28 May 2014

Sakinah

........
Biarlah orang-orang macam aku bahagia, orang-orang macam aku merdeka...
....
......

Bila kenal Sakinah
Kenal diri siapa sebenar
Cairlah segalanya
Yang tinggal hanya benar

......
...........


21 May 2014

HUDUD

Tiada siapa pun yang mempertikaikan hukum Tuhan.

Apa yang PAS cuba bawa adalah hudud mengikut tafsiran mereka. Hudud untuk orang Islam dan bukannya untuk orang bukan Islam.

Kes paling klasik.

Kes 1

Ahmad mencuri dan disabitkan bersalah lalu dijatuhi hukuman potong tangan. (bukan mencuri kerana lapar, miskin atau sebagainya, tapi memang suka mencuri dan mengaku mencuri)

Ah Seng pun mencuri lalu dipenjara 2 tahun (pun sama, mencuri sebab memang berniat mencuri dan mengaku suka mencuri)

Di manakah adil?

Kes 2 

Samsul bukan golongan bangsawan, kerabat, sultan atau raja, didapati mabuk lalu dijatuhi hukuman dirotan.

Sultan, Raja, dilihat minum minuman yang memabukkan tetapi tak dikenakan apa-apa tindakan kerana golongan ini kebal.

Sekali lagi, di manakah adilnya hudud ala Pas ini?

Salah satu tujuan hudud adalah untuk menjaga keselamatan/keharmonian masyarakat. Selamatkah masyarakat apabila yang Islam mencuri dipotong tangan, yang bukan Islam dipenjara/dibicarakan di mahkamah sivil? Terjaminkah?

Jadi, bagaimana dengan tafsiran Pas yang mengatakan hudud untuk orang Islam sahaja dan bukan untuk orang bukan Islam? Bukankah ini jelas kelihatan sebagai untuk mendapatkan sokongan politik saja? Mencuri/merompak ni boleh menjejaskan keselamatan masyarakat, bukan seperti tak puasa atau tak solat. Itu urusan individu tersebut dengan Tuhannya. Jadi tak boleh disamakanlah.


Fahamilah, orang ramai tidak menolak hukum Tuhan tetapi menolak tafsiran Pas berkenaan dengan hudud yang mereka dakwa sebagai undang-undang Tuhan.

Sebelum puji negara-negara yang laksanakan hudud, sila semak dulu hudud ala apa yang mereka laksanakan.

Jangan terlalu mudah menghukum orang lain sebagai kafir kerana itu bukan tugas manusia. 





13 May 2014

Terengganu

Seandainya BN tumbang di Terengganu, aku melihatnya sebagai satu kebangkitan buat UMNO di sana. Jika PAS memerintah pun, ia berkemungkinan besar sehingga PRU14 saja. Mengapa? Lihat sejarah. PAS tiada kemahiran dalam mentadbir. Mereka cuma mau kuasa dan jalankan pemerintahan Islam ala mereka saja.

Waktu mentadbir Terengganu dulu apa kemajuan yang mereka bawa? Isu balak terus menjadi topik berbualan utama. Orang Terengganu tetap macam tu juga.  Lihat Kedah. Apa perubahan yang mereka bawa? Jika mereka bawa Islam, Kedah sepatutnya lebih baik daripada negeri-negeri yang ditadbir oleh cara sekular. 

Aku malas nak cakap banyak. Fahamilah bahawa agama Allah itu hanya akan tertegak mengikut cara yang Dia mahu dan pada waktu yang Dia mahu. Selagi mana ada pihak yang mengaku mahu tegakkan Islam sebagai mana yang dia mahu, maka dia sebenarnya tertipu dengan dirinya sendiri.


06 May 2014

Dia

DIA telah sangat nyata, yg terhijab cuma kita, mustahil DIA terlindung kerana mana mungkin Yang MAHA Menguasai itu dikuasai

Masin

Bolehkan masin kembali menjadi garam?

Masin itu bukan hak garam. Masin itu cuma dizahirkan ke atas garam oleh Rasa.


Hak garam?

Tiada hak langsung!

Maka garam tiada hak untuk meminta masin kembali kepadanya, melainkan masin itu sendiri yang ingin kembali menjadi garam!

