Showing posts with label polis. Show all posts
Showing posts with label polis. Show all posts

30 April 2012

BERSIH

Topik berkenaan BERSIH 3.0 masih lagi hangat diperkatakan. Pihak pemerintah dan penganjur masing-masing sibuk menunding jari mencari kesalahan masing-masing. Buang masa saja.

Ini semua hanya untuk melengah-lengahkan 8 tuntutan utama yang dibuat. Cukuplah bukti yang telah dilihat pihak mana yang mulakan keganasan, pihak mana yang mulakan provokasi dan pelbagai aksi seperti manusia hilang pertimbangan. 

Dalam pada itu, aku melihat dalam status FB ramai juga rakan-rakan yang menempelak perhimpunan ni. Kononnya boleh mencetus kepada keganasan yang teruk, perbalahan sesama Melayu dan Islam dan sebagainya. Mereka bimbang jika ini boleh menggugat keselamatan keluarga mereka dan anak-anak. Pada mereka, tak mengapalah siapa pun nak perintah negara, nak rembat duit negara, nak rasuah berjuta-juta asalkan mereka sekeluarga hidup aman damai. Inilah orang yang pentingkan diri tapi tak sedar-sedar lagi. Bila orang lain pentingkan diri, dia marah.

Apa yang kamu risaukan sangat ni? Kamu cuma risaukan kesenangan dan harta yang kamu perolehi sekarang ni terganggu-gugat dek BERSIH 3.0? Risaukan keselamatan? Apa yang menggugat keselamatan kamu? Bagaimana jika kamu dirompak, adakah kamu mempertahankan diri atau membiarkan saja? Manusia lain tak semua seperti kamu. Mereka telah sedar hak-hak mereka telah 'dirompak' oleh pihak yang berkepentingan, salahkah mereka mempertahankannya?  

Harta, keselamatan, kemewahan dan kedudukan yang kamu perolehi datang daripada mana? Siapa yang memberi? Kalau kamu seorang yang berimankan Yang Esa maka apa perlu kamu risau? Dia yang beri, Dia juga yang berkuasa untuk menarik balik pada bila-bila masa yang Dia kehendaki. Tapi kalau kamu berimankan wang, pangkat, harta dan kedudukan maka perlulah kamu berasa sangat risau. Risau jika orang tidak suka kamu, maka boleh jadi rezeki kamu jadi sikit, susah naik pangkat, berasa rendah diri dan sebagainya.

Nyata ramai yang mengaku beriman kepadaNYA tapi tak pernah sekalipun yakin semua tu datang daripadaNYA. Sibuk bercerita tentang kehidupan begitu begini, tapi hakikatnya pentingkan diri sendiri juga.

Demontrasi boleh menjatuhkan sebuah kerajaan. Itu tidak baik. Bagaimana pula dengan rasuah? Rasuah atau korupsi belum pernah jatuhkan kerajaan? Atau lebih tepatnya sebuah negara? Adakah rasuah baik?

Apa yang sedang dilakukan oleh pihak yang berkepentingan dalam politik ialah menakut-nakutkan orang ramai dengan isu keganasan, huru-hara dan pergaduhan sesama sendiri agar semua pihak berkompromi dengan rasuah dan korupsi yang mereka amalkan. Pendeknya begini, "Jika kamu mahu banteras rasuah, korupsi, salah guna kuasa, inilah yang kamu akan dapat..., rusuhan kaum, peperangan dan sebagainya. Amacam, beranikah kamu hadapi semua ni?".

Tak setuju dengan beberapa kerat pemimpin negara bukan bermakna membenci negara ni. Kerajaan bertukar ganti tapi negara tetap satu juga. Kenapa sempitkan pemikiran dengan berkata, "kalau tak setuju dengan dasar kerajaan perlu keluar daripada negara ni?" Negara ni bapak kau yang punyakah?

