Showing posts with label sultan. Show all posts
Showing posts with label sultan. Show all posts

28 May 2012

Hwang Tao Wah

Mungkin tulisan aku bakal membuatkan sebahagian orang Melayu berasa marah. Tapi inilah hasil kajian aku melalui bacaan, kisah-kisah masyarakat, perkhabaran daripada mereka yang mampu menembusi alam ghaib sana dan daripada cerita mereka yang secara langsung telah bertemu dengan rohaniah si Tuah. Bagi mereka yang tak bersetuju, silalah anggap cerita ni sebagai dongeng saja. Aku pun takkan berdebat pasal ni dengan kamu. Apa yang dipaparkan bukanlah untuk membuktikan siapa benar dan siapa salah, sebaliknya agar kita semua sedar dan menginsafi diri. Terima kasih kepada mereka yang bertungkus lumus berkorban masa dan tenaga membongkar kisah lagenda ni.

Perkataan "Hang" pada nama si Tuah bukanlah merujuk kepada perkataan "hang" dalam bahasa orang utara yang bermaksud "kamu". "Hang" adalah satu nama keluarga orang bangsawa daripada negara China iaitu "Hwang". Boleh jadi saja perkataan Hang Tuah sebenarnya berbunyi Hwang Tao Wah, Hwang Yee Fatt, Hwang Lee Kew dan Hwang Lee Ker. Berdasarkan nama mereka, nyatalah mereka memang bersaudara kerana menggunakan nama keluarga yang sama. Mungkin saja mereka adalah adik-beradik seibu dan sebapa. Kita perlu ingat, Islam telah sampai ke negara China sejak lebih 1400 tahun dulu. Lebih awal daripada kewujudan nusantara ataupun Melaka. Mana Hang Kasturi? Nanti dulu, kejap lagi aku akan ceritakan kisah si Kasturi pulak.

Jadi, berkemungkinan besar juga keturunan Hwang Tao Wah ini beragama Islam kerana Islam telah bertapak di sana seawal permulaan tahun Hijrah lagi. Menurut satu sumber cerita yang diperolehi daripada perkhabaran ghaib, ibu bapa Hwang Tao Wah telah dibunuh sewaktu mereka masih kecil lagi. Kemudian mereka dijaga oleh bapa saudara mereka yang juga seorang pedangang lantas membawa mereka ke Nusantara. Terdapat pendapat yang mengatakan bahawa mereka tak terus mendarat di Melaka sebaliknya singgah di Kepulauan Sumatera terlebih dahulu. Di situlah mereka menuntut dengan mahaguru Adi Putra.

Nama Hang Kasturi pula timbul kononnya kerana mereka bersahabat dengan orang tempatan, yang bernama Kasturi. Jadi perkataan 'Hang' saja diletakkan dihadapan namanya untuk memperlihatkan mereka bersahabat baik. Ada juga pendapat yang mengatakan Hang Kasturi tak wujud, sekadar nama saja kerana kesemua Hwang bersaudara adalah terdiri daripada bangsa Cina jadi masyarakat dahulu nak masukkan juga satu ikon Melayu dalam kisah ni. Bagi mereka yang berkemampuan, bolehlah siasat lebih mendalam lagi.

Benarkah Hwang Tao Wah bertikam dengan Hwang Yee Fatt? Dalam permasalahan ni terdapat 2 versi cerita yang berlainan. Satu pendapat mengatakan mereka memang berentap sehingga berhari-hari lamanya. Satu pendapat lagi kata itu hanya helah mereka berdua saja. Darah yang digunakan adalah darah dayang-dayang atau pengawal istana yang telah mati dibunuh si Jebat sebelum tu.

Persoalannya, jika tiada pertikaman antara Jebat dan Tuah maka sudah pasti tiada makam Hang Jebat.  Pada akhir pertarungan tu, Hang Jebat telah mati ditikam oleh Hang Tuah.

Aku lebih bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa memang Tuan telah membunuh si Jebat. Alasannya, Jebat telah ditakhluk oleh sifat marah yang melampau dan tak boleh dikawal lagi. Tiada cara lain untuk menghentikan perbuatan Jebat melainkan dengan kematian saja. Sebelum kisah pembunuhan si Jebat, Tuah terlebih dahulu telah membunuh seorang pendekar Majapahit yang bernama Tamingsari. Ya, Tamingsari ialah nama salah seorang pendekar dan namanya diabadikan pada kerisnya. Tuah membunuh Tamingsari melalui pukul curi, satu tindakan yang amat dilarang dalam ilmu persilatan putih. Tamingsari tak terjejas dek besi apalagi keris si Tuah sendiri. Kejadian ni berlaku sewaktu mereka beradu tenaga sebagai persembahan kepada kedua belah raja Melaka dan Majapahit. Majapahit telah menggunakan helah agar matlamat untuk membunuh Tamingsari berhasil.