Masin bisa saja menzahirkan rasanya kepada sesuatu yang bernama garam jika ia mahu. Namun, masin juga bisa saja menzahirkan rasanya kepada sesuatu yang bernama peluh. Masin juga bisa menzahirkan rasanya kepada sesuatu yang bernama laut, kepada haiwan yang bernama ikan, kepada makanan yang bernama kuih atau kepada apa jua sesuatu NAMA yang diinginkannya.

Jika masin kembali kepada garam, itulah kehendak masin, bukan kehendak garam! Garam tiada hak! Garam hanya dipinjamkan hak! Garam itu diri yang tiada makna jika tanpa masinnya, bahkan garam itu tidak akan berNAMA garam jika tanpa ada masinnya.


Hak kamu?

04 May 2014

APA ITU SOLAT ? ( Syariat, Hakikat, Makrifat )

Solat dari takrif bahasa merupakan doa.

Pengertian solat dalam syarak pula ialah "beberapa ucapan dan beberapa perbuatan yang dimulai dengan takbir, disudahi dengan salam dan dengannya kita beribadah kepada Allah, menurut syarat-syarat yang telah ditentukan."

Takrif solat dari pandangan Ariffbillah pula ialah "solat itu suatu perhubungan yang menghubungkan antara hati dengan Tuhan. Tujuannya untuk MENYATAKAN Tuhan."

Ada tiga perkataan penting yang perlu perhatian :

1. Perhubungan
2. Hati
3. Tuhan

Huraian tafsiran solat dari pandangan Ariffbillah:

Solat itu suatu PERHUBUNGAN. 


Apa yang hendak dihubungkan? 
Menghubungkan Hati dengan Tuhan.

Apa maksud hati? 

Hati itu Qalbu/Roh. Maka yang hendak dihubungkan adalah Roh dengan TuhanNya. 

Siapa yang menghubungkan? 
Tuhan itu sendiri melalui perantaraan Roh. Tuhan menyatakan diriNya melalui Roh. Roh menyatakan diriNya melalui makhluk (manusia). Manusia menyatakan dirinya melalui jasad. Jasad menyatakan dirinya melalui sel. Sel menyatakan dirinya melalui nukleus. Nukleus menyatakan dirinya melalui atom dan atom itu kembali menyatakan diri TuhanNya. (Tujuh Martabat : Bermula dengan Tuhan dan berakhir dengan Tuhan )

Perhubungan itu boleh membawa maksud menyaksikan, bertemu, berkomunikasi atau berinteraksi. Komunikasi yang baik adalah komunikasi dua hala. Apalah erti komunikasi jika hanya satu pihak saja yang berkomunikasi? Apalah erti pertemuan jika tidak bertemu? Apalah erti berinteraksi jika satu pihak sahaja yang beri reaksi? Apalah erti saksi, jika tidak kenal saksi dan tidak pernah menyaksikan saksi?


Bila telah berkomunikasi, bila telah berinteraksi, bila telah bertemu antara Roh dengan Tuhan, maka akan nyatalah Penyaksian itu. Nyata penyaksian bermakna, nyatalah Tuhan itu. Bila nyata Tuhan, maka tiadalah segala sesuatu melainkan DIA.

Apa tugas makhluk manusia? 

Untuk beribadah kepada Tuhan.

Apa itu ibadah? 
Merendahkan, menundukkan dan melenyapkan diri makhluk hingga tidak lagi kelihatan segala sesuatu, zahir dan batin melainkan Allah. 

Bagaimana nak merendahkan diri?
Buang segala sesuatu yang bersifat makhluk. Bila mati sifat makhluk, maka nyatalah sifat Tuhan. Bila Tuhan telah nyata, maka berhubunglah. 

Bagaimana untuk berhubung? 
Lakukan solat. 

Apa itu solat? 
Suatu perhubungan yang menghubungkan antara hati dengan Tuhan. Tujuannya untuk menyatakan Tuhan. 

Bagaimana bersolat (berhubung)? 
Matikan diri daripada segala sesuatu. Buang segala sifat makhluk. Buang segala nama yang bernama. Buang segala sifat yang bersifat, Buang segala perbuatan yang memperbuat. Buang segala zat yang berzat. Bila segalanya telah dibuang, pulangkan segala sifat itu kembali kepada pemilikNya (Tuhan). Tuhan itulah Nama (Asma') bagi segala yang bernama. Tuhan itulah Sifat bagi segala yang bersifat. Tuhan itulah yang memperbuat segala Perbuatan (Af'al). Tuhan itulah Zat bagi segala yang mempunyai zat. Sebab itulah bila sampai di "haiya alaasolah" kita pun menjawab "laa hau lawala quwwata illa billah..."