Orang Melayu paling mudah ditakut-takutkan sebegini. Mereka dengan mudah menyerah kalah kepada kezaliman. Bagi mereka, cukuplah apa yang ada. Siapa nak kebas harta negara, kebaslah. Janji kami dan keluarga kami hidup aman bahagia. Soalnya aman bahagia sampai bila? Esok zaman kau dah di alam barzakh, anak-anak pula hidup merempat. Tanggung hutang sana sini, yuran pengajian dan kos sara hidup meningkat, kerja susah nak dapat, dan sebagainya. Inikah bahagia?

Bagi aku, mereka yang terlibat dalam BERSIH 3.0 adalah mereka yang berani mempertahankan hak diri mereka sendiri. Mereka juga sayangkan negara dan keluarga mereka sebab tulah mereka bertindak membantah apabila kepincangan jelas berlaku. Bila warga asing diberi kerakyatan, sistem pilihanraya yang kotor dan jijik digunapakai siapa yang suka? Janganlah perasan semua pemimpin sedia ada ni baik sangat. Mereka akan gunakan apa cara sekalipun untuk mempertahankan kedudukan mereka. Kamu ingat mereka bersedia untuk dihadapkan ke muka pengadilan apabila kalah PRU-13 nanti? Jangan harap! Oleh yang demikian, mereka perlu menang. Kalah bererti mati bagi mereka.

Jangan cemarkan konsep bersyukur dengan keadaan seperti kita harus bersyukur dengan gelaja rasuah yang ada. "Bersyukurlah kita semua hidup aman damai sekarang adalah kerana amalan korupsi dan salah guna kuasa oleh beberapa individu dalam sistem pemerintahan negara". Inikah yang dipanggil bersyukur? Malulah dengan bangsa lain yang tak pernah solat subuh. Bercakap pasal Islam berdegar-degar, tapi konsep syukur pun tersasul.

Siapa pun tak inginkan keganasan, pergaduhan dan rusuhan. Tapi hak mesti dipertahankan. Jangan mudah menyerah kalah dengan membiarkan kepala dipijak. Hormat pada diri sendiri dengan menunjukkan ketegasan ke atas hak masing-masing, barulah orang lain akan hormat pada kita. Bila diri pun lemau dan  mudah menyerah kalah, siapa yang nak hormat? Lagi orang pijak ada. Jika ditakdirkan mati dalam mempertahankan hak, itu dikira syahid walaupun mempertahankan selipar.

Nampak memang macam bodoh. Buat apalah nak gaduh-gaduh pasal selipar? Boleh saja beli yang lain. Tapi itulah hakikat dalam beragama. Nampak kecil tapi impaknya sangat besar. Nampak remeh tapi ia tetap diambil kira.

Paling ramai Melayu susah nak faham ialah, BERSIH 3.0 bukanlah untuk PKR, DAP, PAS ataupun sesiapa. Ia menuntut sebuah pilihanraya yang bebas daripasa sebarang unsur penipuan dan manipulasi pihak tertentu dalam memastikan kemenangan. Jika satu hari ditakdirkan pihak Pakatan menjadi pemerintah dan menipu dalam pilihanraya, memang tak mustahil rakyat akan berhimpun untuk BERSIH juga.

Apa yang rakyat mahukan adalah keadilan bagi semua pihak. Ini yang dinafikan oleh pihak yang memerintah. Disebalik rasa senang, aman dan bahagia yang kita perolehi sekarang, tersembunyi korupsi, salah guna kuasa dan rasuah yang amat teruk. Adakah ia akan sembuh dengan sendirinya atau lebih bertambah parah? Bagaimana dengan nasib anak-anak kita yang bakal membesar dalam suasana seperti ni? Apabila segalanya tentang korupsi, rasuah dan salah guna kuasa, sampai bila negara akan bertahan?

Apabila kos sara hidup meningkat adakah jenayah akan menurun? Demi sesuap nasi, manusia boleh hilang pertimbangan dan melakukan jenayah. Selamatkah kita dan keluarga apabila jenayah semakin meningkat di sana sini? Jika sebuah keluarga mempunyai anak yang ramai, adakah ibu bapa tak terbeban dengan kos yuran pengajian anak-anak di peringkat pengajian tinggi? Wajarkan kita lepaskan beban hutang kepada mereka yang belajar padahal mereka belum tentu akan mendapat pekerjaan pada masa depan?