Kita semua maklum bahawa Majapahit bukanlah sebuah kerajaan Islam walaupun Islam telah bertapak di kawasan jajahan mereka. Tamingsari adalah seorang yang bertauhidkan Allah maka ini dilihat sebagai satu ancaman kepada Majapahit sendiri. Untuk menghapuskan Tamingsari secara terang-terangan adalah agak mustahil, dan cara yang paling halus adalah dengan menggunakan si Tuah.

Tuah sebenarnya telah banyak dibebani kisah-kisah silamnya yang tak pernah mententeramkan hatinya. Benarlah seperti mana yang digambarkan sejarah, beliau seorang yang amat taatkan raja pada waktu tu. apa saja kemahuan raja dituruti. Itupun kerana mengenangkan pesan gurunya, Sang adi Putra agar tidak menderhaka kepada raja. Akhirnya dirinya yang merana.

Sebenarnya kehidupan Tuah amat selesa waktu dilantik menjadi Laksamana. Dalam masa yang singkat, si Tuah telah menikmati pangkat yang tinggi dalam kerajaan negeri Melaka waktu tu. Beliau juga merupakan orang yang terpenting apabila menjadi ketua hulubalang Melaka. Siapa tak cemburu? Tuah bukan anak tempatan dan secara tiba-tiba dia dilantik menjawat jawatan penting Melaka. Atas sebab inilah maka timbul fitnah yang menyebabkan Tuah dihukum bunuh oleh sultan pada waktu tu. Maka inilah yang membuat amarah si Jebat tak dapat ditahankan lagi. Terus saja diamuknya istana Melaka.

Sebenarnya, Bendahara pada waktu tu menyembunyikan Tuah dan tidak menjalankan hukum bunuh. Walaunagaimana pun, perkara ni tak sampai ke pengetahuan Jebat. Jebat telah bertindak menuntu bela di atas kematian Tuah. Alangkah terkejutnya Jebat waktu tengah mengamuk si Tuah muncul tak semena-mena. Semuanya kerana pengakuan Bendahara kepada sultan. Maka sultan telah menitahkan Tuah supaya menyelesaikan masalah si Jebat. Maka bertemulah 2 saudara ini. Terjadilah pertumpahan darah yang tak dapat dielakkan lagi.

Kisah sultan ingin menyunting Puteri Gunung Ledang juga berlaku waktu Tuah masih berkhidmat dengan kerajaan Melaka. Dikhabarkan waktu Tuah telah lanjut usia dan Tun Mamat menjadi anak angkatnya. Tun Mamat adalah anak sultan hasil perkahwinan dengan rakyat biasa. Syarat-syarat yang dikenakan untuk berkahwin dengan Puteri Gunung Ledang hanyalah rekaan Tun Mamat dan Tuah saja. Sesungguhnya Puteri Gunung Ledang pun tak berkenan untuk berkahwin tetapi Tun Mamat bimbang ayahandanya berang jika diberitahu perkara sebenar. Maka dengan itu, mereka sama-sama mereka syarat-syarat yang tak masuk akal hanya kerana ingin mengelakkan sultan Melaka daripada murka.

Hanya Tuah saja yang pernah berjumpa dengan sang Puteri tu. Puteri Gunung Ledang (PGL) juga bukanlah sembarangan orang. Beliau berdarah raja dari seberang. Akibat daripada penolakan PGL terhadap hasrat sultan menyebabkan Tuah mengambil keputusan untuk keluar daripada Melaka. Bukan merajuk tetapi lebih kepada mencari ketenangan dan menuntut ilmu agama. Tuah serahkah keris Tamingsari kepada Tun Mamat dan biarkan Tun Mamat jelaskan dengan caranya yang tersendiri kepada ayahandanya. Di sinilah terletaknya kehebatan dan kehalusan orang Melayu. Umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus tepung tak berselerak.

Tun Mamat telah menggunakan kebijaksanaannya dalam menyampaikan perkara ini kepada sultan sehingga semua menyangka bahawa Tuah tidak mahu kembali lagi ke Melaka kerana malu disebabkan gagal meminang PGL untuk sultan.

Dikhabarkan juga selepas daripada tu Tuah terus berkelana dan tinggal beberapa lama di daerah negeri Perak sebelum merantau lebih jauh lagi hingga ke Rom, Venice, Mekah dan akhirnya kembali menetap di Pattani. Tak diketahui sama ada Tuah ada meninggalkan waris atau tak. 

