30 April 2012

BERSIH

Topik berkenaan BERSIH 3.0 masih lagi hangat diperkatakan. Pihak pemerintah dan penganjur masing-masing sibuk menunding jari mencari kesalahan masing-masing. Buang masa saja.

Ini semua hanya untuk melengah-lengahkan 8 tuntutan utama yang dibuat. Cukuplah bukti yang telah dilihat pihak mana yang mulakan keganasan, pihak mana yang mulakan provokasi dan pelbagai aksi seperti manusia hilang pertimbangan. 

Dalam pada itu, aku melihat dalam status FB ramai juga rakan-rakan yang menempelak perhimpunan ni. Kononnya boleh mencetus kepada keganasan yang teruk, perbalahan sesama Melayu dan Islam dan sebagainya. Mereka bimbang jika ini boleh menggugat keselamatan keluarga mereka dan anak-anak. Pada mereka, tak mengapalah siapa pun nak perintah negara, nak rembat duit negara, nak rasuah berjuta-juta asalkan mereka sekeluarga hidup aman damai. Inilah orang yang pentingkan diri tapi tak sedar-sedar lagi. Bila orang lain pentingkan diri, dia marah.

Apa yang kamu risaukan sangat ni? Kamu cuma risaukan kesenangan dan harta yang kamu perolehi sekarang ni terganggu-gugat dek BERSIH 3.0? Risaukan keselamatan? Apa yang menggugat keselamatan kamu? Bagaimana jika kamu dirompak, adakah kamu mempertahankan diri atau membiarkan saja? Manusia lain tak semua seperti kamu. Mereka telah sedar hak-hak mereka telah 'dirompak' oleh pihak yang berkepentingan, salahkah mereka mempertahankannya?  

Harta, keselamatan, kemewahan dan kedudukan yang kamu perolehi datang daripada mana? Siapa yang memberi? Kalau kamu seorang yang berimankan Yang Esa maka apa perlu kamu risau? Dia yang beri, Dia juga yang berkuasa untuk menarik balik pada bila-bila masa yang Dia kehendaki. Tapi kalau kamu berimankan wang, pangkat, harta dan kedudukan maka perlulah kamu berasa sangat risau. Risau jika orang tidak suka kamu, maka boleh jadi rezeki kamu jadi sikit, susah naik pangkat, berasa rendah diri dan sebagainya.

Nyata ramai yang mengaku beriman kepadaNYA tapi tak pernah sekalipun yakin semua tu datang daripadaNYA. Sibuk bercerita tentang kehidupan begitu begini, tapi hakikatnya pentingkan diri sendiri juga.

Demontrasi boleh menjatuhkan sebuah kerajaan. Itu tidak baik. Bagaimana pula dengan rasuah? Rasuah atau korupsi belum pernah jatuhkan kerajaan? Atau lebih tepatnya sebuah negara? Adakah rasuah baik?

Apa yang sedang dilakukan oleh pihak yang berkepentingan dalam politik ialah menakut-nakutkan orang ramai dengan isu keganasan, huru-hara dan pergaduhan sesama sendiri agar semua pihak berkompromi dengan rasuah dan korupsi yang mereka amalkan. Pendeknya begini, "Jika kamu mahu banteras rasuah, korupsi, salah guna kuasa, inilah yang kamu akan dapat..., rusuhan kaum, peperangan dan sebagainya. Amacam, beranikah kamu hadapi semua ni?".

Tak setuju dengan beberapa kerat pemimpin negara bukan bermakna membenci negara ni. Kerajaan bertukar ganti tapi negara tetap satu juga. Kenapa sempitkan pemikiran dengan berkata, "kalau tak setuju dengan dasar kerajaan perlu keluar daripada negara ni?" Negara ni bapak kau yang punyakah?

Orang Melayu paling mudah ditakut-takutkan sebegini. Mereka dengan mudah menyerah kalah kepada kezaliman. Bagi mereka, cukuplah apa yang ada. Siapa nak kebas harta negara, kebaslah. Janji kami dan keluarga kami hidup aman bahagia. Soalnya aman bahagia sampai bila? Esok zaman kau dah di alam barzakh, anak-anak pula hidup merempat. Tanggung hutang sana sini, yuran pengajian dan kos sara hidup meningkat, kerja susah nak dapat, dan sebagainya. Inikah bahagia?

Bagi aku, mereka yang terlibat dalam BERSIH 3.0 adalah mereka yang berani mempertahankan hak diri mereka sendiri. Mereka juga sayangkan negara dan keluarga mereka sebab tulah mereka bertindak membantah apabila kepincangan jelas berlaku. Bila warga asing diberi kerakyatan, sistem pilihanraya yang kotor dan jijik digunapakai siapa yang suka? Janganlah perasan semua pemimpin sedia ada ni baik sangat. Mereka akan gunakan apa cara sekalipun untuk mempertahankan kedudukan mereka. Kamu ingat mereka bersedia untuk dihadapkan ke muka pengadilan apabila kalah PRU-13 nanti? Jangan harap! Oleh yang demikian, mereka perlu menang. Kalah bererti mati bagi mereka.

