Showing posts with label kahwin. Show all posts
Showing posts with label kahwin. Show all posts

03 June 2013

Poligami


Sejak Ustaz Azhar Idrus berkahwin baru-baru ni, ramai yang tak tahun bahawa beliau dah beristeri lebih daripada satu. Tahniah, semoga berbahagia selalu. Ustaz Azhar Idrus (UAI) menjadi ikon dan idola kebanyakan daripada kita. Tak kurang juga kepada ustaz-ustaz muda yang lain. 

Ada yang tumpang gembira dengan berita perkahwinan tersebut dan tak kurang juga yang mencemuh. Terimalah, jodoh itu adalah urusan Tuhan. 

Jika UAI bolehberkahwin lebih daripada satu, maka ramai lelaki juga ingin berbuat perkara yang sama atas alasan sunnah. Tak kurang juga yang meletakkan syarat seperti iman kena kuat, agama kena kuat, solat tak pernah tinggal dan sebagainya jika hendak berkahwin lebih. 

Poligami bukanlah sesuatu yang hina dan bukan juga sesuatu untuk dibanggakan. Aku melihatnya dari sudut tanggungjawab. Manusia memang suka memikul tanggungjawab, sebab itulah apabila sekelian makhluk menolak untuk menggalas tugas sebagai khalifah, manusia bersetuju untuk menerimanya.

Gambar hiasan

Bagi mereka yang bersetuju dengan poligami, mereka memandang ia sebagai satu sunnah. Bagi mereka yang kurang bersetuju, poligami dilihat sebagai satu cara untuk memuaskan nafsu. Lelaki yang berkehendakkan poligami memang akan memberi alasan untuk mengikut sunnah dan perkara ini pasti mendapat bangkangan daripada kebanyakan wanita. Banyak lagi sunnah lain yang boleh diikut kenapa mesti poligami? 

Gambar hiasan


Bagi aku, adalah mudah untuk mencari sebab kenapa lelaki berkahwin lain. Ia tiada kaitan dengan UAI atau sesiapa, cuma pendapat aku saja. Lelaki takkan mencari lain jika apa yang dia ada telah melengkapkan dirinya. Cuma apabila kurang, tentu saja si lelaki akan mencari lagi. Bayangkan diri kita yang telah sarat kenyang, adakah terliur lagi untuk makan?

Bagi mereka yang nak tunggu sampai ilmu agama tip top baru boleh menjadi alasan kukuh untuk berkahwin lagi, hentikan saja. Kamu nak sukat ilmu agama pakai indikator apa? Sedangkan para arifbillah makin bijak makin tunduk. Makin mereka berilmu, makin orang tak tahu ketinggian ilmu mereka. Hanya setelah mereka tiada lagi di dunia barulah ramai orang mengetahui. 

Kahwin sajalah jika itu dapat menghalang kamu daripada berzina dengan perempuan lain. Sama ada isteri memberi kebenaran atau tidak, itu bukan pokoknya. Kebenaran daripada isteri hanyalah mengkut undang-undang negara sedangkan dari segi hukum, ia tak perlu pun. 

Cuma bagi kaum lelaki, cuba kita tanya diri kita sendiri; perlu atau tidak berpoligami? Seikhlas hati atas alasan apa sebenarnya kita hendak berpoligami? Jika alasannya isteri suka menderhaka, tidak ada kebahagiaan dalam rumahtangga, isteri sudah tiada hormat lagi pada suami, isteri tidak mampu memberikan zuriat (sama ada tak mampu dari segi fizikal atau psikologikal) dan lain-lain yang seangkatan dengannya tetapi si suami masih lagi ada sedikit perasaan sayang maka mungkin ia perlu. Tapi bersedialah dengan perceraian kerana perempuan, kebanyakannya tidak boleh menerima konsep ini. Jika itu jalan terbaik, terima sajalah. Sampai bila nak hidup mencuka? Bukankah seharusnya hati suami menjadi sejuk apabila memandang wajah isteri?

Tetapi jika layanan isteri baik, makan minum, pakaian dan rumahtangga diuruskan dengan baik, isterinya pula seorang yang subur, tak kiralah sama ada si isteri cantik atau tidak (kecantikan adalah subjektif) maka aku tak melihat apa perlunya berpoligami. Kalau difikirkan kenapa Saidina Ali tak berkahwin lebih daripada satu?

 













25 July 2012

Berkahwinlah

Sedikit tips untuk wanita yang ingin berkahwin. 

