25 July 2012

Zikir, Ayat Pendinding dan Tipu Daya

Bila tekak dah mula sakit, memang keinginan untuk mendapatkan sijil cuti sakit mula timbul. Takde gunanya pergi ke ofis dan terbatuk-batuk lalu menyebarkan penyakit tu kepada orang lain. Ini satu kemudahan. Ya, kemudahan untuk berehat di rumah sambil menunggu masa untuk pulih.

Manusia memang mempunyai keinginan untuk menjadi kebal, sekurang-kurangnya tak lut dek sihir. Ketahuilah bahawa yang membuatkan seseorang manusia tak lut dek sihir bukanlah ayat atau mentera yang dibaca mahupun amalan yang dilakukan. semuanya tertakhluk pada izin Tuhan jua. Sedangkan Muhammad SAW pun dishirkan orang, inikan pula umatnya yang lemah.

Tak dinafikan kekuatan atau senjata seorang mukmin tu adalah doa. Apa pun yang dibacanya, sama ada berupa ayat-ayat al quran atau mentera, merupakan satu doa. Satu permohonan hajat kepada yang Maha Mengabulkan.

Walaubagaimanapun janganlah terlalu taksub dengan ayat kerana akibatnya adalah buruk. Mengambil amalan, tak kiralah potongan ayat-ayat al-quran ataupun amalan-amalan tertentu daripada orang yang kita tak kenali boleh mendatangkan kesan negatif pada diri si pengamal. Orang yang kurang ilmu pasti membantah dengan mengatakan takkanlah amalankan ayat al quran pun boleh mendatangkan kemudharatan? 

Ketahuilah bahawa saka, syaitan belaan dan yang seangkatan dengannya boleh dipindahkan kepada tuan yang baru walaupun hanyan menggunakan sepotong ayat al quran yang menjadi syaratnya. Selagi mana si penerima mengamalkan mengikut apa yang disuruh, semakin meresaplah makhluk berkenaan dengan dirinya. 

Bukan bermaksud tak boleh mengamalkan ayat-ayat al quran sebagai pendinding, bukan! Apa yang ditegaskan adalah siapa yang memberikan amalan tersebut? Bagaimanakah peribadinya? Ibadatnya? Aspek ni harus dikaji sebelum menerima apa-apa amalan daripada sesiapa pun. 

Mengamalkan zikir asma ul husna adalah bagus, tapi jika disertai dengan niat untuk menjadi kebal, kuat, pantas dan sebagainya, boleh menyebabkan seseorang secara tak sedar berdamping dengan jin kafir. Macam mana? Mudah. Niat adalah pokok pangkal segala amalan. Jika untuk mendapat kebal, maka jin keballah yang akan datang berdamping.

Jin pun ada banyak nama, banyak agama dan banyak peringkat ilmu. Jika ada manusia bernama Rahim, di alam sana juga ada yang bernama Rahim. Jika penjenayah di alam manusia juga bernama seperti orang Islam dan beragama Islam, maka golongan jin juga tak berkecuali. Mereka inilah yang akan datang apabila namanya diseru berulang-ulang kali. Itu sebabnya penting mencari guru agar sang guru dapat membimbing sang murid agar berada di jalan yang lurus, bukan main cedok je ilmu atau amalan daripada sembarangan orang. 


Sesungguhnya golongan jin penuh dengan tipu daya. Jangan sesekali memandang rendah kepada mereka hanya kerana berasa diri kita adalah seorang khalifah. Khalifah apa kalau Tuhan pun tak tahu di mana?

Ada kisah di mana seseorang bermimpi di datangi tok sheikh yang kemudiannya mengajarkan ilmu al quran. Daripada tak tahu mengaji sampailah pandai membaca ayat-ayat al quran dengan lancar dan boleh pula mengubat orang. Tok sheikh sentiasa datang memberikan bantuan apabila diperlukan. Perwatakan orang tersebut pun berubah menjadi seperti ustaz atau pun tok imam dan namanya kian terkenal kerana boleh mengubat penyakit yang berkaitan dengan sihir. 

Mungkin ada yang berpendapat orang yang begini beruntung kerana diberi petunjuk dan hidayah daripada Allah. Semuanya diajar oleh tok sheikh tadi kelihatan seperti mengikut al quran dan sunnah. Solat 5 waktu tak boleh tinggal, yang sunah perlu diperbanyakkan. Segala amalan yang diajarnya hampir tak kelihatan pun di mana cacat celanya. 

Tapi jika kita perhalusi, orang ini belajar tanpa guru. Tiba-tiba dia menjadi pandai. Mana gurunya? Mimpi? Mimpi bukan guru, syaitanlah yang menyamar menjadi tok sheikh tu. Satu-satunya yang tak boleh ditiru oleh si syaitan adalah wajah Nabi Muhammad SAW. 

Sebab tu kita dengar ada orang tiba-tiba mengaku wali, mengaku kasyaf dan sebagainya. Mana ada wali mengaku dirinya wali semasa hayatnya? Semua yang kita panggil wali adalah mereka yang telah tiada lagi di alam maya ni. Sama ada mereka berada di alam jin atau alam-alam lain. Wali menjalankan tugas yang telah ditetapkan Tuhan untuknya, bukan boleh suka-suka nak ajar orang dalam mimpi, tolong orang berubat dan sebagainya. 

Oleh itu, berwaspadalah. Tipu daya jin dan syaitan amat licik. Umur mereka panjang, takkan akal mereka pendek? Ada saja cara untuk menyesatkan manusia. Jika betul-betul nak menuntut, carilah guru yang mursyid. Kenalilah diri terlebih dahulu, lepas tu barulah boleh berangan nak jadi seperti Hang Tuah ke, Mat Kilau ke, dan lain-lain. Mereka adalah orang-orang yang telah diberi petunjuk.

No comments:

Post a Comment