Hubung kait pengertian solat syarak dan solat makrifat

Di dalam pengertian syarak, ia lebih menerangkan perihal kaedah atau cara perlakuan solat dari zahir kepada batin, manakala pengertian ariffbillah lebih tertumpu kepada perhubungan dari batin kepada diri batin, tetapi kedua-duanya bermatlamat menuju kepada tujuan yang sama iaitu, Allah.

Syarak atau syariat itu bermakna peraturan, hukum atau undang-undang. Peraturan itu untuk manusia yang bertubuh berjasad yang bersifat zahir ini. Justeru itu pentakrifan syariat itu lebih menyentuh perihal sesuatu yang bersifat zahir kepada manusia. Sesuatu yang zahir itu tidak dapat dizahirkan melainkan ada yang batin. Perkara batin tidak dapat dihuraikan oleh perkara zahir. Hanya batin yang dapat menghuraikan perkara batin. Justeru itu istilah syariat banyak mengandungi kias dan perumpamaan yang perlukan ilmu untuk difahami. Solat dalam takrifan syarak itu ada sedikit kias.

Kiasannya ialah bagaimana perkara zahir (Beberapa ucapan dan beberapa perbuatan yang dimulai dengan takbir, disudahi dengan salam) boleh bersama dengan perkara batin (beribadah kepada Allah)?

Hanya perkara batin yang dapat bersama perkara batin. Hanya batin yang mengenal batin. 
Bagaimana yang zahir boleh mengenal yang batin? 
Perkara zahir adalah perkara nampak. Perkara batin adalah perkara tak nampak. Bagaimana perkara nampak hendak melihat perkara tak nampak?

Contohnya begini :

Dengan keadaan sedar dan jaga, cuba kita bayangkan sebiji buah manggis yang ranum. Sekarang, cuba kita gerakkan tangan dan cuba kita ambil buah manggis yang dibayangkan itu dengan tangan yang ada. Boleh? Nescaya tidak boleh ! Tangan itu perkara zahir, mana mungkin boleh ambil manggis yang wujud hanya dalam bayangan atau hayalan.

Sekarang, cuba pula kita letakkan diri kita dalam gelombang Alpha atau Theta (berhayal atau mimpi). Dalam hayalan itu, cuba kita ambil manggis tadi, kemudian kita kupas kulitnya, kita makan isinya dan kita rasa sedapnya. Kalau hayalan atau mimpi kita kusyuk, nescaya kita dapat merasakan yang kita benar-benar mengambil, mengupas dan memakan buah manggis itu. Malah, sedapnya rasa manggis itu, seolah-olah benar-benar terasa di tekak.

Contoh ini menyatakan bahawa, mana mungkin perkara batin boleh dirasa oleh perkara zahir. Hanya batin yang dapat mengenal batin. Buah manggis dalam hayalan atau mimpi itu hanya boleh dirasa oleh orang yang berkhayal atau bermimpi. Mana mungkin orang yang sedar boleh merasa manggis yang wujud dalam hayal atau mimpi.

Jika dibawa ke persoalan solat, takrif ariffbillah (makrifat), lebih mirip kepada perkara batin dan takrif syarak (syariat), lebih mirip kepada perkara zahir. Namun kedua-duanya menuju tujuan yang sama, iaitu kepada Allah! cuma, jalannya sahaja yang berbeza.

Perlu diingat, meskipun tujuan jalan syariat dan jalan hakikat itu sama, namun ramai pengikut-pengikut aliran syariat dan ramai juga pengikut-pengikut aliran hakikat “tersesat” ketika mencari jalan. Sebabnya? kerana mereka itu, kurang ilmu, hanya penuh dengan maklumat sahaja!

