30 March 2013

Lekeh

Menyampah juga bila melihat status di FB mengajak orang ramai untuk menjadi kaya. Fitrah manusia adalah sebaliknya. Bukanlah aku nak menafikan niat sesiapa kerana sesungguhnya niat seseorang itu hanya dirinya dan Tuhannya saja yang tahu. Ini cuma pandangan aku. 

Ibarat kita terjumpa sebuah kawasan yang ada emas, adakah kita akan memberitahu orang ramai tentang kawasan emas itu atau kita cuba sedaya-upaya untuk menggalinya seorang diri terlebih dahulu sebelum memanggil beberapa orang lain untuk membantu? Begitu juga dengan sistem MLM, jualan langsung dan sebagainya yang mengajak untuk seseorang kaya bersama. 

Kaya tidak sepatutnya menjadi matlamat utama kerana kekayaan membuatkan seseorang itu sebenarnya bertuhankan wang, bimbang sekiranya wang menjadi susut dan pendapatan berkurangan. Ya, sesiapa pun akan berasa sedemikian. Siapa tak bimbang tentang wang? Zaman apa pun, wang sentiasa mendahului segala-galanya. Namun promosi sistem MLM kadang-kadang melampau sampai tahap menghina orang yang tidak mahu mengikutinya, merendah-rendahkan pandangan orang lain yang tidak sama sepertinya dan adakalanya memperlekehkan orang lain yang ragu-ragu dengan produk yang dijualnya. 

Pertama, jika produk MLM tersebut sangat bagus tentulah ia disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan. Tetapi berapa banyak produk MLM yang disarankan oleh pihak Kementerian? 

Kedua, MLM adalah perniagaan dan semua jenis perniagaan dalam dunia adalah berorentasikan keuntungan maksima dengan kos yang rendah. Contohnya, dengan menjalankan perniagaan MLM seseorang tidak perlu buka kedai, lebih baik melakukan jualan secara langsung kerana menjimatkan kos overhead. Keuntungan dapat dimaksimakan kerana tiada pekerja perlu diupah, tiada cukai daripada hasil jualan, dan lain-lain. 

Ketiga, MLM tetap mengikut sistem piramid di mana wujud downline dan upline. Apabila seseorang downline menjual produk yang berkenaan maka upline tetap mendapat profit daripada hasil usaha downline tadi. Walaupun tak sebanyak mana, tapi tetap ada profit. Ia seperti berantai. Kos produk yang dijual telah mengambil kira peratusan keuntungan syarikat, upline dan downline. Tentu saja kos sebenar produk jauh lebih murah daripada harga jualan kerana telah melibatkan banyak pihak. 

Keempat, sistem MLM ada tempoh-tempohnya yang tertentu sebelum mereka perlu rebranding produk tersebut. Ini adalah proses penjenamaan semula di mana cara packaging, container, dan lain-lain ditukar untuk kelihatan seperti produk baru. Ada juga orang menggelarkan ini sebagai proses enhancing, bergantung kepada produk apa yang dijual. 

Kelima, bukan semua orang boleh menjadi kaya seperti mana yang dijanjikan. Dalam 100 orang yang menyertai sesebuah MLM, mungkin 10% sahaja yang menjadi kaya kerana memang sistem ini dicipta untuk keuntungan segera kepada peserta yang terawal. Selebihnya hanyalah pengguna biasa. 

Dari segi undang-undang memang tiada salahnya, yang menjadi salah ialah jika tiada produk, hanya mengambil deposit dan cari orang untuk join. Ini sistem lama. 

Seperti yang aku katakan tadi, aku memang menyampah dengan MLM ni. Soal salah atau tidak, bukan perkara pokok pada aku  kerana lain orang, lain pendapat. Menyampah kerana mereka memandang orang lain yang tak sertai mereka sebagai pemalas, takut untuk kaya dan berjaya, dan lain-lain. 

Sampah kalau dibalut cantik, disertakan dengan bungkusan/packaging yang menarik serta info-info yang menyakinkan pasti ramai yang tertarik. Apa lagi kalau produk yang betul-betul memberikan kesan positif pada penggunanya. Tentulah jualan akan meletup. 

Kepada peminat-peminat sistem ini, janganlah berkecil hati dengan tulisan aku. Teruskan berniaga seperti biasa cuma janganlah memperlekehkan orang-orang yang tak sependapat dan tak menyertai skim atau membeli produk anda. 

Lagi satu, tak perlu kecoh-kecoh tentang akaun bank anda yang masyuk. Tiada siapa pun yang berminat nak tau status kewangan anda. Orang-orang yang berjaya dan kaya seperti Donald Trump, Bill Gates, Mark Zuckerberg dan Steve Jobs (jika dia masih hidup sekalipun) takkan mahu menceritakan tentang rahsia kejayaan mereka tetapi mereka sanggup untuk memberikan anda sedikit kekayaan asalkan anda terus menyumbang kepada poket mereka. 

Islam memang tak menghalang umatnya menjadi kaya, tetapi jika kekayaan yang dikejar di mana pula kita meletakkan Tuhan? Adakah Tuhan hanya tempat kita meminta rezeki sahaja ataukah Tuhan adalah tempat kita kembali? Atau kekayaan itulah Tuhan? Api tetaplah dengan sifatnya yang panas, begitu juga dengan kekayaan tetap dengan sifatnya yang membawa kepada perasaan tak cukup, tamak, dan sebagainya. Jika kita lihat kehidupan para sahabat, mereka bukanlah calang-calang orang. Mereka adalah ketua/khalifah tetapi harta dan kekayaan mereka tak pernah nampak macam mereka adalah ketua. Mereka ambil sekadar apa yang perlu dan selebihnya diberikan semula kepada yang berhak. 

Bukan bermaksud mereka bencikan kekayaan tetapi kekayaan tidak pernah menarik minat mereka sedikit pun. Seseorang yang mengejar dunia maka dunia akan lari daripadanya tetapi bagi mereka yang mengejar akhirat maka dunia pula berlari mendapatkannya. Itulah ibarat orang-orang yang langsung tak bernafsu dengan kekayaan harta benda. 

Boleh jadi orang-orang yang anda pandang remeh dan perlekehkan itu adalah orang yang sedikitpun tak pernah bimbang tentang wang dan kekayaan. Jadi, berhati-hatilah kalau nak berniaga pun. 




No comments:

Post a Comment