Showing posts with label mimpi. Show all posts
Showing posts with label mimpi. Show all posts

29 August 2012

Pengalaman

Dua tiga malam lepas aku pulang ke rumah jam 2.00 pagi. Waktu nak masuk rumah, teringat pulak nak baca ayat kursi mengikut cara yang diijazahkan. Baru dua tiga ayat, serta merta bulu roma meremang. Ah, biasalah waktu-waktu sunyi macam ni. Fuh, syok. Tegak je berdiri. Kalau baca waktu kelam kabut tak rasa apa-apa pun. 

Aku pun masuk ke rumah. Bila masuk ke bilik, tiada respons daripada anak kecil aku. Kalau tak, biasanya dia pasti bergerak dan merengek-rengek tanda 'sesuatu' mengganggu tidurnya. Tapi perkara seumpama tu tak terjadi pulak kali ni. Sedang aku nak melelapkan mata, hati ni sempat berniat untuk berjumpa dengan si khadam ayat yang aku dok baca selalu ni. Memang merepek betul keinginan ni. Mana mungkin dia nak jumpa aku. Tapi bedal ajelah. Untung nasib dapat la jumpa. Takde nasib, melepas la.

Walaupun aku rasa terlelap sekitar 2.30 pagi, tidur terasa panjang sebab aku terjaga 2-3 kali jugak la. Biasanya sekali terjaga je dah pukul 6. Berhempas pulas la nak bangun waktu tu bersiap-siap nak pergi kerja. Waktu terlelap tu ada seorang lelaki yang tak berapa jelas wajahnya datang berjumpa dengan aku dalam keadaan berselubung menutup kepala. Wajahnya tak jelas. Dia mengajarkan aku sesuatu. Bacaannya hanya seratus kali dan diikuti dengan ayat kursi. Waktu aku cuba baca apa yang diberi masa terasa terlalu lama. Biasanya setakat wirid ni dalam 5 minit paling lama dah boleh selesai, tapi yang ni aku baru baca 2-3 kali dah terasa panjang sangat. Sampai aku terjaga beberapa kali, tak sempat nak habiskan.

Bila terjaga, memang aku lupa terus apa benda ayatnya yang perlu dibaca sebanyak 100 kali tu. Keesokkan harinya puas aku memikirkan semula mimpi tu. Petang tu terus aku pergi berjumpa sang guru. Katanya, 'orang' yang aku nak jumpa tu tak mau jumpa mungkin sebab aku belum layak lagi agaknya sebab tu la aku tak ingat langsung apa benda yang lelaki dalam mimpi tu suruh aku baca. Ah, melepas pulak. Lelaki yang aku jumpa tu barangkali orang tengah saja. Dia pun tak cakap banyak.



25 July 2012

Zikir, Ayat Pendinding dan Tipu Daya

Bila tekak dah mula sakit, memang keinginan untuk mendapatkan sijil cuti sakit mula timbul. Takde gunanya pergi ke ofis dan terbatuk-batuk lalu menyebarkan penyakit tu kepada orang lain. Ini satu kemudahan. Ya, kemudahan untuk berehat di rumah sambil menunggu masa untuk pulih.

Manusia memang mempunyai keinginan untuk menjadi kebal, sekurang-kurangnya tak lut dek sihir. Ketahuilah bahawa yang membuatkan seseorang manusia tak lut dek sihir bukanlah ayat atau mentera yang dibaca mahupun amalan yang dilakukan. semuanya tertakhluk pada izin Tuhan jua. Sedangkan Muhammad SAW pun dishirkan orang, inikan pula umatnya yang lemah.

Tak dinafikan kekuatan atau senjata seorang mukmin tu adalah doa. Apa pun yang dibacanya, sama ada berupa ayat-ayat al quran atau mentera, merupakan satu doa. Satu permohonan hajat kepada yang Maha Mengabulkan.

Walaubagaimanapun janganlah terlalu taksub dengan ayat kerana akibatnya adalah buruk. Mengambil amalan, tak kiralah potongan ayat-ayat al-quran ataupun amalan-amalan tertentu daripada orang yang kita tak kenali boleh mendatangkan kesan negatif pada diri si pengamal. Orang yang kurang ilmu pasti membantah dengan mengatakan takkanlah amalankan ayat al quran pun boleh mendatangkan kemudharatan? 