Jangan cemarkan konsep bersyukur dengan keadaan seperti kita harus bersyukur dengan gelaja rasuah yang ada. "Bersyukurlah kita semua hidup aman damai sekarang adalah kerana amalan korupsi dan salah guna kuasa oleh beberapa individu dalam sistem pemerintahan negara". Inikah yang dipanggil bersyukur? Malulah dengan bangsa lain yang tak pernah solat subuh. Bercakap pasal Islam berdegar-degar, tapi konsep syukur pun tersasul.

Siapa pun tak inginkan keganasan, pergaduhan dan rusuhan. Tapi hak mesti dipertahankan. Jangan mudah menyerah kalah dengan membiarkan kepala dipijak. Hormat pada diri sendiri dengan menunjukkan ketegasan ke atas hak masing-masing, barulah orang lain akan hormat pada kita. Bila diri pun lemau dan  mudah menyerah kalah, siapa yang nak hormat? Lagi orang pijak ada. Jika ditakdirkan mati dalam mempertahankan hak, itu dikira syahid walaupun mempertahankan selipar.

Nampak memang macam bodoh. Buat apalah nak gaduh-gaduh pasal selipar? Boleh saja beli yang lain. Tapi itulah hakikat dalam beragama. Nampak kecil tapi impaknya sangat besar. Nampak remeh tapi ia tetap diambil kira.

Paling ramai Melayu susah nak faham ialah, BERSIH 3.0 bukanlah untuk PKR, DAP, PAS ataupun sesiapa. Ia menuntut sebuah pilihanraya yang bebas daripasa sebarang unsur penipuan dan manipulasi pihak tertentu dalam memastikan kemenangan. Jika satu hari ditakdirkan pihak Pakatan menjadi pemerintah dan menipu dalam pilihanraya, memang tak mustahil rakyat akan berhimpun untuk BERSIH juga.

Apa yang rakyat mahukan adalah keadilan bagi semua pihak. Ini yang dinafikan oleh pihak yang memerintah. Disebalik rasa senang, aman dan bahagia yang kita perolehi sekarang, tersembunyi korupsi, salah guna kuasa dan rasuah yang amat teruk. Adakah ia akan sembuh dengan sendirinya atau lebih bertambah parah? Bagaimana dengan nasib anak-anak kita yang bakal membesar dalam suasana seperti ni? Apabila segalanya tentang korupsi, rasuah dan salah guna kuasa, sampai bila negara akan bertahan?

Apabila kos sara hidup meningkat adakah jenayah akan menurun? Demi sesuap nasi, manusia boleh hilang pertimbangan dan melakukan jenayah. Selamatkah kita dan keluarga apabila jenayah semakin meningkat di sana sini? Jika sebuah keluarga mempunyai anak yang ramai, adakah ibu bapa tak terbeban dengan kos yuran pengajian anak-anak di peringkat pengajian tinggi? Wajarkan kita lepaskan beban hutang kepada mereka yang belajar padahal mereka belum tentu akan mendapat pekerjaan pada masa depan?

Salahkah menyediakan pendidikan percuma sehingga ke ijazah pertama agar semua dapat merasa nikmat belajar di menara gading? Mengapa disekat? Adakah atas alasan kita negara membangun? Hakikat sebenar wang negara disalurkan ke poket pemimpin-pemimpin yang hanya berlagak baik. Mereka lebih mengutamakan perut mereka sendiri dan keluarga mereka. Dana yang sepatutnya digunakan untuk tujuan tertentu disalahguna untuk membeli keperluan keluarga mereka. Inikah yang kita mahu? Bila wang rundingan untuk membeli alatan keperluan ketenteraan lebih mahal daripada kos alatan tu sendiri, apa cerita?

Kita adalah sebuah negara yang besar dan mempunyai sumber bahan mentah yang lebih banyak daripada Singapura, tapi kenapa pendapatan rakyat negara kita jauh lebih rendah berbanding dengan rakyat Singapura?

Ramai orang tak kisah hidup dalam keadaan sederhana tapi membiarkan segolongan pemimpin membolot kekayaan negara dan membiarkan kekayaan tersebut berlegar-legar dikalangan keluarga dan kawan-kawan mereka saja adalah sangat tak patut!

Cuba lihat denga hati yang terbuka. Wajarkah tindakan mereka?
















No comments:

Post a Comment