat syahadah pun tidak tahu, tak malukah kita mengaku bahawa secara rasminya kita ni orang Islam?

02 February 2013

Kenal

PRU semakin hampir, fitnah makin berleluasa. 

Adakah kita fikir Islam ini untuk Melayu saja? Bangsa lain semua Tuhan jadikan tak berguna. Untung lahirnya kita dah Islam, bangsa lain lahir kafir. Adilkah Tuhan jika ini hakikatnya yang berlaku?

Apa yang aku lihat adalah, memang kita (orang Melayu) lahir daripada keluarga yang mengamalkan Islam. Apabila kita meningkat remaja dan menjadi dewasa kita terus melakukan apa yang ibubapa kita lakukan seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya. Sebagai seorang yang mengamalkan ajaran Islam, kita yakin bahawa apa yang kita ikuti adalah betul dan merupankan satu jalan yang diredhai Tuhan. Kita dihantar mengaji dan khatam al-quran. Bagi yang dikurniakan rezeki lebih, dapatlah mengerjakan haji. 

Apa yang kita lakukan hanyalah kelaziman dan ikut-ikutan sahaja. Kita memahami al-quran tak lebih daripada sebuah tafsiran daripada bahasa arab kepada bahasa melayu. Kita sentiasa ditegah untuk memahaminya dengan lebih mendalam kerana dikatakan tidak layak dan perkara itu biasanya diserahkan kepada mereka yang pakar saja. Jaki tugas kita hanyam mengikut apa yang mereka tafsirkan.

Apa rasanya jika dilahirkan menjadi seorang Cina atau India di negara ni? Adakah kita akan merasakan Tuhan itu adil sekiranya hanya Melayu saja yang layak masuk syurga? Tuhan jadikan kaum lain hanya untuk menjadi bahan bakar api neraka?

Cuba kita berfikir diluar kotak seketika. Buangkan sifat kemelayuan yang kita banggakan sangat tu kerana dalam al-quran tidak menyebut pun bangsa Melayu adalah bangsa terbaik. Mari kita cuba hayati kata-kata ini, "amal tanpa ilmu, sia-sia.....ilmu tanpa amal hampa".

Untuk beramal, kita harus mempunyai ilmu. Ilmu bukan bermaksud mengikut atau ikut-ikutan. Ia bermaksud mengetahui. Seperti solat, jika mahu dirungkaikan, ia terlalu panjang dan boleh mencetuskan perasaan salah faham bagi mereka yang kurang berilmu. 

Cuba kita tanyakan kepada seorang Cina, mengapa mereka bersembahyang dengan menyembah patung. Mereka berkemungkinan besar akan menjawab itu adalah cara nenek moyang mereka bersembahyang, dan itulah cara yang mereka ikut sejak turun-temurun. Bayangkan jika mereka pula menanyakan kepada kita, apa yang kamu sembah? Kita pasti menjawab, aku menyembah Allah. Bila mereka tanya lagi, Allah tu bagaimana. Kebanyakan kita tak mampu memberi jawapan yang tepat kerana kita pun menyembah mengikut nenek moyang kita juga. Kita tak pernah cuba belajar untuk mengenal Allah. Jadi bagaimana kita hendak menerangkan kepada orang yang bertanya? Perlu diingat, kenal dan tahu adalah dua perkara yang berbeza. 

Contohnya, kita tahu Obama adalah seorang lelaki berkulit hitam, tinggi dan lampai orangnya. Dia adalah presiden Amerika Syarikat. Tapi kita tak tahu apa yang disuka makan, apa hobinya, di mana di suka berada, siapa kekasih pertamanya. Jika semua ini kita tahu, barulah kita boleh dikatakan mengenali siapa Obama. 

Untuk mengenal Allah, wajib bagi seseorang mengenal dirinya sendiri. Jika kita fikir kita boleh mengenal Allah hanya dengan membaca kisah-kisah orang lain, kitab-kitab orang lain, maka kita silap. Yahudi belajar al-quran sejak sekian lama hanya untuk mengkaji Islam namun adakah mereka mengenal siapa Allah?

Selagi kita belum mengenali siapa Tuhan kita, janganlah mendabik dada dengan amalan yang dilakukan kerana amal yang dilakukan tanpa ilmu adalah sia-sia. Teruslah berdoa agar diberikan petunjuk dan hidayah.