 1. Seorang suami suka pada isteri yang lemah lembut, baik budi bahasa, dan sopan. 

Walaupun masa bercinta, lelaki mungkin tertarik kepada perwatakan wanita yang keras,tegas, dan lantang tapi percayalah, selepas berumah tangga, itulah sikap yang paling dibenci oleh seorang suami. Masa bercinta mungkin wanita tu seorang yang bertudung labuh, sangat alim wataknya, cantik kulitnya dan sebagainya, tapi setelah berkahwin layanan kepada suamilah yang akan terus menambat cintanya pada si isteri, bukan lagi kecantikan, ketegasan, dan lain-lain. Lemah-lembut bermaksud tutur katanya yang halus pada si suami, tak meninggikat suara, tak memberi arahan, pandai memujuk rayu,dan manja. Baik budi bahasa pula mencerminkan bagaimana sikap si isteri apabila berhadapan dengan keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan. Sopan membawa maksud si isteri tahu menjaga kehormatan dan adab-adab seorang isteri seperti mana yang tertulis dalam al-quran dan hadis. Seorang suami tak perlukan seorang isteri yang berlagak bijak di depannya. Sama seperti di tempat kerja, jangan sekali-kali tunjuk pandai depan bos anda. Isteri yang sentiasa memberi sokongan dan kepercayaan takkan kalah pada godaan perempuan lain yang ingin mengganggu-gugat suaminya. 

2. Lelaki paling tak suka bila si isteri mengungkit hak sama rata dalam rumahtangga. 

Sesungguhnya tak timbul hak sama rata dalam rumahtangga kerana Islam telah menggariskan panduan yang paling lengkap dalam kehidupan berumahtangga. Jangan sesekali mengungkit tentang hak suami isteri di depan suami. Ini boleh menimbulkan banyak ketidakpuasan hati seterusnya mencetuskan pertelingkahan. Contoh, hak untuk basuh berak anak, hak bekerja, hak memasak, hak sidai kain dan sebagainya. Betul Rasulallah menolong isterinya di dapur, tapi jangan jadikan tu sebagai alasan untuk mengarah suami buat itu ini dan kaitkan dengan hadis berkenaan. Itu dengan kerelaan hati baginda sendiri bukan atas arahan Siti Aisyah. Suami adalah imam/ketua, jadi layanlah dia sebagaimana layaknya seorang ketua dilayan. 

3. Jangan membandingkan suami anda dengan lelaki lain.

Perbuatan membandingkan si suami dengan orang lain boleh menjatuhkan dirinya. Terimalah dia seadanya kerana semuanya telah tertulis. Si suami telah ditakdirkan dengan anda sebelum jasad anda wujud lagi. Ingat, soal hidup mati, jodoh perkahwinan semuanya di tangan Tuhan. Jangan merasa menyesal jika suami anda bukan seorang ustaz atau pun seorang alim. Untuk layak ke syurga bukan dinilai pada alim, ustaz atau waraknya seseorang lelaki itu tapi semuannya akan masuk syurga disebabkan rahmat Tuhan. Kita selalu nak yang terbaik untuk diri kita, tapi kita tak pernah cuba untuk jadi yang terbaik pada pasangan kita. Cukup-cukuplah perangai seperti tu. Terimalah seadanya. Itulah jodoh anda dan redhalah dengan ketentuan Tuhan. 

Mungkin kelihatan aku lebih menyokong pihak lelaki kerana aku lelaki. Tapi hakikatnya bukan aku nak sebelahkan sesiapa. Ini semua berdasarkan kehidupan yang aku lalui, kawan-kawan yang rapat dengan aku dan nasihat daripada orang tua-tua. Ada orang berkahwin kemudian setelah mendapat cahaya mata bercerai, ada yang isternya tengah sarat mengandung, si suami main dengan perempuan lain, dan macam-macam lagi. Aku tak suka dengar cerita hanya daripada satu pihak, jadi kebiasaannya aku akan membuat sedikit kajian berdasarkan maklumat dan sumber yang ada.

Watak seorang lelaki yang alim atau wanita yang bertudung labuh bukanlah menjamin apa-apa, termasuklah kebahagiaan sesebuah rumahtangga. Bila kita mula bandingkan pasangan kita dengan orang lain, secara tak langsung kita melukakan hatinya. Kita sendiri tak suka untuk dibandingkan bagaimana boleh kita membandingkan pasangan kita pulak? Ada 4 kategori dalam memilih pasangan yang telah lama disebutkan. Aku cuma ingin mengingatkannya semula saja.

Berkahwinlah dengan pasangan anda kerana 4 sebab yang utama,
     i. Agama
    ii. Keturunan
   iii. Harta
   iv. Kecantikan

Agama

Kahwinlah kerana agama kita menyuruh berkahwin. Bukan kerana agama pasangan kita. Bagaimana kita nak tengok tahap agama pasangan kita sedangkan ketakwaan seseorang tu hanya Allah saja yang tahu? Jika ditafsirkan begini maka tak layaklah kita kahwin seseorang yang baru memeluk Islam kerana Islamnya baru setahun jagung. Begitu? 

