07 July 2011

Sedekah

Beruntunglah bagi mereka yang rasa dirinya tak punya apa-apa dunia ni kerana mereka tak perlu risau kehilangan apa yang mereka takde.

Semua di dunia adalah seimbang. Setiap lelaki pasangannya perempuan, setiap kali kegembiraan terhasil, akan tercetus satu kesedihan dan begitu juga setiap kejayaan yang dikecapi akan ada kegagalan tercipta. Semuanya seimbang. Itulah kebijaksanaan Yang Maha Mencipta.

Waktu aku berjalan di pasar malam tadi, terjumpa seorang ibu dan anaknya yang mungkin berusia sekitar 1-1 1/2 tahun meminta sedekah di tengah jalan. Tak dapat dipastikan apakah ibu dan anak kecil tu berbangsa Melayu atau bukan. Antara kesian dan tanggapan orang ramai, mana satukah yang lebih kita utamakan. Aku berjalan melepasi si ibu dan anak tu. Botol susunya terjatuh, lalu si ibu ambilnya semula dan beri pada anaknya. Aku perasan puting botol susu tu terkena atas permukaan jalan. Tak sampai hati untuk aku terus memandang sama ada si ibu sempat mengesat puting tu sebelum anaknya menyusu semula.


Sambil terus berjalan akal tak pernah berhenti berfikir kenapa dan bagaimana mereka jadi begitu. Mana si ayah? Orang ramai terus lalu-lalang tanpa menghiraukan kedua anak-beranak ni. Barangkali mereka dilihat sebagai warga asing. Ada juga fikir yang mereka bukan warga negara ni sebab jarang ada orang Melayu yang meminta sedekah bersama anaknya. Jarang betul aku jumpa.

Lepas membeli apa yang patut, aku berpatah balik dan melihat si ibu dan anaknya masih berada di tempat asal mereka. Tiba-tiba aku terpandang seorang perempuan merenung si ibu dan anak tadi dari belakang mereka. Pandangan seperti nak marah pun ada. Mungkin si ibu dan anak menghalang ruang untuk perempuan tu buka gerainya.

Perkara pertama yang terlintas waktu melihat orang susah sebegini ialah ingin membantu. Mana-mana manusia pun akan rasa begini. Tapi percayalah, tak lama kemudian hati akan mula berbisik sesuatu yang bakal menghalang niat murni tersebut. Hati akan menimbulkan bermacam-macam tanggapan yang menyebabkan 'ikhlas' lari menghilangkan diri.

Bila ikhlas tiada, apalah guna bersedekah sebesar gunung sekali pun. Aku tak nafikan, perasaan tu cukup mengganggu. Salah satu cara untuk menghambat segala perasaan curiga dan was-was adalah dengan kembali merenung ke dalam diri sendiri. Menyedari hakikat diri yang tak punya apa-apa dan tiada kekuatan apa-apa, dapat aku rasanya perasaan was-was beransur pergi. Tiada kekuatan untuk menggerakkan tangan yang menghulur melainkan dengan izin Tuhan juga. Lantas aku tetapkan niat semata-mata kerana Dia, pedulilah apa bangsa dan agama si ibu dan anak tu, terus saja sedekah dihulur. Aku fahami bukanlah urusan aku untuk memastikan sedekah yang diberi digunakan pada jalan yang betul atau tidak, gerak hati yang pertama telah berkata bahawa si ibu dan anak tu pasti akan ada habuannya. Itulah yang aku turuti.

Fahamlah hati bahawa bukanlah diri ini yang memberi melainkan semuanya telah ditentukan olehNya. Semoga ibu dan anak tadi mendapat kebahagiaan seperti yang semua orang idamkan. Semoga si ibu dipermudahkan dalam urusan hidup dan membesarkan anaknya. Semoga semuanya baik-baik belaka dan mendapat rahmat Tuhan. Dan semoga rezeki mereka dipermudahkan dan diluaskan olehNya.

Waktu terus berjalan aku terperasan isteriku dibelakang juga turut menghulurkan wang kepada si ibu tadi. Alhamdulillah, semoga kamu terus dilimpahi rahmat.

Itu hanyalah pendapat yang sempat aku ceritakan di sini tentang sedekah daripada apa yang aku lihat disekeliling. Ujian ni takkan datang sekali dan pasti ada lagi. Mungkin dalam bentuk yang lain pula. Semuanya untuk menguji hati ini.

Kesimpulan dan pengajarannya, rezeki setiap makhluk telah ditentukan. Jika kita dapat melihat dalam konteks ini, kita akan nampak bahawa bukanlah manusia itu sebenarnya yang memberi, tetapi ia datang daripada Allah juga. Gerak hati yang dicetuskan dan tangan yang memberi semuanya adalah dalam pengetahuanNya juga. Fahamilah dan hayatilah, pasti kita akan jumpa dengan ketenangan.

No comments:

Post a Comment