Salahkah menyediakan pendidikan percuma sehingga ke ijazah pertama agar semua dapat merasa nikmat belajar di menara gading? Mengapa disekat? Adakah atas alasan kita negara membangun? Hakikat sebenar wang negara disalurkan ke poket pemimpin-pemimpin yang hanya berlagak baik. Mereka lebih mengutamakan perut mereka sendiri dan keluarga mereka. Dana yang sepatutnya digunakan untuk tujuan tertentu disalahguna untuk membeli keperluan keluarga mereka. Inikah yang kita mahu? Bila wang rundingan untuk membeli alatan keperluan ketenteraan lebih mahal daripada kos alatan tu sendiri, apa cerita?

Kita adalah sebuah negara yang besar dan mempunyai sumber bahan mentah yang lebih banyak daripada Singapura, tapi kenapa pendapatan rakyat negara kita jauh lebih rendah berbanding dengan rakyat Singapura?

Ramai orang tak kisah hidup dalam keadaan sederhana tapi membiarkan segolongan pemimpin membolot kekayaan negara dan membiarkan kekayaan tersebut berlegar-legar dikalangan keluarga dan kawan-kawan mereka saja adalah sangat tak patut!

Cuba lihat denga hati yang terbuka. Wajarkah tindakan mereka?
















25 June 2011

BERSIH

Topik paling hangat ialah perhimpunan BERSIH 9 Julai nanti. Ramai yang akan jayakan perhimpunan ni dan polis pun akan cuba gagalkan mereka. Macam biasa, beberapa siri tangkapan telah dibuat dan akan terus dibuat. Kita tak perlu risau kerana taktik sebegini telah biasa digunakan oleh beberapa negara di dunia ini untuk mengekalkan pemerintah mereka. Terpulang, aku tak kata aku sokong dan aku juga tak bantah. Mungkin kamu fikir aku dok tengah. Mungkin kamu menghukum aku tiada pendirian. Mungkin kamu betul, mungkin kamu salah. Kamu menghukum aku, kamu Tuhankah?


Dalam pada mengaturkan perhimpunan ni terdapat juga rakan-rakan dan mereka yang beria-ria akan turun mengajak rakan seperjuangan yang lain. Yang mana tak pergi, seperti biasa akan dibahasakan dengan kata-kata sinis. Ingat, negara belum lagi bertukar pemerintah. Kamu jangan cuba nak jadi mahaFIRAUN nak paksa orang pergi kalau mereka tak nak atau tak boleh pergi! Jangan jadi bangsat! Kamu nak berjuang dengan cara kamu, silakan. Mereka ada cara mereka sendiri untuk berjuang.

Bukan semua boleh turun. Bagi mereka yang kakitangan kerajaan, berkeluarga, ataupun pelajar, keutamaan perlu ditentukan. Turun berhimpun atau berhadapan dengan tindakan di pejabat atau institusi pengajian? Bukan soal takut tapi lebih kepada masa depan. Betul, pergi berdemo juga melibatkan soal masa depan. Tapi kita bukan pergi berperang nak lawan Yahudi, mangkuk! Kita bukan menentang orang yang nak tembak kita waktu sedang bersolat di masjid. Kita nak menyatakan pandangan dan hak kita saja. Ada sesetengah orang tak sanggup mengambil risiko dan memilih untuk tidak pergi berhimpun. Jadi jangan kamu hina mereka. Bukan kamu yang beri makan kepada mereka. Ingat! Belum apa-apa kamu dah sombong. Adakah kamu tahu hati hati mereka? Adakah kamu tahu sokongan mereka kepada apa yang kamu perjuangkan? Adakah kamu tahu dan sedar bahawa doa mereka bersama kamu?

