Showing posts with label nabi. Show all posts
Showing posts with label nabi. Show all posts

15 July 2014

Kenapa wajah nabi tak dilukis?

Soalan:

Kenapa Nabi Muhammad SAW tiada gambar lukisannya? Kenapa waktu dulu tidak dilukis saja gambar wajah baginda biar umatnya dapat menatap wajahnya?

Jawapan:

Wajah yang abadi adalah wajah yang tidak berwajah. Wajah manusiawi itu akan hancur binasa seperti mana hancurnya jasad. Berkedut, mengecut dan sebagainya.

Wajah yang tidak  berwajah itu pula kekal kerana takkan pernah dapat dilukiskan. Ia sebenarnya adalah gambaran wajah Tuhanmu yang kekal abadi. 

Adapun Nabi Muhammad SAW, mewujudkannya dalam pengertian yang nyata tentang wajah yang laisa kamistlihi syaiun, iaitu wajah yang takkan dapat digambarkan.

Sebab yang lain pula adalah supaya kamu tidak menyembah wujud rupa apapun.

Wajah lahiriah dilenyapkan, agar kamu faham wajah batiniah. Itulah wajahmu sebenarnya.

Tak penting mana pun kamu dalam rupa yang cantik, tampan, atau buruk kerana wajah yang hakiki adalah wajah hatimu sendiri.

25 May 2011

Hang Tuah - 2

Kisah tentang bangsa Melayu memang menarik minat aku sejak dulu. Kalau aku diberi mesin masa, aku pasti mahu kembali ke zaman kesultanan Melayu Melaka dan berjumpa dengan Hang Tuah. Itu cita-citaku sejak kecil. Aku ingin sekali melihat wajah Panglima Agung ini. Biarpun Hang Tuah bukanlah berasal daripada Tanah Melayu. Tapi seperti yang aku pernah katakan, seseorang tu akan menjadi Melayu apabila dia tinggal di Tanah Melayu, bertutur dalam Bahasa Melayu, menjalankan adat istiadat orang Melayu dan beragama Islam, maka orang itu adalah Melayu. Biarpun ramai yang pasti tak setuju, namun inilah pegangan aku setakat hari ni.

Panglima Melayu dulu-dulu ilmu dunia & akhiratnya tinggi. Bukan setakat ilmu tempur saja. Itu yang mengagumkan aku. Mereka boleh mendalami pelbagai ilmu serentak. Zaman sekarang jika ada yang cuba belajar ilmu-ilmu perang seperti ni dengan mudah akan dituduh sesat. Aku sendiri pun tak faham mengapa sesetengah golongan mudah betul mengatakan seseorang yang lain itu sesat. Mereka dengan penuh yakin tanpa perlu usul periksa yang lebih mendalam terus menjatuhkan hukum. Pelbagai hujjah al-quran dan hadis dikeluarkan untuk mengyokong fakta mereka.

Keris Taming Sari mempunyai khadam ilmu perang yang tinggi. Ia menjadikan seseorang yang memilikinya kebal daripada sebarang senjata. Nah! Pasti ada orang dengan mudah mengatakan ilmu ini sesat. Menggunakan jin dan khadam sudah dikira syirik. Sungguh mudah dan senang menjatuhkan hukum seseorang syirik hanya kerana dia berdamping dengan makhluk-makhluk seperti ni. Petik saja ayat al-quran yang bermaksud lebih kurang begini, " sesentengah golongan manusia meminta pertolongan bangsa jin dan sesungguhnya jin itu tidak lain hanyalah membawa mereka kepada kesesatan."

Siapa berani bangkang? Aku pun tak bangkang. Tapi lihat maksud ayat tu dengan lebih mendalam. Pertolongan macam mana yang dimaksudkan? Bukankah menilik nasib juga dikira sebagai meminta pertolongan daripada golongan mereka? Mempercayai tilikan nasib juga sama dengan mempercayai kata-kata mereka. Ini memang syirik yang nyata. Sama macam kita pergi umpa doktor sebab demam. Kemudian doktor beri kita ubat lalu kita percaya dengan memakan ubat tu kita akan sembuh. Sama saja. Bezanya, doktor adalah manusia dan jin adalah jin.

