02 April 2013

Petunjuk

Kadang-kala kita terlalu cepat menghukum sesuatu itu sesat sedangkan kita tak pernah memberi peluang pada diri sendiri untuk mengkajinya. 

Apa yang datang kepada kita, yang belum pernah dipelajari maka kita lebih cenderung menolaknnya. Bukan semua orang, tapi kebanyakannya begitu. Kita merasakan diri telah cukup pengetahuan dalam satu-satu perkara sehingga membangkitkan rasa tidak mahu menerima sesuatu yang kita belum pernah mengetahuinya. 

Seperti seorang mekanik yang telah mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam melakukan pekerjaan yang sama, tentunya mempunyai teknik membaikpulih yang berbeza dengan mekanik lainnya termasuk dalam mentafsir sesuatu kerosakan pada sesebuah kenderaan. Semuanya berdasarkan apa yang dipelajarinya dan dialaminya sendiri. Tetapi jika ditanya pada mekanik lain, mungkin saja pandangan dan caranya berbeza daripada mekanik yang awal tadi. Bagitu juga dalam beragama. Asasnya tetap sama tetapi rasa, perjalanan, kefahaman dan nikmatnya adalah lain-lain bagi setiap orang. 

Kebanyakan kita lebih cenderung kepada menentukan siapa 'lebih' betul dan siapa yang 'kurang' betul. Masa banyak dihabiskan untuk menjatuhkan hukuman kepada orang lain sedangkan perjalanan kita sendiri masih jauh. Jika mereka yang berada di bawah tanggungan kita, maka wajiblah bagi kita untuk mencorakkan mereka. 

Pokok pangkal kepada semua ini adalah hati. Kebanyakan daripada kita menjadikan hati sebagai raja. Hati sememangnya raja pada batang tubuh yang nyata ini tetapi raja itu selalunya dikawal oleh nafsu. Nafsulah yang memperkudakan si raja tadi. Maka bolehlah dikatakan bahawa nafsulah sebenarnya sang raja. 

Ada yang menggambarkan nafsu sebagai makhluk yang jahat. Ada juga yang membahagikannya kepada dua bahagian/golongan, iaitu nafsu yang baik dan nafsu yang jahat. Nafsu menimbulkan kehendak. Setiap orang punyai kehendak masing-masing. Kehendak mewujudkan keperluan dan keinginan. 

Tiada nafsu, tiadalah nikmat. 

Para arifbillah menjadikan nafsu sebagai haiwan tunggangan mereka. Ibarat menjinakkan binatang (sifat kebinatangan) yang jahat dan garang. Mereka bernafsu tetapi nafsu terpaksa mengikut 'diri' mereka. Disebabkan itulah, berlawan dengan diri sendiri amat payah berbanding dengan pergi berperang. Di medan perang, musuh boleh jadi di hadapan, di belakang atau di mana-mana saja tetapi bukanlah dekat dengan diri kita. Tetapi nafsu itu ada dalam diri setiap manusia. Mampukah hari-hari untuk kita berperang dengannya yang tidak kelihatan secara zahir pada diri kita ini?

Zikir penting dalam menundukkan nafsu. Puasa juga salah satu cara mengawal nafsu. Apa yang kita makan adalah makanan juga bagi nafsu dalam diri kita. Jika kita berhenti sebelum kenyang maka kita berhenti sebelum nafsu kita puas. Kita merasakan diri kitalah yang selalu puas. Tapi sebenarnya nafsu. Bila nafsu menjadi puas maka sifat malas pula akan mengambil alih. Kita jarang mengambil berat tentang perkara ini kerana kita menganggap yang berkehendakkan sesuatu itu adalah diri kita dan bukan nafsu. Jika kita mengenali nafsu maka mudahlah kita membezakan yang mana satu keperluan dan yang mana satu kehendak. Para arifbillah hanya mengambil atau menggunakan sesuatu sekadar yang mereka perlu saja dan tak lebih daripada itu. 

Jika Nabi SAW berkehendak, maka adakah mustahil baginda berdoa untuk menjadikan Uhud itu segunung emas? Ini perlu difikirkan bersama. Orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Tuhannya memang tidak perlukan apa-apa lagi selain Tuhannya. 

A005 


 "Engkaulah sahaja yang kami sembah dan Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan"

A129

 
 "Cukuplah bagiku Allah, tiada Tuhan melainkan Dia, kepadaNya lah aku berserah diri dan Dialah yang mempunyai Arasy yang agung"



حَــسْــبُـنَـا اْللهٌ وَنِــعْـمَ الْــوَ كِيْــلُ

"Cukuplah Allah untuk kami, dan Ia sebaik-baik pengurus".

Jika kita telah dapat mengenali diri kita, maka tentunya kita akan dapat membezakan siapakah yang dipanggil nafsu dan siapakah diri kita yang sebenar. Sama-samalah kita bermohon:


A006

"Tunjukilah kami ke jalan yang lurus"











Agar diberi petunjuk olehNya.











No comments:

Post a Comment