Kamu berjuang, mereka juga berjuang. Mereka juga menyokong kamu tapi kamu? Jangan meremehkan bagaimana caranya mereka berjuang. Mereka dan kamu tentu saja tak sama. Mengapa tak mengambil jalan tengah? Mengapa perlu mencari sebab untuk memulakan api perbalahan sesama sendiri. Sebab tu aku kata, kamu jangan jadi bodoh. Kamu mahu turun, silakan. Bukan semua orang berani dan hero seperti kamu.


Ingat, perjuangan kita mungkin sama tapi cara kita belum tentu sama. Jangan meremehkan orang lain yang satu perjuangan dengan kamu kerana ia hanya akan menyalakan api persengketaan sesama sendiri. Berfikir ikut akal, bukan hati, perasaan dan kepala lutut!

09 June 2011

Polis


Gambar kat atas tu adalah gambar suami isteri yang mana anak mereka ditembak polis atas alasan menyerang penggunakan parang.

Aku malas nak ulas panjang lebar lagi tentang kes ni. Tapi kita semua boleh lihat, asal orang kena tembak je mesti mereka cuba serang polis guna parang. Sampaikan budak bawah umur pun berani serang polis guna parang. Arwah adik aminulrashid pun serang polis dengan parang sambil memandu kereta. Hebat budak-budak ni.

Menurut NGO, anak pasangan di atas ditembak dari jarak dekat di kepala dan dada. Hasil bedah siasat menunjukkan budak tu ditembak di kepala dan tembus di belakang leher. Bermungkinan besar ditembak waktu tengah melutut. Apa kata polis? Mereka takkan mengaku. Anggota yang terlibat tak perlu risau. Satu jabatan akan back-up anda. Inilah hebatnya menjadi polis. Boleh tembak sesiapa saja asalkan bukan orang politik.

Bukan aku mengatakan keseluruhan pasukan polis tu korup tapi ada di antara mereka yang cukup suka untuk menyalahgunakan kuasa. Tak kira muda atau tua. Jabatan terpaksa mempertahankan anggota-anggota sebegini demi imej pasukan. Tapi berbaloikah?

Budak yang ditembak tu budak Melayu, silap-silap belum baligh lagi. Kalau tembak anak menteri macam mana? Confirm cepat kena dakwa. Hakikat pahit yang terpaksa masyarakat terima ialah kejadian seperti ini boleh berulang lagi. Asal nampak orang yang mencurigakan, terus lepaskan tembakan. Bila tersilap, tembak semua sekali bagi mati ibarat biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Maaf, aku amat kurang yakin dengan kenyataan polis negara ini. Mereka kadang-kala bertindak diluar batasan undang-undang dan menjadikan undang-undang satu kelebihan buat mereka.

Jenayah berlaku kerana penjenayah makin pandai. Mereka tahu polis takkan dapat tangkap mereka. Sebab tu la bila kes begini terjadi dan polis mendakwa berjaya menumpaskan geng minyak tapi kejadian jenayah terus meningkat. Budak-budak tu bukan lawannya. Mengapa mereka ditembak macam binatang?

Polis yang korup patut didakwa dan dibuang kerja. Banyak lagi orang baik mahu jadi polis. Mengapa calarkan imej pasukan ini yang dulunya mulia kerana menjaga keselamatan orang awam?


23 May 2011

Jenayah

Ada orang bimbang nak keluar ke mana-mana sekarang ni kerana kes simbah asib berleluasa. Terus-terang aku katakan aku lebih bimbangkan polis yang salah guna kuasa berleluasa. Lihat saja arwah adik Aminulrasyid ditembak hanya kerana memandu tanpa lesen. Bukankah itu lebih menakutkan daripada kes simbah asid sekarang ni? Polis bebas melakukan apa saja dan apabila mereka tersilap membuat pertimbangan, walaupun melibatkan nyawa orang awam yang tak bersalah, mereka sentiasa saja ada alasan untuk menutup kekurangan tersebut.