Bagaimana kita tahu kita tersesat jalan? Kita tahu kita tersesat, bila kita rasa kita masih tidak kenal dan tak jumpa akan apa yang kita cari. Kita tahu kita tersesat bila kita rasa kita masih tak sampai-sampai ke tempat dituju. Bila kita masih tidak tahu apa itu ikhlas. Bila kita tak pernah rasa dan masih tercari cari apa itu kusyuk. Bila kita masih mengaku, ini aku punya, itu aku buat. Kita tahu kita tersesat bila kita rasa kita "mampu" untuk mengucapkan syukur kepada Allah!!

Makanya, bila kita tahu yang kita telah tersesat dihujung jalan, maka, hendaklah kita balik ke pangkal jalan. Balik ke pangkal jalan itu, adalah balik ke tempat asal, tempat bermulanya perjalanan kita...

Bagaimana kita boleh tersesat jalan? Kita tersesat kerana kita tidak tahu jalan. Tidak tahu jalan kerana kita tidak tahu mencari jalan. Tidak tahu mencari jalan kerana kita tidak faham akan ilmu. Kebanyakan daripada kita menganggap maklumat itu sebagai ilmu. Maklumat tidak akan dapat mengenal dan tidak akan sampai ke tempat tuju (Allah). Untuk maklumat menjadi ilmu, kita perlu tahu teknologi memproses ilmu. Bila kita faham akan teknologi ilmu, maka barulah kita boleh memproses maklumat untuk dijadikan ilmu. Bila tahu cara memproses maklumat, maka barulah makna atau maksud oleh dihasilkan. Bila makna terhasil, maka barulah kita beroleh faham. Bila beroleh faham, barulah mengenal jalan. Bila mengenal jalan, baru tak sesat. Bila tak sesat, barulah sampai ke tempat tujuan. Maka, belajarlah! Tuntutlah ilmu walaupun sampai ke negeri China. Walaupun ulama hadis mengatakan hadis ini palsu dan daif, itu tidak menjadi soal, anggap saja ianya sebagai kata-kata mutiara, kerana kita cuma ingin mengambil ilmu di sebalik kata-kata itu.


Apakah Solat Itu Yang Menjadi Tujuan?

Solat itu bukan menjadi tujuan. Yang menjadi tujuan ialah Allah, tetapi solat (perhubungan) itu WAJIB dilakukan dan tidak boleh ditinggalkan kerana solat adalah “perhubungan” yang perlu dilakukan untuk menyatakan Allah. Allah menyatakan diriNya melalui perantaraan roh dan roh menyatakan diriNya melalui perantaraan tubuh jasad manusia. Tubuh jasad manusia itu hanya penzahiran atau pantulan (reflextion) roh dan roh itu pula bersumberkan Allah. Maka kalau tidak bersolat, bagimana kita boleh menyatakan Allah? Maka bersolatlah. Jangan tinggalkan solat. Solatlah samada di dalam solat atau di luar solat. Solatlah samada solat di dalam takrifan syariat atau solat di dalam takrifan ariffbillah (makrifat).

Bila nyatanya Allah,maka tertunduklah diri, rendahlah diri, hapuslah diri. Yang Tinggi dan yang Wujud hanya Allah. Inilah ibadah! Inilah solat. Solat yang sentiasa tidak putus. Inilah Solat Daim (Perhubungan yang sentiasa tidak putus). Inilah solat yang tidak berkesudahan bermula dari subuh, habis subuh, sambung ke zohor, habis zohor, sambung ke asar, sambung, ke maghrib,sambung ke isyak dan berbalik ke subuh, tanpa batasan waktu!

Cuma, dalam hendak menyatakan Allah itu, kita perlu ada ilmu bagaimana hendak berhubung. Perlu faham setiap takrifan syariat. Perlu tahu dan faham juga takrifan hakikat dan makrifat. Sebab itu kita perlu kepada banyak guru. Sebab itu kita perlu kepada banyak buku. Guru mengenal Tuhan, tidak semestinya guru agama. Buku mengenal Tuhan juga tidak semestinya buku agama. Guru mengenal Tuhan tak semestinya fasih berbahasa Arab. Guru mengenal Tuhan tidak semestinya bernama ala Arab. Apakah nama Sustarjo, Yuduyono, Kulup, Lebar, Timah, Kiah, Jack, Daniel, Ma Ye Tze, atau Mutthu, itu tidak Islamik? Guru mengenal Tuhan tidak semestinya bergelar al-Ustaz, as-Syeikh, al-Fadhil, al-itu atau al-ini.