Berbalik semula kepada cerita Hang Tuah tadi. Dengan memiliki keris Taming Sari adakah Hang Tuah seorang yang syirik? Bagaimana pula dengan Mat Kilau yang mempunyai ilmu tempur yang tak kurang hebatnya? Beliau juga kebal dari peluru dan senjata. Mereka yang mengatakan ilmu-ilmu sebegini sesat selalu membandingkan kisah-kisah Nabi waktu baginda berperang. Baginda juga luka dan cedera kata mereka. Jadi takkanlah orang seperti Hang Tuah dan Mat Kilau ni hebat melebihi Nabi kita?

Sebenarnya begini. Dari kecil kita belajar, Nabi dan Rasul memiliki mukjizat masing-masing. Manakala orang-orang terpilih (waliullah) memiliki karomah. Fahamilah sifat 20, di mana Allah itu Maha Berkehendak. Jika Dia kata KUN, maka terjadilah apa saja kehendakNya. Jika Hang Tuah atau Mat Kilau menjadi kebal, ia adalah kehendak dan izin siapa rasa-rasanya? Jadi sejak bila kehendak Allah tu mempunyai batas dan jenis-jenisnya yang tertentu?

Semuanya menunjukkan Allah itu Maha Berkehendak, Maha Berilmu dan Maha Mengetahui. Nak jadi kebal pun kena pakai ilmu. Ilmu datang dari mana kalau bukan daripada yang MAha Berilmu, ye tak?

Bab syirik mudah saja. Selagi iktikad dan keyakinan kita masih berpegang teguh kepada jalan yang lurus, nak takut apa? Lantaklah orang nak kata apa. Mereka yang menempuh jalan sufi pasti dikatakan sesat. Nabi dulu pun dicemuh dan dikatakan sesat bukan?Malah semua nabi & rasul pun begitu. Kisah Ibrahim dan Ismail jika difikir mengikut akal semata-mata pun sesat juga. Jadi, mengapa ada golongan yang dgn mudah mengatakan orang lain sesat sedangkan dia belum faham sepenuhnya?


06 May 2011

Hari Ibu


Hari ibu.

Kenapa orang sambut hari ibu? Kerana nak mengingati sambil menghargai ibu. Kalau orang takde ibu macam mana? Melepaslah. Satu perkara yang perlu diingat, setiap apa yang kita peroleh di dunia ini akan hilang satu hari nanti. Setiap apa yang kita kejar juga takkan kekal menjadi milik kita. Begitu juga dengan kasih sayang.

Adakah kejayaan diukur dengan berapa banyak wang yang kita ada? Mengapakah bila kita tengok orang lain punya banyak wang kita juga akan merasa ingin memiliki lebih banyak wang? Itu tandanya hati kita masih belum bersih. Masih kotor. Kita masih mempunyai keinginan untuk memiliki sesuatu yang kita dah tau akan hilang daripada kita. Adakah aku menyeru supaya kita jangan mencari wang dan jangan jadi kaya? Bodohlah kamu kalau fikir macam tu.

Aku ada seorang sahabat. Aku rasa wang baginya bukanlah perkara utama. Aku tahu serba sedikit tentang kisah hidupnya. Pernah merempat, pernah susah dan pernah juga senang. Dan aku lihat dia seperti tiada masalah pun dengan wang walaupun dia pakai henfon prepaid, takde kereta dan tidak memiliki rumah sendiri. Aku tak dapat cari perasaan risau atau susah berkenaan wang pada riak mukanya. Sampaikan aku sendiri jadi segan kalau nak offer dia wang. Mana tahu dia akan salah faham pula nanti.

Berbalik kepada kisah ibu. Mana-mana makhluk berstatus ibu pasti sayangkan anaknya. Berapa nilai kasih sayang tu kalau kita cuba tukarkan kepada wang ringgit? Pasti ramai yang kata tak ternilai. Bagi aku perasaan kasih tu sendiri pun bukan milik manusia. Dihadirkan ke dalam diri manusia melalui Sang Maha Pencipta. Manusia tak dapat melihat Tuhan tapi dapat melihat kasih sayangNya.

