10 January 2012

Sudah berakhirkah atau baru bermula?

Betulkah semuanya telah berakhir atau satu permulaan. Aku pun tak pasti kerana aku belum dapat membaca rentak terbaru yang mereka mainkan.


Tahniah kepada DSAI dan semua penyokong yang berani menyuarakan hak mereka. Hari ini mahkamah telah melepas dan membebaskan DSAI daripada fitnah jahat yang dirancang rapi. Cuma aku agak terkejut kerana bukan ini yang aku jangkakan. Dan aku pasti ramai yang begitu. Apa pun, ketentuanNya tiada siapa yang dapat mengagak.


Seronok melihat pelbagai kaum yang turun bersama-sama menanti keputusan mahkamah hari ni.



Namun ada juga anak melayu yang hilang arah dan tak tahu ke mana nak dituju. Mereka mudah diperalatkan demi untuk kepentingan pihak-pihak tertentu.


Lihat sendiri bagaimana bangsa Melayu kita yang masih tetap mempertahankan fitnah walaupun dah terang lagi bersuluh. DSAI bukanlah sesiapa. Hampir semua media cetak & elektronik membantainya siang, malam selama lebih 13 tahun. Hingga kini beliau masih mampu berdiri lagi. Mengapa? Mengapa susah sangat nak jatuhkan beliau? Barangkali kerana benar, tetaplah benar. Dan takkan sesekali kebatilan dapat mengatasi kebenaran kerana itu telah dijanjikan.


Tak kira tua muda, dari latarbelakang apa pun, semuanya hadir tanpa dipaksa, tanpa diberi duit minyak, tanpa diberi nasi bungkus dan air mineral. Kenapa? Adakah DSAI hebat sangat menyihir ramai orang menjadi pengikutnya?

Jelaslah. Ia bukan soal DSAI semata-mata. Ini soal keadilan. Bagaimana keselamatan seseorang individu nak terjamin sekiranya haknya dinafikan? Bagaimana kalau perkara yang dihadapi oleh DSAI terkena kepada ayah kita? Adik kita? Sepupu kita atau saudara-mara kita yang lain? Inilah yang menyebabkan ramai umat manusia dari segenap lapisan masyarakat turun memberikan sokongan. Semua mahu hak mereka terjamin dan tidak dinafikan oleh sesiapa.



Tiada apa yang lebih bermakna kepada seorang isteri yang sangat setia kepada suaminya melainkan melihat kebenaran memihak kepada suaminya. Bayangkan perempuan itu ialah ibu kita atau kakak kita. Bagaimana kita rasa?


Kalau yang berusia seperti ini pun boleh mengerti apa itu keadilan, kenapa tidak orang yang lebih muda?


Tapi jangan dilupa anak muda ini.


Anak muda yang berani menyuarakan hak, bukannya menderhaka. Pelbagai fitnah pula dipalitkan ke atas beliau. Dan hari ini UPSI telah menggantungnya selama 3 semester hanya kerana menurunkan bendera PM dan kemudian menaikkannya semula selepas 10 minit. Tak tahulah beliau disabitkan atas kesalahan apa, tapi yang pasti Melayu juga yang menjatuhkan keputusan sedemikian ke atas si Melayu ini. Ancaman apakah yang dibawa oleh anak muda yang bergelar mahasiswa ini? Beliau hanya seorang pelajar yang menuntut haknya dan pelajar-pelajar lain. Salahkah?

Apa pun, syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat sama ada secara terang-terang atau diam-diam. Terima kasih atas sokongan dan kesabaran semua pihak. Walaupun bukan aku yang patut mengucapkannnya tapi rasa seronok ni tak dapat nak dibendung. Sekurang-kurangnya terima kasih kerana berkongsi perasaan yang sama.

*semua gambar diambil melalui facebook kawan-kawan yang terlibat

No comments:

Post a Comment