Dimana Tuhan


Nota: Untuk bacaan bagi mereka yang mahu berfikir, bukan mahu menghukum.



Soalan: Kalau Allah dikata ADA, mana DIA?

Allah itu ADA di dalam KETIADAAN-NYA  !

Jadi bagaimana kita boleh menunjukkan sesuatu yang ADA dalam TIADA itu?

Umpama diri kamu yang bernama kamu itu. Kelihatannya seperti ADA, namun bila ditunjuk, tidak pula kelihatan. Jika ditunjuk pada tangan, itu angota jasad yang berNAMA tangan. Ditunjuk pada muka, yang tertunjuk itu anggota jasad yang berNAMA pipi. Ditunjuk pada badan, yang kena tunjuk itu barangkali anggota jasad yang berNAMA dada atau berNAMA perut atau berNAMA pinggang. Jika dikatakan itu Roh, itu juga bukan nama kamu, itu Roh yang menghidupkan jasad kamu. Maka di mana sebenarnya kamu itu?

ADAnya si pemilik diri yang bernama kamu itu di mana?

Nyata, kamu itu TIADA bila dicari. Namun jikakamu itu tiada, maka siapa pula yang bercakap dan membaca blog ini? Siapa pula yang bertanya soalan ini? Jika kita boleh membicarakan perihal orang yang bercakap ini, bermakna kita TAHU orang itu ADA. Kamu ADA kerana kamu meninggalkan bekas percakapan kamu. Suara kamu didengar. Jasad kamu dilihat. Kamu ADA kerana meninggalkan NAMA yang membolehkan orang lain mengenal diri kamu. Bagaimana kita boleh membicarakan sesuatu tentang kamu jika kamu TIDAK ADA? Dek kerana ADA itulah, baru kita boleh memperkatakan sesuatu tentangnya. Bagaimana boleh memperkatakan sesuatu yang tiada?

Kamu itu ADA... tetapi bila dicari dia TIADA !

Maka siapakah pula ADA yang dinampakkan pada jasad yang berNAMA kamu itu?
Mustahil Allah !

Kerana Allah itu Maha Suci dari segala sesuatu. Dia berbeza daripada makhluk ciptaanNya.

Inilah tanda Allah itu Maha Esa. Dia Maha Tunggal lagi Maha Bijaksana. Tidak tercapai akal makhluk untuk mencariNya.

Tanda Dia Maha Bijaksana?

Dia mampu menampakkan ADA DiriNya di dalam KETIADAAN-NYA itu !

Soalan: Di manakah Tuhan?

Allah itu ADA di dalam KETIADAAN-NYA dan Allah itu TIADA di dalam ADA-Nya !

Jika kamu mampu tunjukkan diri si pemilik NAMA kamu itu, maka terjawablah soalan kamu itu! Jika tidak mampu... juga terjawab.

Begitulah ibaratnya.

Soalan:  Kalau tuhan yang dinafikan, mana pulak DIA?

Samada Tuhan itu dinafikan atau tidak dinafikan DIA tidak kemana-mana. Dia cuma dikenali dengan gantinama yang lain.

DIA tidak kelihatan pada pandangan orang yang tidak mahu memandangNya. Tidak kelihatan itu bukan bermaksud TIADA tetapi tak nampak kerana dek terlalu nyata dan terangNya Dia. Ibarat menunjukkan pensel  ke mata. Makin dekat pensel ke mata makin tak nampak. Tak nampak bukan tiada. Pensel itu ada dan nyata di depan kelopak mata.

Pada diri yang mahu melihatNya, Dia nyata senyata-nyatanya !

02 May 2014

Bagaimana GST berfungsi?

Secara mudah aku akan ceritakan begini:

Aku pergi makan nasi Arab, biasanya akan dicaj 10% untuk cukai perkhidmatan dan 6% untuk cukai kerajaan.

Bagusnya bila ada GST ialah aku cuma bayar 6% saja untuk segala cukai yang dikenakan. Untungkan?

