19 December 2010

ikhlas

aku berbual-bual dengan seseorang petang tadi. topik kami berkisar tentang kisah-kisah semasa. namun ada juga selingan tentang bab-bab agama. aku lebih suka dan selesa berbual begini.

orang yang aku lawan berbual tu adalah antara orang yang paling aku hormati dan kagumi. kami berbual tentang iman dan ikhlas. aku rasa semua orang pun tahu apa itu ikhlas. memberi tanpa mengharap balasan. itulah ikhlas. rasanya tak ramai juga mampu buat. walaupun kami berbual tentang tajuk yang nampaknya remeh-temeh bagi sesetengah orang tapi sebenarnya aku tertunggu-tunggu juga kisah yang lain daripada yang lain. aku menunggu untuk mendengar sesuatu yang belum pernah aku dengar.

beliau merujuk kepada kitab karangan ulama terdahulu dan membuat perumpamaan bahawa ikhlas itu seperti kita membuang air besar dan tak mengharapkan apa-apa daripada apa yang dibuang itu. jika ada orang terjumpa dan bertanya, "najis siapakah ini?". orang yang ikhlas akan menjawab, "entahlah.." begitulah diumpamakan perbuatan ikhlas ni. aku senyum saja sambil berkata, "susah sungguh kita nak ikhlas...."

menerima pendapat orang lain dengan hati yang terbuka sebenarnya perlu sebelum menghukum pendapat orang itu. jadi, aku menerimanya dengan senyuman. dalam perjalanan balik, macam biasa, aku terus berfikir dan berfikir.

sebenarnya bukan tu saja yang kami bualkan. banyak juga. kebetulan, tu yang paling menarik, jadi aku ceritalah. sama seperti entry aku sebelum ni berkaitan dengan solat. ada orang yang tak tinggal solat 5 waktunya tapi perangai lebih teruk daripada orang yang tak solat. mungkin ikhlas tiada dalam kamus hidup orang tu.

solat yang ikhlas adalah solat tanpa mengharap pahala, syurga dan pandangan orang lain yang baik terhadap diri sendiri. sebenarnya dari awal sudah ada dalam niat, kerana Allah semata-mata. Tapi bila tengah praktik, niat tu sentiasa diganggu-gugat.

sebenarnya penjelasan beliau amat halus jika diteliti. kalau boleh nak saja aku rakam dan ulang berkali-kali. setiap apa yang dicakapnya sentiasa berkaitan dengan aku. segan juga aku dibuatnya tapi saja buat-buat tak tahu. aku yakin, dia bukan nak menyindir. cuma itu mungkin kelebihan dia, bercakap tentang apa yang perlu saja.

ikhlas diluar konteks manusia biasa banyak lagi. cuma perlu dicari dan digali. tak semudah baca dalam blog atau buku tanpa bertanya kepada mereka yang lebih bijaksana.

**orang yang aku lawan berbual tu umurnya dua setengah kali umur aku.




No comments:

Post a Comment