Tindakan membawa si koperal keparat yang menembak tu memang dialu-alukan tapi lebih penting ialah pihak polis sepatutnya memperbaiki semula prosedur mereka apabila mula menembak. Kes tembak orang awam bukanlah satu dua, tapi dah banyak. Masalah orang awam pula ialah, bila polis yang salah, kita terpaksa adu pada polis juga. Serupa macam bila kita kena rompak, kita adu pada perompak lain pula.

Berkali-kali pihak polis mengeluarkan kenyataan berhubung kes simbah asid tapi orang yang terlibat belum pun ditangkap. Apa polis buat? Tangkap mat rempit suruh mengaku simbah asidkah? Jenayah semakin menjadi-jadi kerana penjenayah tahu mereka sukar ditangkap kerana polis lebih utamakan untuk menutup kes yang banyak. Maksudnya, tangkap 2-3 orang suspek, dera mereka sampai mereka mengaku. Kes selesai. Penjenayah sebenar teruskan kerja mereka. Inilah sikap polis yang buruk yang takkan mereka akui sampai bila-bila.

Siapa kata dalam lokap tiada penderaan? Tak perlu pergi jauh. Lihat DSAI bagaimana kena dera satu masa dulu. Lihat saja mendiang Kugen dibelasah hingga mati dalam tahanan. Tiada apa-apa tindakan pun oleh pihak polis. Sebabnya mereka yang belasah, mereka jugalah yang siasat. Takkan nak tangkap anggota sendiri dan jatuhkan integriti pasukan dengan mudah? Mereka perlu pertahankan walau apa sekali pun kesalahan pasukan mereka.

Jadi bila polis bodoh, penjenayah menjadi berani. Yang jadi takut ialah orang awam, yang terlalu meletakkan keyakinan mereka kepada pasukan polis yang sebenarnya korup ini. Bukanlah semuanya korup tapi telah menjadi prosedur mereka untuk mempertahankan anggota yang memang tak guna dalam pasukan. Tiada penambahbaikan langsung dibuat sejak kes menembak budak tempoh hari. Sebaliknya, orang awam pula ditempelak. Orang Melayu biasanya tak ambil kisah asalkan bukan keluarga mereka yang kena. Lihat orang Cina. Lihat Teoh Beng Hock punya keluarga. Mereka tuntut sampai sekarang. Ini benar-benar menyusahkan pihak kerajaan yang terpaksa melindungi dalang sebenar pembunuhan terbabit. Kenapa aku kata melindungi? Kerana yang terlibat pastinya VVIP dalam kerajaan juga. Teorinya sangat mudah. Bunuh di pejabat SPRM supaya SPRM bertanggungjawab dan pihak yang membunuh terlepas.

Polis pula apabila telah siapkan siasatan terpaksa pula menghantar kepada peguam negara. Peguam negara akan maklumkan kepada siapa? Siapa yang arahkan peguam negara untuk teruskan dakwaan atau minta pihak polis tukar hasil siasatan? JAdi dimanakah kebolehkepercayaan orang awam dalam sistem sebegini? Siapa yang bayar gaji peguam negara dan polis? Jadi peguam negara dan polis harus menurut perintah pihak yang membayar gaji mereka agar tidak dikenakan tindakan. Tahukan kamu bahawa jika seorang kakitangan kerajaan tidak menurut perintah pihak atasan, dia boleh dikenakan tindakan tatatertib ingkar perintah? Soal perintah itu wajar atau tidak bukanlah perkara pokok. Yang penting kena ikut perintah dan arahan.

Jadi, siapa yang lebih bahaya, polis atau penjenayah? Penjenayah dah memang kerja dia melakukan jenayah dan kita boleh mengambil langkah-langkah pencegahan. Tapi polis? Polis umpama penjenayah berlesen yang kalau kita cuba lawan, nahaslah kita. Mohon maaf kepada pasukan polis, tapi kamu lebih arif tentang ini. Sesungguhnya kadang-kala kebenaran tu amat pahit untuk ditelan.