Cuma apa yang mungkin aku takperasan ialah, sebelum ni taukeh nasi Arab beli ayam, sayur, gas memasak dan buah-buahan tiada cukai tapi selepas dikenakan GST maka ayam +6%, sayur +6%, buah +6%, dan buah-buahan +6%. Taukeh akan naikkan harga nasi Arab sebab kos dia dah naik. Kemudian aku sebagai pelanggan hanya perlu bayar 6% saja lepas makan. Harga barang mentah dah naik, ditambah pula dengan peningkatan 6% GST maka untungkah aku? Bolehkah disimpulkan tiada cukai atas cukai?

Itu cerita bab aku yang makan nasi Arab. Bagi mereka yang nak jimat dan tak mahu ke restoran nasi Arab yang memang terkenal dengan harga yang mahal, mereka boleh beli nasi gerai-gerai biasa saja. Dulu gerai-gerai atau kedai-kedai kecil tepi jalan tak mengenakan cukai ke atas pelanggan tetapi selepas GST diperkenalkan maka semua peniaga akan mengenakan cukai 6% ke atas barang jualan mereka.

Selepas penternak ayam mengenakan cukai 6% ke atas pemborong ayam, pemborong pula akan menjual ayam hidup kepada peniaga dengan tambahan 6% lagi. Kalau ada lagi 'orang tengah' dalam proses ini maka 6% tetaplah dikenakan sehinggalah kepada pengguna terakhir (end user). Jadi agak-agaklah, bagaimana dengan harga ayam? Naik atau tidak? Jika naik, apakah kos untuk membeli lauk ayam tidak akan naik? Katalah harga seekor ayam hidup dijual RM4.00 + 6% = RM4.24, kemudian dijual pula kepada orang tengah lain sekurang-kurangnya 2 kali ganda harga beli seekor menjadikan RM8.48, dan dibundarkan kepada angka paling hampir iaitu RM8.50. Dijual pula kepada pengguna pada harga RM8.50 + 6% = RM9.01 (atas dasar keuntungan pasti dijual sekurang-kurangnya RM9.10 sekilo). Ini sekadar contoh saja. Berapa kali cukai atas cukai dikenakan? Belum masuk harga makanan ayam lagi.

Dengan GST golongan kaya membayar 6% cukai dan golongan miskin pun 6%. Siapa yang untung? Jika dulu golongan kaya makan direstoran mewah dengan cukai 10% + 6%, kini mereka hanya perlu bayar 6% saja manakala golongan sederhana dan miskin makan digerai-gerai biasa yang tak dikenakan apa-apa cukai barang dan perkhidmatan terpaksa membayar tambahan 6% lagi untuk apa yang mereka makan.

Nampak tak bagaimana GST berfungsi?

Bila semua barang (goods) dan perkhidmatan (service) dikenakan cukai, pendapatan (revenue) kerajaan akan meningkat. Kerajaan akan mempunyai lebih banyak wang dan dengan ini kerajaan akan mampu memberikan perkhidmatan yang lebih kepada rakyat. Cumanya ada golongan rakyat yang bimbang pendapatan yang lebih ini akan mendorong kepada penyalahgunaan wang rakyat dengan lebih serius lagi. Kebimbangan ini ada asasnya jika kita meneliti laporan ketua audit negara. Ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan bukan perkara kecil. Beratus juta wang rakyat dibazirkan begitu saja dengan pembelian yang tidak menguntungkan langsung. 

Bagaimana kerajaan mengatakan bahawa dengan pelaksanaan GST, harga barang tak naik? Ini jelas satu penipuan kerana satu persatu bahan untuk membuat nasi Arab dikenakan cukai 6% sehinggalah kepada pengguna terakhir iaitu pelanggan. Kemudian nak masuk tandas pula yang biasanya dicaj RM0.50, selepas ini terpaksa menjadi RM0.50+6%.

Pada pendapat aku, rakyat belum bersedia untuk GST, malah kerajaan sendiri pun tidak bersedia lagi selagi mana ketirisan perbelanjaan, amalan rasuah, pemberian projek kepada kroni dan kurangnya ketelusan dalam urusan tender tidak diatasi. Sama seperti PAS yang beria-ria inginkan hudud dilaksanakan. Apakah rakyat sudah bersedia? Negara sudah bersedia? Atau terus saja laksanakan hudud dan dengan automatik rakyat akan hidup senang, mana yang tiada kerja sebelum ini akan mendapat kerja, mana yang tiada rumah akan mendapat rumah, mana yang hidup melarat akan menjadi senangkah selepas hudud ala PAS ini dilaksanakan?