Jangan cepat menghukum seseorang yang lain hanya kerana pendekatan yang dibawanya berbeza dengan apa yang kita pernah belajar disekolah-sekolah, dan dengan ustaz-ustaz sekeliling kita. Mereka yang diberi petunjuk tidak semestinya berjubah labuh, berserban, berharta dan mempunyai keluarga yang besar. Wali-wali Allah terdiri daripada mereka yang langsung tidak berkehendakkan kepada dunia sedangkan dunia mengejar mereka. 



15 April 2012

Kenal Diri Dulu

Zaman sekarang adalah zaman orang dahagakan agama. Ada yang fikir dengan mendengar ceramah agama, mereka akan menjadi lebih bijak daripada sebelumnya kerana mereka lebih tahu tentang hukum hakam dalam beragama.

Maksud agama adalah 'suruh' dan 'tegah'. Yang disuruh adalah mentauhidkan Allah dan yang ditegah adalah menyekutukanNya. Ramai orang pandang mudah. Mereka lebih suka bertanya tentang apakah hukumnya sesuatu perbuatan daripada bertanya di mana Allah, Tuhan yang kita sembah. Pada mereka, cukuplah kenal Allah itu sebagai Alif, Lam, Lam, Ha sahaja tak perlu lebih. Takut nanti tersesat dalam beragama. Mereka telah diasuh sebegini sejak kecil lagi.

Adalah sangat menyedihkan bagi mereka yang menyembah sesuatu yang tidak mereka kenali. Kenal dan tahu adalah 2 perkara yang berbeza. Kamu tentu tahu siapa Ketua Polis Negara tapi kamu belum tentu mengenalinya. Orang yang kenal KPN tentulah tahu apa makanan kesukaannya, warna apa yang menjadi kegemarannya dan lain-lain lagi. Jadi sudah jelas bahawa 'tahu' dan 'kenal' adalah tak sama.

Awal agama ialah mengenal Allah. Kenal yang bagaimana? Ramai orang hanya menghafal sifat 20 tetapi tak tahu langsung apa kebendanya. Malah ada pula golongan yang mempersoalkan kewujudan sifat 20. Hujah mereka, nabi tak pernah ajar pun tentang sifat 20 tu. Golongan ni digelar wahabi. Tapi mereka tak mengaku wahabi.


Sifat 20 disusun oleh bijak pandai agama sejak berzaman lalu sebagai salah satu jalan untuk mengenal Allah. Nabi pun tak pernah membukukan al Quran, tetapi sahabat buat juga. Untuk apa?

Ilmu bukan meningkat berdasarkan berapa banyak buku kita baca atau berapa banyak yang kita hafal. Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada sesiapa saja yang dikehendakiNya. Yahudi juga mengkaji al Quran & hadis tapi mereka tak dapat hidayah lalu mereka kekal kafir. Mereka cuba menggali seberapa banyak ilmu dalam kitab tu untuk kepentingan mereka, bukan iman.

Masyarakat menilai orang yang tinggi ilmu agamanya adalah orang yang sentiasa duduk di masjid, sentiasa berpakaian berjubah dan berserban atau berketayap. Mereka memilih untuk mendengar ceramah daripada ustaz-ustaz yang mereka suka, yang pandai berlawak jenaka dan sebagainya.

Lupakah kita Islam tu dibawa oleh seorang manusia yang tidak tahu membaca, tidak tahu menulis dan bukan daripada golongan bangsawan. Malah yatim piatu lagi. Jadi mengapa mesti luaran yang menentukan sama ada seseorang itu mempunyai ilmu agama yang tinggi ataupun tidak? Orang yang tinggi ilmu agamanya amat susah untuk dilihat dengan mata kasar melainkan dengan izin Allah jua.

Bagaimana hendak mengenal Allah? Kenallah diri dulu kerana bila dah kenal tentulah akan kenal siapa penciptanya. Tuhan menyatakan diriNya dengan menciptakan makhluk. Jangan bimbang untuk digelar sesat kerana Muhammad juga dituduh sesat oleh masyarakat kelilingnya.

Jadi apa kaitannya dengan Bani Melayu? Mudah saja. Bani Melayu menjadi kuat dan terkenal satu masa dahulu adalah kerana mereka kenal siapa diri mereka dan mereka kenal siapa Tuhan mereka. Itulah dia Mat Kilau, Dato Bahaman dan lain-lain lagi. Mereka tak pernah pun mengaku yang mereka hebat. Tapi orang melihat mereka sebagai pejuang bangsa yang sangat hebat. Selalunya begitulah lumrah sang wali. Apabila telah tiada, barulah orang sekeliling sedar siapa dirinya.