Mengapa syurga dikatakan terletak di bawah tapak kaki ibu. Syuga itu apa? Tempat yang macam padang seluas mata memandangkah? Tak panas macam kat duniakah? Pada aku syurga diibaratkan seperti bahagia. Sebarang perkara yang memberi kebahagiaan, kesenangan dan kenikmatan hidup. Bahagialah kita jika mentaati ibu. Bagi wanita yang telah berkahwin, syurga pula letaknya di bawah telapak kaki suami.

Ada yang kata suaminya bukanlah baik sangat. Bangun subuh pun malas. Ada juga ibu yang pada pandangan mata kasar seorang awam biasa pun bukanlah baik sangat. Tapi ada pernah kita mendengar syurga di bawah telapak kaki ibu yang rajin bersolat? Yang rajin berpuasa? Yang rajin bersedekah? Ataupun syurga itu hanya terletak di bawah telapak kaki ibu yang menutup aurat?

Soal macam mana seorang ibu itu, bukanlah perkara pokok pun. Kenapa kita suka menimbulkan persoalan bodoh dalam diri? Kenapa kita perlu tanya, bagaimana jika seorang wanita tu tidak menutup aurat, takkan anaknya wajib taat padanya? Kalau wanita tu jenis malas bersolat bagaimana? Anak yang rajin bersolat ni wajib ke ikut semua cakap ibu tadi? Ini adalah antara soalan-soalan bodoh yang sentiasa membelenggu manusia.

Soal seorang ibu tu bagaimana tak perlu diambil kita. Yang disuruh adalah untuk mentaati ibu. Begitu juga dengan suami. Disuruh supaya mentaati suami, tapi lebih banyak persoalan pula yang ditimbulkan.

Kita selalu berkata pada diri sendiri suatu hari nanti kalau aku senang aku akan belikan ibu rumah yang besar. Nak suruh ibu duduk dalam tu berehat saja. Timbul pula 2 persoalan yang utama. Pertama, adakah kita pasti itu yang ibu kita nak daripada kita? Kedua, adakah kita mampu tunaikan janji kita pada diri sendiri. Ingat! Sebelum kita wujud di dunia ini kita semua pernah bersaksi dengan Tuhan. Sekarang adakah kita tetap dengan penyaksian yang sama atau hanya tinggal ikut-ikutan saja?

Yang pasti, kita dapat lihat kasih Tuhan melalui hambanya. Sifat pemurahnya juga ditunjukkan melalui sekalian makhluknya. Kita adalah manusia yang tak punya apa-apa sebenarnya. Itulah aku cakap tadi, buat apa kejar sangat apa yang kita akan hilang? Ambil mana yang perlu saja. Kita mudah lupa, bukan Melayu saja. Semua pun sama.

Anak kecil menangis waktu dilahirkan sebagai memberi salam kepada dunia sambil memikirkan beratnya tanggungjawab yang bakal digalas. Tangisan berikutnya adalah satu kegembiraan kerana menjadi makhluk yang paling mulia kerana sanggup menanggung rahsia Sang Penciptanya. Kita pula pandang anak tu tak tau apa-apa dan melalak saja. Akalnya mungkin belum berfungsi tapi jiwanya dengan kita sama. Tiada tua, tiada muda. Tiada senior, tiada junior. Sama. Kita semua berasal daripada yang SATU.

Kenapa anak kecil dikatakan suci, bersih dan mulia? Kerana dia tak mempunyai perasaan hasad dengki, dendam, dan segala sifat-sifat yang tercela. Suci dan bersih adalah lambang hatinya. Lihat anak kita (kalau takde anak, tengok saja anak orang lain). Perlahan-lahan anak ini akan membesar dan melupakan persaksiannya di alam roh. Jadi sementara dia masih kecil ni, cuba kita belajar sesuatu daripadanya. Pasti ada sesuatu yang kita boleh belajar kalau kita sudi untuk merendah diri. Nabi Musa pun belajar daripada Nabi Khidir.

Jadi, apa kaitan ini semua dengan hari ibu? Banyak kaitannya. Cuma yang aku nak tegaskan kat sini ialah kasih ibu bukti adanya kasih Sang Pencipta. Sekian, wassalam.