Ketahuilah bahawa saka, syaitan belaan dan yang seangkatan dengannya boleh dipindahkan kepada tuan yang baru walaupun hanyan menggunakan sepotong ayat al quran yang menjadi syaratnya. Selagi mana si penerima mengamalkan mengikut apa yang disuruh, semakin meresaplah makhluk berkenaan dengan dirinya. 

Bukan bermaksud tak boleh mengamalkan ayat-ayat al quran sebagai pendinding, bukan! Apa yang ditegaskan adalah siapa yang memberikan amalan tersebut? Bagaimanakah peribadinya? Ibadatnya? Aspek ni harus dikaji sebelum menerima apa-apa amalan daripada sesiapa pun. 

Mengamalkan zikir asma ul husna adalah bagus, tapi jika disertai dengan niat untuk menjadi kebal, kuat, pantas dan sebagainya, boleh menyebabkan seseorang secara tak sedar berdamping dengan jin kafir. Macam mana? Mudah. Niat adalah pokok pangkal segala amalan. Jika untuk mendapat kebal, maka jin keballah yang akan datang berdamping.

Jin pun ada banyak nama, banyak agama dan banyak peringkat ilmu. Jika ada manusia bernama Rahim, di alam sana juga ada yang bernama Rahim. Jika penjenayah di alam manusia juga bernama seperti orang Islam dan beragama Islam, maka golongan jin juga tak berkecuali. Mereka inilah yang akan datang apabila namanya diseru berulang-ulang kali. Itu sebabnya penting mencari guru agar sang guru dapat membimbing sang murid agar berada di jalan yang lurus, bukan main cedok je ilmu atau amalan daripada sembarangan orang. 


Sesungguhnya golongan jin penuh dengan tipu daya. Jangan sesekali memandang rendah kepada mereka hanya kerana berasa diri kita adalah seorang khalifah. Khalifah apa kalau Tuhan pun tak tahu di mana?

Ada kisah di mana seseorang bermimpi di datangi tok sheikh yang kemudiannya mengajarkan ilmu al quran. Daripada tak tahu mengaji sampailah pandai membaca ayat-ayat al quran dengan lancar dan boleh pula mengubat orang. Tok sheikh sentiasa datang memberikan bantuan apabila diperlukan. Perwatakan orang tersebut pun berubah menjadi seperti ustaz atau pun tok imam dan namanya kian terkenal kerana boleh mengubat penyakit yang berkaitan dengan sihir. 

Mungkin ada yang berpendapat orang yang begini beruntung kerana diberi petunjuk dan hidayah daripada Allah. Semuanya diajar oleh tok sheikh tadi kelihatan seperti mengikut al quran dan sunnah. Solat 5 waktu tak boleh tinggal, yang sunah perlu diperbanyakkan. Segala amalan yang diajarnya hampir tak kelihatan pun di mana cacat celanya. 

Tapi jika kita perhalusi, orang ini belajar tanpa guru. Tiba-tiba dia menjadi pandai. Mana gurunya? Mimpi? Mimpi bukan guru, syaitanlah yang menyamar menjadi tok sheikh tu. Satu-satunya yang tak boleh ditiru oleh si syaitan adalah wajah Nabi Muhammad SAW. 

Sebab tu kita dengar ada orang tiba-tiba mengaku wali, mengaku kasyaf dan sebagainya. Mana ada wali mengaku dirinya wali semasa hayatnya? Semua yang kita panggil wali adalah mereka yang telah tiada lagi di alam maya ni. Sama ada mereka berada di alam jin atau alam-alam lain. Wali menjalankan tugas yang telah ditetapkan Tuhan untuknya, bukan boleh suka-suka nak ajar orang dalam mimpi, tolong orang berubat dan sebagainya. 