Panjang pulak tulisan aku kali ni. Esok-esok sambung lagi kalau ada modal.

29 January 2012

Tuah

Bila ada orang akademik berkata Hang Tuah sebenarnya tak wujud, tak ada pula orang akademik Melayu yang bangun menyanggah pernyataan tu. Mereka penakut barangkali.

Aku menolak kenyataan yang mengatakan Hang Tuah tu tak wujud. Tiada bukti atau belum jumpa bukti?

Sebabnya mudah saja. Jika tiada angin, masakan pohon bergoyang? Jika ada kisahnya, masakan tiada orangnya? Kata-kata "takkan Melayu hilang di dunia" bukanlah sesuatu yang direka-reka oleh orang-orang terdahulu. Masyarakat Melayu terkenal dengan budi bahasanya yang kaya-raya, pegangan adat yang kuat dan agama Islam yang dianuti. Masakan bangsa Melayu turun-temurun sengaja menjaja kisah Hang Tuah sekiranya ia hanyalah tahyul?

Bagi mereka yang mempunyai kepakaran serta keupayaan untuk menembusi alam jin, silalah teropong sendiri tentang kewujudan Hang Tuah dan lihat hasilnya. Orang awam biasa yang masih menunggu bukti-bukti kewujudan Hang Tuah pula, silalah tunggu. Barangkali seluruh hayatnya pun belum tentu mendapatkan bukti yang dikehendaki.

Bila Hang Tuah tiada, tiadalah kisah Puteri Gunung Ledang. Tiada jugalah kisah Sultan Melaka yang pertama kerana tiada bukti (tiada kubur Sultan itu sendiri yang telah disahkan DNA tulang-temulangnya). Tiada jugalah kisah bagaimana Melaka mendapat nama sekali gus mewujudkan persoalan tentang siapakah sebenarnya yang mentadbir Melaka di zaman kegemilangannya beratus tahun dulu?

Pelbagai versi kisah Hang Tuah ada dalam masyarakat kita. Tapi yang paling penting apakah pengajaran yang kita boleh dapati daripada kisah Hang Tuah ni? Kisah Hang Tuah secara ringkasnya menceritakan tentang seorang lelaki bersama empat saudaranya yang lain menjadi hulubalang negeri Melaka. Merekalah yang menyelamatkan Tun Bendahara daripada penyamun-penyamun yang membuat kacau di kota bersejarah tu.

Hang Tuah digambarkan sebagai seorang lelaki yang sangat setia kepada Sultannya dan mengikut apa saja titah baginda. Ada yang menggambarkan Hang Tuah sebagai seorang lurus bendul dan lelaki yang bodoh. Ada juga yang mengagumi si Jebat kerana sifat setiakawannya yang menuntut bela di atas ketidakadilan yang berlaku ke atas si Tuah.

Jadi, seperti yang dikatakan td, apakah pengajaran yang kita dapat?










21 May 2011

Takkan Melayu Hilang Di Dunia

Pada pandangan aku, Hang Tuah bukanlah bodoh apabila mengatakan "takkan Melayu hilang di dunia..." Yang bodoh ialah orang yang mentafsirkannya. Mentafsir sesuatu dengan membuta tuli tanpa kajian dan siasatan yang menyeluruh.

Hang Tuah benar-benar seorang pendekar. Beliau juga Laksamana, Panglima dan Hulubalang. Melalui cerita yang didengar, yang disampaikan sama ada menerusi mulut ke mulut atau dari perkhabaran ghaib, beliau bukanlah sembarangan orang. Ternyata beliau mempunyai ketinggian ilmu dunia dan akhirat. Begitu juga dengan pendekar-pendekar lain seperti Mat Kilat, Tok Gajah dan sebagainya. Bukan calang-calang manusia. Semoga Allah merahmati mereka.


Mengapa aku kata Hang Tuah hebat? Bila cuba mentafsirkan kata-katanya, aku melihat bahawa beliau adalah seorang yang berpandangan jauh. Walaupun ada sumber daripada perkhabaran ghaib mengatakan bahawa kata-kata tersebut dipinjam daripada kata-kata gurunya Sang Adi Putra, namun Hang Tuah memang ada mengatakannya.

Siapa Melayu? Mengikut apa yang kita faham, Melayu adalah orang yang beragama Islam, mengamalkan adat-adat Melayu dan bertutur dalam Bahasa Melayu sendiri. Jelas sekali di sini bahawa sesiapa pun yang mengikut semua di atas layak di panggil Melayu. Termasuklah Hang Tuah walaupun beliau sebenarnya berasal daripada China.