Keturunan

Kahwin kerana inginkan keturunan/zuriat/waris. Bukan kahwin kerana keturunan pasangan kita. Jika pasangan kita baru memeluk Islam, adakah dia dikira anak haram kerana ibabapanya dulu bukan Islam dan tak berkahwin secara Islam? Jangan sempitkan pemikiran kita. Islam lebih luas daripada apa yang kita sangkakan. 

Harta 

Berkahwinlah supaya kita dapat mewariskan harta peninggalan kepada waris kita agar tidak mengalir kepada orang lain begitu saja, bukan berkahwin kerana harta pasangan kita. Jika ada 2 pilihan, antara kaya dan miskin, siapa pula yang akan kita pilih? Jangan mengarut. 

Kecantikan 

Fitrah manusia sukakan sesuatu yang cantik dan indah. Dah tentu semua manusia akan memilih pasangan yang cantik pada pandangannya. Bukan bermaksud cantik tu cantik pada pandangan semua orang. Ada orang memandang cantik tu bukan setakat rupa paras, tapi akhlak dan budi pekerti. Terpulang pada diri masing-masing kerana tahap kecantikan seseorang itu dinilai berbeza-beza oleh lain-lain individu.

Walalubagaimanapun kita dianjurkan supaya berkahwin kerana agama. Ya, agama menyarankan agar kita berkahwin untuk mengelakkan berlakunya maksiat, agar dapat mengembangkan zuriat dan melahirkan anak-anak soleh yang akan berbakti kepada ibubapanya. Mereka yang berkahwin lebih tinggi darjatnya daripada mereka yang bujang kerana besarnya tanggungjawab setelah berkahwin. 

Untuk para wanita, ketahuilah seseorang yang telah kenyang takkan menambah lagi makanan ke dalam pinggannya. Sama seperti seorang suami yang telah puas hati atau redha dengan isterinya takkan mencari perempuan lain lagi. Berjuang untuk mencari keredhaan suami kerana ingin mencari keredhaan Allah adalah lebih baik daripada membuat perkara lain. 

12 May 2011

Rumahtangga


Bagi aku, kisah rumahtangga tak perlu diceritakan di blog. Pada kawan pun tak perlu juga. Sebabnya, ia melibatkan 2 pihak. Pihak suami dan pihak isteri. Kalau si isteri yang cerita, suami dapat tau adakah suami suka? Begitu juga dengan si suami. Bila melibatkan mak bapak lagi payah. Orang luar tak tau apa-apa pun.
Cara paling mudah, kembalikan segalanya kepada Yang Berkuasa. Dialah yang paling mengetahui dan memahami. Cuma kita saja yang belum jumpa jalan yang betul bagaimana untuk berhubung denganNya. Bak kata aku dulu, aku cukup tertarik dengan motto seorang member aku. Rela, Redha dan Redah (3R).



Senang cakap, tapi susah untuk melakukannya. Itu biasa. Janji kita cuba dulu. Lepas tu lihat sendiri hasilnya. Manusia lain bukanlah tempat yang sesuai untuk kita mengadu nasib ataupun meletakkan harapan. Hanya pada Dialah kita letakkan semua pengharapan kita dan kepada Dia jugalah kita serahkan segalanya.

Malam tadi aku berbual dengan seorang rakan. Kami berbual tentang pelbagai topik. Termasuklah topik suami isteri. Katanya, isteri ni ibarat permaisuri. Kita sebagai suami yang perlu memasak untuk isteri. Aku tak mengiyakan dan mendidakkan. Aku membiarkan saja dia terus bercerita.

Kalau nak jadikan isteri tu permaisuri apa salahnya. Tapi janganlah sampai setiap 5 minit nak kena buat laporan sms. Bosan jadinya. Aku bukanlah orang yang paling layak nak bercakap tentang ni sebab aku sendiri pun baru je mengharungi hidup berumahtangga. Silap cakap, ada yang kecil hati nanti.

Cuma pendapat aku, jika masing-masing tahu tanggungjawab dan hak masing-masing, banyak masalah dapat diselesaikan. Betullah tugas isteri bukanlah di dapur, tapi kalau di dapur itu lebih senang untuk mendapatkan keredhaan suami bagaimana? Di dapur bukanlah sebagai kuli atau hamba. Jika si isteri dapat memasak makanan yang suami suka dah tentu itu lebih baik daripada duduk atas sofa sambil tengok astro macam permaisuri, ye tak?

Apa pun, aku tetap dengan pendirian aku bahawa kisah/masalah rumahtangga tak perlu diceritakan kepada sesiapa pun walaupun dalam blog. Memang blog dah menjadi salau satu tempat luahan perasaan. Tapi ia lebih banyak mendatangkan keburukan jika kita cerita tentang pasangan kita. Percayalah!