19 August 2012

Ulamak

Waktu seorang guru pondok mengeluarkan kenyataan panas tentang haram hukumnya menyokong DAP kerana mereka kafir harbi, MCA dengan berani mengeluarkan kenyataan "Pilih kami, kami akan halang jadi negara Islam" 

Senyap sekali ulamak yang makan gaji. Tuan-tuan mufti pun tak berani nak bersuara takut hilang jawatan. Apa lagi guru pundok yang baru dapat RM2 juta untuk pondoknya. Kalau kena tarik balik duit tu macam mana?

Sumber: facebook

Ulamak-ulamak yang menggunakan hadis :

“Dengarlah dan taatilah penguasa diwaktu susah dan senang, diwaktu lapang dan sempit, walaupun mereka mementingkan diri sendiri dan memakan hartamu serta memukul punggungmu, kecuali apabila memerintahkan untuk berbuat maksiat”. 
(Hadis Riwayat Ibn Hibban dalam Sahihnya. 10/426. Sanadnya hasan)

...adakah mereka cuba menggambarkan bahawa rasulallah saw menyuruh kita mentaati pemerintah yang zalim. Adakah hadis salah atau tafsiran manusia yang salah?

Ada lagi satu ayat Al-Quran yang berkaitan dengan ini.

“Taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemimpin (pemerintah) antara kamu”. (an-Nisaa 4: 59)

Ayat ini ditafsirkan seperti, "silalah taat pada pemerintah walaupun mereka zalim", walhal tiada dalam nas Al-Quran yang menyebut orang Islam wajib mentaati dan mengikuti pemerintah yang zalim. Bagaimana pula dengan hukum seorang yang mati mempertahankan hak mereka? Bukankah itu dikira mati syahid? Bagaimana jika rakyat mempertahankan hak mereka dari pemerintah yang zalim? Adakah ini dikira salah?

Jika tafsiran ini kekal digunakan oleh ulamak-ulamak di timur tengah seperti Syiria, Mesir dan Libya, barangkali pemimpin mereka terus kekal bermaharajalela menyembelih tengkuk rakyatnya. Sebab rakyat perlu taat biarpun kepada pemimpin yang zalim, tak boleh lawan, tak boleh bersuara.

Menolak satu huruf ayat Al-Quran dan menolak apa saja hadis dikira keluar daripada Islam. Mencerca, memperlekehkah Al-Quran dan hadis juga dikira keluar daripada Islam. Tapi bila seorang pemimpin Islam mengatakan bahawa dia tidak akan ikut hudud dan bersekongkol dengan satu pertubuhan yang memang anti hukum Islam, apa kejadahnya? Itu bukan satu huruf Al-Quran lagi dah. 

Ulamak makan gaji sering menekankan bahawa Islam melarang umatnya berpecah belah, tapi mereka tak pernah sekali pun tegaskan bahawa yang batil tidak boleh bercampur dengan yang hak. Mereka menggesa yang batil dan yang hak bersatu untuk keamanan. Bolehkah? Mereka memperlekehkan orang yang telah lama berjuang untuk menegakkan Islam hanya kerana pengikutnya yang taksub dengan parti. Kononnya pemimpin-pemimpin yang ingin menegakkan Islam ni tak nak bersatu padu dengan pemerintah sekarang dan menggalakkan perpecahan dikalangan umat Islam. 

Orang sebegini tak dapat aku nak hormati kerana kerana pada pendapat aku mereka jauh tersasar. Fikirlah jika tafsiran berdasarkan ayat-ayat di atas digunapakai waktu British memerintah Tanah Melayu, apa jadi? Kenapa orang Melayu bangkit berdemo menentang British sewaktu menuntut kemerdekaan sedangkan berdemo itu bukan ajaran Islam? Mengapa menentang British sedangkan British adalah pemerintah yang membawa kemajuan kepada Tanah Melayu satu masa dulu? Jika tafsiran sebegini diguna pakai, sia-sia sajalah perjuangan Mat Kilau, Dato Bahaman, Tok Janggut dan lain-lain kerana menentang pemerintah menggunakan kekerasan. British adalah pemerintah Tanah Melayu dulu dan semua yang menentang British adalah salah kerana hukumnya haram menentang pemerintah.

Jangan jadi rakyat yang bodoh hanyan mengikut saja. Zaman sekarang, kita bukan nak lawan pemerintah guna pistol atau senapang, bukan nak lawan guna parang atau beradu kekuatan tapi kita nak tuntut hak kita sebagai rakyat untuk mendapat yang lebih baik. Untuk menolak rasuah dan korupsi yang menjadi amalan sejak dulu. Salahkah? Salahkah wahai sang ulamak yang berfikiran sempit, takut hilang jawatan dan sebagainya?

Bukannya kita taksub pada sesebuah parti, bukannya kita bergantung harap pada mereka tapi jika peluang untuk mengubah nasib ada depan mata, apa salahnya digunakan? Adakah negeri Selangor rakyatnya menderita sebab pilih kerajaan baru? Adakah orang Islam di Pulau Pinang tak dibenarkan ke masjid lagi untuk bersolat dan sebagainya? Jangan butakan mata jika hati telah buta. 

Hadis di atas boleh dan tidak salah jika ditafsirkan pada keadaan yang lain seperti seseorang yang diamanahkan untuk menjaga anak yatim, atau yang sama keadaannya. Orang tua kita pun penguasa juga, bapa angkat kita yang menjaga kita pun kategori penguasa juga. Janganlah samakan penguasa tu sebagai pihak pemerintah sesebuah negara saja. Jika tak mahu menghormati PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam tak mengapa, tapi hormatilah Tuan Guru-Tuan Guru yang berjuang di dalam pertubuhan itu. Jangan perlekehkan usaha mereka. Benar, PAS dibenci kerana pengikutnya yang taksub. Bukan semua pemimpin dalam parti tu bersikap seperti Tuan Guru-Tuan Guru mereka, itu kenalah faham. 

Golongan ulamak yang pentingkan jawatan, wang ringgit dan status seperti inilah sebenarnya menjadi punca perpecahan dikalangan umat Islam negara ni. Mereka takut untuk menegur pemerintah, jadi mereka terpaksa mencari jalan bagaimana untuk membenarkan dan menampakbaikkan perkara zalim yang dilakukan pemerintah. (zalim=meletakkan sesuatu tak kena pada tempatnya).




No comments:

Post a Comment