Lihat saja golongan Mamak di negara ini. Mereka punya 2 identiti, satu mamak dan satu lagi Melayu. Kalau tidak, masakan Tun Mahathir boleh menjadi Presiden UMNO dan PM kerana beliau adalah mamak? Sesiapa saja boleh menjadi Melayu asalkan beliau tinggal di Tanah Melayu, bertutur dalam Bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu dan beragama Islam. Ini adalah 'guideline' yang jelas untuk menentukan siapa Melayu.

Melayu meliputi segala bangsa sebenarnya. Kalau daripada makna perkataan Melayu bermaksud pelarian dan Tanah Melayu adalah Tanah Pelarian. Ada betulnya juga. Ia bukanlah suatu kaum seperti Cina, India dan lain-lain. Ia lebih kepada identiti. Identiti sebuah masyarakat. Mungkin ada yang tak boleh nak menerima, tapi terpulanglah. Aku tak suruh terima apa-apa pun.

Sejak dulu lagi aku selalu saja dengar kisah-kisah kebangkitan dari Timur ini. Sampai satu tahap aku pun bengang juga pasal kisah-kisah tu nampak macam bangang. Maafkan aku kepada yang terlalu taksub. Bangsa mim belum tentu bangsa Melayu yang seperti mana kita tahu. Mim juga belum tentu Malaysia. Mim boleh jadi mamak, muniandy, macha.....hehe, tak! Aku memain je.

Ada asasnya bila Hang Tuah mengatakan "takkan Melayu hilang di dunia". Beliau berkata begitu bukanlah sekadar cakap-cakap kosong di kedai kopi. Seperti yang aku katakan, beliau adalah seorang yang berpandangan jauh pada zamannya. Cuma kisah-kisah yang kita dengan dari mulut ke mulut membuatkan watak Hang Tuah kelihatan bodoh kerana terlalu menurut kata-kata Sultan pada masa tu.

Owh, ada satu lagi yang menarik tentang Sultan-sultan di Tanah Melayu. Mereka bukanlah orang-orang biasa yang suka-suka nak jadi Sultan. Mereka adalah keturunan pemerintah sejak turun temurun. Ada yang kata mereka adalah daripada keturunan Iskandar Zulkarnain.

Aku ada terbaca suratkhabar baru-baru ni. Ada seorang manusia bangsa Melayu mengaku Sultan Melaka dan telah melakukan upacara menarik keris Taming Sari yang terbenam di dasar sebuah sungai. Tak tahulah sama ada manusia ni gila, bodoh atau cuba memperbodohkan orang lain. Pertama, Sultan Melaka memang tidak ada kerana telah lama melarikan diri waktu Melaka diserang pada kurun ke-15 dulu. Warisnya kemudian menjadi sultan pertama negeri Perak dengan gelaran Sultan Muzaffar Shah. Dan yang ke-2, cuba teka? Keris Taming Sari berada dalam simpanan Keluarga Diraja Negeri Perak sejak daripada pertabalan sultannya yang pertama! Jadi, macam mana manusia Mohd Jan ni mengaku dia adalah Sultan Melaka dan memiliki keris sakti tersebut? Tak ke gila namanya?

Kepada mereka yang mempersoalkan apa fungsi Sultan di setiap negeri sila kaji semula pengetahuan anda. Mengapa Sultan wujud? Mengapa Sultan itu penting dalam negara kita? Jangan melampaui batas dengan mengatakan Sultan buang duit rakyat, Sultan itu ini. Selidik dulu salasilah Raja-raja Melayu dan kamu akan temui dari manakah puncanya semua Sultan ini. Tanpa Sultan adakah Melayu akan bersatu? Ketahuilah bahawa Melayu itu berpecah-belah kerana mereka sendiri tak tahu apakah maksud Melayu. Mereka ingat bangsa Melayu sama macam seperti Cina atau India sedangkan pengertian Melayu lebih luas daripada tu semua.

Dari situ kamu akan dapati dari mana pula asalnya perkataan "Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia" dan sebagainya. Ada yang komen perkataan tu tak sesuai dan perlu diubah. Ketahuilah siapa yang meletakkan perkataan-perkataan itu semua. Siapa yang membimbing Sultan-sultan terdahulu kalau bukan para Wali dan Ulama? Merekalah yang memberikan gelaran ini dan sudah tentulah ada sebabnya. Jangan dengan mudah kamu berkata perkataan-perkataan tu boleh menduakan Allah. Ia adalah hasil buah fikiran orang-orang terdahulu dan mereka bukanlah bodoh untuk menyusun perkataan-perkataan sebegitu sesuka hati saja.