Tidak melaksanakan hudud amat tidak sama dengan menolaknya. Tidak melaksanakan kerana belum bersedia. Tapi disebabkan PAS ini sebuah parti politik maka ia perlu menonjolkan apa yang ia janjikan. Waktu Nabi SAW tegakkan negara Islam pertama dalam piagam Madinah, adakah hudud ini asas utama atau kebajikan rakyatnya didahulukan?

Jadi amat tidak wajar jika GST dilaksanakan sekarang berdasarkan situasi semasa. Begitulah dengan hudud cumanya hudud ini sensitif, orang Melayu cepat melenting bila dikatakan tidak sesuai atau belum bersedia. Jangan bandingkan dengan Brunei kerana keadaan rakyat mereka berbeza. Ekonomi dan taraf hidup masyarakat juga berbeza. Mereka sudah selesa dan jauh meninggalkan kita baik dari segi ekonomi rakyat mahupun pentadbiran negara. Bukan LRT, MRT atau bangunan pencakar langit menjadi ukuran tetapi lihat rakyat mereka, berapa ramai yang hidup susah? Berapa ramai yang tak mampu masuk sekolah atau sambung belajar di universiti?

Janganlah dihukum terus orang yang mengatakan hudud belum sesuai dilaksanakan. Tiada siapa pertikai ia hukum Tuhan. Cuma pendapat kita yang berbeza dalam pelaksanaannya. Pemerintah atau kerajaan yang lemah jika melaksanakan hukum ini, dikhuatiri akan memburukkan lagi keadaan sesebuah negara. Pas adalah sebuah pertubuhan yang lemah dari sudut ekonomi dan pentadbiran. Maaf kerana terpaksa cakap juga. Lihat negeri-negeri yang pernah mereka perintah, apa kemajuan yang mereka bawa? Apa perubahan yang menaikkan taraf hidup rakyat di negeri-negeri tersebut? Jika mereka memerintah secara Islam tulen, tentulah negeri-negeri tersebut lebih maju dan makmur berbanding negeri-negeri yang ditadbir kerajaan sekarang kerana Islam itu terbaik. Tapi yang berlaku adalah sebaliknya. Mereka tak mampu bawa apa-apa perubahan di Terengganu dan Kedah pun. Malah Perak pun hanya seketika, iaitu menukar kereta rasmi kerajaan negeri (langkah yang paling utama dapat dilihat semua).

Bagi mereka yang berkata GST akan menyebabkan harga barang turun, yakinlah bahawa ia satu penipuan. GST dikenakan untuk menambah pendapatan kerajaan. Bila disebut 'menambah' maka pasti ada pihak yang perlu bayar lebih. Mengapa GST? Ia cara yang paling mudah, paling pantas dan paling banyak keuntungan dapat dikaut.

GST bagus hanya apabila kerajaan telah betul-betul bersedia untuk melaksanakannya. Bila? Apabila segala isu tentang rasuah, ketirisan perbelanjaan dan amalan kroni dapat diatasi dalam kerajaan itu sendiri. Barulah GST akan benar-benar 'menguntungkan' rakyat kerana wang rakyat akan digunakan untuk rakyat juga.

Nota: Bagaimana restoran-restoran dan peniaga-peniaga makanan lain nak asingkan barangan yang dikecualikan daripada GST? Jika makan nasi lauk ayam, beras tiada cukai tetapi ayam, sayur dan daging dikenakan GST. Adakah peniaga akan asingkan harga nasi atau pukul rata semua dikenakan 6%?

Dikatakan barang-barang dan perkhidmatan yang tidak dikenakan GST adalah beras, gula, garam, tepung, minyak masak, kacang dhal, rempas ratus, ikan masin, cencalok, budu, belacan dan:

  • Perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan: pengeluaran pasport, perkhidmatan kesihatan, pembelajaran di sekolah.
  • Perkhidmatan pengangkutan: bas, keretapi, LRT, teksi, feri, bot, tol lebuh raya.
  • Jual beli dan sewa rumah kediaman
  • Perkhidmatan kewangan terpilih
Teka-teki:

Beras tiada GST, pengangkutan tiada GST tapi petrol dan diesel ada GST. Macam mana harga beras tak naik?