Oleh itu, berwaspadalah. Tipu daya jin dan syaitan amat licik. Umur mereka panjang, takkan akal mereka pendek? Ada saja cara untuk menyesatkan manusia. Jika betul-betul nak menuntut, carilah guru yang mursyid. Kenalilah diri terlebih dahulu, lepas tu barulah boleh berangan nak jadi seperti Hang Tuah ke, Mat Kilau ke, dan lain-lain. Mereka adalah orang-orang yang telah diberi petunjuk.

19 September 2011

Mimpi

Ramai orang riuh-rendah dalam isu pemansuhan ISA. Bagi sesetengah pihak, mereka menganggap ia adalah satu kemenangan dalam perjuangan. Bagi sesetengah pihak yang lain mereka mempersoalkan mengapa kerajaan mengambil keputusan untuk memansuhkan ISA?Bagi sesetengah orang pula, ISA adalah perlu dalam menangani isu keselamatan negara. Bagi sebahagian yang lain pula, akta ISA tidak lagi relevan kerana seringkali digunakan untuk menjaga kepentingan politik beberapa individu diperingkat tertinggi dalam kepimpinan negara. Ada juga golongan manusia bodoh yang tak ada pendirian tentang ISA.

Aku? Ini bukan langsung satu kemenangan. Tunjukkan kepada aku manusia mana yang dengan mudah mahu mengaku kalah? Sekurang-kurangnya pemansuhan ISA ini akan dilihat sebagai satu kemenangan kepada pihak yang berjuang supaya akta ini dihapuskan. Supaya golongan yang berjuang ni merasa mereka telah mencapai kemenangan yang pertama. Supaya mereka rasa pandangan dan perjuangan mereka diiktiraf. Sekurang-kurangnya itulah muslihata yang ingin ditunjukkan.

Percayalah, ini bukan satu kemenangan. Ini juga bukan satu pengiktirafan kepada kamu wahai pejuang-pejuang jalanan. Ini gula-gula untuk kamu nikmati sebentar saja kerana bukan sifat manusia yang berpolitik mengaku kalah dengan mudah. Percaturan kali ni semakin hebat. Ia semakin kompleks. Kamu pun terus bersorak keriangan kerana fikir kamu telah menang. Sedarkah kamu apa strategi mereka seterusnya?

Jika akta ini benar-benar dilenyapkan, maka mereka yang sedang ditahan tentu saja dibebaskan. Jika ISA benar-benar dimansuhkan, kem kamunting tentu saja ditutup atau diubahsuai menjadi kem bina negara atau kem lain. Ini kamu terloncat-loncat macam beruk kenapa? Betul ke kamu dah menang?


Mereka bukan bodoh untuk senang-senang menyerah kalah. Jangan fikir mereka pemimpin sedia ada takut dengan jumlah sokongan yang kononnya berkurangan. Tahukah kamu dengan memansuhkan ISA ini pun secara tak langsung membuatkan sesetengah dikalangan mereka sendiri merasa tak senang.

Jangan sekali-kali kamu fikir mereka dah nak kalah hanya dengan sebab mereka mansuhkan ISA. Kononnya mereka takut nanti mereka pula yang akan kena ISA. Ini langsung tak boleh diterima. Mereka masih kukuh di atas sana. Masih ramai lagi orang kampung bodoh yang menjadi penyokong tegar mereka. Itu baru orang kampung. Bagaimana dengan para kaki bodek, kaki ampu dan badut-badut yang sedia diperkudakan? Jangan mudah merasa kamu dah kuat, kawan.

Pemansuhan ISA ini memang satu muslihat. Kamu tunggu dan lihat saja. Itu lebih baik daripada terlompat-lompat macam beruk sambil bersorak kemenangan. Ia adalah satu percaturan rapi yang telah mereka rancangkan untuk memastikan sokongan terhadap mereka bertambah dan dalam masa yang sama kamu rasa kamu yang akan menang.

Katalah apa saja. Aku takkan anggap ini sebagai satu kemenangan. Kemenangan yang sebenar ialah apabila kamu (pembangkang) berjaya menawan Putrajaya. Selagi belum, kemenangan kamu tu hanya mimpi disiang hari saja. Jika ingin berjaya, berhenti bermimpi!